Peminat Setia

Khamis, 22 Mei 2008

Herba Dan Seks: Apa Kata Saintifik?

Adakah formula herba berkesan untuk mengatasi masalah seksual? Ini adalah satu persoalan yang menimbulkan tanda tanya di kalangan orang ramai.

Walaupun rawatan bagi masalah seksual adalah kepelbagaian, individu yang menghadapi masalah ini lebih gemar mengambil ubat-ubatan oral seperti viagra.

Sesetengah individu mungkin memilih rawatan herba kerana kelebihan-kelebihan seperti kos yang lebih munasabah, lebih senang diperoleh dan lebih selamat diambil dengan kesan sampingan yang minimum.

Horny Goat Weed


Horny goat weed merupakan herba tradisional dari China yang digunakan untuk mengatasi masalah mati pucuk sejak dua ribu tahun dahulu.

Kini, kajian klinikal dari China (Liao et al., 1995) terhadap pesakit hemodialisis telah membuktikan horny goat weed memberi kesan positif pada kesihatan seksual dan sistem keimunan pesakit.

Bagi kaum lelaki, ia memberi kesan yang menyerupai testosteron, meningkatkan keinginan terhadap aktiviti seks dengan meningkatkan penghasilan sperma dan merangsang kepekaan sistem saraf.

Bagi wanita pula, horny goat weed membantu melegakan simptom menopaus seperti kemurungan, kurang minat terhadap seks dan kekeringan faraj.

Ginseng

Herba yang terkenal di kalangan kaum Cina. Ginseng dipercayai dapat memperkuat sistem pencernaan dan fungsi perparu, menenangkan pemikiran serta meningkatkan tenaga.

Di Korea, kajian (Hong et al., 2002) telah dijalankan terhadap 45 lelaki yang menghadapi masalah disfungsi erektil iaitu tidak berupaya mencapai dan mengekalkan ereksi.

Mereka yang menyertai kajian ini tidak pernah menerima sebarang rawatan bagi masalah disfungsi ereksi. Namun, 50 peratus daripada mereka mengambil sekurang-kurangnya satu jenis ubat penyakit kronik seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.

Selepas menerima rawatan ginseng selama lapan minggu, kebanyakan peserta mendapati rangsangan ereksi, keinginan terhadap seks dan kepuasan terhadap seks telah meningkat.

Sebanyak 60 peratus daripada peserta kajian mendapati mereka lebih senang mendapat ereksi selepas menerima rawatan ginseng.

Ginkgo

Ginkgo digunakan secara meluas di Jerman untuk pesakit Alzheimer atau pesakit dengan daya ingatan merosot dan mental tidak berupaya berfungsi secara normal.

Kajian (Cohen, 1997) telah dijalankan terhadap pesakit dalam rawatan antikemurungan yang menghadapi masalah seksual seperti kurang libido dan tidak berupaya ereksi.

Selepas mengambil ginkgo selama enam hingga lapan minggu, kebanyakan pesakit mendapati fungsi seksual mereka telah meningkat.

Ginkgo meningkatkan pengaliran darah ke penis dan seterusnya menyokong serta mengekalkan ereksi apabila mendapat rangsangan seks.

Muira Puama

Pada tahun 1990, institut seksualogi di Paris, Perancis menjalankan satu kajian terhadap 262 pesakit yang kurang nafsu seks.

Muira puama diberikan setiap hari dalam tempoh dua minggu. Keputusannya, 62 peratus pesakit mendapat kesan positif.

Satu lagi kajian dijalankan pada tahun 2000 di mana muira puama digabungkan dengan ginkgo dan digunakan sebagai rawatan bagi wanita dengan keinginan seks yang rendah.

Selepas sebulan, kebanyakan wanita mendapati keinginan seks, kekerapan melakukan aktiviti seks serta kepuasan dan kenikmatan seks telah meningkat.

Muira puama membantu mengendurkan saluran darah dan membenarkan lebih banyak darah mengalir ke bahagian alat kelamin. Dengan ini, ia meningkatkan kepekaan terhadap rangsangan seks.

Puncture Vine

Puncture vine digunakan dalam perubatan tradisional China, India dan Greek untuk wanita mandul, lelaki mati pucuk dan kurang libido bagi wanita dan lelaki.

Kajian (Nasution, 1993) telah dijalankan terhadap empat lelaki yang didiagnos kurang libido dan tujuh orang lelaki yang didiagnos mati pucuk.

Puncture vine diberi selama dua minggu tanpa melibatkan suplemen vitamin dan terapi yang lain.

Sebanyak 50 peratus daripada mereka yang kurang libido melaporkan peningkatan keinginan seks manakala 60 peratus daripada mereka yang mati pucuk mengalami ereksi yang lebih baik termasuklah ereksi yang tahan lebih lama.

Dalam tempoh rawatan yang singkat, puncture vine menunjukkan keberkesanan. Ia meningkatkan fungsi reproduktif lelaki dengan meningkatkan hormon testosteron, penghasilan sperma dan libido.

Damiana

Di Mexico dan Amerika Selatan, damiana digunakan sebagai herba untuk merangsang nafsu seks dan antikemurungan.

Kajian (Arletti et al., 1999) terhadap tikus makmal menunjukkan damiana adalah berkesan bagi tikus yang mati pucuk dan kurang libido.

Setelah diberikan damiana, tikus lebih senang mendapat ejakulasi dan aktiviti seksual tikus lebih aktif.

Walau bagaimanapun, damiana tidak meningkatkan libido dalam kumpulan tikus yang sihat. Damania meningkatkan fungsi saraf serta kepekaan pada bahagian genital dan seterusnya merangsang keinginan seks.

Withania

Withania digunakan oleh kaum India untuk fungsi saraf yang sihat. Kajian (Malhotra et al.,1965) memberikan 3 gram withania setiap hari kepada 101 lelaki yang sihat dengan lingkungan umur 50 hingga 59 tahun.

Selepas setahun, 71 peratus peserta kajian mendapati prestasi seksual mereka lebih baik berbanding sebelumnya. Withania berupaya melawan tekanan emosi dan meningkatkan tenaga seks.

Aktiviti seks yang sihat menjamin perhubungan intim suami isteri. Sesungguhnya kajian telah membuktikan herba-herba ini berkesan untuk membantu individu yang mengalami masalah seksual.

Pemakanan dan gaya hidup yang sihat juga tidak harus diabaikan.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Herba Tingkatkan Kesihatan Seksual

Dianggarkan 2.2 juta lelaki Malaysia menderita disfungsi erektil. Kajian pada tahun 2004 mendapati, sebanyak 69 peratus daripada 500 lelaki yang berusia 50 tahun ke atas mengalami lemah tenaga batin.

Rakyat Malaysia dikatakan tergolong sebagai antara yang tertinggi menggunakan pil Sildenafil citrate di kalangan mereka yang berumur 40 tahun di Asia, selepas Taiwan. Namun begitu, ada juga yang masih tercari-cari rawatan alternatif yang lebih mesra pengguna dengan kos yang lebih munasabah.

Secara tradisinya, terdapat beberapa jenis herba yang telah digunakan oleh masyarakat di seluruh dunia untuk mencegah atau merawat masalah kesihatan seksual.

Bagi masyarakat Cina, ginseng dipercayai dapat memperkuatkan sistem pencernaan dan fungsi paru- paru, menenangkan pemikiran serta meningkatkan tenaga.

Pada tahun 2002, satu kajian telah dijalankan ke atas 45 lelaki mati pucuk yang kebanyakannya sedang mengambil ubat-ubatan tertentu untuk masalah kesihatan lain seperti diabetes.

Selepas pengambilannya selama lapan minggu, kebanyakan peserta mendapat rangsangan ereksi, keinginan terhadap seks dan kepuasan terhadap seks telah meningkat sehingga 60 peratus serta lebih senang mendapat ereksi.

Horny goat weed merupakan salah satu herba yang digunakan untuk mengatasi mati pucuk sejak 2,000 tahun dahulu oleh kaum Cina.

Kajian klinikal yang dibuat pada tahun 1995 di China membuktikan Horny goat weed memberikan kesan positif terhadap kesihatan seksual para pesakit yang perlu menjalani hemodialisis.

Bagi kaum lelaki, ia memberikan kesan yang menyerupai testosteron, meningkatkan keinginan terhadap seks dengan meningkatkan penghasilan sperma dan merangsang kepekaan sistem saraf.

Kajian yang dibuat pada tahun 1997 pula mendapati, ginkgo memberikan kesan positif terhadap masalah kemurungan yang juga menghadapi masalah seksual seperti kurang libido dan ketidakupayaan ereksi.

Kebanyakan peserta mendapati fungsi seksual mereka mula meningkat selepas enam hingga lapan minggu pengambilan. Ginkgo meningkatkan pengaliran darah ke penis, seterusnya menyokong serta mengekalkan ereksi apabila mendapat rangsangan seks.

Muira puama bermanfaat dalam membantu mengendurkan saluran darah dan membenarkan lebih banyak darah mengalir ke bahagian genitalia (alat kelamin) serta meningkatkan kepekaan kepada rangsangan seks.

Pada tahun 1990, Institute of Sexology di Paris, Perancis menjalankan satu kajian ke atas 262 pesakit yang kurang nafsu seks. Muira puama diberikan setiap hari dalam tempoh dua minggu.

Hasilnya begitu memberangsangkan apabila lebih 60 peratus daripada mereka menunjukkan kesan yang positif.

Satu lagi kajian dijalankan pada tahun 2000 di mana Muira puama digabungkan dengan ginkgo dan digunakan sebagai rawatan bagi wanita dengan keinginan seks yang rendah. Selepas sebulan, kebanyakan wanita mengalami peningkatan dari segi keinginan seks manakala kekerapan melakukan aktiviti seks juga turut meningkat.

Kajian yang dibuat pada tahun 1993 terhadap empat lelaki yang didiagnosis kurang libido dan tujuh lelaki yang disahkan menghidap mati pucuk. Pengambilan Puncture vine diamalkan selama dua minggu.

Lima puluh peratus daripada mereka yang kurang libido melaporkan peningkatan dalam keinginan seks mereka. Ia turut meningkatkan fungsi reproduktif lelaki dengan meningkatkan hormon testosteron di samping penghasilan sperma dan libido.

Puncture vine juga telah lama digunakan dalam perubatan tradisional China, India dan Greek untuk wanita mandul, lelaki mati pucuk dan kurang libido bagi wanita dan lelaki.

Secara tradisinya, Withania dipercayai berupaya melawan tekanan emosi dan meningkatkan tenaga seks dan telah digunakan oleh kaum India untuk fungsi saraf yang sihat.

Kepercayaan ini ada asasnya apabila hasil kajian pada tahun 1965 mendapati sebanyak 71 peratus daripada 101 lelaki berusia di antara 50 hingga 59 tahun mendapati prestasi seksual mereka lebih baik berbanding sebelumnya.

Di Mexico dan Amerika Selatan, Damiana atau nama saintifiknya Turnera diffusa digunakan sebagai herba bagi merangsang nafsu seks dan antikemurungan. Damiana juga membantu wanita yang lemah nafsu seks, dengan membantu meningkatkan kepekaan saraf alat kelamin serta merangsang keinginan seks.

Aktiviti seks yang sihat menjamin perhubungan intim suami isteri. Sesungguhnya, kajian telah membuktikan bahawa herba-herba ini berkesan membantu individu yang mengalami masalah seksual. Pemakanan dan gaya hidup sihat juga tidak seharusnya diabaikan.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Gadis Risau Ada Bonjolan

SOALAN:
Saya berusia 19 tahun dan mengalami masalah pada faraj saya. Ada bonjol yang dapat saya rasa dengan tangan di bahagian luar atau dalam faraj.

Ia berlaku sejak saya di sekolah menengah lagi, tetapi tidak pernah melakukan pemeriksaan kerana saya sangat malu dengan keadaan itu.

Saya juga dapat rasakan kebonjolan itu menyebabkan laluan faraj saya sempit.

Adakah keadaan itu berbahaya dari segi kesihatan? Apakah yang harus saya lakukan? Pada masa sama, saya juga mengalami masalah puting payudara yang tersorok ke dalam. Adakah dua masalah terbabit saling berkaitan?

Siti,
Kuala Lumpur


JAWAPAN:
Masalah ini bukanlah suatu yang jarang berlaku dan memalukan. Berjumpalah doktor untuk pemeriksaan mudah dan kepastian. Besar kemungkinan ia adalah akibat penyumbatan kelenjar Bartholin anda yang ada pada bahagian kanan dan kiri kemaluan.

Kelenjar ini berfungsi mengeluarkan cecair pelincir sewaktu rangsangan seksual. Jika benar, ia bukanlah membahayakan. Apabila ia semakin membengkak, ia boleh menyukarkan pergerakan dan tidak selesa apabila duduk dan memberi masalah.

Penyakit ini dinamakan Cyst Bartholin dan tidak perlu dibuang segera. Namun, ia boleh terkena jangkitan kuman menyebabkan pengumpulan nanah (abses) di dalamnya, kesakitan, demam, menyukarkan posisi duduk dan seumpamanya.

Apabila ini berlaku, pembedahan segera membaikinya perlu dilakukan. Suatu prosedur kecil dilakukan untuk membuka cyst ini dan membentuk laluan baru supaya lelehan pelincir dapat terus disalurkan keluar serta tidak tersumbat lagi.

Pemeriksaan doktor bukan saja penting untuk memastikan ia cyst Bartholin, namun untuk memastikan ia bukanlah penyakit lain yang mungkin bersifat bahaya.

Puting payudara yang termasuk ke dalam tidak berkait dengan masalah bengkak pada kemaluan anda. Jika ia sudah wujud sejak anda lahir lagi, mungkin ia tidak membahayakan. Bagaimanapun, anda bolehlah mula mengamalkan teknik mengeluarkan puting ini, ia mudah dipelajari. Berjumpalah doktor anda.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Tidak Berani Ambil Pil Kerana Belum Hamil

SOALAN:
Saya berusia 25 tahun, berkahwin pada akhir 2006 dan hingga kini masih belum dikurniakan zuriat.

Saya mempunyai haid yang tidak tetap sejak di zaman bujang lagi.

Baru-baru ini, saya disahkan mempunyai ovari polisistik (PCOS) dan doktor menyarankan supaya saya menurunkan berat badan.

Doktor juga memberikan saya ubat Metformin, Reductil dan Yasmin, tetapi saya cuma mengambil pil Metformin dan Reductil saja.

Memandangkan saya masih belum hamil, saya tidak berani untuk mengambil pil Yasmin kerana ia merupakan sejenis pil perancang. Untuk memaksa haid keluar saya mengambil Provera.

Adakah saya boleh hamil selepas atau ketika pengambilan pil Yasmin itu? Apakah saya masih boleh hamil selepas memakan pil berkenaan?

Adakah benar pesakit PCOS tidak boleh hamil?


JAWAPAN:
Benar pil Yasmin adalah sejenis pil berhormon yang lazimnya digunakan untuk mencegah kehamilan atau merancang keluarga.

Ia bertindak secara menghalang ovulasi (pengeluaran telur). Ini bermakna jika diambil mengikut aturan, anda tidak boleh hamil ketika pengambilannya.

Selepas menghentikan pengambilan mana-mana pil perancang keluarga, ovulasi mungkin (tidak semestinya) lambat kembali seperti sebelum mengambil pil terbabit.

Ada yang terus hamil bulan berikutnya, ada pula yang mengambil masa beberapa bulan atau lebih lama.

Namun, bagi diri anda, tahap kesuburan anda awalnya perlu diperiksa dahulu sebelum meletakkan sebab kepada pil Yasmin ini.

Tambahan pula selepas suatu jangkamasa pengambilan mana-mana pil perancang ini, usia wanita itu sudah pun semakin meningkat yang turut menurunkan tahap kesuburannya berbanding sewaktu mereka lebih muda.

Tidak semua pesakit PCOS mengalami masalah kesuburan. Malah ada yang mudah hamil tanpa sebarang masalah. Ada pula yang mengalami masalah lain yang tidak berkaitan dengan kesuburan.

Memandangkan ia sejenis sindrom, seseorang yang mempunyai ovari polisistik boleh sama ada tidak mengalami sebarang masalah atau gangguan ataupun mengalami satu atau lebih atau semua masalah di bawah:

# Gangguan kitaran haid yang jarang-jarang dan sedikit kuantitinya

# Berlebihan hormon lelaki (testosteron) sehingga menampakkan lebihan bulu roma pada kawasan misai, betis, kulit muka berminyak dan berjerawat

# Masalah anovulasi (ketiadaan pengeluaran telur) sehingga mengganggu kesuburan

# Berlebihan berat badan

# Berlebihan hormon insulin

# Peningkatan risiko penyakit kardiovaskular (jantung) dan diabetes mellitus (kencing manis)

# Peningkatan risiko hiperplasia endometrium rahim dan kanser endometrium rahim

Anda juga harus ingat, penambahan berat badan (lebih-lebih lagi secara mendadak) juga boleh menghalang ovulasi.

Adakalanya, berat badan berlebihan ini mempunyai kaitan dengan PCOS. Ini memerlukan lebih kesungguhan untuk mengurangkannya.

Mulakan dan teruskan dengan pengurangan kalori makanan serta senaman yang berjadual atau rutin. Anda mungkin memerlukan nasihat pakar pemakanan dan bukan saja bergantung kepada pil untuk menurunkan berat badan anda.

Rawatan kesuburan dalam pesakit PCOS lazimnya dimulakan dengan pemberian pil kesuburan memandangkan ia murah dan mudah diambil.

Pemantauan menggunakan ultrabunyi dapat menilai keberkesanan ubat ini (dalam dos berbeza-beza) dalam merangsang pembesaran folikel telur di dalam ovari anda.

Peratus kejayaan dapat ditingkatkan dengan bantuan teknik permanian berhadas (IUI - intra uterine insemination). Langkah seterusnya pula lebih rumit, mungkin memerlukan pembedahan, suntikan hormon kesuburan dan rawatan secara persenyawaan tabung uji (IVF).

Turutan atau pilihan rawatan ini bergantung kepada pengalaman dan kemahiran doktor masing-masing. Lebih penting lagi adalah menjaga pemakanan anda serta amalan hidup sihat untuk menangani peningkatan risiko penyakit jantung serta kencing manis yang lazimnya (jika muncul) berlaku pada lewat usia.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Kaitan Pil Cegah Hamil, Kanser

SOALAN:
Saya ada mendengar beberapa perkara mengenai pil perancang, tetapi tidak tahu kebenarannya.

Adakah benar pil pencegah kehamilan boleh menyebabkan kanser pangkal rahim jika diambil untuk tempoh yang lama? Adakah cara lain yang lebih selamat untuk mencegah kehamilan selain pil perancang? Apakah kesan sampingannya?

Adakah benar melakukan seks dengan kerap walaupun dengan hanya satu pasangan boleh menyebabkan kanser pangkal rahim?

Maria,
Kuala Lumpur


JAWAPAN:
Kini, pangkal rahim atau pintu rahim lebih dikenali sebagai serviks. Benar ada kaitan antara pil pencegah kehamilan dengan insiden kanser serviks.

Ini berdasarkan kajian dulu yang melihat pesakit kanser serviks dan didapati lebih ramai yang pernah mengambil pil pencegah kehamilan berbanding yang tidak mengambilnya.

Maka, andaian asal adalah pil pencegah kehamilan menyebabkan kanser serviks.

Namun apabila dikaji dengan lebih lanjut, ada pendapat bercanggah mengenai hasil kajian ini memandangkan pesakit kanser serviks terbabit turut mengamalkan aktiviti seks berbilang pasangan dan mengambil pil itu untuk mencegah kehamilan.

Sebaliknya, pendapat yang menyokong hasil kajian asal mendebatkan teori kemungkinan hormon dalam pil pencegah kehamilan mengubah keadaan permukaan serviks sehingga mencetuskan pembentukan kanser.

Pil pencegah kehamilan adalah antara kaedah yang berkesan dengan syarat anda perlu mengambilnya mengikut peraturan.

Keunikan kanser serviks berbanding kanser lain ialah ia boleh dicegah kerana ia mempunyai suatu peringkat penyakit yang mudah dikesan dan jika penyakit ini dirawat, ia dapat mengelakkan kanser serviks.

Sebaliknya jika penyakit ini tidak dirawat, ia boleh berubah kepada kanser.

Penyakit ini dinamakan CIN (Carcinoma Intra-epithelial Neoplasia) yang boleh disaring menggunakan ujian pap smear dan jika disyaki, ia kemudian boleh disahkan melalui ujian histopatologi ke atas biopsi serviks.

Malangnya, di negara kita, masih ramai yang tidak menjalani ujian saringan pap smear ini.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Sabtu, 17 Mei 2008

Pra Menopaus : Wanita Perlu Sedia Hadapi

Wanita di zaman ini begitu terdedah dengan pengetahuan yang melibatkan hal penjagaan diri sama ada luaran atau dalaman masing-masing.

Apa yang terjadi kepada diri wanita perlu diambil tahu sepenuhnya supaya mereka bersiap sedia mengatasi masalah atau situasi yang bakal dihadapi dalam proses menuju ketuaan.

Salah satu peringkat penting yang perlu dititikberatkan ialah fasa menopaus.

Menopaus ialah satu fasa yang bakal berlaku di dalam kehidupan seseorang wanita apabila kitaran darah haidnya berhenti dalam tempuh 12 bulan.

Menurut Pakar Sakit Puan, Dr. Abdul Ghaffar Abdul Razak dari Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), kehidupan seorang wanita bermula daripada zaman kanak-kanak kemudian mengalami proses 'baligh' sebelum meningkat ke usia tua.

"Proses menopaus merupakan satu situasi biasa yang bakal ditempohi oleh wanita pada usia tua.

"Jadi janganlah takut dan menganggap menopos itu satu penyakit,'' katanya ketika memberi ceramah mengenai menopaus di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurutnya, menopaus berlaku apabila ovari tidak berupaya untuk mengeluarkan hormon estrogen yang mengawal kedatangan haid dan menyebabkan wanita tidak dapat hamil.

Ini kerana apabila wanita sampai ke tahap awal umur 40-an, perubahan berlaku iaitu haid menjadi tidak teratur sebelum ia terus berhenti. Peringkat ini digelar pramenopaus yang mengambil tempoh empat hingga ke lima tahun.

"Pada peringkat pra menopaus, masalah ini berlaku kerana kekurangan hormon yang menyebabkan haid tidak teratur sama ada sidikit atau banyak,'' katanya.

Beliau turut menerangkan tanda-tanda menopaus iaitu:

- Panas membara.

- Berpeluh malam.

- Tidak dapat tidur lena.

- Mudah naik radang.

- Kurang nafsu seks.

- Kekeringan vagina atau faraj.

- Kesakitan ketika melakukan hubungan kelamin.

- Kerap membuang air kecil dan terasa pedih.

Menurut Ghaffar, apa yang perlu diingat ialah kesan jangka panjang yang terpaksa dilalui oleh wanita jika mereka tidak mengambil langkah awal seperti mengamalkan diet yang seimbang.

Antara penyakit itu ialah osteoporosis yang menyebabkan tulang menjadi rapuh, lemah dan lembut, malah penghidap berisiko untuk patah tulang jika terjatuh. Ia terjadi apabila hormon estrogen tidak ada untuk berperanan sebagai penyerap kalsium.

"Kekurangan atau ketiadaan hormon estrogen kalsium pun berkurangan dan terjadinya osteoporosis yang mana tulang belakangnya membengkok,'' katanya.

Manakala penyakit lain ialah serangan sakit jantung kerana hormon estrgen tidak ada untuk membantu mengurangkan lemak.

Apabila berlakunya pengangkutan lemak ke dalam darah boleh menyebabkan masalah kepada jantung dan salur darah.

Oleh yang demikian wanita perlu bersedia untuk berhadapan dengan menopaus iaitu dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang, rehat yang mencukupi, melakukan banyak senaman serta terapi penggantian hormon (HRT) yang bertujuan untuk menambahkan hormon.

Dr. Ghaffar berkata, HRT ialah kaedah pengambilan hormon untuk menggantikan hormon yang telah berkurangan, supaya tubuh badan terus menyediakan keperluan hormon seperti biasa.

"Apabila hormon menyediakan keperluan secukupnya, HRT dapat mengurangkan kemuraman, lebih selesa ketika mengadakan hubungan kelamin, dapat menahan kegatalan dan infeksi pada vagina dan faraj serta menghentikan kerap kencing.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Selepas Menopaus - SERM Kurangkan Risiko Barah

Menopaus ialah masalah yang dialami oleh semua wanita apabila lanjut usia yang mana secara purata ia dialami pada usia 50 tahun. Istilah ini biasanya diguna untuk menggambarkan sebarang perubahan beransur-ansur atau tiba-tiba yang dialami oleh wanita sejurus sebelum atau selepas putus haid.

Secara umum, masyarakat menganggap ia hanya sebagai tanda berakhirnya tempoh reproduktif badan atau seseorang wanita yang mengalaminya tidak lagi mampu hamil.

Dalam masa yang sama, kurang pemahaman menyebabkan ia hanya dilihat sebagai satu fenomena yang terlalu remeh untuk difikir atau dibincangkan.

Sedangkan, penurunan kadar estrogen dalam badan akibat menopaus bukan sekadar menimbulkan kerumitan ginekologi, malah juga meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular, kanser payu dara dan osteoporosis.

Kehilangan estrogen semasa menopaus, wanita mempunyai kebarangkalian empat kali lebih tinggi daripada lelaki untuk mengalami osteoporosis.

Menangani masalah tersebut, Terapi Penggantian Hormon (HRT) dianggap sebagai kaedah rawatan terbaik bagi wanita menopaus sejak beberapa dekad yang lalu.

Bagaimanapun, ia biasanya disyorkan untuk melegakan gejala menopaus seperti selaran panas dan atrofi faraj dan untuk mencegah osteoporosis serta dicadangkan untuk tempoh paling singkat dengan dos berkesan yang paling rendah.

Bagaimanapun, hasil kajian-kajian antarabangsa pada tahun-tahun kebelakangan ini mendapati bahawa penggunaan HRT dikaitkan dengan risiko yang semakin bertambah.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Inisiatif Kesihatan Wanita di Amerika Syarikat serta Kajian Sejuta wanita di United Kingdom mendapati HRT meningkatkan risiko kanser payu dara dan kardiovaskular.

Meskipun peratusan terlalu kecil di samping kajian yang sekadar berbentuk soalan tanpa ujian klinikal, namun hasilnya sedikit sebanyak menimbulkan ketakutan.

Sebagai pilihan untuk wanita yang memerlukan rawatan selepas menopaus, Modulator Reseptor Estrogen Terpilih (SERM) adalah alternatif terbaik.

Presiden Persatuan Menopaus Malaysia, Dr. Ong Hean Choon berkata, SERM dicipta untuk mengekalkan faedah HRT kepada tulang sambil mengetepikan risiko yang dikaitkan dengan HRT.

Ia terbukti berkesan sebagai agen mencegah patah tulang dan menunjukkan kesan yang baik ke atas sistem kardiovaskular dan kanser payu dara.

Ini kerana ia mengikat reseptor estrogen dalam badan dan merangsang atau menyekat tindak balas yang mirip estrogen.

Dengan kata lain, SERM menyebabkan tindak balas mirip estrogen dalam tisu-tisu tertentu sambil mencegah tindak balas yang sama di bahagian-bahagian lain badan.

SERM seperti raloxifene telah terbukti mengurangkan risiko kanser payu dara di samping memberikan perlindungan daripada sakit jantung.

``SERM seperti raloxifene yang bukan estrogen atau hormon, sebenarnya mencegah penipisan tulang dan membinanya, menjadikan tulang kuat dan tidak mudah patah.

``Berbeza dengan HRT SERM tidak meningkatkan risiko kanser payu dara dan uterin dan tidak menyebabkan payu dara nyeri atau pendarahan faraj,''jelasnya.

Menurut beliau, SERM bermula pada pertengahan tahun 1980-an apabila saintis-saintis dari Amerika Syarikat dan Perancis mula memahami bagaimana dan di mana estrogen berfungsi dengan cara mengenal pasti reseptornya dalam sel-sel tertentu.

Dalam masa yang sama, mereka mengenal pasti anti-estrogen yang biasanya menyerupai hormon tersebut dalam sesetengah bahagian badan yang bertindak menahan kesan kanser estrogen ke bahagian lain.

Ia dinamakan anti estrogen kerana saintis menyedari kemampuannya menghalang perebakan kanser yang disebabkan estrogen dalam tisu payu dara.

Bagaimana pun, mereka juga mendapati bahawa estrogen dan anti estrogen berlawan antara satu sama lain untuk melekat di reseptor estrogen.

Reseptor ini pula akan berubah bentuk apabila estrogen atau anti estrogen melekat padanya.

Bentuk inilah akan mendorong kepada gen yang akan dikeluarkan yang mana gen diaktifkan akan memproses protein untuk pelbagai proses dalam badan.

Estrogen yang melekat pada resepotor akan mengaktifkan kira-kira 100 gen mana kala anti estrogen hanya melakukan sebahagian daripadanya.

Sehubungan itu, para penyelidik berusaha mengaktifkan gen-gen yang memberi manfaat dan menghalang gen-gen yang membawa kemudaratan.

Usaha tersebut memberi tumpuan kepada aspek terpilih yang memberi kesan kepada tulang, hati, payu dara dan tisu uterin yang mana ia merupakan keutamaan bagi wanita berusia.

Semua ini akhirnya telah membawa kepada penghasilan rawatan untuk wanita menopaus yang dikenali sebagai SERM.

Bagaimana pun, Kementerian Kesihatan Malaysia mencadangkan wanita yang sedang menggunakan HRT agar berunding dengan doktor mereka untuk mempertimbangkan faedahnya berbanding dengan risiko rawatan.

Wanita yang menghadapi osteoporosis yang ingin menghentikan rawatan HRT juga perlu dinilai.

Sementara terapi alternatif seperti SERM, bisfosfosonat atau kalsium boleh dipertimbangkan untuk menggantikannya.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Suami Perlu Memahami Perubahan Biologi Dan Fizikal Isteri - Tekanan Emosi Menopaus

Kurangnya pengetahuan mengenai menopaus telah menjadikan segelintir wanita mengalami masalah kemurungan dan tekanan perasaan.

Hubungan mereka dengan ahli keluarga dan juga teman-teman turut terjejas ekoran perubahan sikap serta emosi yang dialami.

Ada juga di kalangan wanita ini yang berasa diri mereka tidak lagi cantik seperti dulu dan memencilkan diri mereka daripada orang di sekeliling.

Menurut pakar psikiatri di International Medical University (IMU), Dr. Paul Jambunathan, wanita menopaus biasanya akan berhadapan dengan masalah kemurungan dan emosi.

Beliau berkata, ramai wanita menganggap diri mereka bukan lagi seperti wanita normal yang lain.

``Mereka merasakan diri mereka tidak menarik lagi pada mata pasangan mereka,'' katanya pada sidang akhbar di ibu kota baru-baru ini.

Menurut beliau, oleh kerana seseorang wanita itu ada masalah menopaus ia tidak bererti mereka bukan lagi wanita.

Dr. Paul memberitahu, terdapat segelintir wanita yang berasa bimbang apabila darah kotor tidak keluar dari tubuh mereka.

Akibat kurangnya pengetahuan terhadap gejala-gejala menopaus, ia telah mewujudkan senario salah tanggapan terhadap perubahan yang dialami pada tubuh mereka.

``Selain kemurungan, wanita juga terpaksa berhadapan dengan masalah nafsu seksual yang semakin menurun dan mereka merasakan hubungan seks merupakan satu perkara yang menyakitkan,'' ujarnya.

Nafsu seks wanita semakin menurun disebabkan estrogen dalam badan mereka berkurangan.

Kebanyakan wanita mula mengalami menopaus di antara usia 40 hingga 45 tahun.

Seiring dengan peningkatan usia, ovari seseorang wanita itu tidak akan merangsangkan hormon yang dihasilkan oleh kelenjar pituitari.

Dua hormon wanita paling penting iaitu estrogen dan progestrogen yang dihasilkan oleh ovari akan berkurangan.

Manakala kitaran haid pula menjadi tidak tetap, lambat dan kemudiannya berhenti sama sekali.

Antara gejala yang dialami oleh wanita semasa menopaus ialah sakit kepala, insomnia, kebimbangan, cepat marah, berpeluh, debaran jantung, kemurungan, muka merah padam, nafsu seks menurun, rasa gatal dan kering di vagina, masalah kencing, perubahan emosi yang tiba-tiba, corak tidur yang tidak sihat dan sakit sendi.

Dr. Paul berkata, wanita tidak sepatutnya berfikiran negatif kerana menopaus tidak akan menyebabkan perubahan fizikal pada tubuh mereka.

Malah katanya, tidak semua wanita menderita ketika menopaus.

``Sebanyak 60 peratus wanita mengalami masalah menopaus pada tahap ringan manakala 20 peratus lagi berada pada paras sederhana dan hanya 20 peratus yang mengalami menopaus pada peringkat serius,'' jelas beliau.

Mengulas mengenai kebimbangan wanita terhadap perubahan fizikal, menurut Dr. Paul, apa yang penting pada diri seseorang wanita itu ialah mereka memiliki personaliti yang menarik.

``Faktor fizikal dan rupa paras tidak penting kerana wanita akan lebih dihormati sekiranya mereka mempunyai personaliti yang baik,'' terangnya.

Beliau juga menegaskan, menopaus tidak bererti seseorang wanita itu tidak boleh bergiat aktif dalam sukan rekreasi seperti scuba diving dan sebagainya.

Ramai wanita menyangka mereka tidak mampu lagi untuk bergiat cergas dalam aktiviti lasak.

``Ramai yang berfikir selepas menopaus hidup mereka akan berubah. Saya menasihatkan mereka supaya mendapatkan rawatan kaunseling,'' katanya.

Dr. Paul meminta wanita yang mengalami menopaus supaya meneruskan kehidupan seharian mereka secara normal. Jangan terlalu menurutkan perasaan yang sensitif.

``Saya tidak nafikan terdapat juga di kalangan wanita yang merasakan diri mereka menghidap penyakit jantung dan asma kerana mereka berasa seperti tidak cukup udara,'' ujar Dr. Paul.

Bercakap mengenai hubungan seks, penggunaan gel ketika bersetubuh boleh dipraktikkan untuk mengatasi masalah kekeringan pada vagina dan bagi mengelakkan rasa sakit pada bahagian tersebut.

Sebagai langkah persediaan sebelum menghadapi menopaus wanita dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat lanjut daripada doktor ataupun melalui bahan bacaan.

Pasangan muda yang baru berkahwin turut disyorkan supaya mengambil tahu mengenai menopaus sebagai persiapan awal.

Mereka yang belum berkahwin juga patut mengetahui mengenai menopaus dan simptonnya.

Dr. Paul berkata, suami perlu memberi dorongan kepada isteri. Jangan biarkan isteri keseorangan berhadapan dengan masalah tersebut.

``Kefahaman mengenai menopaus perlu ada bagi mengelakkan berlakunya kejutan perasaan apabila anda mengalami masalah menopaus,'' tambahnya.

Dalam pada itu, Dr. Paul menasihatkan wanita supaya jangan meletakkan kepercayaan kepada doktor secara membuta tuli.

``Jangan ikut sahaja apa yang doktor anda beritahu pada anda. Kalau boleh anda perlu bertanya kepada doktor mengenai menopaus anda dan doktor pula perlu memberi bimbingan kepada pesakit,'' katanya.

Menurut beliau, doktor perlu menjelaskan kepada pesakitnya mengenai kesan sampingan yang terpaksa dilalui ketika menopaus. Sekiranya doktor tidak membantu pesakit terbabit, pesakit dinasihatkan supaya mendapatkan perkhidmatan doktor lain.

Sementara itu, pengamal perubatan alternatif, Dr. Getrude Kow berkata, wanita yang mengalami tanda-tanda menopaus atau telah menopaus dicadangkan mengambil Remifemin.

Remifemin diperbuat daripada pati herba yang dikenali sebagai Cimicifugae Racemosa iaitu sejenis pepohon bunga kecil yang dijumpai di Amerika Utara.

``Ujian klinikal menunjukkan bahawa Remifemin memberi kelegaan untuk gejala menopaus tanpa kesan sampingan dan keberkesanannya sama dengan rawatan estrogen,'' katanya.

Sekiranya ada kesan sampingan, pengguna Remifemin mungkin akan berhadapan dengan ketidakselesaan pada perut mereka tetapi ia hanya dirasai di peringkat awal penggunaannya.

Wanita yang berhasrat menggunakan Remifemin dinasihatkan supaya mendapatkan pandangan daripada doktor terlebih dahulu.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Merawat Gejala Menopaus Melalui Terapi Penggantian Hormon

Menopaus atau putus haid merupakan salah satu peringkat yang akan ditempuhi oleh setiap wanita. Secara puratanya wanita di negara kita mengalami menopaus pada usia 49.5 tahun tetapi tidak semua wanita mengalaminya pada usia yang sama. Kebanyakan wanita akan mengalami perubahan fizikal dan emosi yang kurang menyenangkan pada peringkat ini.

Tinjauan kaji selidik serantau baru-baru ini mendapati bahawa sehingga 68 peratus daripada pengamal perubatan am (GP) Australia percaya bahwa wanita menopaus yang menerima rawatan daripada mereka adalah prahipertensi (terlalu sensitif terhadap ubat atau bahan kimia tertentu).

Prahipertensi dikaitkan dengan faktor-faktor risiko metabolisme dan penyakit kardiovaskular awal, yang merupakan pembunuh nombor satu di kalangan wanita Malaysia. Usaha menurunkan tekanan darah boleh mengurangkan risiko penyakit jantung. Manakala tekanan darah pesakit jantung mungkin perlu diturunkan ke paras bawah tahap yang disyorkan sekarang.

Kongres Malaysia ke-6 mengenai Menopaus- Terapi Penggantian Hormon (HRT) anjuran Persatuan Menopaus Malaysia (MMS) pada 6 hingga 8 April lalu, betujuan membincangkan bagaimana menangani isu-isu yang membabitkan wanita menopaus, termasuk tekanan darah tinggi.

Hasil perbincangan pada kongres tersebut, HRT secara oral dan berterusan akan memberikan kelegaan yang cepat dan berkesan untuk menangani gejala-gejala menopaus dan melindungi daripada osteoporosis.

Progestin drospirenone yang terkandung dalam HRT boleh memberi manfaat tambahan yang penting, khususnya untuk mencegah kenaikan berat badan yang dikaitkan dengan estrogen dan menurunkan tekanan darah di kalangan wanita menopaus yang mengalami hipertensi.

Hakikatnya, kira-kira 80 peratus daripada wanita menopaus akan mengalami gejala seperti panas, berpeluh malam dan palpitasi (gejala vasomotor).

Ramai juga wanita mengalami gejala psikologi seperti insomnia, kekuranan tenaga atau daya, kehilangan nafsu (seks), kebimbangan dan kerengsaan.

Ada juga wanita mengalami keadaan yang lebih serius seperti tekanan darah tinggi, sakit sendi, sakit belakang, mudah panas baran dan osteoporosis amat membimbangkan pakar-pakar ginekologi yang merawat wanita menopaus.

Wanita Malaysia juga pastinya lega apabila HRT dengan drospirenone dos rendah yang pertama di dunia telah diluluskan, bagi merawat gejala menopaus dan meningkatkan kualiti hidup mereka.

Menurut Klinik Penyelidikan Menopaus, Jabatan Obstetriks dan Ginekologi, Hospital Universiti Santa Chiara, Pisa, Itali, Prof. Dr. Marco Gambacciani, kehilangan estrogen dalam fasa hidup wanita menopaus adalah punca gejala mental dan fizikal yang bukan sahaja boleh membimbangkan dan sukar ditanggung, bahkan boleh mengganggu aktiviti harian dan seterusnya memberi kesan negatif ke atas kualiti hidup serta harga diri.

“Kehilangan semakin banyak jisim tulang (osteoporosis) juga boleh menyebabkan keretakan pergelangan tangan, pinggul dan tulang belakang.

“Beberapa kajian juga menunjukkan bahawa wanita yang sudah menopaus menghadapi risiko penyakit kardiovaskular (CV) yang jauh lebih tinggi daripada wanita belum menopaus,” katanya pada majlis pelancaran produk HRT , Angeliq keluaran Bayer Schering Pharma, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Angeliq yang mengandungi progestin drospirenone berperanan merawat gejala menopaus sederhana hingga teruk dan kini telah pun berada di pasaran.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Pengurus Negara, Bayer Schering Pharma Malaysia, Ashraf Al-Ouf.

Dr. Gambacciani, yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Menopaus Antarabangsa, memberitahu, adalah penting bagi wanita menyedari faktor-faktor risiko kesihatan lain seperti tekanan darah tinggi yang berkaitan tentang pengurusan menopaus.

Selain itu, wanita dan pengamal perubatan mereka perlu menimbangkan perspektif gaya hidup dan langkah-langkah kesihatan am dalam pengurusan menopaus kerana kita mungkin melihat lebih ramai wanita menopaus di rantau Asia Pasifik diserang penyakit jantung dan osteoporosis.

“Lebih membimbangkan lagi, bilangan wanita pada peringkat tua di Asia dijangka melambung daripada 107 juta kepada 373 juta menjelang tahun 2025.

“Terapi hormon dengan satu miligram Estradiol dan dua miligram Drospirenone (DRSP) menawarkan manfaat tambahan selain kelegaan yang cepat daripada gejala menopaus.

“Progestogen DRSP boleh membantu menurunkan tekanan darah di kalangan wanita menopaus,” jelasnya.

Dr. Gambacciani berkata, ujian klinikal yang telah dilakukan ke atas HRT yang mengandungi DRSP telah mengesahkan keselamatan dan keberkesanan serta kadar penerimaan yang tinggi.

“Kami gembira mendapati kadar pemberhentian pengambilan disebabkan kesan sampingan adalah rendah,” katanya yang menjalankan kajian terhadap kesan HRT selama beberapa tahun yang lalu.

Menurutnya, terapi ini sudah pun diterima dengan baik oleh wanita di Eropah dan dilancarkan di Amerika Syarikat pada tahun lalu.

Kelulusan HRT pertama di dunia dengan progestin drospirenone dos rendah di Malaysia memberi pilihan rawatan baru kepada wanita menopaus dan pakar penjagaan kesihatan profesional di negara ini.

Malah, progestin drospirenone juga terdapat dalam pil cegah hamil jenama nombor satu di Amerika Syarikat dan seluruh dunia.

“Semakin ramai wanita 50 tahun ke atas yang mengalami gejala menopaus sedang mencari cara untuk merawatnya. Kami gembira kerana dapat menyediakan kaedah HRT baru untuk disesuaikan dengan keperluan individu,” katanya.

Untuk meningkatkan kesedaran para doktor terhadap pentingnya kenaikan BP semasa diagnosis dan rawatan pesakit yang mengalami gejala menopaus, Dekan Fakulti Sains Perubatan dan Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia dan Presiden Persatuan Menopaus Malaysia, Prof. Dr. Nik Mohd Nasri Ismail, turut menjalankan kajian yang dibuat di Asia Pasifik.

Bayer Asia Tenggara telah menugaskan agensi penyelidikan bebas pihak ketiga supaya menjalankan tinjauan kaji selidik antara bulan Disember 2006 dan Januari 2007.

Tinjauan ini melibatkan 300 ahli ginekologi dan 80 pengamal perubatan am di Australia, Korea Selatan, Taiwan dan Thailand.

Secara purata, doktor yang menyertai tinjauan kaji selidik mendapati bahawa lebih separuh daripada pesakit menopaus mereka mempunyai tekanan darah tinggi prahipertensif (130 hingga 139 milimeterHg).

Dr. Nik Nasri berkata, ia menunjukkan bahawa risiko hipertensi atau kenaikan tekanan darah adalah amat tinggi apabila wanita mengalami menopaus dan masalah ini perlu ditangani oleh pakar penjagaan kesihatan.

Kajian yang sama mendapati bahawa 91 peratus ahli ginekologi mempunyai pandangan positif terhadap produk HRT yang memberikan manfaat tambahan, khususnya dalam membantu pengurusan tekanan darah tinggi.

“Kira-kira tujuh daripada sepuluh (73 peratus) ahli ginekologi menyifatkan HRT yang memberi positif ke atas tekanan darah tinggi, sebagai kemajuan penting dalam rawatan atau memberi beberapa kelebihan berbanding HRT lain yang sedia ada,” jelasnya.

HRT dengan progestin drospirenone yang inovatif telah diluluskan di lebih 65 negara di seluruh dunia, termasuk Hong Kong, Indonesia, Filipina, Thailand dan Australia.

Terapi ini diluluskan di Malysia untuk rawatan gejala menopaus pada November 2006.

Gejala Menopaus

*Perubahan emosi (rasa cepat marah, fikiran yang bercelaru dan tidak menentu, tidak dapat menumpukan perhatian dan kemurungan)

*Keinginan seks yang menurun, kekeringan faraj, kekeringan kulit dan lemah daya ingatan.

Rawatan

*Penting untuk mengawal penurunan hormon estrogen. Selain herba, ia boleh dikawal dengan pengambilan suplemen, pengamalan pemakanan dan gaya hidup yang sihat.

*Dong Quai merupakan sejenis herba tradisional popular untuk membentuk semula rahim dan meningkatkan pengaliran darah.

*Isoflavon yang terkandung dalam red clover dapat menurunkan paras kolesterol, melindungi kekenyalan saluran darah dan memperbaiki kesihatan jantung.

*Pengambilan sage dapat melegakan peluh berlebihan.

*Pengambilan soya membantu mengatasi rasa panas baran dan penyakit jantung.

*Pengambilan vitamin seperti vitamin B, C,A dan E sebagai makanan tambahan harian turut mengurangkan ketidakselesaan menopaus.

*Suplemen harian membantu menangani masalah kekeringan faraj semasa menopaus.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Herba Penawar Menopaus

Hai, hai menopaus, bye, bye datang bulan! Begitulah kalau boleh digambarkan kelegaan kebanyakan insan Hawa tatkala memasuki alam menopaus.

Mereka tidak perlu bimbang lagi soal kehamilan yang tidak dirancang tetapi mengalu-alukan satu fasa kehidupan yang serba baru.

Malah, seorang warga Amerika Syarikat yang juga Pengarah Pusat Richard & Hinda Rosenthal bagi Perubatan Komplimentari dan Alternatif, Kolej Kedoktoran dan Pakar Bedah, Kolej Universiti Colombia, Prof. Fredi Kronenberg mengakui, ``Di tempat saya, tiada seorang pun yang tidak obses untuk memasuki era menopaus.''

Namun, bagi sesetengah yang lainnya pula, perubahan yang berlaku ke atas tubuh badan wanita berikutan peralihan daripada tahun-tahun subur kepada tidak boleh melahirkan zuriat lagi, memberikan perubahan secara mendadak ke atas fizikal dan emosi mereka.

Sama ada anda terdiri daripada wanita yang berasa gembira, tertekan atau berada di persimpangan, namun, sampai masanya anda tetap akan mencari-cari `penawar' bagi melegakan gejala-gejala menopaus.

Memasuki fasa tersebut, wanita mungkin mengalami gangguan tidur/insomnia, kemurungan, rasa kaku pada bahagian sendi, kembung, pening kepala, tidak bermaya, kekeringan pada bahagian alat sulit, sakit buah dada dan hot flash - aspek menopaus yang paling tidak menyelesakan.

Hot flash yang klasik biasanya bermula dengan aura iaitu sensasi yang kabur pada bahagian muka dan tengkuk selama seminit dua, suhu badan meningkat, degupan jantung bertambah kencang, bertukar menjadi seperti tiupan gelombang panas, muka merah padam dan peluh yang basah lencun, biasanya disusuli dengan kedinginan.

Mengulas lanjut mengenai menopaus, Prof. Kronenberg berkata, sains moden mengaitkan simptom hot flash dengan penurunan kadar estrogen.

``Berdekad-dekad yang lalu, perubatan konvensional digunakan untuk merawat hot flash dan lain-lain gejala menopaus, pada mulanya dengan terapi penggantian estrogen sebelum bertukar kepada terapi penggantian hormon (HRT).

``Walaupun HRT baik untuk mencegah osteoporosis, bagaimanapun, kebanyakan wanita tidak mahu mengambil risiko kesan sampingan yang dikaitkan dengan kedua-dua rawatan ini seperti kanser buah dada,'' ujarnya.

Beliau berada di Kuala Lumpur baru-baru ini sebagai persiapan awal sempena Persidangan Antarabangsa Pertama bagi Kesihatan Wanita dan Perubatan Tradisi Asia (What Medicine) selama tiga hari, bermula lusa.

Prof. Kronenberg diberikan amanah sebagai pengerusi bersama majlis untuk bertemu para saintis dan pakar yang turut serta selain orang awam, dalam kedua-dua sesi khas dan komuniti sepanjang persidangan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu.

Malaysia terpilih sebagai tuan rumah kepada persidangan dan pameran antarabangsa yang pertama seumpamanya di dunia, bakal menyentuh mengenai peranan perubatan tradisional yang sememangnya sinonim dengan penjagaan kesihatan wanita.

Menurutnya, dengan wujudnya kesangsian terhadap rawatan berasaskan hormon ini, kaum wanita mulai menerokai terapi alternatif seperti herba bagi merawat gejala menopaus mereka.

Tidak kurang juga yang berubah angin untuk mencuba pendekatan rawatan tanpa sintetik selain herba seperti akupunktur, yoga, latihan pernafasan, relaksasi dan lain-lain, sekalipun lebih banyak kajian diperlukan bagi membuktikan keberkesanannya.

``Herba seperti black cohosh, ginseng, red clover, dong quai, evening primrose dan akar likuaris digunakan secara meluas untuk merawat masalah wanita sejak berzaman lamanya.

``Sebahagiannya telah melalui kajian mendalam namun black cohosh merupakan botanikal yang telah banyak melalui penyelidikan,'' katanya sambil menambah, ia mengandungi sebatian seperti estrogen telah menunjukkan hasil memberangsangkan dalam melegakan gejala menopaus.

Mengikut sejarah, black cohosh atau nama saintifiknya Cimicifuga racemosa merupakan tumbuhan liar di hutan Amerika Utara. Ia telah digunakan oleh kaum wanita aslinya untuk membantu mengurangkan masalah perbidanan, sejak berabad lamanya.

``Para saintis percaya, ia kaya dengan sumber estrogen tumbuhan semula jadi yang dikenali sebagai phytoestrogen, iaitu bentuk estrogen yang lebih lemah berbanding yang dihasilkan oleh badan manusia.

``Penyelidikan turut mendapati, black cohosh tidak mempunyai kandungan yang boleh merangsang pertumbuhan sel-sel kanser buah dada,'' kata Prof. Kronenberg.

Walaupun sudah lama diamalkan, tidak banyak yang diketahui mengenai rawatan berasaskan herba - mekanisma tindakan/bagaimana ia berfungsi, cara pengambilan, kesesuaiannya dengan gejala tertentu dan lebih penting lagi, dari segi kemungkinan interaksi negatif di antara ubat-ubatan lain yang diambil.

Justeru, ujian klinikal perubatan herba perlu diteruskan bagi memastikan tahap keselamatannya yang terjamin. Masalahnya, tidak seperti ubat-ubatan moden yang perlu diluluskan terlebih dahulu oleh kerajaan sebelum dipasarkan, terapi alternatif lazimnya terbalik - dipasarkan sebelum diberi lampu hijau.

Tambahnya, kecenderungan wanita mendapatkan terapi semula jadi menopaus bukan hanya didorong oleh segala keributan yang dikaitkan dengan terapi penggantian.

``Tetapi kerana mereka menganggap menopaus sebagai sebahagian daripada peralihan alami yang tidak memerlukan bantuan ubat-ubatan berupa dadah,'' katanya.

Sementara itu, Pengarah Malaysian Herbal Corporation selaku penganjur bersama persidangan itu, Dr. Rajen M berkata, satu per lapan daripada herba dunia tumbuh melata di negara ini.

``Tiada negara lain yang setanding dari segi kepelbagaian memandangkan kita merupakan tapak kepada tiga tradisi penjagaan kesihatan utama di Asia iaitu Melayu, Cina dan India.''

Prof. Gerard Bodeker dari Sekolah Perubatan Universiti Oxford, United Kingdom pula menyifatkan amalan remedi herba dan semula jadi yang telah memberi sumbangan besar kepada kesejahteraan manusia sejak turun-temurun merupakan satu khazanah yang wajar dihargai dan perlu diwariskan kepada generasi seterusnya.

``Kami di Barat boleh dikatakan tidak hairan lagi dengan perubatan moden sebaliknya kami menghargai apa yang anda ada di Timur.

``Sebaliknya, anda semua seperti begitu teruja dengan dadah preskripsi moden kami, yang walaupun bertindak pantas tetapi tiada jaminan 100 peratus dari segi kesan jangka panjangnya, jika diambil secara berterusan,'' aku Prof. Kronenberg jujur, sebelum mengakhiri pertemuan.

Berdasarkan Jurnal Perniagaan Nutrisi, rakyat AS beberapa tahun lalu membelanjakan AS$4 bilion untuk remedi herba setahun, sekali ganda berbanding tahun 1994 - bukti bahawa rakyat Barat semakin meminati alternatif semula jadi dalam penjagaan kesihatan mereka. Jualan black cohosh sahaja telah melonjak dari AS$11 juta pada tahun 1998 kepada AS$34 juta, dalam masa setahun.

Di Eropah, black cohosh mulai popular sejak lebih enam dekad lalu dalam mengurangkan gejala hot flash dan berpeluh malam, selain membantu memperbaiki kualiti tidur dan mood wanita menopaus.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Menopaus Hargai Fasa Emas

Memang ramai wanita yang takut kepadanya. Tidak kurang yang beranggapan, ia adalah `zaman gelap' dalam meniti fasa kehidupan sebagai seorang wanita. Mahu atau tidak, jika dipanjangkan usia, tiada wanita yang dapat menolak kehadirannya.

Menopaus atau terhentinya kitaran haid merupakan satu fasa semula jadi apabila wanita menjengah usia lingkungan 50 tahun ke atas. Seseorang wanita dikategorikan menopaus apabila dia tidak lagi mengalami kitaran haid dalam tempoh 12 bulan berturut-turut. Namun, menopaus tidak berlaku secara tiba-tiba. Ia adalah satu proses yang berlaku secara perlahan-lahan sehingga ia sampai ke noktahnya.

Pada peringkat ini, penghasilan hormon seksual seperti estrogen dan progesteron daripada kilang telur atau ovari akan berkurangan dan lama-kelamaan terus terhenti. Dengan erti kata lain, apabila melangkaui menopaus wanita akan berehat daripada `tugas hakiki' mereka daripada mengalami kitaran haid dan proses kehamilan.

Presiden Persatuan Menopaus Malaysia, Profesor Dr. Nik Nasri Nik Ismail memberitahu, purata usia wanita di negara ini mencapai menopaus ialah 51 tahun. Fakta yang harus diterima oleh setiap wanita ialah kekurangan hormon estrogen dan progesteron akan memberi banyak perubahan dalam diri mereka seperti gangguan pada emosi dan fizikal.

Antaranya, rasa panas, berpeluh-peluh, mudah tersinggung, kemurungan, menangis tanpa sebab dan sebagainya. ``Kekeringan pada faraj yang dialami akibat menopaus mengakibatkan kehidupan seksual terjejas sekali gus rumah tangga mereka goyah.

``Pada jangka masa panjang kemungkinan mereka berisiko menghidap osteoporosis atau kerapuhan tulang, penyakit jantung, kulit berkedut dan keguguran rambut. Selain itu organ seksual seperti buah dada juga semakin mengecut,'' jelasnya.

Gejala yang dialami oleh wanita boleh bermula pada fasa perimenopaus. Fasa ini berlangsung antara empat hingga lima tahun sebelum seseorang wanita menopaus.

``Gejala boleh dialami sebelum menopaus dan apabila haid terhenti ada kebarangkalian gejala tersebut berterusan,'' katanya.

Malangnya, gejala-gejala ini mengambil masa yang tertentu sebelum ia terhenti. Mereka yang tidak mendapatkan bantuan untuk mengatasi gejala ini terpaksa menanggungnya dalam tempoh beberapa lama. ``Sesetengah wanita hanya mengalami gejala ini dalam tempoh antara satu hingga dua tahun, sebahagiannya pula terpaksa menderita sehingga mencecah usia 60 tahun. Ia bergantung kepada individu,'' kata Prof. Dr. Nik Nasri.

Persoalannya adakah setiap wanita yang melangkah ke fasa ini pasti berdepan dengan gejala menopaus?

Jelas Nik Nasri: ``Ia juga bergantung kepada individu. Ada sesetengah wanita langsung tidak mengalami sebarang gejala, tetapi ada sebahagian yang lain sehingga ingin membunuh diri.''

Wanita tidak seharusnya menyeksa diri meneruskan kehidupan dengan gejala-gejala menopaus yang menyesakkan. Ada banyak cara yang boleh dilakukan untuk mencegah gejala-gejala menopaus bagi memastikan kehidupan selepas menopaus lebih bermakna.

Umumnya pengamal perubatan akan menyarankan rawatan Terapi Gantian Hormon (TGH). TGH bukan saja dapat melegakan wanita daripada gejala menopaus, malah boleh mencegah masalah osteoporosis. Selain berfungsi untuk mengatasi gejala menopaus, TGH juga mempunyai kelebihan lain seperti mencegah osteoporosis, merendahkan risiko kanser kolon dan menstabilkan paras kolesterol.

Menurut beliau, kurang lima peratus wanita yang menghadapi masalah jantung sebelum menopaus. Tetapi, peratus ini meningkat sehingga 35 peratus selepas wanita menopaus. Namun, bukan semua wanita sesuai dengan terapi ini lebih-lebih lagi kepada mereka yang mempunyai kontraindikasi seperti risiko menghidap kanser buah dada, penyakit jantung dan sebagainya.

Sebagai alternatif, terapi herba Remifemin dipercayai dapat membantu melegakan gejala menopaus. Menjelang tahun 2030, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 1.2 bilion wanita akan mencapai usia 50 tahun atau lebih. Bilangan wanita dalam usia lingkungan ini meningkat sebanyak tiga kali ganda dijangka akan terus hidup dalam masa beberapa dekad selepas menopaus.

Bagaimanapun, jangka hayat yang panjang ini juga menyumbangkan kepada peningkatan masalah kesihatan yang dramatik akibat kehilangan hormon estrogen.

Sebagai menghargai wanita yang memasuki fasa ini, tarikh 18 Oktober dipilih untuk meraikan sambutan Hari Menopaus Sedunia. Persatuan Menopaus Antarabangsa (IMS) menggesa masyarakat untuk mengambil langkah-langkah aktif untuk mendidik wanita berhubung implikasi menopaus terhadap kesihatan mereka.

Berdasarkan tinjauan beliau di Kuala Lumpur pada 1991, seorang dalam 400 wanita atau 80 peratus wanita menyatakan mereka tidak menghadapi sebarang masalah ketika menghampiri menopaus. Malah, mereka juga tidak menyedari tentang rasa panas yang dialami.

Baki sebanyak 20 peratus mengakui mereka mengalami rasa panas dan mereka berjumpa doktor. Bagaimanapun, sebahagian besar wanita tidak mempedulikan gejala yang dialami.

Pada masa ini dianggarkan sebanyak 20 hingga 25 peratus wanita di Malaysia terdiri daripada mereka yang berusia 50 tahun ke atas. Menjelang tahun 2020, populasi ini akan meningkat sehingga 50 peratus. Peningkatan ini sudah dijangka kerana jangka hayat wanita yang lebih panjang. Di Malaysia pada 1957, jangka hayat wanita ialah 57 tahun, tetapi pada hari ini ia mencecah sehingga 75.4. Ini bermakna satu per tiga daripada kehidupan wanita berada dalam fasa menopaus,'' kata Nik Nasri.

Selain terapi, wanita juga perlu bijak menyesuaikan gaya hidup apabila menopaus. ``Mereka boleh melakukan senaman, mengawal pemakanan, berhenti merokok, berfikiran positif dan paling penting sokongan daripada ahli keluarga.

``Keluarga lebih-lebih lagi suami seharusnya memahami situasi bahawa isteri anda sedang menempuhi satu fasa perubahan. Isteri anda memerlukan sokongan dan kepastian bahawa mereka tidak akan diabaikan,'' jelas beliau.

Beliau yang juga Dekan Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) menjelaskan, sokongan keluarga cukup penting dalam tempoh lima tahun pertama selepas seseorang wanita melangkaui fasa ini.

Bagaimanapun, oleh kerana ramai yang beranggapan menopaus sesuatu yang semula jadi, ada yang beranggapan mereka tidak perlu melakukan apa-apa.

``Tetapi, kebanyakan mereka memilih untuk menderita dalam diam. Lebih menyedihkan, apabila ada suami yang menganggap menopaus hanyalah masalah wanita, sedangkan ia menuntut persefahaman pasangan,'' ujar beliau.

Sesetengah wanita mendakwa kehidupan mereka jauh lebih baik selepas mengambil TGH.

Perlukah seseorang wanita mengambil TGH sekalipun mereka tidak menghadapi sebarang gejala menopaus?

Jelas Nik Nasri, ``Tidak mengapa jika mereka tidak mengambilnya, tetapi untuk jangka masa panjang mungkin kesihatan tulangnya akan terjejas, menghadapi masalah kekeringan kulit dan faraj. Begitu juga kepada mereka yang ingin mengkolaborasi antara terapi hormon dan herba, sebaiknya mereka perlu mendapatkan nasihat doktor.''

Tambahnya, TGH bukanlah sesuatu yang wajib kepada setiap wanita. Tetapi, ia adalah pilihan yang harus diuar-uarkan kepada semua wanita menopaus.

``Sama ada mereka hendak mengambilnya atau tidak ia terpulang kepada masing-masing,'' ujar Nik Nasri.

* Fakta menopaus

* Ribuan wanita menopaus setiap hari

* Dianggarkan 75 peratus wanita yang menopaus mengalami rasa panas secara tiba-tiba, sedikit peningkatan pada suhu badan. Rasa panas yang dialami pada waktu malam mengakibatkan individu terbabit tidak boleh tidur malam dan insomnia. Daripada jumlah ini, 30 peratus wanita yang mengalami gejala ini pada tahap yang teruk

* Tabiat merokok dikaitkan dengan menopaus awal

* Menopaus juga mempunyai kesan positif kepada kesihatan fizikal dan mental. Misalnya, jika anda menghidap sakit kepala migrain atau endometriosis, gejala-gejalanya akan hilang selepas menopaus. Selain itu, fibroid juga mengecut

* Apabila menopaus, wanita biasanya akan mengalami rasa panas, yang disusuli dengan berpeluh-peluh. Ketika rasa panas ini, degupan jantung semakin laju dan suhu badan meningkat

* Penurunan hormon estrogen mengakibatkan pengecutan dan kekeringan faraj. Ini mengakibatkan rasa sakit ketika melakukan hubungan seks

* Dua dalam keseluruhan wanita yang berusia 50 tahun mengalami kepatahan tulang akibat osteoporosis

* Tinjauan terbaru mendedahkan lebih separuh daripada wanita tidak mengetahui bahawa menopaus meningkatkan risiko penyakit jantung.

* Remifemin alternatif TGH

Remifemin merupakan salah satu penawar berasaskan herba yang dipercayai cukup berkesan untuk merawat gejala menopaus.

Secara klinikalnya, ia terbukti selamat dan berkesan. Ia diperoleh daripada ekstrak Cimicifuga racemosa atau juga dikenali sebagai black cohosh.

Bahan aktif yang mempunyai nilai-nilai perubatan terdapat di dalam ubi tumbuhan ini. Black cohosh juga dikenali dengan pelbagai nama sebagai black snakeroot, bugbane, bugwort, rattleroot, rattletop, rattlewed dan sebagainya. Tumbuhan yang berupa sejenis pepohon berbunga kecil ini ditemui di Amerika Utara.

Sejak dulu lagi, masyarakat India Amerika Utara dan koloni telah menggunakan black cohosh untuk pelbagai jenis penyakit. Tumbuhan ini telah lama dikenal pasti sebagai rawatan herba yang berkesan.

Ini termasuklah rawatan akibat patukan ular, memulihkan fungsi kitaran haid, selepas bersalin dan menopaus.

Ujian klinikal menunjukkan bahawa Remifemin memberi kelegaan untuk gejala menopaus tanpa kesan sampingan dan keberkesanannya sama dengan rawatan estrogen.

Remifemin julung kalinya diperkenalkan di Jerman pada 1956.

Ia merupakan bahan semula jadi dan penawar herba tanpa hormon. Dalam tempoh empat dekad sejak ia diperkenalkan, sebanyak 4,000 wanita terlibat dalam kajian berhubung menguji keberkesanan dan keselamatan penggunaannya.

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Jumaat, 16 Mei 2008

Vaksin Kanser Pangkal Rahim Kini di Malaysia

Kaum wanita di Malaysia kini sudah boleh mula mendapatkan vaksin mencegah kanser pangkal rahim/serviks, kanser pembunuh kedua yang paling digeruni kaum Hawa selepas kanser payudara.

Dikeluarkan oleh firma farmaseutikal terkemuka di dunia, Merck Sharp & Dohme (MSD), vaksin yang dikenali sebagai Gardasil itu telah pun berada di pasaran tempatan setelah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Malaysia pada Oktober lalu.

Vaksin Rekombinan Human Papillomavirus (HPV) Kuadrivalen itu dihasilkan khususnya untuk mencegah kanser serviks, prakanser vagina/faraj dan prakanser vulva yang disebabkan oleh HPV jenis 16 dan 18.

Vaksin tersebut turut diluluskan untuk mencegah ketuat genital/alat kelamin dan lesi (zona tisu rosak) serviks gred rendah yang disebabkan oleh HPV jenis 6, 11, 16 dan 18.

‘‘HPV jenis 16 dan 18 merupakan punca bagi hampir 70 peratus kes kanser serviks, kanser vulva dan kanser faraj, dan merupakan punca bagi 50 peratus lesi.

‘‘Sementara itu, HPV 6 dan 11 menyebabkan kira-kira 90 peratus ketuat alat sulit. Empat jenis HPV ini menyebabkan kira-kira 35 hingga 50 peratus lesi gred rendah serviks, faraj dan vulva,’’ ujar Pengerusi Jawatankuasa Kecil Onkologi Ginekologi, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM), Dr. Suresh Kumarasamy.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran media, Gardasil di ibu negara, baru-baru ini. Hadir sama Presiden OGSM, Dr. Abdul Aziz Yahya.

Dr. Suresh yang menyifatkan Gardasil sebagai suatu kejayaan besar dalam bidang kesihatan berkata, penggunaan vaksin ini diluluskan bagi gadis dan wanita yang berusia antara 9 hingga 26 tahun.

Tambahnya: ‘‘Vaksin diberikan menerusi tiga dos suntikan dengan selang dua bulan antara dos pertama dengan kedua, dan selang empat bulan antara dos kedua dengan ketiga.

‘‘Pemvaksinan ini tidak akan melindungi pesakit daripada jenis HPV yang tidak terangkum dalam vaksin ini. Vaksin ini tidak dimaksudkan sebagai rawatan bagi ketuat alat kelamin yang aktif, kanser serviks atau neoplasia intraepitelium vulva dan faraj.’’

Sementara itu, Dr. Abdul Aziz memberitahu, kanser serviks adalah jenis kanser yang kedua paling lazim dihidapi wanita di seluruh dunia dan juga di Malaysia.

Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir 500,000 kejadian baru kanser serviks dan 274,000 kematian akibat penyakit ini dilaporkan pada tahun 2002.

Pada tahun 2003, Daftar Kanser kebangsaan melaporkan bahawa kadar kasar kejadian kanser serviks di Malaysia ialah 16.5 wanita dalam setiap 100,000 penduduk. Penyakit ini mencakupi 12.9 peratus kanser yang dihidapi wanita.

‘‘Ini bermakna lebih 1,300 wanita didiagnosis menghidapi kanser serviks dan lebih 750 wanita mati akibat penyakit ini setiap hari.

‘‘Wanita perlu bersikap proaktif dalam usaha mengambil langkah untuk melindungi diri mereka daripada penyakit ini,’’ kata beliau.

Dr. Abdul Aziz mengulas lanjut, perubahan prakanser dan kanser awal serviks pada amnya tidak menyebabkan kesakitan atau gejala lain. Pemeriksaan Pap Smear adalah penting untuk membantu mengesan perubahan ini di dalam serviks.

‘‘Selain pemvaksinan, wanita di Malaysia harus terus menjalani pemeriksaan Pap Smear dengan tetap sebagai sebahagian daripada langkah standard penjagaan sistem pembiakan,” sarannya.

Vaksin kanser serviks MSD telah diluluskan untuk digunakan di lebih 40 negara, dan kegunaan tambahan vaksin ini sedang dikaji oleh agensi kawal atur di kira-kira 50 negara seluruh dunia.

Ujian klinikal

Lebih 27,000 lelaki dan wanita di 33 negara seluruh dunia telah menyertai percubaan klinikal bagi vaksin ini. Dalam analisis asas tergabung bagi kajian-kajian ini, bagi wanita yang belum terdedah kepada jenis HPV yang berkenaan, vaksin ini mencegah:

* 100 peratus prakanser serviks dan kanser serviks tidak invasif yang disebabkan oleh HPV jenis 16 dan 18

* 100 peratus prakanser vulva dan prakanser faraj yang disebabkan oleh HPV jenis 16 dan 18

* 95 peratus displasia serviks gred rendah dan prakanser yang disebabkan oleh HPV jenis 6,11, 16 dan 18

* 99 peratus lesi alat sulit luar yang merangkumi ketuat alat kelamin luar, kanser vulva dan kanser faraj yang disebabkan oleh HPV jenis 6,11,16 dan 18

* Keadaan peserta kajian diikuti sehingga empat tahun selepas penyertaan.

Di manakah Gardasil boleh didapati?

Vaksin kanser serviks MSD boleh didapati dari klinik obstetrik dan ginekologi, klinik pediatrik, klinik amalan am dan hospital swasta pada harga daripada RM450 bagi satu dos, bergantung pada tahap penjagaan masing-masing dan bayaran pentadbiran yang dikenakan oleh setiap pusat perubatan.

KANSER PANGKAL RAHIM/SERVIKS

Apa itu Kanser Serviks?

Kanser serviks berlaku di bahagian rahim/uterus berbentuk kon yang menyambungkan bahagian atas rahim dengan faraj.

Ia terjadi apabila sel-sel abnormal di dalam lapisan serviks mula membiak secara tidak terkawal sebagai tindak balas terhadap jangkitan HPV. Sel-sel serviks yang abnormal boleh berkumpul untuk membentuk gumpalan/tumor.

Tumor benigna/tidak berkanser tidak merebak dan biasanya tidak memudaratkan. Tumor malignan/berkanser pula merebak dari puncanya dan membesar sehingga menjadi kanser yang mengancam nyawa.

Punca-Punca


Hampir kesemua kejadian kanser serviks disebabkan oleh sejenis human papillomavirus (HPV) 6 iaitu virus biasa yang menjangkiti kira-kira separuh manusia pada suatu ketika dalam hidup mereka. Lebih dua pertiga kes kanser serviks disebabkan oleh HPV berisiko tinggi jenis 16 dan 18.

Siapakah Yang Berisiko?

Kanser serviks selalunya berlaku pada wanita dalam usia 40-an dan 50-an, ketika ramai di antara mereka membesarkan anak-anak dan menyumbang pendapatan keluarga.

Diagnosis

Pap Smear atau lumuran Pap adalah suatu ujian saringan ringkas yang biasanya dilakukan di pejabat doktor atau klinik, untuk mengesan sel-sel serviks yang abnormal atau berkanser.

Oleh sebab Pap Smear boleh mengesan perubahan serviks sebelum ia berkembang menjadi kanser, ujian ini berjaya mengurangkan kematian akibat kanser serviks dengan banyaknya sejak ia mula digunakan secara meluas pada dekad 1950-an.

Antara tahun 1950 hingga tahun 1970, bilangan kematian akibat kanser serviks di Amerika Syarikat berkurangan sebanyak 70 peratus.

Walau bagaimanapun, seperti ujian perubatan yang lain, Pap Smear tidak sempurna. Ada kalanya, ia tidak menemui keabnormalan serviks yang memang wujud.

Namun pemeriksaan yang kerap dapat membantu wanita dan penyedia penjagaan kesihatan mereka untuk mengatasi pemeriksaan yang memberikan hasil negatif yang palsu ini.

Gejala-Gejala


Perubahan prakanser dan peringkat awal kanser serviks biasanya tidak menyebabkan rasa sakit mahupun menampakkan gejala-gejala lain.

Oleh itu, adalah penting untuk menjalani pemeriksaan Pap Smear dengan kerap bagi mengesan prakanser serviks atau kanser pada peringkat yang boleh dirawat dengan paling berkesan.

Apabila penyakit ini berkembang, wanita mungkin memerhatikan salah satu atau beberapa gejala berikut:

* Pendarahan faraj abnormal

* Pendarahan antara haid

* Pendarahan selepas bersetubuh, menggunakan dus/pancutan atau pemeriksaan pelvis

* Haid yang lebih lama dan lebih banyak daripada selalu

* Pendarahan selepas menopaus/putus haid

* Lelehan yang lebih banyak dari faraj

* Rasa sakit pada pelvis

* Rasa sakit semasa bersetubuh.

Pencegahan

Kanser serviks biasanya boleh dicegah sekiranya wanita melakukan pemeriksaan Pap Smear secara berkala/kerap.

HUMAN PAPILLOMAVIRUS/HPV

Apa itu HPV?

HPV adalah sejenis virus yang biasa. Ada lebih 100 jenis HPV, yang kebanyakannya tidak berapa berbahaya, tidak menampakkan apa-apa gejala dan akan hilang dengan sendirinya. Antara kesemua ini, kira-kira 30 jenis menjangkiti bahagian alat sulit lelaki dan wanita.

Siapakah Yang Dijangkiti?

Kira-kira 630 juta orang dijangkiti HPV di seluruh dunia. Sekurang-kurangnya separuh daripada kalangan lelaki dan wanita yang aktif seks akan mendapat jangkitan HPV alat sulit pada suatu ketika dalam hidup mereka.

Kira-kira 80 peratus wanita akan terjangkit menjelang usia 50 tahun. Jangkitan HPV paling lazim berlaku di kalangan pemuda-pemudi yang berusia antara 18 hingga 28 tahun.

Kebanyakan jangkitan HPV tidak menampakkan tanda atau gejala, dan virus ini boleh disebarkan walaupun tiada gejala seperti ketuat atau tanda-tanda lain yang boleh dilihat, yang timbul.

Kesan yang ditinggalkan oleh jangkitan HPV

Kebanyakan jangkitan HPV hilang dengan sendirinya dalam masa 24 bulan pertama melalui gerak balas semula jadi keimunan badan.

Jangkitan oleh jenis HPV yang berisiko tinggi iaitu jenis 16, 18, 31 dan 45, jika berlarutan, antara lainnya boleh mengakibatkan kanser serviks dan kanser lain pada kemaluan. HPV 16 dan 18 menyebabkan kira-kira 70 peratus kanser serviks.

Jenis HPV yang berisiko rendah pula boleh menyebabkan terbentuknya ketuat alat kelamin, iaitu ketumbuhan bukan kanser seumpama daging yang muncul pada bahagian alat kelamin dan sekelilingnya. HPV jenis 6 dan 11 adalah punca bagi 90 peratus kes ketuat alat sulit.

Sekali sekala, jangkitan HPV jenis 6 dan 11 oleh si ibu boleh menyebabkan bayi mendapat papilomatosis pernafasan berulang – penyakit dengan lesi-lesi tidak berkanser di dalam saluran pernafasan, menjadikan suara serak, sukar bernafas.

Diagnosis

Bagi wanita yang berusia lebih 30 tahun, suatu ujian molekul yang baru dihasilkan dapat mengenal pasti jangkitan HPV dengan lebih pasti dan berguna khususnya bersama-sama hasil ujian Pap Smear yang mendedahkan keabnormalan kecil yang mungkin disebabkan oleh jangkitan HPV.

Rawatan

Buat masa ini, tiada ubat antivirus yang boleh merawat jangkitan HPV. Namun ada pelbagai rawatan bagi penyakit-penyakit yang berkaitan dengan jangkitan HPV.

Pencegahan

Lakukan hubungan saling monogami jangka panjang dengan pasangan yang tidak terjangkit atau dengan mengehadkan bilangan pasangan seks.

Jika betul penggunaannya, kondom boleh mengurangkan risiko jangkitan HPV. Ingatlah, bahawa HPV biasanya tidak menampakkan gejala atau tanda, jadi sukar untuk mengetahui sama ada seseorang itu terjangkit ataupun tidak.

Satu-satunya cara yang 100 peratus berkesan untuk mencegah jangkitan HPV adalah dengan mengelakkan sebarang sentuhan alat sulit secara seksual dengan seseorang yang mempunyai virus ini.

Bertanyalah penyedia penjagaan kesihatan anda tentang ujian pemeriksaan Pap Smear yang kerap serta berbincanglah mengenai hasilnya dengan mereka.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Gambaran Kos Rawatan Kanser Payudara

Kos ubat-ubatan dan prosedur pembedahan dalam merawat penyakit-penyakit tertentu menjadi antara satu alasan utama kenapa kebanyakan pesakit tidak dapat bertahan dengan satu-satu pelan rawatan.

Tidak dinafikan, rundingan doktor dan harga ubat yang tidak kurang mahalnya boleh menjadi bebanan bagi sesetengah orang terutamanya bagi mereka yang tidak dilindungi oleh insurans perubatan.

Kalau ada (insurans) sekalipun, rawatan kanser payudara misalnya, boleh menjadikan pesakit tambah stres apabila kita memperkatakan tentang bajetnya.

Apatah lagi mengambil kira hilang upaya untuk bekerja seperti sebelumnya. Ditambah pula dengan kos pengangkutan dan perjalanan bagi menjalani rawatan yang telah dijadualkan.

Itu semua boleh kita fahami. Pendek kata, tiada siapa yang sepatutnya tidak menerima apa-apa bentuk rawatan dan hanya berserah kepada takdir dan berpegang kepada falsafah ajal maut di tangan Tuhan – hanya kerana masalah kewangan.

Bagaimanapun, rayuan meminta derma dan bantuan dihulurkan bagi menanggung kos rawatan yang dibuat oleh individu tertentu menerusi media tanpa disedari telah memberikan impak yang negatif pada wajah sebenar sesuatu penyakit.

Sedangkan gambaran sebenarnya menjanjikan sesuatu yang jauh lebih positif dan tidak sepatutnya menakutkan orang ramai.

Sepanjang minggu ini, Mingguan Malaysia menerima beberapa panggilan telefon serta e-mel daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pakar perubatan serta jururawat di dalam bidang onkologi klinikal iaitu satu bidang yang menawarkan rawatan untuk pesakit kanser dewasa.

Pakar onkologi (kajian dan amalan bagi merawat tumor/ketumbuhan) terbabit di dalam e-melnya yang menyusul selepas perbualan telefon melahirkan kebimbangan beliau dengan trend ini.

‘‘Pertama sekali, niat utama saya membawakan isu ini adalah untuk mendidik masyarakat. Saya tidak mahu orang ramai keliru selepas membaca cerita-cerita tentang kos rawatan yang amatlah tersasar itu. Apatah lagi dalam keadaan rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu kita masih ramai yang tidak faham mengenainya.

‘‘Mereka takut untuk berjumpa doktor bagi pengesahan penyakit dan lebih rela berjumpa bomoh atau pengamal terapi alternatif lain untuk berubat. Apabila kanser telah melarat dan tenggelam punca untuk mendapatkan rawatan, barulah mereka berjumpa kami (doktor). Sudah tentu pada tahap ini penyakit sudah berada di tahap lewat dan sukar dirawat,’’ ujarnya yang hanya mahu dikenali sebagai Dr. Mas.

Menurutnya, jika media sering kali melaporkan tentang individu yang memerlukan hampir ratusan ribu ringgit untuk merawat kanser payudara, sudah tentu mereka yang berpendapatan rendah semakin takut untuk menjalani rawatan disebabkan oleh kosnya yang sangat tinggi.

Dr. Mas yang juga ahli Persatuan Onkologi Malaysia (MOS) menyifatkan, jumlah tersebut (bagi kemoterapi dan radioterapi) amat diragui memandangkan kos biasa di pusat-pusat perubatan swasta adalah jauh lebih rendah.

Malah, beliau turut menyenaraikan beberapa nama pakar lengkap dengan hospital masing-masing yang menawarkan rawatan kanser.

‘‘Apa lagi rawatan tersebut ada ditawarkan di hospital kerajaan pada harga yang sangat rendah memandangkan kos ubat yang termasuk di dalam protokol standard disubsidi sepenuhnya oleh kerajaan. Sebagai contoh, kos kemoterapi FEC/FAC untuk kanser payudara sebanyak enam kali di Hospital Kuala Lumpur (HKL) cuma RM360 (RM60 sekali kemoterapi).

‘‘Jika pesakit memilih untuk mengambil rejimen kemoterapi berlainan misalnya T-A-C atau A-T, mereka hanya perlu membeli sendiri ubat T itu - RM12,000 untuk enam kali (lebih kurang RM1,500 hingga RM2,000 sekali) manakala kos untuk ubat A dan C dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan,’’ kata Dr. Mas.

Mengulas lanjut, paling maksimum, rawatan radioterapi untuk kanser payudara adalah sebanyak 25 hingga 30 kali. Kebanyakan pesakit yang melakukan mastektomi (pembuangan payudara melalui pembedahan) secara puratanya cuma memerlukan 15 kali radioterapi sahaja.

Mematuhi

Jika di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), rawatan 25 kali radioterapi adalah lebih kurang RM1,500 hingga RM1,750 (RM50 sekali rawatan dan RM500 untuk caj peralatan dan perancangan radioterapi). Di HKL, keseluruhan rawatannya tidak lebih RM500.

‘‘Jika hospital swasta mengenakan bayaran RM200 sehari, kos keseluruhan bagi radioterapi sebanyak 25 kali cuma RM5,000 hingga RM6,000 sahaja.

‘‘Pakar-pakar onkologi kerajaan dan swasta di dalam negara sering bertemu, mematuhi garis panduan antarabangsa dalam pengurusan kanser. Tiada perbezaan dari segi teknik rawatan, ubat-ubat yang disyorkan dan sebagainya,’’ terang beliau.

Kesemua ubat atau rawatan yang telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan boleh diperoleh di mana-mana hospital cuma di hospital kerajaan, rawatan yang diberikan mestilah mengikut indikasi dan justifikasi penyakit kanser tersebut, tanpa mengira status sosial, warna kulit dan sebagainya.

Tujuan saya bukanlah hendak memburuk-burukkan sesiapa tetapi biarlah berpada-pada dalam semua tindak tanduk kita. Jangan kerana terlalu beria-ia untuk mendapat rawatan di pusat swasta yang berstatus tinggi dan lebih selesa tetapi dalam masa yang sama memberikan tanggapan yang salah kepada orang awam mengenai penyakit dan rawatan kanser payudara ini. Itu yang saya mahu elakkan,’’ tegas Dr. Mas.

Sementara itu, Pakar Bedah Am, ColumbiaAsia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan, Dr. Abd. Hamid Mat Sain yang banyak kali membedah pesakit kanser payudara ketika diajukan pertanyaan sama nyata terkejut dengan nilai tinggi yang dinyatakan.

Ini pertama kali saya dengar. Biasanya, selepas membedah pesakit, kita akan rujuk mereka kepada pakar onkologi. Bagi pesakit yang ada insurans atau ditanggung oleh syarikat, mereka selalunya memilih agensi swasta untuk rawatan lanjut dan bagi yang kurang mampu, ke hospital kerajaan.

"Saya biasa berurusan dengan salah sebuah institusi swasta terkemuka yang menawarkan perkhidmatan adjuvan ini. Secara pakejnya, kos dikenakan RM30,000 sebanyak enam pusingan (setiap pusingan dari tiga minggu ke sebulan)," katanya.

Kemoterapi pula, terangnya, mempunyai pelbagai kelas dari yang standard dan lebih murah yang digunakan di negara ini sejak 10 hingga 20 tahun lepas sehinggalah kelas yang lebih tinggi.

Mengulas lanjut, kalau dibandingkan dengan negara-negara membangun lain, Malaysia boleh dikatakan antara yang terbaik dalam penyediaan rawatan awamnya di mana tiada seorang pun yang sakit akan terbiar tanpa rawatan walau tidak mampu membayar satu sen pun.

"Pesakit kanser payudara sentiasa boleh pergi ke mana-mana hospital besar di negeri masing-masing untuk mendapatkan rawatan. Jika hospital berkenaan tidak mempunyai kepakaran atau rawatan tertentu, pesakit akan dirujuk kepada institusi swasta yang dibeli perkhidmatannya oleh kerajaan," katanya.

Yang ada, jelasnya, pesakit yang tidak mahu menunggu lebih lama dan pergi ke hospital swasta. Ketika inilah, mereka memerlukan wang yang banyak untuk membiayai sendiri sepenuhnya kos rawatan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan terapi alternatif bagi merawat kanser payudara kerana setakat ini ujarnya, para saintis sependapat bahawa kebaikan kemoterapi mengatasi komplikasi teruk yang sering menjadi penghalang pesakit untuk mendapatkan rawatan.

Dalam kanser payudara, pembedahan merupakan rawatan utama sebelum disokong dengan rawatan adjuvan (sampingan) seperti kemoterapi melalui suntikan atau oral dan, radioterapi. Tidak semua orang memerlukan kemoterapi, ia bergantung kepada penilaian pakar onkologi ke atas pesakit.

Walaupun kemoterapi sering dikaitkan dengan cerita-cerita negatif loya muntah, keguguran rambut, keletihan melampau, tetapi pesakit tidak boleh menolaknya mentah-mentah. Kebaikannya mengatasi keburukan dan tidak semua orang mengalami kesan sampingan yang sama teruk di antara satu sama lain, jadi jangan bazirkan masa.

"Ramai pengamal perubatan alternatif yang mengakui dapat merawat kanser dan yakin dengannya. Kalau boleh, kami pun mahu belajar daripada mereka tetapi sehingga kini tidak pernah jumpa satu pun yang didokumentasikan," jelas Dr. Abd. Hamid.

Selain kemoterapi, belum ada agen lain yang ditemui bagi membunuh saki-baki sel-sel kanser yang halus dalam tubuh pesakit. Penggunaan antibodi masih dalam peringkat percubaan yang masih awal.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan media supaya berhenti daripada melayan rayuan-rayuan seumpama ini kecuali meminta pengesahan terlebih dahulu daripada doktor pakar yang terbabit.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Jenis-Jenis Kanser Yang Menyerang Wanita

Pengurangan risiko kanser boleh dilakukan dengan mengubah gaya dan tatacara kehidupan.

Perhatian perlu diberi pada keadaan badan, perasaan tahap kesihatan diri dan juga bentuk serta rupa struktur badan. Ujian saringan juga perlu ditekankan bagi mengesan kanser dengan lebih awal.

Sel-sel normal yang membina tisu badan mengalami tumbesaran, membahagi serta penggantian secara teratur dan tenteram. Kadangkala sel-sel tua yang sepatutnya digantikan, masih meneruskan tumbesarannya. Pertumbuhan ini mungkin tidak teratur dan bercelaru, akhirnya mereka menjadi luar kawalan dan seterusnya bertukar pada ketumbuhan yang ganas (malignan) ataupun yang tidak ganas (benign).

Ketumbuhan yang tidak ganas (benign) tidak merebak ke bahagian lain dan lazimnya tidak membimbangkan. Pembedahan terpaksa dilakukan jika saiz ketumbuhan terlalu besar dan memberi tekanan kepada organ-organ berhampirannya.

Ketumbuhan yang ganas pula (malignan), akan menakluk, merosakkan dan merebak pada organ-organ berhampiran dan juga organ yang jauh serta boleh menyebabkan ketumbuhan baru di tempat lain.

Faktor keturunan (kehadiran gen-gen tertentu) juga boleh menyebabkan ketumbuhan berlaku selain pendedahan kepada sinar-

sinar tertentu, bahan kimia, virus dan bermacam jenis faktor persekitaran lain.

Jenis-jenis kanser bergantung pada bahagian anatomi badan yang terlibat seperti paru-paru, payudara, kulit, ovari, rahim, pangkal rahim, faraj, vulva, usus besar dan rektum.

Semua penyakit boleh dicegah atau dirawat sekiranya pengesanan dapat dilakukan pada peringkat awal.

Lazimnya terdapat tanda-tanda awal yang harus diamati dan diperhatikan. Juga sebagai satu bentuk pencegahan, golongan wanita dinasihatkan supaya menjalani penyaringan secara berkala untuk mengenal pasti kanser di peringkat awal.

Petanda Awal

Di antara petanda-petanda awal kanser pada bahagian badan berkenaan adalah perubahan pada tabiat kebiasaan pundi kencing dan juga usus besar.

Selain itu, luka-luka yang tidak sembuh, pendarahan ataupun discaj yang tidak pernah dialami, penebalan ataupun tongkol-tongkol pada payudara ataupun bahagian kulit yang lain serta perubahan pada tahi lalat atau mana-mana tompok kulit juga mungkin menjadi petanda awal kanser tertentu.

Pesakit juga perlu peka untuk ujian masalah kesusahan menelan serta keabnormalan pencernaan makanan atau minuman selain batuk yang tidak hilang dan juga perubahan pada suara.

Perlu diingat bahawa ini bukanlah petanda mutlak kanser tetapi hanya kehadiran gejala berkenaan sepatutnya dirujuk kepada doktor.

Kesakitan biasanya bukan tanda-tanda awal kanser. Walau bagaimanapun, jangan ditunggu sehingga kesakitan menjelma, barulah rujukan mahu dibuat kerana ketika itu mungkin sudah terlambat.

Kanser Paru-Paru


Majoriti pesakit mendapat kanser paru-paru dari aktiviti merokok. Wanita yang merokok mempunyai risiko 12 kali ganda lebih tinggi untuk mendapat kanser paru-paru jika dibandingkan dengan mereka yang tidak merokok.

Walaupun jika anda bukan perokok, tapi menyedut asap rokok secara pasif juga dapat menambahkan risiko kanser paru-paru.

Lazimnya tanda-tanda kanser paru-paru hanya jelas kelihatan apabila penyakit tersebut sudah pun di peringkat yang teruk.

Pesakit pada kebiasaannya mengalami batuk yang tidak sembuh-sembuh, kahak bercampur darah, sakit dada, berbunyi apabila menghembus nafas (wheezing), stamina pernafasan yang cetek serta keserakan suara.

Selain itu, penghidap kanser jenis ini juga mengalami episod berulang-ulang penyakit pneumonia dan juga bronkitis, kurang selera makan serta jatuh berat badan dan selalu mendapat demam.

Untuk mengelak kanser paru-paru, jangan mulakan merokok serta jauhkan diri dari asap rokok. Untuk mereka yang sudah pun mula merokok, carilah pertolongan supaya dapat membuang tabiat tersebut.

Kanser Payudara


Kanser ini adalah antara penyebab kematian utama di kalangan wanita. Kebarangkalian untuk seorang wanita mendapat kanser ini pula adalah satu dalam lapan (1:8). Di antara faktor-faktor yang dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser jenis ini termasuk peningkatan umur, sejarah keluarga dengan kanser payudara (terutamanya di sebelah ibu atau saudara perempuan) serta pembawa gen genetik abnormal BCRA1 dan BCRA2.

Selain itu, penggunaan hormon gantian tanpa pengawasan doktor, pendedahan kepada radiasi serta sejarah menghidap kanser payudara juga meningkat risiko anda.

Penyusuan badan, pengurangan berat badan serta bersenam dapat mengurangkan risiko kanser ini.

Seperti juga mana-mana kanser lain, pengesanan awal dapat mencegah dan mungkin menyembuhkan dengan rawatan awal.

Di antara perubahan awal yang perlu diperhatikan termasuk pembengkakan, tonjolan, kekerasan, penebalan dan juga pengecutan kulit pada payudara.

Kerengsaan pada kulit payudara serta puting yang tenggelam ke dalam, bersisik, berdarah, mengalami discaj, sakit serta tidak selesa perlu disiasat untuk kemungkinan kanser.

Anda dinasihatkan supaya menjalani ujian mammografi sekurang-kurangnya setahun sekali terutamanya sekiranya sudah menjangkau umur 50 tahun. Selain itu, anda juga harus proaktif dalam memeriksa payudara sendiri kerana diri sendiri lebih tahu perubahan awal badan.

Kanser Usus dan Rektum (Kanser Kolorektal)


Kanser kolorektal ini perlahan tumbesarannya dan pada kebiasaannya bermula dengan polip di usus sebelum menjadi kanser. Anda dikategorikan sebagai berisiko sekiranya mempunyai waris terdekat (ibu, ayah, adik-beradik) dengan polip atau kanser kolorektal semasa berumur kurang dari 60 tahun, mempunyai penyakit yang melibatkan usus atau diri sendiri mempunyai polip di usus.

Lazimnya kanser kolorektal tidak mempunyai apa-apa petanda peringkat awal, tetapi selalunya didiagnosis pada peringkat lewat.

Antara petanda kanser jenis ini adalah perubahan dari kebiasaan tabiat usus, pendarahan dari rektum, darah di dalam najis ataupun najis berwarna hitam, najis menjadi panjang dan bergaris pusat kecil serta ketidakselesaan abdomen (kembung, kejang dan sering kentut atau sedawa).

Selain itu, selera makan juga menurun, rasa lemah serta letih tanpa sebab juga mungkin menjadi petanda kanser kolorektal yang akan memerlukan pemeriksaan lanjutan.

Bagi mereka yang telah melangkau umur 50 tahun, anda boleh menjalani ujian saringan seperti ujian darah di dalam najis setahun sekali, ujian sigmoidoskopi fleksibel setiap 5 tahun, ujian barium enema berkontras setiap 5 tahun serta ujian kolonoskopi setiap 10 tahun.

Walau bagaimanapun, ini bergantung pada faktor berlakunya kanser kolorektal setempat. Sekiranya statistik kejadian kanser kolorektal di tempat anda tinggi, makan anda juga berisiko dan lebih baik mengambil langkah berjaga-jaga.

Kanser Kulit

Walaupun sebagai orang asia kulit kita lebih berpigmen, anda juga berkemungkinan boleh terkena kanser kulit.

Jenis-jenis kanser kulit termasuk jenis sel basal (kulit nampak seperti lilin, pucat warnanya, mungkin timbul seperti mutiara dan kadangkala tompok bersisik), jenis sel skuamos (kehadirannya juga menyerupai sel basal) atau jenis melanoma (seperti tahi lalat, hanya membesar dengan perimeter tidak sekata, bertambah hitam dan senang berdarah).

Terdapat beberapa tanda pada kulit yang boleh diperhatikan seperti perubahan pada saiz tahi lalat, bersisik, berdarah dan juga seakan melecur.

Selain itu, perhatikan juga perubahan pada warna dan juga kehadiran tompok-tompok pada kulit, kegatalan, kesakitan dan juga ketidakselesaan pada biji-biji ataupun tahi lalat serta kudis yang tidak sembuh.

Pastikan yang anda juga memeriksa pada semua tempat sama ada yang terdedah atau terlindung daripada cahaya matahari.

Kanser Ovari

Risiko untuk mendapat kanser telur adalah kecil, tetapi kebarangkaliannya meningkat dengan peningkatan usia terutamanya selepas melangkau usia 60 tahun. Faktor-faktor yang meningkatkan risiko kanser jenis ini termasuklah kemandulan, makanan kaya dengan lemak, sejarah kanser usus dan payudara, endometriosis serta pembawa gen abnormal BRCA1 dan BRCA2.

Mereka yang kurang risikonya termasuklah mereka yang mengambil pil perancang keluarga, pernah melahirkan anak walaupun sekali dan mereka yang pernah menyusu badan.

Kanser ovari, bila dikesan, mungkin sudah pun terlambat. Oleh itu, anda dinasihatkan supaya berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjutan seperti ultrasound memandangkan tidak ada ujian saringan khas untuk kanser ini.

Berjumpalah dengan doktor sekiranya anda mengalami ketidakselesaan di kawasan pinggul, kembung, sendawa, bergas, kesukaran pencernaan yang tidak dapat dijelaskan, pendarahan abnormal melalui faraj serta pembengkakan abdomen.

Kanser Rahim

Risiko kanser rahim meningkat selepas umur 55 tahun, terutamanya mereka di dalam julat di antara 60 hingga 75 tahun dan jarang berlaku di kalangan mereka di bawah 40 tahun.

Mereka yang menggunakan pil perancang keluarga juga mempunyai risiko yang rendah.

Faktor-faktor yang meningkatkan risiko kanser rahim termasuklah penggunaan hormon gantian estrogen sahaja (tanpa progesteron), tidak pernah melahirkan anak, putus haid selepas umur 52 tahun, lebih berat badan, darah tinggi, kencing manis serta penyakit lain seperti masalah tiroid dan hempedu.

Penggunaan ubat Tamoxifen, Hiperplasia lapisan dalaman rahim, penyakit keturunan seperti kanser usus juga meningkat risiko kanser rahim.

Anda juga berisiko sekiranya mempunyai haid tidak teratur dan kerap kali tidak datang haid.

Tanda-tanda amaran kanser rahim termasuklah pendarahan selepas menopaus, discaj atau lelehan di antara tempoh haid dan haid yang berpanjangan dengan kehadiran darah yang banyak.

Biasanya doktor tidak menjalankan saringan untuk kanser rahim, tetapi sekiranya disyaki, anda mungkin dikehendaki menjalani ujian-ujian seperti:

- Biopsi endometrial – pensampelan tisu dari dalaman rahim untuk kajian.

- Pemeriksaan ultrasound – terutamanya ultrasound melalui faraj, mengukur ketebalan dinding endometrium.

- Penkuretan dan dilatasi – pangkal rahim di buka, dan dalam rahim disedut ataupun dicalit untuk kajian lanjutan.

- Histeroskopi – penggunaan peralatan optik untuk melihat secara langsung dengan pembesaran imej dan persekitaran di dalam rahim.

Kanser Pangkal Rahim (Serviks)

Ujian saringan PAP dapat mengesan keabnormalan pangkal rahim pada peringkat awal. Ujian lanjutan seperti kolposkopi mungkin dijalankan untuk kepastian. Contoh tisu pangkal rahim diambil untuk kepastian jika ianya kanser rahim.

Puan berisiko tinggi untuk kanser pangkal rahim sekiranya mempunyai infeksi virus HIV (Human Immunodeficeincy Virus), virus HPV (Human Papilloma Virus), sistem imuniti badan yang lemah atau terdedah pada ubat diethylstilbesterol (DES) semasa anda di dalam kandungan (ubat ini tidak lagi digunakan sekarang).

Peringkat awal kanser ini lazimnya tidak menunjukkan sebarang petanda tetapi sekiranya mengalami mengalami masalah berikut, segeralah berjumpa dengan doktor.

- Discaj atau lelehan abnormal melalui faraj

- Pendarahan abnormal melalui faraj

- Pendarahan selepas hubungan kelamin

Sekarang terdapat imunisasi terhadap kanser pangkal rahim yang disebabkan oleh HPV dan ianya dinasihatkan diberikan pada anak-anak perempuan yang berumur antara sembilan hingga 26 tahun. Vaksin ini diberikan dalam tiga dos.

Walaupun divaksinasi, ujian saringan PAP masih perlu dilakukan kerana terdapat beberapa jenis lagi virus HPV yang tidak dapat dilindungi melalui vaksinasi.

Kanser Faraj dan Vulva

Kebanyakan kanser jenis ini berlaku pada mereka berusia melebihi 60 tahun. Sekiranya anda mengalami perkara-perkara berikut di sekitar alat kelamin, dinasihatkan supaya berjumpa dengan doktor dengan segera.

- Kudis, pembengkakan yang tidak hilang-hilang

- Kegatalan

- Pendarahan yang abnormal

- Perubahan pada kulit-kulit di sekitar, seperti perubahan pada tahi lalat

Perokok dan mereka yang dijangkiti virus HPV berisiko tinggi. Biopsi tisu pada luka-luka yang timbul mungkin perlu diambil untuk ujian saringan lanjutan.

Secara umumnya, terdapat beberapa cara untuk mengurangkan risiko kanser terhadap diri anda seperti:

- Tidak merokok atau berhenti merokok

- Kurangkan pengambilan makanan dengan lemak tepu atau lemak trans

- Banyakkan makanan berserat tinggi

- Lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala

- Bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari

- Sekiranya anda berkulit cerah atau kurang pigmen kulit, hadkan pendedahan pada cahaya matahari

- Tumpuan dan perhatian pada sebarang perubahan pada badan anda

- Jangan amalkan tatacara serta gaya hidup seksual secara bebas

- Amalkan ujian tertentu yang patut dilakukan pada umur serta julat tahun tertentu

- Kurangkan pengambilan minuman beralkohol.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Pembunuh Nombor Satu Wanita

Salah satu penyakit yang amat digeruni di kalangan kaum wanita di dunia, termasuk Malaysia, ialah kanser payudara.

Walau bagaimanapun, penyakit payudara tidak terhad kepada kanser sahaja. Payudara juga terdedah kepada pelbagai penyakit lain seperti:

1. Fibrocystic Myopathy

* Walaupun ia kerap berlaku dengan peningkatan umur, penyakit ini lebih ketara di kalangan golongan muda.

Pesakit selalunya berasa kesakitan pada payudara terutamanya sebelum kedatangan haid.

Selalunya pesakit akan berasa ketulan kecil di dalam payudara tanpa ketulan biji yang sebenar.

Ini berpunca daripada percambahan (hyperplasia) tisu payudara terutama sebelum kedatangan haid.

2. Jangkitan kuman

*Jangkitan kuman berlaku sama ada secara akut atau kronik. Jangkitan akut termasuklah bisul payudara dan mastitis. Jangkitan kronik yang biasa dikesan adalah Tibi payudara.

3. Ketumbuhan dalam payudara

*Ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

i. Benign – ketumbuhan ini membesar tetapi tidak merebak ke bahagian lain badan. Contohnya seperti penyakit Fibroadenoma, fat necrosis, granular cell myoblstoma.

ii. Malignant – ketumbuhan ini merebak dan membiak ke lain-lain bahagian badan dan sekiranya dibiarkan akan membawa maut.

Terdapat banyak jenis ketumbuhan dalam payudara tetapi kanser payudara adalah penyakit terunggul dalam golongan ini.

Kanser payudara

Kanser payudara didefinasikan sebagai kedapatan ketumbuhan yang terbukti malignant di dalam payudara. Ini untuk mengasingkan kanser payudara dengan ketumbuhan lain yang kerap berlaku di dalam payudara.

Punca

Seperti kebanyakan kanser, punca penyakit kanser payudara masih samar. Walau bagaimanapun, ia ada berhubung kait dengan hormon wanita dan warisan genetik. Mengikut rekod, wanita yang tidak mempunyai ovari, ovari yang tidak berfungsi atau wanita yang tidak menjalani rawatan Terapi Hormon Gantian (HRT) tidak mendapat kanser payudara. Walaupun 99 peratus kanser payudara berlaku di kalangan wanita, terdapat satu peratus kalangan lelaki yang menghidap kanser payudara.

Di negara Barat, purata 185,000 wanita mendapat kanser payudara setiap tahun. Dari bilangan ini 43,500 meninggal dunia setiap tahun akibat kanser berkenaan. Kemuncak kejadian berlakunya kanser payudara pula adalah kepada golongan dalam lingkungan umur 45 hingga 50 tahun dan 55 hingga 60 tahun.

Di Malaysia, keadaannya sedikit berbeza. Mengikut Daftar Kanser Negara, purata 4,000 wanita menghidap kanser payudara setiap tahun dan kadar ini turut menunjukkan peningkatan setiap tahun. Di dalam satu kajian pada tahun 2000, terdapat 3,825 wanita penghidap baru kanser payudara. Ia meningkat ke 4,337 pada 2002. Daripada bilangan ini, hampir 2,000 orang meninggal dunia setiap tahun akibat kanser tersebut.

Kanser payudara kerap berlaku di kalangan kaum Cina (59.7 peratus), diikuti India (55.8 peratus) dan Melayu (33.9 peratus) bagi setiap 100,000 penduduk negara ini. Daripada bilangan ini, insiden kematian akibat kanser payudara paling banyak berlaku di kalangan kaum Melayu (54 peratus) berbanding dengan Cina (37 peratus) dan India 43 peratus).

Ini mungkin disebabkan sebilangan wanita Melayu kurang menjalani ujian saringan (mammogram), kurang menjalankan pemeriksaan payudara sendiri di rumah dan hadir pada peringkat lewat kanser berkenaan untuk mendapatkan rawatan. Di Malaysia kanser payudara berlaku di kalangan mereka di bawah umur 50 tahun dan mencapai kemuncaknya di kalangan wanita pramenopaus. Walau bagaimanapun kanser payudara juga biasa berlaku di kalangan wanita berumur 20 tahun ke atas.

Tanda-Tanda Penyakit

*Ketulan atau biji – kebiasaannya pesakit kanser payudara datang apabila terasa ketulan atau biji di dalam payudara atau sekitar kawasan ketiak

*Perubahan bentuk dan rupa kulit payudara

*Cecair yang tidak biasa keluar, termasuk darah, keluar dari puting susu

*Kesakitan payudara (sekiranya kanser, ia adalah lewat)

Sekiranya anda mempunyai tanda-tanda seperti yang tersebut di atas, segeralah berjumpa pengamal perubatan untuk mendapatkan kepastian. Kebiasaannya doktor akan memeriksa payudara tersebut secara manual untuk memastikan adanya tanda-tanda penyakit. Seterusnya, beberapa pemeriksaan makmal atau imbasan juga akan dijalankan bagi memastikan jika ianya kanser atau bukan.

Pemeriksaan Saringan

Imbasan


*X-ray mammografi – ini selalunya dilakukan untuk kanser tidak ketara

*Optical and doppler ultrasound, untuk membezakan ketulan biji air (cyst) atau pejal (daging)

*Diaphanography (transillumination payudara), bagi melihat ciri perbezaan dalam tisu payudara

*Thermography – mengukur suhu payudara (suhu selalu meningkat di kawasan kanser)

*Magnetic Resonance Imaging (MRI)

*Imbasan Radionuclide

Pemeriksaan Makmal

1. Pemeriksaan darah – doktor akan menjalankan beberapa pemeriksaan darah secara rutin untuk mengkaji status organ dalaman.

Walaupun terdapat beberapa bahan kimia penanda untuk kanser di dalam darah (tumor markers), kepastian kegunaannya masih disangsikan.

2. Pemeriksaan sitologi. (Fine Aspiration Needle Biopsy). Ia dilakukan dengan mengambil sedikit contoh sel dari ketumbuhan untuk pemeriksaan mikroskop. Ini adalah cara terbaik untuk mendapatkan diagnosis tepat untuk kanser dan patut dilakukan ke atas setiap ketumbuhan dalam payudara.

Semua pemeriksaan yang dilakukan adalah untuk dua tujuan iaitu:

1. Mengenal pasti penyakit

2. Mengenal pasti peringkat penyebaran penyakit (staging)

Rawatan Kanser Payudara

Kejayaan sesuatu kaedah rawatan itu berdasarkan peringkat kanser pesakit ketika mula datang untuk mendapatkan rawatan. Peringkat 0,1 dan 2 adalah peringkat awal. Pesakit dalam peringkat-peringkat ini mempunyai peluang yang lebih besar untuk hidup lebih lama selepas kanser dikesan, berbanding peringkat 3 dan 4 yang dikira peringkat lanjutan yang agak lambat dikesan.

Cara rawatan kanser payudara telah berkembang dan hasilnya kini semakin memberangsangkan. Berdasar statistik, di negara maju 80 hingga 85 peratus pesakit kanser payudara dapat menjalani kehidupan biasa setelah menjalani rawatan, berbanding hanya 58 peratus di Malaysia.

Jangka hayat pesakit kanser payudara di kalangan bangsa Melayu adalah pendek (66 peratus) berbanding dengan kaum Cina (63 peratus) dan India (57 peratus). Ini disebabkan kebanyakan pesakit bangsa Melayu datang mendapatkan rawatan apabila kanser sudah di peringkat 3 atau 4.

Pada masa ini, terdapat tiga kaedah rawatan kanser payudara yang diterima umum. Rawatan ini selalu digandingkan antara satu sama lain untuk memberi kesan yang maksimum dalam membunuh sel kanser.

1. Pembedahan - dilakukan untuk membuang seberapa banyak tisu kanser dan juga memberi peluang untuk rawatan gandingan lebih berkesan. Pembedahan yang kini digunakan dalam dunia perubatan adalah:

a. Segmentectomy – sebahagian payudara bersama kanser dibuang. Ia selalu digandingkan dengan rawatan radiasi. Sesuai untuk kanser kecil kurang dari 5sm.

b. Mastectomy Penuh – sama ada berbentuk mastectomy mudah, mastectomy ubah suai atau mastectomy radikal. Ia berdasarkan berapa banyak tisu sekeliling kanser, termasuk nodus limfa di ketiak, dibuang bersama kesemua payudara tersebut.

2. Radiasi – ini selalunya dilakukan kepada payudara selepas pembedahan untuk memastikan pemusnahan semua sel kanser.

3. Ubatan – rawatan ubatan untuk kanser lebih berbentuk rawatan seperti kemoterapi dan terapi hormon.

Di negara maju keberkesanan rawatan merangkumi sehingga 80 hingga 85 peratus kerana kebanyakan pesakit menerima rawatan di peringkat awal. Setakat ini, belum ada bukti saintifik yang kukuh mengaitkan pemakanan bahan atau ubat tertentu dapat menghindar kanser payudara. Apa yang pasti, peningkatan tahap kesedaran dan menerima rawatan awal untuk kanser payudara dapat memberi harapan untuk kehidupan seperti biasa. Diharapkan kesedaran mengenai pentingnya pengesanan dan rawatan awal dapat diterapkan di kalangan wanita di Malaysia.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/