Peminat Setia

Isnin, 31 Januari 2011

Endometriosis Hampir Ragut Nyawa Nadia

Selama ini saya tidak pernah menghadapi apa- apa masalah seperti senggugut ketika kedatangan haid. Pada tahun 2008 saya dimasukkan ke hospital kerana berasa sakit di bahagian kanan perut tetapi selepas beberapa ujian dilakukan dikatakan tiada apa-apa berlaku. Segala-galanya normal.

Pada Oktober tahun yang sama sekali lagi saya berasa sakit dan melakukan beberapa ujian termasuk ultrabunyi pelvis tetapi jawapan yang sama saya terima. 'Normal'.

Setahun selepas itu, saya melakukan sekali ultrabunyi pelvis. Selepas mendengar ceramah masalah yang sering dihadapi oleh kaum wanita, saya mula sedar- ada sesuatu yang saya alami.

Tahun berikutnya saya sering sakit kepala setiap kali datang haid. Kitaran haid saya ketika itu tidak mempunyai masalah. Seorang pegawai perubatan memberitahu saya, punca utama disebabkan masalah hormon dan stres yang saya hadapi.

Terdetik di hati saya mungkin ada kebenarannya dan sejak April tahun lalu saya mengalami kedatangan haid sebanyak dua kali. Ketika itu saya berpendapat ia disebabkan tekanan kerja.

Tiga bulan selepas itu, saya membuat pemeriksaan di salah sebuah klinik di Selangor kerana berasa amat sakit di bahagian perut dan belakang pinggang. Jawapan yang sama saya terima dua tahun sebelum ini, normal walaupun selepas ujian darah.

Doktor yang bertugas ketika itu menyarankan saya membuat ultrabunyi sekali lagi di hospital.

Pada 8 julai saya telah menjalani ultrabunyi di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur milik seorang doktor pakar sakit puan dan perbidanan.

Pakar radiologi telah memulakan imbasan di bahagian kanan tetapi normal dan beliau terkejut apabila mendapati sista di bahagian kiri ovari.

Beliau kemudian mengukur sista tersebut sebesar enam sentimeter dan membuat laporan. Ketika itu beliau menasihat saya segera berjumpa doktor pakar.

Keesokan harinya pagi saya berjumpa doktor pakar di klinik tersebut. Doktor itu melihat filem dan menyatakan itu adalah normal dan perlu membuat imbasan selepas haid dan menunggu selama dua bulan untuk melihat sista tersebut mengecut atau tidak.

Beliau telah memberi saya pil hormon yang dos rendah dan perlu mengambil ketika hari pertama haid. Ketika itu saya masih lagi berasa sakit di bahagian perut.

Ketika itu saya berfikir, takkan saya perlu melalui rasa sakit ini selama dua bulan, macam mana kalau ia semakin teruk?.

Selama empat hari itu saya berasa amat sakit. Saya duduk, baring dan berdiri tetap berasa sakit.

Petang itu juga saya menghubungi beberapa doktor termasuk pakar bedah payu dara untuk mendapatkan nasihat. Beberapa doktor menyarankan agar saya membuang sista tersebut dan dikhuatiri sista tersebut akan pecah."

Jangan ambil mudah

Berhadapan dengan situasi ini, Nadia Ramli, 28 hanya sebahagian wanita yang mungkin menyedari mereka mengalami masalah kesihatan.

Secara jujurnya, adakah anda tahu apa sebenarnya yang berlaku semasa haid?

Menurut Nadia, dia mencari artikel berkaitan sista di ovari dalam internet sebaik sahaja doktor memberitahunya.

Rasa sakitnya memuncak apabila dia mengalami kedatangan haid dan berasa sangat sakit di bahagian perut, belakang dan sakit kepala.

Dia kemudiannya membuat keputusan ke hospital Colombia, Puchong, Selangor untuk melakukan pemeriksaan.

Ceritanya lagi dalam nada sedih, "ketika masuk ke bilik doktor, beliau bertanya kenapa saya kelihatan stres. Saya menceritakan masalah penyakit saya dan menyerahkan filem serta laporan radiologi. Doktor melakukan ultrabunyi dan ketika itu beliau menyatakan rahim saya telah terbalik dan tidak menemui sista tersebut. Beliau ingin melakukan imbasan vagina tetapi tidak boleh. Selepas itu beliau melihat filem saya.

Beliau yakin saya mendapat endometriosis dan menyarankan agar melakukan pembedahan laparoskopi. Ketika itu saya tidak boleh berfikir dan doktor meminta saya agar tidak risau."

Pada 25 Julai 2010, dia dikejarkan ke Hospital Colombia (bahagian kecemasan) kerana mengalami sakit di bahagian perut.

Selepas pemeriksaan lanjut, Nadia disahkan menghidap endometriosis tahap tiga dan pihak hospital segera melalukan pembedahan laparoskopi.

Pembedahan tersebut berjaya menyelamatkan nyawanya. Selepas itu, doktor menyarankannya mengambil suntikan lucrin untuk memberhentikan haid selama enam bulan.

"Baru-baru ini doktor menyatakan untuk melambatkan endometriosis daripada berlaku lagi dan saya tidak merancang untuk berkahwin, saya perlu mengambil pil hormon dos rendah. Doktor menjangkakan saya akan datang haid akhir bulan ini atau awal bulan dan selepas itu saya perlu mengambil pil hormon selama tiga bulan dan berhenti sebulan dan mengambilnya semula selama tiga bulan sehinggalah saya merancang untuk berkahwin," ujarnya yang bersyukur kerana kesihatannya kini semakin pulih.

Namun, Nadia masih perlu meneruskan rawatan untuk mengelakkan penyakit ini berulang selepas dia berkahwin kelak.

Nasihatnya kepada wanita lain, "jangan ambil mudah sekiranya anda mengalami kesakitan dan sebaik-baiknya berjumpa dengan pakar perubatan yang betul. Bagi anda, masalah haid mungkin perkara biasa tetapi kita mungkin tidak tahu masalah di sebalik kesakitan yang kita alami. Justeru itu, dapatkan maklumat yang betul dan lakukan pemeriksaan segera."

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Khamis, 27 Januari 2011

Soya Kurangkan Risiko Kanser

Apabila menyebut 'kanser', pesakit pasti hanya terbayang kematian terutama di kalangan mereka yang disahkan sudah ke tahap lanjutan rawatan seperti kemoterapi atau radioterapi.

Lebih-lebih lagi, penyakit itu membawa perubahan besar gaya hidup pesakit dan juga memberikan kesan lain termasuk perubahan penampilan, emosi yang tidak menentu dan bebanan kewangan.

Kini, dengan ledakan teknologi moden dan pengesan awal terhadap pembunuh nombor satu wanita itu mampu mengurangkan risiko berlakunya kanser.

Malah bukan lagi rahsia, melalui pemakanan yang berasaskan soya ia mampu mengurangkan risiko terjadinya kanser payu dara di kalangan wanita.

Perkara terbukti apabila satu kajian secara klinikal telah dilakukan oleh Yayasan Penyelidikan Kesihatan Awam Tokyo, di bawah Kumpulan Penyelidikan Bakteria Asid Laktik dan Kanser Payu Dara.

Penyelidikan dilakukan oleh pensyarah di Jabatan Pembedahan, Universiti Kyoto, Jepun, Dr. Masakazu Toi bersama seorang pensyarah dari Jabatan Biostatistik di universiti sama, Dr. Yasuo Ohashi. Mereka mendapati pengambilan soya dan juga pengambilan minuman yang mengandungi bakteria Strain Shirota iaitu minuman susu kultur, Yakult, secara tetap dan berterusan mampu mengurangkan risiko yang boleh membawa kepada kanser payu dara.

Malah, dalam kajian yang dilakukan oleh penyelidik ini mendapati wanita yang mengambil makanan berasaskan soya dan minuman susu kultur dilihat kurang berpotensi untuk di jangkiti dengan kanser payu dara.

Kajian itu mendapati pengambilan secara tetap setiap hari produk yang mengandungi bakteria Lactobacilus casei Shirota (LcS) semenjak usia remaja mampu mengurangkan risiko seseorang wanita itu terkena kanser payu dara.

''Ini terbukti kerana komponen di dalam makanan yang berasaskan soya dan LcS mempunyai fungsi yang boleh melindungi daripada kejadian kanser payu dara dan sekali gus mengatasi masalah kesihatan di kalangan mereka yang mengambilnya,'' ujar Dr. Toi semasa membentangkan kertas kerja di Simposium kanser payu dara di San Antonio, Amerika Syarikat Disember lalu.

Beliau berkata, kajian itu mengkaji hubungkait antara pengambilan minuman yang mengandungi LcS dan makanan yang berasaskan soya dengan penyebab kanser payu dara.

Bakteria yang dinamakan (LcS) itu dapat mengawal pertumbuhan bakteria perosak dalam usus dan sekali gus mengatasi masalah kesihatan di kalangan mereka yang mengambilnya.

Beliau menjelaskan, kesan perlindungan tersebut mungkin disebabkan oleh kesan bakteria Strain Shirota ke atas mikroflora usus yang telah membantu penghadaman isoflavon soya yang berkaitan rapat dengan pengurangan risiko kanser payu dara.

''Strain Shirota juga mampu meningkatkan sistem imunisasi semulajadi tubuh khususnya aktiviti NK yang boleh menjejaskan kesan perlindungan," katanya.

Tegasnya, dalam kajian itu seramai 355 pesakit berumur 40 hingga 55 tahun yang menjalani pembedahan kanser payu dara dari tempoh Oktober 2007 hingga Mac 2009 dan 710 orang yang sihat yang tinggal di kawasan yang sama dan berumur sebaya dijadikan objek dalam kajian tersebut.

''Mereka dikaji berdasarkan kepada diet dan gaya hidup sejak masih remaja lagi dan semasa dewasa.

''Hasilnya, didapati sebanyak 30 peratus risiko kanser payu dara dapat dikurangkan bagi mereka yang mengambil minuman yang mengandungi bakteria asid laktik iaitu susu berkultur Yakult sebanyak empat kali atau lebih seminggu, berbanding dengan mereka yang mengambil tiga kali atau kurang dalam seminggu," kata Dr. Toi.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Ahad, 23 Januari 2011

Halia Hutan Cegah Sel Kanser Pangkal Rahim

Bahan ekstrak halia hutan atau lempoyang boleh digunakan sebagai penawar kanser pangkal rahim iaitu penyakit kedua paling ditakuti wanita selepas barah payu dara.


Penemuan itu adalah hasil penyelidikan selama 10 tahun Makmal Penyelidikan Kanser Makna, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mendapati tumbuhan herba liar tersebut terbukti mampu melawan sel kanser pangkal rahim pada peringkat awal.

Penyelidiknya, Dr. Ahmad Bustamam Abdul berkata, kajian makmal menunjukkan penggunaan spesies halia itu dalam dos yang betul boleh menyembuhkan penyakit dalam tempoh tidak sampai 72 jam.

Katanya, kajian praklinikal membuktikan sebatian semula jadi herba tempatan itu mampu menghalang perkembangan kanser sehingga fasa tiga.

Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 19 Januari 2011

Keluar Keputihan Berketul-Ketul

SOALAN:
Saya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Masalah saya adalah di bahagian alat sulit.
Sejak beberapa bulan lalu, saya sudah lama tidak bersetubuh dengan suami kerana kami tinggal berjauhan dan bekerja.

Bulan lalu saya balik ke kampung untuk menyambut musim perayaan bersama keluarga.

Satu malam selepas bersetubuh dengan suami, saya rasa gatal di luar faraj, tidak lama kemudian ada keputihan yang mengalir keluar berketul-ketul.

Bagaimana caranya untuk saya menghindari masalah ini daripada terus gatal dan menghentikan ketulan putih itu?


Angela,
Kuala Lumpur


JAWAPAN:
Lelehan dari faraj yang berkait dengan kegatalan lazimnya petanda jangkitan kuman pada kawasan faraj.

Geselan yang berlaku sewaktu hubungan seks boleh memindahkan kuman sama ada dari permukaan kulit bahagian kemaluan suami, atau dari permukaan kulit berhampiran kemaluan anda sendiri.

Sekiranya benar, rawatannya adalah secara ubat jangkitan, bergantung kepada jenis kuman berkenaan.

Doktor anda akan memberikan ubat antikulat atau antibiotik terlebih dahulu sementara menunggu hasil keputusan ujian makmal.

Ujian yang dimaksudkan adalah ujian kultur sampel yang diambil dari dalam faraj, bukan sahaja jenis kuman dapat diketahui malah jenis ubat yang sesuai turut disarankan.

Setelah sembuh, untuk mengelakkan jangkitan sedemikian, anda boleh mengamalkan langkah penjagaan bahagian kemaluan dengan mengesatnya dari hadapan ke belakang setelah membuang air kecil atau besar.

Anda juga boleh bertukar kepada pakaian dalam yang dibuat daripada kain kapas (mudah menyerap peluh), lebih kerap menyalin pakaian dalam, meminum air mencukupi dan tidak mencuci sehingga ke dalam faraj kerana perubahan pada kawasan ini sebaliknya boleh mengundang jangkitan kuman baru pula.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Sabtu, 15 Januari 2011

Tiga Bulan Demam Panas

SOALAN:
Saya mendirikan rumah tangga pada usia 21 tahun dan hamil selepas empat bulan berkahwin tetapi keguguran ketika kandungan berusia dua bulan.

Saya mengalami demam panas setiap malam selepas keguguran sehingga kini iaitu hampir tiga bulan saya demam. Saya sudah berjumpa dengan doktor pakar sakit puan tetapi katanya itu masalah biasa seperti orang bersalin.

Saya juga mengalami kegatalan yang serius pada bahagian alat sulit saya.

Apakah sebenarnya masalah yang saya hadapi?

Meera,
Kedah


JAWAPAN:
Demam lazimnya adalah satu petanda jangkitan kuman. Walaupun begitu, ia jarang bertahan selama tiga bulan tanpa mengakibatkan kesan teruk kepada penghidapnya. Ia juga tidak memilih pada waktu tertentu sahaja misalnya malam.

Dalam keadaan anda yang baru lepas keguguran, pemeriksaan doktor dilakukan untuk memastikan demam itu tiada kaitan dengan komplikasi keguguran dahulu contohnya jangkitan kepada rahim (endometritis), ataupun sebab keadaan lain yang tiada kaitan dengan keguguran.

Demam juga mungkin bukan petanda jangkitan kuman tetapi masalah lain. Mungkin terdapat salah faham mengenai alasan demam panas selama tiga bulan adalah perkara biasa bagi orang bersalin, saya belum pernah membaca mengenai perkara ini.

Bagi wanita yang sedang hamil, panas tubuh badan (bukannya demam) adalah suatu kemungkinan akibat perubahan hormon.

Tidak salah untuk anda berjumpa semula doktor anda atau mendapatkan pemeriksaan doktor kedua untuk kepastian. Anda juga mungkin boleh membuat pemantauan sendiri menggunakan alat termometer yang mudah dibeli di farmasi dan mengambil suhu badan anda pada waktu malam dan pagi.

Ujian lanjutan seperti ujian darah boleh dilakukan tetapi rumusan bukan boleh dibuat berdasarkan satu jenis ujian sahaja.

Anda juga dinasihatkan mengutarakan semula masalah kegatalan pada bahagian kemaluan anda, lebih-lebih lagi jika ia berada pada tahap serius seperti yang anda nyatakan.

Kegatalan sebegini lazimnya sudah pun memberi perubahan kepada bahagian terbabit. Pemeriksaan doktor dapat membantunya membuat diagnosa berdasarkan ciri-ciri perubahan yang berlaku.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Isnin, 10 Januari 2011

Wanita Hamil Risau Berat Badan Meningkat Teruk

SOALAN:
Saya kini hamil enam minggu. Berat saya 63 kilogram dan tinggi 160 sentimeter. Sewaktu hamil sebelum ini, berat saya mencecah 80 kilogram dan anak lahir secara normal seberat empat kilogram.
Saya risau kalau berat akan bertambah lebih teruk berbanding waktu hamil sebelum ini.
Adakah perlu saya mengamalkan diet mengurangkan karbohidrat dan lemak untuk memastikan berat badan tidak terlalu naik seperti sebelum ini?

Gee,


Shah Alam


JAWAPAN:
Walaupun peningkatan berat sepanjang kehamilan boleh mencapai sekitar 25 peratus daripada berat badan asal (seperti yang anda alami iaitu sebanyak 27 peratus), ia hanya sebagai panduan saja.

Berat badan 80 kilogram (kg) ke atas adalah salah satu faktor risiko penyakit diabetes mellitus (kencing manis) sewaktu kehamilan.

Atas sebab itu, wanita hamil yang mencapai berat badan 80kg ke atas disarankan menjalani ujian darah toleransi glukosa yang lebih dikenali sebagai MGTT.

Anda juga melahirkan bayi seberat empat kilogram, ini termasuk dalam kategori makrosomia (bayi bersaiz besar) dan berkemungkinan ada kaitan dengan penyakit diabetes mellitus yang tidak dikesan sebelum kelahiran.

Malah, doktor mungkin tidak menyangka bayi anda seberat itu daripada saiz rahim mahupun pemeriksaan ultrabunyi.

Kadangkala sukar untuk mengagak berat janin dengan hampir lebih-lebih lagi jika ibu bersaiz besar ataupun jika saiz janin itu sendiri yang terlalu besar, ralat ukuran melalui ultrabunyi boleh tersasar sehingga satu kilogram.

Jika dikesan atau disyaki bersaiz besar, doktor akan melakukan pemeriksaan lanjutan iaitu melihat struktur organ janin dengan lebih terperinci, indeks air ketuban, ujian MGTT dan menasihati anda menjalani pembedahan Caesarean bagi mengelakkan trauma kelahiran terhadap anda dan bayi.

Pengambilan karbohidrat dan gula ringkas serta lemak bagi sesiapa saja eloklah dihadkan (bukan dihentikan) mengikut keperluan piramid makanan.

Anda boleh mengambil makanan dengan kandungan kalori berjumlah kira-kira 1,200 hingga 1,800 kcal sehari berpandukan kepada nasihat pakar dietetik.

Anda juga elok menjalani ujian MGTT, sekiranya normal mungkin anda diminta menjalaninya sekali lagi apabila kandungan memasuki usia 28 minggu.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Jumaat, 7 Januari 2011

Keliru Samada Alami Keguguran

SOALAN:
Saya berumur 26 tahun, berkahwin dan mempunyai anak berumur setahun sebulan. Semasa anak saya berumur tujuh bulan, saya hamil untuk anak kedua, tetapi gugur kerana ketika itu, saya sering mengangkat benda berat. Kandungan itu gugur pada tiga minggu kehamilan. 

Keguguran itu lengkap iaitu tiada yang tertinggal di dalam rahim yang boleh menyebabkan jangkitan kuman. Kini saya musykil kerana tidak didatangi haid.


Tarikh 3 November lalu adalah tarikh akhir haid saya yang bermula pada 27 Oktober. Pada 6 Disember, penguji kehamilan yang dibeli di farmasi menunjukkan saya positif. Tetapi pada 8, 9 dan 10 Disember, ada cecair keluar dari vagina berwana coklat dan kehitaman, ia juga berbau seperti darah, tetapi hanya sedikit dan tidak berlanjutan.

Adakah darah yang keluar itu menunjukkan saya mengalami keguguran? Pada masa sama, saya tetap berasa mual. Apakah pandangan doktor?



Nursaridah,

Shah Alam

JAWAPAN:
Eloklah anda berjumpa doktor untuk memastikan keadaan sekarang:


  • Sama ada benar anda hamil lagi. Ujian ultrabunyi dapat membantu mengesan kantung kandungan di dalam rahim, mengesahkan anda hamil.

    Jika kurang jelas, ujian ini dilakukan secara transvaginal. Jika kantung kandungan tidak dapat dikesan, ujian pengesahan kehamilan secara ujian darah akan dilakukan, lebih-lebih lagi anda masih berasa mual.

  • Kadangkala, ujian air kencing untuk kehamilan boleh menjadi positif walaupun sebenarnya seseorang tidak hamil. Ini dinamakan ‘positif palsu’.

    Ujian darah lebih tepat dan ia mengukur paras hormon yang sama (hCG) serta keputusannya dapat diketahui selepas beberapa jam sahaja.

  • Setelah anda disahkan hamil, status kehamilan terbabit perlu diketahui sama ada masih hamil atau sedang/sudah keguguran serta lokasi kehamilan sama ada di dalam atau di luar rahim.

  • Apabila diulangi, perbezaan paras hormon bhCG ini (sama ada meningkat ataupun sebaliknya menurun) boleh memberi maklumat sama ada kandungan itu masih ada ataupun sudah keguguran.

    Lazimnya ia diulangi selepas 48 jam untuk memberi maklumat tambahan mengenai kemungkinan kandungan terbabit jenis ektopik (luar rahim).

    Bagaimanapun jika kantung kandungan sudah dikesan, ujian terbabit mungkin diulangi selepas sehari sahaja.

  • Sementara menunggu hasil keputusan, doktor lazimnya menasihatkan anda berehat dan memberi ubat mengandungi hormon progestin untuk membantu menghentikan pendarahan.

    Anda juga mungkin dinasihatkan untuk tidak melakukan hubungan seks buat sementara waktu. Sewaktu pemeriksaan dalaman, doktor juga akan melihat keadaan permukaan pintu rahim (serviks) anda.


  • Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

    Rabu, 5 Januari 2011

    Haid Tidak Teratur Selepas Keguguran

    SOALAN:
    Saya berusia 26 tahun dan berkahwin hampir setahun lalu. Saya pernah keguguran pada usia kandungan tujuh minggu. 

    Selepas keguguran, saya belum dikurniakan anak lagi. Masalahnya, selepas keguguran terbabit, haid saya tidak teratur, kadang-kadang banyak dan berketul-ketul sehingga melebihi 15 hari. Saya ada merujuk kepada doktor di klinik swasta. Dia memberitahu peranakan saya kembang dan selepas makan ubat kecut peranakan, darah terbabit berhenti. Darah ini akan datang kembali selepas dua atau tiga bulan seterusnya padahal saya tidak mengambil makanan yang masam. Saya khuatir rahim saya jatuh dan ini yang menyebabkan pendarahan tidak berhenti. Apa yang perlu saya lakukan?

    Zie,
    Johor


    JAWAPAN:
    Anda tidak menyatakan bila keguguran itu berlaku iaitu panjangnya tempoh masalah haid ini berlaku. Sekiranya keguguran ini baru sahaja berlaku, pendarahan yang berpanjangan mungkin disebabkan oleh masalah jangkitan rahim (endometritis) ataupun sisa kandungan yang masih terlekat di dalam rahim yang juga boleh menyebabkan gangguan pembekuan darah. Sekiranya keguguran ini sudah lama berlaku, tiada sebab untuk peranakan atau rahim anda 'kembang'. Saya juga kurang faham apa yang dimaksudkan dengan rahim kembang dan ubat kecut peranakan kerana rahim hanya mengembang sewaktu kehamilan sahaja dan selepas kelahiran, saiz rahim yang berada pada paras pusat itu dijangka kembali mengecut kepada saiz asal dalam masa tidak sampai sebulan. Dalam keadaan anda yang hanya hamil selama tujuh minggu sahaja, tempoh rahim kembali kepada saiz asal dijangka lebih singkat. Eloklah anda mendapatkan pemeriksaan pakar sakit puan pula. Pendarahan berpanjangan boleh menyebabkan komplikasi lain terhadap kesihatan tubuh amnya jika dibiarkan lama.

    Istilah rahim jatuh selepas keguguran tujuh minggu usia kehamilan juga belum pernah kedengaran. Bagi wanita yang belum pernah melahirkan, sangat jarang untuk rahim jatuh, lebih-lebih lagi wanita seusia anda.

    Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

    Ahad, 2 Januari 2011

    Keajaiban 9 Bulan

    “Tahniah, anda disahkan hamil,” itulah ayat keramat yang pastinya dinantikan pasangan yang mendirikan rumah tangga terutamanya si isteri.

    Bermula daripada saat itu, pelbagai persiapan sama ada di segi luaran mahupun dalaman, dilakukan bagi memastikan anak di dalam kandungan mendapat yang terbaik.

    Bermacam-macam petua diamalkan khususnya yang disarankan oleh orang tua-tua yang lebih berpengalaman, termasuk pelbagai pantang larang sepanjang kehamilan.

    Namun, seiring dengan perubahan zaman, petua penjagaan kandungan juga melalui fasa baru dan mungkin ada antara petua berkenaan tidak lagi sesuai diamalkan kini.

    Minggu awal kehamilan adalah tempoh yang paling penting kerana pada peringkat itu embrio masih lagi belum cukup kuat.

    Pakar Obstetrik Klinik The Glasgow Holistic, Dr Low Kok Kwan, berkata emosi si ibu adalah elemen penting sepanjang tempoh kehamilan kerana ia boleh mempengaruhi emosi bayi secara langsung.

    Ibu mengandung tidak terlepas daripada berdepan sindrom kemurungan yang sering dihadapi wanita yang gagal menangani emosi mereka.

    Katanya, kerisauan dan kemurungan yang dialami ibu mengandung memberi kesan kepada saiz bayi dan juga sistem penghadaman bayi berkenaan.

    “Kebimbangan atau kemurungan yang lebih serius juga akan memberi kesan buruk kepada bayi dalam kandungan termasuk memendekkan kematangan saluran penghadaman bayi.

    “Malah, mereka juga berisiko menghadapi komplikasi ketika melahirkan anak dan memberi kemudaratan jangka panjang kepada anak mereka,” katanya.

    Wanita yang mengalami masalah itu dinasihatkan merujuk kepada pakar perubatan atau kaunselor bagi meluahkan sebarang apa yang mengganggu fikiran mereka.

    Kesihatan bayi bermula daripada dalam kandungan, jika perkembangan ketika dalam kandungan sempurna maka bayi yang dilahirkan akan mempunyai tahap kesihatan tinggi.

    Dr Low berkata wanita mengandung, terutamanya apabila kandungan memasuki usia enam hingga sembilan bulan, akan berhadapan dengan kesukaran untuk bergerak.

    Ketika itu, berat kandungan semakin meningkat dan pastinya membataskan keupayaan si ibu untuk bergerak seperti biasa.

    Masalah bengkak kaki atau edema adalah perkara biasa yang dihadapi ibu mengandung, bagaimanapun ia tidak mendatangkan masalah serius. Ia lazimnya dikaitkan dengan saiz anak dalam kandungan yang lebih besar daripada biasa.

    “Bagaimanapun, jika bengkak kaki itu disusuli dengan tekanan darah tinggi dan kencing kotor, itu menandakan wanita berkenaan menghidapi toksemia.

    “Seandainya berlarutan, keadaan ini boleh mengancam nyawa ibu dan bayi jika rawatan sewajarnya tidak diberikan,” katanya.

    Wanita mengandung patut menjalani pemeriksaan tekanan darah dan ujian air kencing secara berkala di klinik.

    Selain itu, mereka juga sering mengalami sakit pinggang dan bahagian belakang badan. Keadaan ini berlaku disebabkan kelonggaran ligamen tulang sendi dan juga postur badan yang ‘terlari’ sedikit berikutan beban yang terpaksa dibawa.

    Bagaimanapun, masalah yang dihadapi mereka boleh dilegakan dengan rehat secukupnya dan kurangkan berdiri serta jalan buat sementara waktu.

    Perkembangan bayi dalam kandungan perlu dipantau dari semasa ke semasa supaya sebarang kecacatan atau masalah pada bayi dapat dikenal pasti pada peringkat awal.

    Beliau berkata, pemeriksaan berkala adalah penting untuk meramal, mencegah dan mengesan komplikasi pada ibu dan bayi dalam kandungan.

    Malah, sama ada kita sedar ataupun tidak, sebanyak 15 peratus kandungan akan mengalami komplikasi yang memerlukan rawatan dan rundingan doktor.

    “Lazimnya, wanita akan membuat pemeriksaan selepas 12 minggu tidak didatangi haid, pengesahan kehamilan perlu dilakukan oleh doktor kerana bukan semua kes tidak datang haid disebabkan mengandung.

    “Pemeriksaan pertama ini adalah penting untuk menentukan usia kehamilan dan menganggar tarikh untuk bersalin,” katanya.

    Menurutnya, pemeriksaan imbasan bunyi diguna bagi memeriksa keadaan bayi dalam kandungan dan secara tidak langsung dapat mengesan jika ada sebarang kelainan pada kandungan.

    Imbasan bunyi adalah teknik pengimejan yang menggunakan gelombang bunyi tinggi dan dengan penggunaan komputer akan menghasilkan imej organ dalam badan.

    Pemeriksaan ini dilakukan pada trimester pertama (tiga bulan pertama) kehamilan dan pada minggu yang ke-18. Ia kemudian diulang pada minggu ke-34 untuk melihat tumbesaran janin dan kedudukan uri.

    Sepanjang tempoh kehamilan, pelbagai makanan sampingan diambil ibu mengandung, baik secara tradisional mahupun moden, semata-mata mahu memastikan bayi mendapat yang terbaik.

    Dr Low berkata masyarakat Cina sering mengamalkan pengambilan herba yang diyakini dapat memberikan kebaikan kepada si ibu dan anak dalam kandungan.

    “Namun, mereka tidak sedar ada antara herba itu tidak sesuai diambil untuk ibu mengandung dan lebih membimbangkan ia memberi kesan negatif kepada bayi.

    “Mereka dinasihatkan supaya tidak sewenang- wenangnya mengambil ubatan herba tanpa merujuk dulu kepada doktor kerana dikhuatiri membahayakan kandungan,” katanya.

    Beliau berkata penjagaan kandungan bukan hanya di segi kebaikan anak dalam kandungan tetapi turut merangkumi semua aspek, lebih-lebih lagi kesihatan si ibu.


    Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my