Peminat Setia

Jumaat, 27 Mac 2009

Ketumbuhan 'Dekat Rahim'

SOALAN:
Saya berusia 22 tahun dan pernah menggugurkan bayi tahun lalu kerana tidak bersedia dari segi kewangan.

Waktu pengguguran itu, doktor beritahu saya mempunyai ketumbuhan dekat rahim. Doktor pakar turut mengesahkan ketumbuhan bersaiz 10 milimeter (mm) x 60 mm lalu menyarankan saya melakukan pembedahan.

Bagaimanapun, saya tidak hadir ketika hari pembedahan. Adakah ketumbuhan itu akan membesar? Adakah cara lain untuk membuangnya selain pembedahan? Apakah punca ketumbuhan itu? Adakah saya boleh hamil lagi?

Rini,
Batang Kali, Selangor


JAWAPAN:
Anda tidak menyatakan dengan pasti lokasi ketumbuhan terbabitt, dekat rahim boleh bermaksud pada rahim atau berhampiran rahim.

Doktor anda mungkin sudah memberitahu nama ketumbuhan berkenaan serta apa yang akan dibuang ketika pembedahan itu. Jika ada, ia lebih mudah untuk dibincangkan.

Ketumbuhan dalam dinding rahim atau dalam ovari lebih berbentuk bulat atau hanya sedikit lonjong. Ketulan berbentuk lebih lonjong seperti yang anda nyatakan (10 mm x 60 mm) pula jarang berada dalam rahim atau ovari. Sukar untuk meneruskan perbincangan tanpa mendapat maklumat lebih lanjut.

Anda dinasihatkan menjalani pemeriksaan doktor untuk mengetahui perubahannya. Usia anda yang masih muda memberi anda peluang kehamilan yang tinggi.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Sering Terasa Keluar Angin

SOALAN:
Saya berusia 18 tahun dan kerap terasa angin keluar daripada kemaluan saya. Walaupun angin itu keluar dengan sedikit, ia kerap berlaku sewaktu saya bergerak seperti berjalan atau duduk.

Masalah ini sangat mengganggu saya kerana saya sering sangsi ketika menunaikan solat memandangkan tidak pasti sama ada air sembahyang sah atau tidak. Apakah punca masalah ini dan bagaimana cara mengatasinya?

Ifa,
Mukim Siong, Baling, Kedah



JAWAPAN:
Dalam posisi tertentu, angin dari luar boleh 'disedut' memasuki faraj, angin ini juga akan keluar semula kemudian. Anda mungkin dapat mengenal pasti posisi ini dan kini cuba mengubah posisi untuk mengelakkan kemasukan angin.

Di samping itu, anda juga boleh mula mengamalkan senaman kegel (senaman otot pelvis) untuk menguatkan otot pelvis anda. Jika ia berterusan, anda perlu berjumpa doktor.

Terdapat beberapa penyakit yang menyebabkan angin keluar dari faraj. Contohnya penyakit fistula rekto-vagina yang boleh menyebabkan angin dan najis keluar melalui faraj.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Rabu, 11 Mac 2009

Keluar Darah Selepas Bersama

SOALAN:
Saya berumur 25 tahun dan berkahwin setahun lalu. Saya dan suami tinggal berasingan kerana soal kerja dan kami bertemu hanya sebulan sekali. Cuma, setiap kali melakukan hubungan, alat kelamin saya berdarah.

Adakah ia normal? Adakah ia berkaitan dengan selaput dara? Saya juga mengalami masalah keputihan berbau dan keluar dengan banyak. Ia berwarna agak kehijauan. Saya sebenarnya malu untuk ke klinik mendapatkan rawatan. Apakah yang harus saya lakukan?

Sha,
Ipoh.



JAWAPAN:
Pemeriksaan dalaman oleh doktor dapat mengenal pasti punca pendarahan terbabit. Pendarahan dari bahagian dalaman kemaluan tidak semestinya berpunca daripada koyakan selaput dara saja.

Ia juga merupakan laluan untuk pendarahan disebabkan penyakit rahim (uterus), pintu rahim (serviks), faraj (vagina), selaput dara ataupun tiub falopio (ini jarang berlaku). Pendarahan selepas hubungan seks pula mungkin lebih berkemungkinan daripada penyakit atau luka pada serviks, vagina atau selaput dara.

Sewaktu pemeriksaan dalaman, penggunaan alat spekulum membolehkan doktor melihat secara langsung keadaan dalaman kemaluan anda sehingga ke bahagian penghujung atas permukaan vagina dan permukaan serviks.

Pada masa sama, ujian pap smear juga boleh dilakukan di samping pengambilan sampel lelehan yang anda alami bagi ujian kultur dan sensitiviti untuk mengesan kuman bakteria serta kulat. Lelehan warna kehijauan lazimnya berpunca daripada jangkitan kuman trichomonas, namun ia tidak semestinya begitu.

Jangkitan trichomonas boleh membabitkan vagina serta serviks menyebabkan vaginitis dan servisitis, saluran kencing uretra wanita dan lelaki, ia juga boleh menghasilkan luka ulser kecil pada dinding faraj dan serviks. Bagaimanapun, ia tidak dikesan melalui ujian kultur jika ia sejenis organisma protozoa.

Penting untuk mengetahui sama ada anda mengalami jangkitan kuman ataupun tidak. Jika ada, apa jenis kuman terbabit serta rawatan bersesuaian.

Selain itu, adakah jangkitan ini bersifat dijangkiti secara seksual kerana pasangan anda juga perlu dirawat bagi mengelakkan dia dijangkiti ataupun sebaliknya menjangkiti semula anda. Anda juga boleh bertanyakan doktor sama ada anda perlu menjalani ujian berkaitan jangkitan seksual.



Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Ibu Muda Ada Ketumbuhan di Tempat Sulit Ada Masalah Bersama Suami

SOALAN:
Saya mempunyai masalah ketika bersama suami iaitu ketumbuhan pada bahagian antara qubul dan dubur saya. Apabila kami bersama, saya mengalami kesakitan walaupun ada menggunakan sejenis pelincir sesuai.

Doktor pertama yang dirujuk menyatakan saya ada masalah buasir. Saya sememangnya bermasalah membuang air besar. Doktor kedua pula mengatakan saya hanya mempunyai daging lebih.

Tahun lalu, saya melahirkan anak pertama secara normal. Malangnya tiga petugas (jururawat dan doktor) menjahit tempat yang sudah digunting.

Mereka mengatakan kulit yang dijahit agak sensitif, maksudnya apabila dijahit, ia putus kembali. Seingat saya, sebanyak enam kali ubat bius diberikan. Doktor turut menyarankan saya mengambil pil vitamin untuk kulit.

Apakah sebenarnya ketumbuhan itu? Adakah saya perlu membuat pembedahan? Adakah cara lain untuk merawatnya?

Apakah jenis vitamin yang sesuai untuk saya? Sekiranya saya melahirkan anak lagi, adakah perkara sama akan berulang?

Safi,
Kuala Lumpur



JAWAPAN:
Berkemungkinan kedua-dua masalah tidak berkaitan. 'Ketumbuhan' yang anda maksudkan perlu disahkan jenisnya memandangkan terdapat dua pendapat berbeza.

Eloklah anda berjumpa doktor pakar, sama ada pakar sakit puan ataupun pakar bedah am untuk pemeriksaan. Sekiranya ia buasir, ia mudah diubati tetapi boleh berulang jika faktor risikonya masih berlaku (seperti sembelit, batuk berpanjangan atau kehamilan).

Bagaimanapun, buasir jarang memberi masalah ketika hubungan seks. Sekiranya ia daging lebih, ia juga boleh dibuang dan dibuat pemeriksaan histopatologi untuk memastikan jenis ketumbuhan terbabit (lazimnya bengkak lipoma).

Masalah menjahit semula kawasan kemaluan selepas bersalin boleh disebabkan oleh proses meneran yang panjang (ia mungkin tidak disedari) menyebabkan tisu atau daging berkenaan membengkak dan menjadi 'lembut' sehingga koyak semula atau ditembusi sewaktu menjahit kembali. Ia mungkin sudah sembuh sepenuhnya kini.

Pengambilan vitamin tambahan mungkin tidak perlu jika anda mengamalkan pemakanan seimbang.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Bersalin Ketika Pengsan

SOALAN:
Saya berusia 37 tahun semasa melahirkan anak keenam. Sepanjang kehamilan, saya tidak mengalami masalah dan penyakit, begitu juga dengan kelahiran sebelumnya.

Semasa pintu rahim terbuka tiga sentimeter, saya dimasukkan ubat pentamin untuk dos pertama. Tidak lama selepas itu, dos kedua diberikan. Sebaik menerima dos kedua, saya terus pengsan dan tidak sedarkan diri selama empat hari.

Menurut doktor, saya melahirkan anak secara normal. Saya mengalami pendarahan yang teruk dan uri melekat. Sebanyak 27 pain darah dimasukkan untuk menyelamatkan nyawa dan doktor terpaksa membuang rahim saya.

Persoalannya:

# Mengapa saya pengsan sebelum melahirkan anak itu? Adakah tersalah atau terlebih dos ubat?

# Bagaimana saya boleh melahirkan anak secara normal sedangkan saya pengsan? Bagaimana cara doktor mengeluarkan bayi tanpa vakum dan forsep?

# Apakah kesan jangka panjang jika seseorang wanita itu tidak mempunyai rahim?

Ana,
Kuala Lumpur



JAWAPAN:

Anda boleh menyemak semula ubat yang diberikan kepada anda dan cara kemasukannya. Ini kerana pentamin adalah sejenis ubat melawan jangkitan kuman dan tiada kaitan dengan kelahiran.

Pengsan tiba-tiba sewaktu dalam proses kelahiran boleh disebabkan beberapa perkara, lazimnya adalah kejadian embolisma pulmonari. Ini adalah salah satu antara perkara yang amat digeruni dalam dunia perbidanan kerana ia lazimnya sangat kritikal dan boleh berakhir dengan kematian.

Doktor anda bertindak pantas menangani keadaan ini, setiap saat yang berlalu amat penting untuk segera menghentikan pendarahan serta memastikan bekalan oksigen terus sampai ke organ penting dalam badan. Jika tidak, anda mungkin mengalami kegagalan fungsi organ akibat kekurangan bekalan oksigen serta pendarahan berterusan, malah mungkin tidak dapat diselamatkan.

Semuanya ini boleh berlaku dalam masa yang singkat saja. Seseorang mula merasa kesukaran bernafas, kebiruan dan terus pengsan atau rebah dalam masa hanya beberapa saat. Tekanan darahnya menjadi sangat rendah, degupan jantungnya pula menjadi laju, paras oksigennya juga menurun manakala pendarahan juga boleh berlaku.

Ini akibat sekatan pertukaran oksigen disebabkan penyumbatan oleh embolus ke paru-paru. Ini kemudiannya diikuti dengan pendarahan banyak dan uri lekang (plasenta abruptio). Perkara lain yang boleh menyebabkan seseorang pengsan adalah serangan angin ahmar, serangan jantung, sawan atau edema pulmonari.

Embolisma pulmonari adalah keadaan di mana sesuatu jisim seperti darah beku yang asalnya terdapat pada dinding vena darah kemudiannya terlekang dan memasuki aliran darah ke salur darah paru-paru dan terus menyumbatnya.

Embolisma pulmonari terdiri daripada beberapa jenis bergantung kepada apa yang menyumbatnya, jenis yang lebih mungkin berlaku pada wanita yang sedang bersalin adalah embolisma darah beku (juga disebut trombo-embolisma) dan embolisma air ketuban (juga disebut embolisma cecair amniotik). Di samping itu, terdapat juga embolisma ketulan lemak dan embolisma gelembung udara.

Kehamilan sendirinya meningkatkan risiko trombo-embolisma sebanyak sehingga lima hingga 10 kali ganda. Selain kehamilan, usia wanita, bilangan kehamilan yang meningkat, kegemukan dan penyakit darah tinggi praeklampsia juga meningkatkan risiko trombo-embolisma.

Risiko ini juga meningkat kepada 24 peratus jika wanita ini mengalami pembentukan ketulan darah trombus di dalam salurvena kaki atau DVT yang tidak dirawat. Embolisma cecair amniotik juga meningkat risikonya dengan usia dan bilangan kehamilan yang meningkat.

Selain itu, pengecutan otot atau kontraksi bersalin yang terlalu kerap dan kuat juga meningkatkan kejadian embolisma cecair amniotik. Anda lebih berkemungkinan mengalami embolisma cecair amniotik dan mengalami komplikasi pendarahan.

Malah keadaan uri melekat (yang lebih berlaku apabila usia wanita meningkat dan bilangan kelahiran bertambah), tambah memburukkan lagi pendarahan. Di kalangan wanita lain yang mengalami embolisma pulmonari, uri sebaliknya lekang sebelum kelahiran bayi menyebabkan pendarahan banyak dan bayi lemas malah boleh meninggal dunia.

Kelahiran bayi sebenarnya banyak disebabkan oleh kontraksi rahim itu sendiri dan hanya dibantu apabila seseorang meneran. Itulah sebabnya jika kontraksi rahim tidak kuat atau berkesan, seseorang akan mengalami proses kelahiran yang panjang namun bayi masih juga tidak dapat dilahirkan walaupun setelah penat meneran. Anda juga memerlukan kemasukan darah yang sangat banyak.

Dalam keadaan ini, apabila ubat-ubatan tidak berkesan dan pembedahan mengikat salur darah arteri iliak interna juga tidak berjaya menghentikan pendarahan dari rahim, rahim terpaksa dibuang.

Tidak mempunyai rahim bermakna anda tidak boleh hamil lagi. Anda juga tidak lagi didatangi haid. Ini tidak bermakna anda sudah menopaus memandangkan kedua-dua ovari anda tidak dibuang sewaktu pembedahan terbabit.

Cuma, gangguan pengeluaran telur dan penghasilan hormon keperempuanan estrogen boleh berlaku jika komplikasi pendarahan dulu menyebabkan kegagalan ovari.

Sindrom Sheehan juga sering dikaitkan dengan pendarahan wanita bersalin, apabila hormon dari kelenjar pituitari otak kurang dihasilkan.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my