Peminat Setia

Jumaat, 27 Februari 2009

Benih Perokok Bermutu Rendah

SOALAN:
Saya sudah menjalani pelbagai ujian kesuburan seperti ujian darah, pap smear dan tahap hormon progesteron. Doktor mendapati tahap hormon saya rendah dan nilai sperma suami adalah enam juta.

Adakah pengambilan pil hormon clomid boleh membantu saya untuk hamil? Adakah nilai sperma suami dikira normal, subur atau kurang subur?

Saya dan suami berusia 32 tahun, sudah berkahwin selama empat tahun dan belum mempunyai zuriat. Suami saya juga seorang perokok tegar.

Jika saya sudah mengambil pil subur lebih tiga kali, bolehkah saya bertukar kepada suntikan kesuburan untuk membolehkan saya hamil?

Saya juga inginkan penjelasan mengenai suntikan kesuburan yang tidak mempunyai kesan antiestrogenik dan kosnya.

Saya ingin melakukan rawatan permanian berhadas (IUI) untuk mendapat anak kembar, berapakah anggaran kos diperlukan dan prosedur yang perlu dilakukan? Benarkah pendapat mengatakan jika hamil melebihi usia 31 tahun, kebarangkalian mendapat anak kembar lebih tinggi biarpun pasangan suami isteri itu tidak mempunyai keturunan kembar?

Neeza,
Simpang Rengam, Kluang


JAWAPAN:
Saya andaikan tahap hormon anda rendah merujuk kepada paras hormon progesteron. Keputusan ujian ini boleh dipakai jika haid anda berikutnya jatuh kira-kira seminggu selepas tarikh ujian dilakukan.

Jika benar anda mengalami masalah ovulasi, ubat kesuburan boleh diambil. Lazimnya pil kesuburan yang mengandungi bahan clomiphene citrate akan diberi dalam kuantiti sebanyak 50 hingga 100 miligram setiap hari selama lima hari bermula sama ada pada hari kedua, ketiga, keempat atau kelima mengikut bilangan hari kitaran haid anda.

Pengambilan pil ini pada waktu malam (berbanding siang) pula dapat membantu mengurangkan kesan sampingan memandangkan anda sedang tidur pada waktu kesan sampingan timbul.

Seeloknya sewaktu pengambilan pil kesuburan ini, pemantauan ke atas hasilnya (bilangan telur yang besar) dilakukan secara imbasan ultrabunyi melalui faraj (imbasan trans-vaginal) bermula selepas tujuh hingga 10 hari mula mengambilnya, susulan pemantauan ke atas ovulasi turut dibuat secara ultrabunyi transvaginal ataupun secara ujian darah progesteron.

Dengan adanya ovulasi, anda mungkin akan dinasihatkan untuk meneruskan rawatan selama tiga hingga enam kali mengikut kesesuaian.

Bilangan sperma suami juga kurang mencukupi untuk membuahkan kehamilan secara pil kesuburan dan hubungan seks saja, peluangnya ada tetapi rendah.

Secara purata kira-kira 100 juta sperma terkandung dalam setiap ejakulasi lelaki. Dalam keadaan bilangan sperma kurang daripada 20 juta/setiap mililiter air mani dan berjumlah keseluruhan kurang daripada 40 juta, rawatan tambahan secara IUI lebih sesuai.

Selain bilangan sperma, maklumat mengenai pergerakan dan bentuk sperma juga penting.

Perokok tegar lebih berisiko mempunyai masalah bilangan sperma yang kurang dan peratus sperma yang bergerak juga kurang serta perlahan atau lambat.

Berhenti merokok dapat mengubah komposisi ini, ubat yang meningkatkan hormon testosteron mungkin dapat menambah bilangan sperma, tetapi seeloknya diambil untuk sekurang-kurangnya tiga bulan.

Teknik IUI bertujuan mendekatkan jarak perjalanan sperma ini.

Dalam hubungan seks, air mani diejakulasi ke dalam penghujung faraj, sperma perlu berenang dari dalam faraj menembusi serviks (pintu rahim) kemudian merentasi ruang dalaman rahim menuju ke tiub falopio kanan dan kiri sehingga ke penghujung tiub ini untuk bertemu dengan ovum (jika ada) bagi membolehkan persenyawaan berlaku.

Teknik IUI pula memasukkan sperma terus ke dalam ruang rahim menggunakan tiub khas, dalam erti kata lain IUI menjadikan jarak perjalanan sperma ini lebih dekat atau pendek.

Bagi meningkatkan peratus kejayaan, lazimnya air mani 'dicuci' terlebih dulu untuk memilih sperma yang elok saja. IUI tidak membanyakkan bilangan ovum, bilangan ovum dipertingkatkan dengan pengambilan ubat kesuburan.

Kemungkinan kehamilan kembar lazimnya terjadi dengan pengambilan ubat kesuburan (jika ia menghasilkan lebih daripada satu telur).

Ini bermakna, sekiranya anda menjalani IUI tanpa mengambil sebarang pil atau suntikan kesuburan, rawatan kesuburan ini tidak meningkatkan peluang kehamilan kembar.

Sebaliknya pengambilan pil atau suntikan kesuburan meningkatkan peluang kehamilan kembar walaupun tanpa IUI. Malah, kemungkinan bilangan kembar tiga, empat atau selebihnya juga boleh berlaku.

Memandangkan kehamilan kembar adalah kehamilan berisiko tinggi dan kurang sesuai untuk menyatakannya sebagai suatu peluang, kehamilan kembar adalah suatu risiko.

Suntikan kesuburan lebih berisiko untuk kehamilan kembar memandangkan potensinya lebih dalam menghasilkan bilangan telur yang banyak.

Ini penting untuk dipantau, malah risiko keadaan stimulasi berlebihan (OHSS) yang boleh membahayakan nyawa juga boleh berlaku sekiranya dosnya berlebihan.

Secara amnya, suntikan kesuburan tidak mengandungi sifat antiestrogenik dan lebih berkesan dalam membuahkan kehamilan, tetapi kosnya jauh berbeza sehingga memakan ratusan atau ribuan ringgit, seseorang mungkin tidak perlu mengambil suntikan kesuburan.

Selain kehamilan kembar akibat penggunaan ubat kesuburan (memandangkan bilangan telur yang dihasilkan boleh menjadi banyak), kembar juga boleh berlaku secara semula jadi sama ada secara keturunan ataupun dengan peningkatan usia walaupun tanpa penggunaan ubat kesuburan.

Dalam setiap kitaran haid, lazimnya hanya satu telur dikeluarkan sewaktu ovulasi, malah dalam wanita yang mempunyai masalah anovulasi pula tiada telur dihasilkan. Sebab itulah, ramai antara kita sama ada tidak hamil ataupun hamil dengan seorang janin pada sesuatu kitaran haid.

Ujian pap smear bukanlah ujian kesuburan. Bagaimanapun ia penting dilakukan sebagai saringan penyakit prakanser serviks. Anda tidak menyatakan status kedua-dua tiub falopio anda.

Ia lazimnya diuji menggunakan sinaran-x (disebut HSG) ataupun secara pembedahan laparoskopi. Sekiranya kedua belah tiub falopio tersumbat, pilihan rawatan yang sesuai adalah secara persenyawaan tabung uji (IVF). IUI memerlukan sekurang-kurangnya satu tiub falopio yang berfungsi dan tidak tersumbat.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Ubat Antikulat Rawat Masalah Keputihan

SOALAN:
SAYA berusia 18 tahun dan mengalami masalah keputihan yang berlarutan menyebabkan saya tidak selesa. Keputihan itu berwarna kekuningan dan melekit yang saya alami hampir dua bulan.

Apakah punca masalah itu? Bagaimana cara untuk merawatnya?

Eila,
Sungai Petani, Kedah



JAWAPAN:

Ada beberapa kemungkinan seseorang mengalami jangkitan faraj berulang kali. Pertama, mungkin rawatan ubatan yang diberikan tidak bersesuaian dengan jenis kuman yang menjangkiti.

Doktor lazimnya akan memberikan ubat antikulat memandangkan kebanyakan jangkitan faraj disebabkan oleh kulat Candida.

Pada masa sama ataupun jika jangkitan berulang, doktor akan melakukan ujian lanjutan iaitu ujian kultur dan sensitiviti namun keputusannya hanya dapat diketahui selepas beberapa hari eraman atau kultur.

Ia dilakukan secara pemeriksaan dalaman dengan memasukkan alat spekulum ke dalam faraj untuk mengambil sapuan sampel lelehan ataupun secara sapuan pada luar selaput dara bagi gadis yang masih dara.

Ini bertujuan mengenalpasti sama ada terdapat jangkitan kuman (kulat atau bakteria), jenis kuman terbabit (kadangkala terdapat lebih daripada satu jenis kuman), ubat yang bersesuaian (sensitif) serta jenis ubat yang tidak sesuai (resistan).

Setelah keputusan diketahui, doktor akan mengubah atau menambah jenis rawatan sekiranya ubat terdahulu tidak bersesuaian. Ujian kultur dan sensitiviti ini akan diulangi kemudian untuk memastikan jangkitan sudah pun diubati.

Punca kedua mungkin berkaitan dengan penyakit dalaman yang mendedahkan seseorang terhadap jangkitan berulang. Kemungkinan penyakit diabetes (kencing manis) atau penyakit sampingan yang menurunkan sistem imun anda juga akan diselidiki.

Selain itu, tabiat mencuci kemaluan mungkin diubah suai bagi menjaga persekitaran yang sesuai untuk mikro-organisma sihat mendiami kawasan faraj dan bukannya kuman berpenyakit.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Rabu, 25 Februari 2009

Bengkak Urat Lepas Ambil Pil Perancang

SOALAN:
Saya sudah berkahwin selama 16 tahun dan ingin tahu cara merancang kehamilan sendiri.

Selama ini saya merancang keluarga secara pemasangan alat dalam rahim (IUD) dan suntikan. Baru-baru ini saya mengambil pil perancang tetapi selepas tiga hari mengambilnya, urat kaki bengkak seperti masuk angin.

Apakah punca keadaan itu?

Jah,
Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur


JAWAPAN:
Urat kaki yang membengkak itu berkemungkinan suatu keadaan yang dinamakan vena varikos. Tubuh kita mempunyai sistem aliran darah yang sistematik.

Darah dihantar kembali ke jantung melalui salur darah vena secara pengecutan berperingkat otot vena ini dan dibantu oleh kehadiran injap pada bahagian tertentu (seperti segmen atau ruas) untuk memastikan perjalanan darah ini sehala dan tidak kembali terkumpul di bawah apabila rentak otot berehat seketika.

Vena varikos terjadi akibat dinding salur darah vena menjadi lemah dan mengembang menyebabkan injap di bahagian terbabit tidak dapat menutup sepenuhnya dan darah kembali berkumpul ke segmen lebih bawah.

Terdapat dua aliran selari salur darah pada bahagian kaki yang dikenali sebagai vena dalaman yang terletak di bahagian lebih dalam kaki dan vena luaran yang terletak berhampiran permukaan kulit. Sekitar 90 peratus aliran darah ke jantung dikendalikan oleh sistem vena dalaman.

Vena varikos pula terjadi di bahagian sistem vena luaran. Vena varikos ini lebih berisiko terjadi mengikut usia, jenis pekerjaan atau aktiviti tertentu seperti aktiviti membabitkan posisi berdiri untuk tempoh lama, pil kontraseptif berhormon kombinasi, kehamilan, menopaus dan terapi hormon estrogen.

Memandangkan faktor risiko ini terdapat lebih pada wanita, vena varikos lebih berlaku di kalangan wanita berbanding lelaki (dilaporkan tiga hingga empat kali ganda).

Vena varikos boleh menyebabkan kawasan terbabit membonjol kelihatan seperti urat berlingkar berwarna kebiruan pada permukaan kulit, kesakitan, inflamasi (phlebitis), kegatalan (dermatitis), mengeras, sensitif terhadap sentuhan, ulser dan pendarahan pada bahagian buku lali dan kaki.

Dalam kebanyakan kes, ia hanyalah masalah kosmetik, namun ada juga yang memerlukan rawatan sama ada secara suntikan ataupun pembedahan. Jarang ada yang berkait dengan darah beku yang memerlukan perhatian khusus.

Dalam keadaan tertentu sahaja ia mungkin berkaitan penyakit darah beku yang boleh mendatangkan bahaya kesihatan seperti sekiranya sudah terdapat darah beku (bukannya masalah injap) yang menghalang aliran darah menyebabkan vena varikos.

Seeloknya anda menjalani pemeriksaan doktor, walaupun anda membuat keputusan untuk menghentikan pengambilan ubat pil perancang ini. Penggunaan stokin khas dapat membantu aliran darah.

Selain itu, elakkan berdiri atau duduk untuk tempoh yang lama serta amalkan senaman. Sewaktu berbaring atau duduk, amalan meninggikan kaki ke atas daripada paras jantung juga boleh membantu.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Gagal Hamil Cara IVF

SOALAN:
Saya berusia 28 tahun dan sudah berkahwin selama tiga tahun. Saya sudah menjalani rawatan kesuburan sehingga ke peringkat persenyawaan tabung uji (IVF) tetapi masih tidak berjaya.

Saya kecewa kerana pusat IVF itu dikatakan mempunyai peratus kejayaan IVF yang tinggi, namun setelah menjalani rawatan di sana, saya masih gagal hamil. Doktor mengatakan embrio saya berkualiti rendah, ini menambahkan tekanan seolah-olah saya punca kegagalan terbabit.

Untuk pengetahuan doktor, sebelum itu saya mencuba pil Clomid selama tiga bulan tetapi tidak hamil. Doktor pertama menasihatkan saya mencuba kaedah permanian berhadas IUI, namun saya beralih pula ke doktor lain kerana tertarik dengan peratus kejayaan yang dilaporkan.

Saya disahkan mengalami penyakit endometriosis dan dinasihatkan menjalani pembedahan laparoskopi di hospital terbabit sebelum rawatan IVF. Selepas pembedahan, saya mengambil suntikan hormon gonal sebanyak 225 unit setiap hari, kemudian ditambah menjadi 300 unit.

Doktor mengatakan telur saya banyak melebihi 20 sehingga saya merasakan perut saya tegang dan sering mengah. Tetapi sewaktu pembedahan menyedut telur, saya diberitahu hanya mempunyai enam telur saja dan hanya tiga saja embrio yang terbentuk selepas persenyawaan, namun tiada satu pun yang membuahkan kehamilan walaupun ketiga-tiga embrio dimasukkan.

Kini saya buntu, adakah saya mempunyai peluang untuk hamil sebenarnya? Apakah maknanya peratus kejayaan IVF sebenarnya?

Nisah,
Kuala Lumpur


JAWAPAN:
Anda tidak menyatakan peringkat penyakit endometriosis yang dihidapi. Tidak semestinya endometriosis peringkat lanjut (termasuk jika ia membabitkan pembentukan cyst ovari endometrioma) tidak dapat dibedah melalui laparoskopi.

Sewaktu pembedahan ini, penilaian secara langsung akan dibuat ke atas organ pelvis dan peritoneum. Terdapat sistem pemarkahan khusus yang dibuat untuk mengkategorikan penyakit anda kepada peringkat I, II, III atau IV (peringkat I dan II adalah peringkat ringan).

Selain itu, pembedahan laparoskopi juga kini direkod ke dalam cakera padat video (VCD) untuk tontonan kemudian hari dan pesakit akan diberikan VCD ini untuk simpanan atau rujukan.

Status tiub falopio juga penting diketahui, jika tersumbat atau mengalami kerosakan, IVF adalah pilihan yang lebih sesuai. Lazimnya dalam endometriosis peringkat lanjut, peluang kejayaan IVF dilaporkan meningkat apabila pembedahan disusuli dengan suntikan hormon analog-GnRH setiap bulan selama tiga bulan dan juga apabila paras ujian darah Ca-125 kembali normal.

Jika tidak, rawatan IVF dilaporkan kurang berjaya dan jika berjaya, risiko keguguran pula meningkat.

Pada usia anda, lazimnya dos 150-225 IU suntikan mengandungi hormon FSH (seperti Gonal F dan jenama lain) adalah dos permulaan dan akan diubah suai mengikut tindak balas ovari selepas beberapa hari.

Suntikan ini sama ada didahului suntikan hormon analog-GnRH atau disusuli suntikan hormon antagonis-GnRH, bergantung kepada mengikut jenis protokol rawatan.

Sekumpulan lapan hingga 15 kantung telur lazimnya sudah memadai. Malah di negara Eropah, mereka sudah mula mengamalkan stimulasi ringan saja untuk mendapatkan sejumlah kecil saja telur.

Secara amnya, pada usia 28 tahun, peluang kejayaan IVF adalah sekitar 25 hingga 40 peratus. Peratus ini lebih tinggi jika embrio blastosis yang dimasukkan berbanding embrio berusia dua hingga tiga hari. Dengan kehadiran penyakit endometriosis, peluang ini mungkin menurun.

Saya menjangkakan anda memperoleh bilangan telur yang lebih banyak memandangkan sebelum prosedur, kantung telur dinyatakan sebanyak melebihi 20.

Tidak semua pusat IVF melaporkan peratus kejayaan IVF. Anda boleh menjadikan perkara berikut sebagai panduan atau maklumat tambahan:

1. Di Malaysia, belum ada badan atau organisasi yang mengawal semua data atau rekod IVF. Kesahihan rekod kejayaan rawatan yang dipaparkan adalah dikawal pusat IVF terbabit, tanpa ada badan, peraturan atau undang-undang yang menyelia kesahihannya.

Untuk perbandingan, di Jerman, terdapat satu sistem perisian kebangsaan (Rec-Date) yang mewajibkan setiap wanita yang menjalani IVF didaftarkan dan dipantau hasilnya.

Di United Kingdom pula, terdapat jawatankuasa kebangsaan (HFEA) yang menyelia pusat IVF yang berdaftar dengannya. Di Amerika Syarikat pula, hanya beberapa negeri saja yang mempunyai panduan atau peraturan sendiri.

2. Peluang kehamilan juga bergantung kepada bilangan embrio yang dimasukkan pada sesuatu masa. Memandangkan di negara kita, kos IVF ditanggung sepenuhnya oleh pasangan, keghairahan mendapatkan kehamilan (yang bersifat kos efektif dalam masa singkat) menyebabkan doktor mahupun pasangan sendiri cenderung memasukkan embrio dalam bilangan yang lebih.

Pada masa sama, ia dapat meningkatkan populariti mereka dalam menghasilkan kejayaan kehamilan mahupun kehamilan kembar, tanpa mengambil kira kesan jangka panjang (risiko kehamilan kembar, risiko kelahiran kembar, kembar berganda melebihi dua, kos menampung atau membesarkan anak-anak kembar sehingga ke peringkat universiti dan seumpamanya).

Sebagai perbandingan, di Sweden, diwujudkan undang-undang memasukkan hanya satu embrio pada IVF kali pertama dalam wanita yang berusia 35 tahun atau lebih muda dan tidak mempunyai penyakit berkaitan.

Amalan memasukkan hanya satu embrio saja semakin menjadi rutin di kebanyakan negara Eropah kini. Di Amerika Syarikat pula, tiada undang-undang menetapkan bilangan maksimum embrio dimasukkan, sesetengah negeri pula mencadangkan kemasukan maksimum lima hingga enam embrio pada satu masa.

3. Pengalaman lazimnya mempengaruhi kejayaan. Lebih banyak IVF dilakukan oleh sesuatu pusat atau seseorang doktor, sepatutnya kejayaan kehamilan lebih meningkat. Pusat IVF luar negara yang berprestij melakukan antara 1,500 hingga 2,500 kes IVF setahun.

Di Pusat Kesuburan Hamburg (FCH), Jerman, contohnya sebanyak 2,000 kes IVF dilakukan setiap tahun oleh sekumpulan tiga doktor. Di Malaysia, bilangan ini jauh lebih rendah, hanya 100 hingga 300 kes saja setahun, bilangan ini mungkin tidak mencerminkan aliran kejayaan sebenar sesebuah pusat.

4. Peratus kejayaan IVF ditafsirkan dalam beberapa cara. Kaedah terbaik adalah menyatakan peratus kejayaan kehamilan klinikal secara nisbah terhadap bilangan IVF yang dilakukan.

Untuk makluman, kehamilan klinikal bermakna kehamilan yang disahkan secara pemeriksaan ultrabunyi. Anda juga boleh melihat peratus kehamilan kembar bagi menilai secara tidak langsung kecenderungan memasukkan lebih embrio sesuatu pusat IVF, peratus kejayaan mereka secara amnya akan nampak lebih tinggi.

Bagi doktor atau pusat IVF yang tidak mengamalkan kaedah sperma penderma, ovum penderma dan ibu tumpang pula, tidak mustahil jika peratus kejayaan mereka nampak lebih rendah.

Begitu juga pusat IVF kerajaan yang mungkin terpaksa mengehadkan keperluan IVF kepada kuota tertentu memandangkan sebahagian kos rawatan ditanggung kerajaan, tidak mustahil jika peratus kejayaan mereka juga menjadi rendah, ini tidak bermakna mereka kurang bagus.

Beberapa perkara di atas adalah kemungkinan saja, ia tidak semestinya begitu. Asalkan anda mendapatkan rawatan kesuburan daripada pakar sakit puan yang terlatih sehingga ke tahap rawatan IVF (secara latihan formal ataupun melalui pengalaman bekerja), anda sepatutnya mendapat rawatan dan peluang optimum.

5. Kejayaan IVF lebih bergantung kepada usia wanita kerana kualiti telur yang dikeluarkan juga menurun. Seeloknya anda meneruskan rawatan kesuburan kerana lebih lama anda menunggu, lebih banyak ubat kesuburan yang perlu diambil, namun peluang kejayaan sebaliknya menurun.

Anda dinasihatkan tidak berputus asa, meneruskan rawatan di pusat IVF anda sekarang, semoga anda akan memperoleh kejayaan kehamilan dalam percubaan kedua.

Ia lebih baik daripada bertukar doktor yang mungkin akan mengulangi ujian serta menambah perbelanjaan anda. Sebagai permulaan kembali, eloklah anda bertanya peratus kejayaan kehamilan klinikal IVF bagi kumpulan wanita berpenyakit endometriosis seusia anda, angka ini sebenarnya adalah lebih tepat.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Rabu, 18 Februari 2009

Malu Payudara Tak Sama Besar

SOALAN:

SAYA berumur 23 tahun dengan ketinggian 159 sentimeter dan berat 46.5 kilogram. Saya masih belajar di institusi pengajian tinggi.

Saya pernah mendengar masalah mengenai payudara tidak sama besar yang dianggap biasa tetapi masalah saya agak ketara kerana ia umpama perbandingan antara buah epal dengan buah rambutan iaitu payudara kiri lebih besar daripada payudara kanan.

Saya terpaksa meletakkan tisu supaya ia nampak sama besar tetapi tentunya ia tidak kelihatan seperti bentuk semula jadi.

Ini menyebabkan saya terlalu rasa rendah diri lantas mengambil keputusan untuk tidak mahu berkahwin. Adakah ini kanser? Jika saya ingin mendapatkan rawatan, berapakah anggaran kos rawatan memandangkan saya masih belajar.

Aku Malu
Kedah.


JAWAPAN:

Perbezaan saiz payudara yang ketara lebih lazim berlaku di kalangan ibu yang menyusukan badan yang cenderung menyusu dari sebelah payudara saja.

Ini kerana bayi mungkin lebih 'menyukai' sebelah payudara saja. Akibatnya payudara yang menyusukan bayi itu lebih besar berbanding payudara yang tidak digunakan untuk susuan.

Dalam keadaan ini, ibu terbabit digalakkan memulakan penyusuan daripada payudara yang kecil sehingga bayi menolaknya kemudian barulah disambung penyusuan daripada payudara yang besar.

Amalan ini digalakkan berdasarkan teori merangsang payudara. Anda mungkin boleh mencuba teknik rangsang manual (menggunakan tangan anda) ini ke atas payudara yang kecil.

Kaitan dengan kanser kecil ada kemungkinannya lebih-lebih lagi jika anda sememangnya mengalami masalah ini sejak awal kedatangan haid dulu.

Bagaimanapun, pemeriksaan fizikal dan imbasan ultrabunyi ke atas payudara dapat membantu mengetepikan kemungkinan barah dan menghentikan kerisauan anda.

Pembedahan untuk membesarkan payudara lazimnya dilakukan pakar bedah plastik, kosnya berbeza-beza mengikut keperluan namun secara amnya mencecah ribuan ringgit.

Pengambilan ubat-ubatan pula lazimnya memberi kesan sistemik ke atas kedua-dua belah payudara, ia juga mempunyai kesan sampingan tersendiri. Untuk permulaan, anda boleh berjumpa dengan pakar bedah am untuk mendapatkan nasihat lanjut.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Pengantin Baru Cepat Letih

SOALAN:
Saya berusia 24 tahun dan baru berkahwin empat bulan lalu. Masalahnya setiap hari saya sakit perut, loya dan muntah-muntah kadang-kadang ia diikuti 'gelap mata'.

Keadaan ini berlarutan selama lebih sebulan dan sering berlaku pada waktu pagi, tengah hari dan malam, yang berlarutan sehingga tiga jam.

Sudah ramai doktor saya temui tetapi masih tidak tahu puncanya dan selalu memberikan ubat penahan muntah serta vitamin. Saya juga cepat letih dan penat walaupun berehat ketika masalah ini berlaku.

Untuk pengetahuan doktor, saya mengalami masalah kitaran haid tidak tetap. Sejak empat hingga lima bulan lalu, saya tidak didatangi haid. Jika pendarahan haid berlaku, saya sering mengalami senggugut.

Baru-baru, ini saya ke klinik pakar sakit puan dan disarankan melakukan ujian darah supaya dapat melihat tahap hormon. Ujian pemeriksaan ovari menggunakan ultrabunyi menunjukkan ovari saya normal.

Adakah keadaan muntah-muntah itu berkaitan hormon saya? Adakah ia mungkin disebabkan hubungan bersama suami memandangkan saya mengalami masalah ini sebulan selepas hubungan seks?

Apakah rawatan yang sesuai untuk mengatasi masalah ini?

Zura
Shah Alam, Selangor

JAWAPAN:
Jarang sekali masalah sakit perut, loya dan muntah yang anda alami setiap hari disebabkan masalah hormon keperempuanan. Kitaran haid yang tidak teratur dan jarang-jarang pula sebaliknya mungkin mempunyai kaitan dengan gangguan hormon keperempuanan akibat pengeluaran telur (ovulasi) yang tidak dapat berlaku secara teratur setiap bulan.

Begitu juga dengan senggugut yang boleh mempunyai kaitan dengan gangguan hormon apabila ovulasi tidak dapat berlaku.

Pemberian ubat penahan muntah perlulah bersifat sementara saja untuk meredakan keadaan anda, yang sama penting adalah untuk mencari punca lebih-lebih lagi apabila anda juga mengalami pitam.

Untuk mengaitkan keadaan muntah-muntah ini dengan hubungan seks juga kurang sesuai memandangkan ia dialami setiap hari dan bermula sebulan selepasnya, kecuali jika anda sebenarnya hamil.

Kemungkinan anda hamil perlu diselidiki segera. Jika anda positif hamil, pemeriksaan lanjut untuk mengesan lokasi kandungan anda amat perlu bagi memastikan ia bukan kandungan ektopik (luar rahim) yang boleh terletak di dalam tiub falopio atau ovari atau di dalam abdomen dan seumpamanya.

Kehamilan ektopik yang mula mengalami pendarahan dalaman akibat merekah boleh menyebabkan tanda seperti yang anda alami, dalam tempoh lama ia boleh menyebabkan keadaan kehamilan ektopik kronik.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my