Peminat Setia

Jumaat, 7 Mei 2010

Ibu Ada Hepatitis B Mahu Susukan Anak

SOALAN:
Saya ingin bertanya mengenai masalah penyusuan bayi bagi ibu yang menghidap penyakit hepatitis B. Saya menghidap penyakit ini semasa hamil anak keenam dan saya tidak menyusukan anak saya itu.

Kini saya hamil anak ketujuh dan sangat teringin untuk menyusukan anak saya yang bakal lahir pada Jun ini, apatah lagi susu saya memang banyak ditambah dengan khasiat dan kebaikan susu ibu.

Tetapi saya risau juga jika anak saya pula akan dijangkiti hepatitis B. Apakah saranan doktor?

Rohana,
Kampung Johan Setia, Klang


JAWAPAN:
Risiko anda menjangkiti bayi dengan virus hepatitis B adalah lebih tinggi melalui bendalir tubuh iaitu darah atau lelehan sewaktu kehamilan dan bersalin berbanding melalui susu badan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menyarankan penyusuan badan bagi ibu seperti anda. Bagaimanapun, eloklah anda mengambil langkah penjagaan terhadap kawasan areolar atau puting payudara daripada merekah atau luka kerana cecair luka atau darah ini lebih berpotensi menjangkitkan virus hepatitis B. Selain itu, bayi anda dan setiap bayi lain di Malaysia diberikan suntikan vaksinasi hepatitis B lazimnya dalam tempoh sehari dia dilahirkan. Suntikan ini juga dapat memberi perlindungan terhadap jangkitan virus terbabit kelak.

Anda tidak menyatakan lebih lanjut status penyakit hepatitis B anda sama ada positif terhadap hepatitis "e" antigen (HBeAg) kerana ini meningkatkan risiko jangkitan sewaktu tempoh sekitar kelahiran.

Bagaimanapun, anda masih digalakkan meneruskan penyusuan badan. Anda juga disarankan menjalani susulan bukan saja pemeriksaan antenatal tetapi juga dengan doktor bahagian perubatan dalaman.

Dipetik dari:http://www.hmetro.com.my

Khamis, 6 Mei 2010

Khasiat Halia

Apa itu halia?

Halia berasal dari Asia Tenggara dan kini ditanam secara meluas di Jamaica dan beberapa kawasan tropika. Akar halia terkenal sebagai herba yang digunakan untuk masakan dan juga perubatan. Halia telah digunakan oleh pakar herba China lebih 2,500 tahun lalu.

Khasiat halia

Sejak zaman berzaman, halia sering digunakan untuk melegakan rasa loya, masalah sukar penghadaman, artritis dan membantu melancarkan peredaran darah. Halia juga mempunyai keupayaan untuk melegakan masalah kekejangan perut. Akar halia turut membantu menyokong sistem kardiovaskular yang sihat dengan menjadikan platelet kurang pekat sekali gus mengurangkan masalah peredaran darah.

Minyak halia yang digunakan untuk mengurut membantu melegakan kesakitan akibat artritis berikutan bahan anti-radang yang terdapat dalam tanaman tersebut.

Menurut kajian, halia membantu menurunkan kadar penyerapan kolesterol di dalam hati dan darah selain mengurangkan sakit kepala atau migrain. Kandungan shogoal dan gingerol dalam halia juga mampu meneutralkan asid dalam perut, merangsang pengeluaran jus penghadaman dan juga membantu memperbaiki otot otot penghadaman.

Bagaimana menggunakan halia

>> Dihiris atau ditumbuk untuk digunakan dalam masakan.

>> Campuran akar halia dan ekstrak limau nipis membantu melegakan penghadaman. Ia juga boleh dijadikan minyak dan disapu di bahagian yang sakit.

>> Halia segar yang dibuang kulit boleh dimakan setiap empat jam tetapi tidak lebih tiga kali sehari untuk melegakan masalah perut. Teh halia boleh diminum beberapa beberapa kali sehari.

Cuba minum segelas teh halia untuk meredakan masalah selesema. Menurut kepercayaan masyarakat Cina, tenaga dalam halia dapat memanaskan paru-paru dan perut. Untuk membuat teh hali cuba resipi mudah ini.

>> 4 gelas air

>> 2 inci halia segar

>> Hirisan lemon dan madu (sebagai penambah perisa)

Kupas dan hiris akar halia. Isikan air ke dalam periuk dan biarkan ia mendidih. Tambah sehiris halia ke dalam air yang mendidih. Kecilkan api, tutup periuk dan biarkan selama lebih kurang 15-20 minit. Tapis, tambah lemon dan madu sebagai penambah perisa

Maklumat tambahan mengenai halia

Selain pelbagai khasiat yang terkandung dalam halia, berita baik kepada semua, halia tidak mempunyai sebarang kesan negatif dan selamat diambil dalam bentuk apa sekali pun.

Kapsul halia perlu diambil bersama segelas air. Halia boleh diambil sehari selepas seseorang menjalani pembedahan untuk mengurangkan rasa loya. Bagi mereka yang menjalani rawatan radioterapi atau kemoterapi, pengambilan halia mampu mengurangkan kerengsaan perut.

Lain-lain khasiat halia

>> Mengubati selesema dan asma

Pengamal perubatan tradisional mencadangkan pesakit selesema dan asma mengunyah halia segar atau minum teh halia ataupun perahan jus akar halia bersama satu camca madu.

>> Mengurangkan sakit sendi, sakit otot dan kolesterol

Sakit-sakit pada otot dan sendi juga dapat diatasi dengan penggunaan halia. Untuk otot yang sakit, minyak halia dicampurkan dengan minyak neutral lain dan digosok ke bahagian tersebut.

>> Mengubat batuk

Dengan menghisap hirisan halia dapat melegakan batuk dan gatal-gatal tekak. Amalan ini lebih mujarab jika air halia dicampur dengan sedikit madu.

>> Menghilangkan bau mulut

Halia memang berkesan menghilangkan bau mulut yang menimbulkan ketidakselesaan. Hiris halia dan rebus hingga mendidih. Biarkan sejuk seketika dan minum. Atau tumbuk halia hingga lumat dan kemudian tapis. Campur dengan air yang sudah dimasak. Amalkan minum air halia tersebut waktu pagi dan petang.

Dipetik dari:http://www.utusan.com.my

Rabu, 5 Mei 2010

Payudara Anak Tidak Membesar

SOALAN:
Anak gadis saya berumur 24 tahun, mempunyai payudara yang tidak membesar atau tidak berisi langsung.

Apa yang ada cuma puting yang sedikit kembang. Memang dia kurus tapi bahagian badannya yang lain berisi cuma bahagian dada saja yang sangat leper.

Perkara ini membuatkan dia selalu risau dan mengadu cara sebaiknya untuk mempunyai payudara yang normal. Saya pun sangat risau, bimbang kelenjar susunya tidak membentuk dengan baik. Apakah nasihat doktor?

Alyanee,
Kuala Lumpur


JAWAPAN:
Saiz payudara berbeza-beza mengikut keturunan dan susuk badan. Namun, saiz payudara tidak mempengaruhi keupayaannya untuk menghasilkan susu badan kelak.

Setiap wanita dilahirkan mempunyai antara 15 hingga 20 kelenjar susu pada setiap payudara, cuma menunggu masa untuk dirangsang perkembangannya oleh hormon sewaktu kehamilan.

Payudara boleh dirangsang pembesarannya menggunakan ubatan mengandungi hormon estrogen. Bagaimanapun, kesan sampingan hormon ini kelak boleh bersifat berbahaya, sama ada terhadap payudara mahupun organ lain yang berkaitan seperti ovari dan rahim.

Dia hendaklah menjalani pemeriksaan dan berbincang lebih mendalam dengan doktornya sebelum menggunakan ubat ini.

Dipetik dari:http://www.hmetro.com.my

Isnin, 3 Mei 2010

Gadis Alami Skizofrenia Selama 10 Tahun

SOALAN:
Saya berusia 36 tahun dan masih bujang. Saya mengalami PCOS dan skizofrenia selama 10 tahun, itulah punca saya masih bujang.

Empat bulan sekali saya bertemu doktor dan kali terakhir doktor mendapati saya mempunyai cyst, tetapi ia tidak bahaya. Adakah ia berkemungkinan kesan daripada pengambilan pil perancang Diane 35? Saya juga dalam rawatan sakit skizofrenia dan mengambil pil seperti Seroquel, Sertraline dan Benzychol. Adakah tindak balas antara ubat untuk masalah psikiatri dan ginekologi menyebabkan cyst terbabit? Kini, haid saya kembali tidak teratur, hampir dua bulan saya tidak datang haid. Mungkinkah kerana berhenti mengambil Diane 35 menyebabkan haid kembali tidak normal? Berat badan saya sekarang ialah 73 kilogram (kg) dan tinggi 150 sentimeter. Saya juga mengalami obesiti kerana berat dan tinggi yang tidak seimbang. Apakah yang harus saya lakukan?

Zeti Amirah,
Kuantan, Pahang.


JAWAPAN:
Masalah PCOS anda mungkin saling berkait dengan obesiti dan gangguan haid. Terlebih dulu anda perlu memastikan jenis cyst yang diberitahu doktor kemudian perkara tambahan terhadap PCOS yang anda alami. Untuk makluman, PCOS adalah singkatan untuk sindrom polisistik ovari yang merujuk kepada jika seseorang mempunyai dua daripada tiga perkara berikut:

# Anovulasi iaitu kegagalan pengeluaran telur dalam kitaran haidnya. Haid boleh datang akhirnya, tetapi lewat dan tidak teratur serta sedikit pula jumlahnya.

# Berlebihan hormon kelelakian sehingga menampakkan ciri seperti kulit berminyak, berjerawat serta tumbuh rerambut pada bahagian anggota yang dialami lelaki contohnya misai atau menunjukkan paras hormon kelelakian (androgen) yang tinggi dalam darahnya.

# Ultrabunyi menunjukkan kehadiran cyst dalam bilangan yang banyak iaitu melebihi 12 sehingga menjadikan ovari bersaiz besar. Cyst ini sebenarnya berasal daripada kantung folikel telur yang gagal membesar dan mencapai ovulasi. Cyst ini juga bersaiz kecil di bawah satu sentimeter setiap satunya.

Selain itu, pesakit PCOS juga boleh mengalami masalah obesiti, diabetes mellitus (kencing manis), paras kolesterol darah tinggi, penyakit jantung serta gangguan hormon insulin. Dengan ketinggian anda, berat yang dinyatakan termasuk dalam kategori obes. Sebagai permulaan, anda perlu mengurangkan berat badan kepada bawah 67 kg terlebih dulu dan meneruskannya sehingga mencapai berat ideal pula sekitar 56 kg. Ia memerlukan kesungguhan dalam kawalan pengambilan makanan dan senaman berterusan. Wanita yang mengalami PCOS dan obes mempunyai risiko mengalami diabetes dan penyakit lain di atas.

Pil Diane 35 adalah sejenis pil pencegah kehamilan. Untuk anda, ia mungkin digunakan untuk menurunkan paras hormon androhen kerana Diane 35 turut bersifat antiandrogenik. Pada masa sama, ubat ini juga boleh membantu menjadikan kitaran haid normal kerana ia menggantikan hormon progestin yang kekurangan pada diri anda. Hormon progestin perlu untuk melengkapkan pusingan haid walaupun tanpa pengeluaran telur. Secara tidak langsung, kedatangan haid hasil progestin juga menurunkan risiko hyperplasia dan kanser endometrium rahim wanita PCOS.

Saya andaikan anda mempunyai lawatan susulan dengan doktor bahagian psikiatri, bahagian sakit puan atau perubatan dalaman serta pegawai pemakanan. Bertanyalah lebih lanjut dengan doktor sakit puan anda mengenai jenis cyst yang dialami dan maklumat lanjut mengenainya seperti saiz, kandungan, serta perbezaannya dengan PCOS anda.

Dipetik dari:http://www.hmetro.com.my