Peminat Setia

Jumaat, 6 Julai 2007

Tubuh Bertukar Seperti Wanita

SOALAN:
SAYA berusia 29 tahun dengan ketinggian 170 sentimeter dan berat 65 kilogram. Saya berkahwin dan mempunyai seorang anak. Saya keliru dengan perubahan diri saya.

S
ejak setahun lalu, isteri saya asyik menegur mengenai buah dada saya yang membesar, pinggang pula mengecil dan punggung membesar seperti perempuan. Semakin lama keadaan kian jelas dan selepas diukur, ukuran badan saya kini 36-27-38.

Adakalanya saya malu keluar rumah kerana jika saya memakai baju-T dan seluar jeans, ia menampakkan buah dada saya di samping bentuk badan seperti perempuan. Adakalanya saya juga disindir kerana keadaan itu. Apakah yang berlaku kepada saya?

Apakah yang harus saya lakukan untuk menjadi seorang lelaki yang normal semula? Saya malu bertemu doktor di klinik.

Amier,
Ulu Klang, Selangor

JAWAPAN:
USAH malu untuk mendapatkan bantuan doktor. Seelok-eloknya anda berjumpa pakar perubatan endokrinologi dalam hal ini.

Jika benar pemeriksaan menunjukkan anda cenderung mempunyai ciri kewanitaan, beberapa ujian lanjutan (lazimnya melalui darah) boleh dilakukan.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Sakit Belakang Selepas Keguguran

SOALAN:
SAYA berusia 24 tahun dan berkahwin sembilan bulan. Sebelum ini saya pernah mengandung tetapi pada usia kandungan tujuh minggu, kandungan itu gugur.

Sebulan selepas gugur, saya sakit belakang dan berurut. Tukang urut mengatakan rahim saya jatuh. Adakah berurut boleh memulihkan keadaan rahim jatuh atau lemah, sekali gus mengandung seperti wanita biasa?

Jesnita,
Kuala Terengganu, Terengganu

JAWAPAN:
KEBANYAKAN keguguran berpunca daripada sifat janin yang kurang sempurna. Rahim jatuh juga tidak menyebabkan masalah kesuburan tetapi ia boleh menjadikannya lebih teruk terutama selepas kelahiran.

Ramai beranggapan salah mengenai rahim jatuh. Istilah perubatan baginya adalah prolaps uterus.

Ia membabitkan beberapa perkara:

- Trauma pada otot sokongan lantai pelvis akibat trauma bersalin, terutama jika bermasalah (meneran waktu yang lama, penggunaan alat forseps atau vakum, bayi besar dan seumpamanya)

- Masalah kongenital (gangguan saraf) yang menyebabkan otot pelvis sedia lemah. Ini jarang berlaku.

- Faktor usia apabila ia banyak berlaku pada wanita menopaus akibat kekurangan hormon estrogen menyebabkan otot pelvis menjadi lemah.

- Bilangan anak (bukannya bilangan kehamilan), misalnya kekerapan bersalin.

- Peningkatan tekanan dalam abdomen seperti kegemukan, batuk berpanjangan, sembelit dan kerap meneran, aktiviti mengangkat berat (baldi berisi air, barangan dapur, membeli-belah dan seumpamanya)

Agak mustahil untuk memegang rahim dari luar tubuh, kecuali jika rahim membesar seperti fibroid atau kehamilan tiga bulan ke atas. Ia terletak jauh di bahagian bawah dalam rangka tulang pelvis. Pemeriksaan dalaman boleh merasai pintu rahim pada hujung jari, inilah yang digunakan sebagai ukuran.

Sekiranya ia berada di bawah daripada paras tulang spina iskium, maka dikatakan seseorang mengalami rahim jatuh. Selain itu, otot lantai pelvis yang lemah tidak dikuatkan dengan berurut.

Senaman Kegel dapat membantu menegangkan otot pelvis dan boleh diamalkan seperti berikut:

- Cuba seolah-olah menahan kencing. Kemutan faraj dilakukan selama mungkin dan sekerap mungkin setiap hari (ada yang mengatakan sekerap 50 kali dan selama 10 saat setiap kali). Jika kurang pasti, masukkan dua jari anda ke dalam faraj dan cuba kemutkan faraj pada jari itu.

- Hanya kemutan otot dalaman sahaja dilakukan, bukannya otot punggung (gluteus) anda.

Di samping itu, seseorang hendaklah menggunakan teknik mengangkat barang yang betul (misalnya membengkokkan lutut sewaktu mengambil barang dari lantai dan bukannya membongkokkan badan, ia juga dapat menggalakkan sakit belakang), mengekalkan berat badan ideal, banyak minum air serta mengambil makanan berserat untuk mengelakkan sembelit.

Tidak salah berurut, ia sepatutnya membantu menenangkan fikiran serta menyegarkan tubuh anda.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Khamis, 5 Julai 2007

Gatal, Keputihan Akibat Jangkitan Kuman

SOALAN:
SAYA berumur 22 tahun dan sudah berkahwin. Saya mengalami gatal pada kemaluan dan keluar keputihan yang berketul-ketul daripada faraj.

Sejak kebelakangan ini saya gagal memuaskan suami saya kerana kemaluan saya terasa sakit ketika bersama. Apakah punca dan cara mengatasinya?

Mieza,
Petaling Jaya, Selangor

JAWAPAN:
KEPUTIHAN disertai gatal-gatal lazimnya adalah tanda jangkitan kuman. Jika dibiarkan berlarutan, ia boleh menyebabkan perubahan pada permukaan faraj serta pintu rahim (kemerahan, luka, peradangan dan seumpamanya), akibatnya anda mudah sakit pada bahagian terbabit. Malah ia juga boleh menjangkiti organ berhampiran seperti pundi kencing.

Walaupun kebanyakan jangkitan faraj diakibatkan oleh kulat Candida dan rawatannya berbentuk pil (pessary) yang dimasukkan ke faraj, ia tidak semestinya berlaku untuk semua keadaan.

Seeloknya jalani pemeriksaan dalaman, sedikit sampel keputihan terbabit diambil untuk pemeriksaan makmal mengambil masa beberapa hari sahaja.

Ujian ini dinamakan Culture & Sensitivity. Bukan sahaja jenis kuman dapat dikenalpasti, malah ubat yang sesuai dan yang tidak sesuai turut disenaraikan.

Selain itu, anda juga dinasihatkan mengamalkan teknik mengelakkan jangkitan berlaku semula. Ini termasuk:

  • Mencuci atau mengelap kemaluan dari arah hadapan ke arah belakang dan bukan sebaliknya. Ia dapat mengelakkan kuman dari bukaan dubur yang terletak berhampiran memasuki faraj.

  • Lebih kerap menyalin seluar dalam, terutama jika anda mudah berpeluh atau selepas melakukan aktiviti senaman.

  • Memakai seluar dalam daripada kapas dan bukannya nilon (ini dapat mengurangkan pengewapan pada kawasan terbabit).

  • Teknik “Sitz bath” juga dapat membantu. Berendam di dalam besen yang mengandungi air (air paip sama ada sejuk ataupun suam sudah memadai) bercampur sedikit garam. Lakukan selama kira-kira 10 minit dua kali sehari.

    Jangkitan dijangka sembuh dalam seminggu, peradangan faraj mungkin mengambil masa lebih lama untuk kembali normal semula. Seeloknya anda mengelak hubungan seks ketika masih dalam rawatan.

    Ini dapat mengurangkan risiko jangkitan pada pasangan serta risiko jangkitan semula kepada anda. Ia juga dapat memberi masa untuk luka (jika ada) pada faraj sembuh.


  • Dipetik dari;
    http://www.hmetro.com.my/

    Alami Pendarahan Ketika Bersama Suami

    SOALAN:
    SEWAKTU bersama suami, saya mengalami masalah keluar darah yang agak banyak. Saya bingung sebab suami tiada mood selepas itu kerana menyangkakan saya tidak memberitahunya saya dalam keadaan haid.

    Tetapi, darah itu bukan darah haid dan selepas beberapa hari tiada tanda saya datang haid.

    Apakah darah itu menandakan saya bermasalah atau disebabkan tusukan kuat sedangkan saya tidak mengalami sebarang kesakitan ketika melakukan hubungan.

    Bintang Hati,
    Petaling Jaya, Selangor

    JAWAPAN:
    KEADAAN demikian mungkin disebabkan beberapa perkara:

    - Trauma atau koyakan pada faraj, pendarahan boleh sama ada berhenti dengan sendirinya atau memerlukan sedikit teknik penahanan atau jahitan.

    - Luka pada pintu rahim (serviks). Kebiasaannya berlaku pada pintu rahim yang sedia mengalami perubahan seperti ektropion, radang atau penyakit.

    - Masalah pada bahagian dalam rahim

    - Haid

    Ia boleh dipastikan jika anda berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dalaman. Ujian pap smear juga lazimnya dilakukan.


    Dipetik dari;
    http://www.hmetro.com.my/