Peminat Setia

Jumaat, 28 Oktober 2011

Dua Kali Jalani Prosedur Cucian

SOALAN:
Saya berusia 34 tahun dan belum dikurniakan cahaya mata. Saya berkahwin pada usia 33 tahun dan hamil pada usia yang sama. Setelah kandungan saya berusia lapan minggu saya sering mengalami sakit di perut dan turun darah pada usia kandungan 11 minggu. Doktor mengambil keputusan supaya saya menjalani prosedur cucian D&C. Saya berpantang dan berurut.

Selepas tiga bulan keguguran, saya disahkan hamil lagi dan pada usia kandungan lapan minggu ke atas kesakitan yang sama berulang lagi. Saya mempunyai keputihan tetapi doktor menyatakan ia bukannya serius, cuma keputihan biasa saja dan apabila dilakukan imbasan, doktor menyatakan janin tidak membesar pada usia kehamilan 12 minggu.


Setiap kali sakit perut, saya ke klinik dan sehingga usia kandungan saya berusia 14 minggu, saya mengalami masalah sama iaitu turun darah. Doktor menasihatkan supaya saya menjalani prosedur cucian kerana takut ada jangkitan kuman. Selepas sebulan keguguran, saya ke klinik swasta untuk mendapatkan nasihat doktor dan ubat-ubatan. Doktor menjalankan ujian air kencing dan mendapati ada jangkitan kuman dan menyatakan masalah hormon.

Doktor membekalkan ubat yang berkaitan dan doktor nasihatkan supaya saya mengambil ubat untuk hamil dan mengambil ubat tahan gugur sekiranya hamil kali ini. Saya juga berurut dengan bidan dan dia menyatakan kedudukan rahim ke tepi.




Saya bimbang dan hampir setahun memendam rasa takut untuk hamil. Adakah keguguran saya ini disebabkan masalah rahim tidak kuat, jangkitan kuman berlaku sewaktu kehamilan atau masalah hormon? Apakah yang patut saya lakukan memandangkan usia saya sudah lewat?



Apakah saya perlu menunggu setahun lagi supaya rahim saya betul-betul kuat?


Adakah saya perlu mengambil suplemen lain seperti Biodex atau jus Mona Vie?

Ijan,

Terengganu


JAWAPAN:
Saya musykil dengan keadaan kehamilan anda, apakah benar anda hamil? Pada usia kehamilan lapan minggu, janin dapat dikesan dengan jelas menggunakan imbasan ultrabunyi malah degupan jantungnya juga dapat didengar menggunakan teknik Doppler (jika ada) pada mesin ultrabunyi terbabit.

Anda juga tidak memberikan maklumat lanjut mengenai pemantauan pada kandungan sejak lapan minggu sehingga hari anda turun darah (11 minggu dalam ‘kehamilan’ pertama dan ‘14 minggu dalam ‘kehamilan’ kedua). Apabila doktor mengesyaki kandungan mengalami kematian di dalam (secara imbasan ultrabunyi), kepastian akan dibuat sama ada:



  • Mendapatkan pengesahan daripada doktor yang lain.



  • Memeriksa sekali lagi setelah beberapa hari (perkembangan atau saiz janin serta degupan jantungnya).



  • Melakukan ujian darah hormon fl-hCG yang dilakukan berturutan hari atau selang sehari. Paras yang meningkat memberi petanda kandungan masih ‘hidup’ manakala paras yang menurun memberi petanda kandungan sudah tiada.

    Sekiranya anda disahkan mengalami keguguran (kandungan tidak membesar), doktor memberi pilihan sama ada untuk menunggu ia keluar sendiri atau menjalani prosedur cuci (D&C).

    Pilihan pertama memerlukan pemantauan ujian darah untuk mengesan risiko jangkitan kuman dan masalah pembekuan darah, anda tidak menyatakan sama ada anda menjalani ujian ini. Selepas ‘keguguran’ kedua, doktor anda mungkin ada menghantar isi kandungan yang dicuci itu untuk pengesahan makmal. Hasil keputusan histologi ini (singkatan HPE) mungkin sudah diberikan kepada anda.

    Setelah dua kali ‘keguguran’ berturut-turut, kebanyakan doktor mula menjalankan beberapa ujian saringan penyakit walaupun ada yang menunggu sehingga tiga kali berturut-turut. Keadaan keguguran berturut-turut tiga kali ini dinamakan keguguran berulang.

    Saya memilih untuk tidak menjawab soalan mengenai suplemen yang tidak berasaskan kajian klinikal secara statistik. Suplemen yang dilaporkan meningkatkan kesuburan adalah multivitamin yang boleh didapati di hampir semua farmasi tanpa memerlukan preskripsi doktor.

    Pun begitu, anda hendaklah memastikan kandungannya kerana berlebihan vitamin tertentu juga boleh ‘mencacatkan’ janin dan memberi kesan kepada hati anda.

    Produk yang dikatakan membuahkan kehamilan kembar tidak mustahil mengandungi bahan seperti yang terdapat dalam pil kesuburan. Ini kerana kita hanya mengeluarkan satu telur saja dalam setiap kitaran kecuali segelintir wanita yang lazimnya lebih berusia yang boleh mengalami kehamilan kembar (satu di dalam 80 atau 1.25 peratus saja).

    Memandangkan pil kesuburan dilaporkan ada kaitan dengan kanser ovari, penggunaannya penting dihadkan dos dan bilangan kitarannya seperti yang ada dalam garis panduan beberapa persatuan perubatan antarabangsa.

    Kita perlu tahu dengan terperinci mengenai jenis makanan, ubat atau produk yang kita ambil. Ini bagi memelihara daripada kesan sampingan yang mungkin hanya dikesan atau ditanggung apabila lebih berusia kelak.


  • Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

    Isnin, 24 Oktober 2011

    Darah Tak Berhenti

     SOALAN:
    Saya baru saja mendirikan rumah tangga tahun ini. Masalahnya sejak tiga bulan lalu hingga ke hari ini, saya mengalami pendarahan yang tidak henti yang mana saya perlu memakai tuala wanita setiap hari sehingga kini.

    Saya mula didatangi haid pada 7 Mei lalu dan ia masih tidak berhenti. Saya tidak tahu bagaimana amalan pada bulan puasa ini tetapi saya berpuasa dan solat seperti biasa walaupun pada masa sama, saya mengalami pendarahan.


    Saya sudah membuat ujian UPT tetapi hasilnya negatif. Saya ada berjumpa dengan doktor pakar sakit puan yang lain dan mereka hanya memberikan saya pil Diane untuk dimakan selama 21 hari setiap bulan.

    Sehingga hari ini setelah makan pil terbabit, tiada tanda perubahan. Untuk pengetahuan doktor, saya agak lemah tetapi kuatkan diri untuk menguruskan hal seharian. Saya tidak dapat mengamalkan suruhan Allah dengan baik kerana perlu kerap menukar seluar dan tuala wanita selain saya tidak dapat menjalankan tugas saya sebagai seorang isteri untuk melayan suami.



    InsyaAllah hujung tahun ini saya akan melanjutkan pengajian PhD dan perlu menyelesaikan masalah ini secepat mungkin. Adakah keadaan saya ini menyukarkan saya untuk hamil? Apakah pandangan doktor mengenai rawatan penyakit saya ini?


    Nora,
    Kuala Lumpur


    JAWAPAN:

    Kebanyakan pesakit kini lebih prihatin mengenai kesihatan mereka. Bukan saja mereka mendapatkan pemeriksaan doktor, mereka juga lazimnya bertanya lebih lanjut sekiranya tidak berpuas hati dengan penerangan yang diberikan atau pergi mendapatkan pandangan atau pemeriksaan kedua dengan doktor lain. Alam siber juga membolehkan mereka mendapatkan informasi lanjut.

    Sebagai pesakit, anda berhak mendapatkan penerangan mengenai diagnosis yang diberikan doktor, punca sebenar masalah haid anda, pilihan rawatan yang ada, pemeriksaan susulan serta penilaian mengenai peluang anda sembuh sepenuhnya juga sama ada ia memberikan kesan sampingan yang lain misalnya masalah kesuburan yang anda utarakan.

    Kebanyakan punca masalah haid adalah dari ovari ataupun dalam rahim itu sendiri, kadangkala ia boleh berpunca daripada peradangan atau penyakit serviks (pintu rahim) dan lebih jarang lagi, dari faraj.

    Walaupun ujian UPT negatif, doktor boleh mengulangi dengan ujian yang lebih tepat iaitu ujian darah bhCG untuk mengecualikan kemungkinan kehamilan atau keguguran. Anda juga mungkin sudah menjalani ujian darah yang lain serta imbasan ultrabunyi pelvis. Tidak mustahil sekiranya anda mengalami kekurangan darah (paras haemoglobin darah yang rendah) akibat pendarahan setiap hari dalam tempoh yang lama.

    Rawatan hormon perancang termasuk yang anda ambil mengandungi kedua-dua hormon estrogen dan progestin yang menyerupai tindakan hormon yang dikeluarkan oleh kedua-dua ovari kita. Hormon ini mempengaruhi pertumbuhan atau penebalan, pematangan dan pengeluaran lapisan endometrium yang membentuk haid jika kita tidak hamil.

    Rawatan hormon ini bersifat sementara untuk ‘mencantikkan’ haid anda, bukannya merawat punca asal. Sepatutnya dengan pengambilan pil perancang, haid bukan saja teratur, malah kuantitinya juga sedikit saja, melainkan jika seseorang terlupa mengambilnya mengikut aturan ataupun sebenarnya ia bukanlah masalah hormon.

    Jika masalah masih tidak selesai, anda mungkin akan diminta menjalani pemeriksaan lanjut secara pembedahan kecil menggunakan teropong kecil yang dimasukkan ke dalam ruang rahim dan mengambil biopsi jika perlu.

    Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

    Khamis, 20 Oktober 2011

    13 Tahun Tidak Datang Haid

    SOALAN:
    Saya berumur 25 tahun dan mula datang haid ketika berumur 12 tahun.

    Selepas dua kali datang haid (ketika itu haid datang teratur), sehingga kini saya tidak didatangi haid. Saya dan keluarga sudah berusaha untuk merawat penyakit saya.


    Saya juga berjumpa dua doktor pakar, tetapi tiada perubahan. Ketika saya berjumpa doktor pakar, doktor memberikan beberapa jenis ubat secara berperingkat. Saya berjumpa doktor pakar sebanyak tiga kali dan ketika membuat rawatan sebanyak tiga kali itu, doktor memberikan tiga jenis ubat berlainan mengikut kesannya.

    Apakah yang perlu saya lakukan kini? Adakah benar mereka yang mengalami masalah seperti saya ini sukar untuk hamil kelak?




    Anis,


    Shah Alam, Selangor

    JAWAPAN:
    Adakah anda maksudkan selama ini, anda hanya didatangi haid sebanya dua kali iaitu ketika baligh dan sebulan selepas itu? Adakah benar ia haid? Jika benar, setidak-tidaknya ia bermakna anda mempunyai ovari (yang mengeluarkan hormon haid), rahim (tempat pembentukan lapisan endometrium atau haid), laluan serviks (pintu rahim) dan faraj yang sempurna (laluan keluar darah haid dari rahim).

    Bagaimanapun, sekiranya haid sudah tiada untuk tempoh yang lama, kemungkinan masalah pada ovari atau bahagian lain seperti kelenjar tiroid atau bahagian kelenjar pituitari otak (yang mengeluarkan hormon pengawal) perlu diselidiki.

    Memberikan ubat mendatangkan haid hanya menggantikan hormon estrogen dan progesteron yang mungkin kekurangan atau tiada pada anda. Ia menjadikan anda seolah-olah bergantung kepada ubat terbabit.

    Ujian asas dan lanjutan perlu untuk mengenal pasti dari organ mana punca masalah anda. Ukuran rahim dan kedua-dua ovari (sama ada mengecil) dapat memberi panduan. Lazimnya ia berupa ujian darah sebelum ujian lanjutan (radiologi, ujian darah yang lain) dilakukan berdasarkan hasil ujian asas.

    Lebih elok jika anda mengetahui nama ubat yang diambil serta menyimpan salinan hasil ujian yang dijalani untuk fail bagi rujukan kemudian hari. Ia juga dapat menjimatkan dan tidak perlu diulangi sekiranya anda berjumpa doktor lain.

    Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

    Ahad, 16 Oktober 2011

    Buang Air Kecil Tidak Teratur

    SOALAN:
    Saya berumur 25 tahun dan sering mengalami masalah kerap membuang air kecil secara tidak teratur. Saya amat risau jika ia berterusan.

    Saya mengalami simptom seperti ini sejak tahun lalu. Walaupun kadang-kadang saya tidak banyak minum air, masalah ini tetap berlaku.


    Apabila saya cuba menahan, urat rahim saya terasa kembang dan agak sakit. Saya berharap doktor dapat memberikan nasihat mengenai rawatan masalah saya ini.

    Tasha,


    Kuching, Sarawak

    JAWAPAN:
    Saya kurang jelas dengan masalah membuang air kencing secara tidak teratur kerana tiada aturan pembuangan air kencing.

    Sekiranya ia adalah masalah kerap membuang air kencing, kemungkinan jangkitan kuman di dalam pundi kencing, penyakit lain atau ubat, produk, makanan atau minuman yang menyebabkan diuresis ataupun masalah saraf yang mengawal pembuangan air kencing. Anda boleh memilih untuk berjumpa pakar sakit puan terutama uro-gynae ataupun pakar pembedahan urologi untuk pemeriksaan dan ujian lanjut.

    Sebelum itu, anda mungkin ingin berjumpa doktor panel anda untuk menjalani ujian air kencing secara mikroskopik (singkatan UFEME) dan ujian kultur air kencing (C&S) kerana jika sebenarnya ia jangkitan kuman, ia mudah dirawat dengan ubat yang disyorkan daripada hasil ujian terbabit.

    Saya juga musykil anda dapat membezakan bagaimana rasanya apabila ‘urat rahim
    kembang dan sakit’.

    Rahim terletak di belakang pundi kencing, mungkin apa yang anda alami berpunca dari pundi kencing. Segeralah jalani ujian air kencing, jangkitan pada pundi kencing boleh ‘naik’ ke buah pinggang jika tidak dirawat.

    Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

    Rabu, 12 Oktober 2011

    Jerawat di Bahagian Alat Sulit

    SOALAN:
    Saya berumur awal 20-an dan belum berkahwin. Sejak belasan tahun, saya mendapat jerawat di bahagian kemaluan, tetapi pada masa itu ia tidak terlalu kerap.

    Namun sekarang, jerawat itu semakin kerap muncul iaitu boleh dikatakan ia muncul sekali dalam tempoh sebulan atau dua bulan. 


    Apakah masalah yang saya hadapi ini? Apakah bentuk rawatan yang bersesuaian?

    Shima,


    Kuala Lumpur


    JAWAPAN:
    Adakah jerawat terbabit berulang pada tempat atau titik yang sama? Kemungkinan jangkitan kuman pada kulit atau kelenjar yang tersumbat perlu difikirkan.

    Anda tidak digalakkan mencukur bulu kemaluan sebaliknya menggunting kerana mencukur boleh menyebabkan luka abrasi pada permukaan kulit yang boleh
    mengundang jangkitan kuman yang sememangnya sedia ada pada permukaan terbabit untuk masuk ke dalam.

    Selain itu, anda juga mungkin diminta menjalani ujian darah paras glukos, terutama jika ahli keluarga mempunyai penyakit diabetes.

    Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

    Sabtu, 8 Oktober 2011

    Sertai bengkel Anggun Sihat

    Tentu ramai tertunggu-tunggu bengkel Anggun Sihat Bergaya anjuran Marissa Esthethic. Kali terakhir bengkel tersebut menemui para peserta adalah pada Mei lalu di Kuantan, Pahang. Bengkel sehari yang akan diadakan pada 23 Oktober 2011 bukan berteraskan kecantikan semata-mata. Sememangnya setiap bengkel yang diusahakan Dr. Rushmini Maris Ismail menekankan kesihatan sebagai perkara pokok. Ini kerana menurut beliau, apabila sihat barulah seseorang itu boleh tampil anggun bergaya.

    ''Jika letih dan tidak bermaya bagaimana seseorang itu boleh kelihatan anggun, jauh sekali untuk bergaya,'' kata Dr. Rushmini yang berpengalaman dalam bidang perubatan dan estetik. Katanya, keuntungan bukan objektif penganjuran bengkel. Yuran penyertaan 'dibayar' balik dalam bentuk konsultasi dan ubat-ubatan selain peluang mencuba sendiri beberapa rawatan yang turut disediakan semasa bengkel.

    Beliau mahu orang ramai sedar tentang pentingnya penjagaan kesihatan terutama perkara asas yang sering dilupakan seperti aspek pemakanan. Dr. Rushmini menarik perhatian tentang kadar obesiti di negara ini yang semakin meningkat dan menjadi satu fenomena.

    Keadaan itu ada kaitan dengan hormon selain tabiat pemakanan yang perlu diperbetulkan.

    ''Kadang-kadang tidak terfikir mengapa trend restoran makanan segera di negara kita berkembang begitu mendadak.

    ''Tentu disebabkan permintaan yang tinggi di kalangan rakyat negara ini. Tetapi kita tidak kaitkan dengan perkhidmatan perubatan yang juga semakin meningkat.

    ''Jadi kita tidak sepatutnya menjadi mangsa agenda komersial dengan mengorbankan kesihatan serta wang ringgit,'' katanya.

    Menarik tentang bengkel yang bermula pada 9 pagi hingga 5 petang itu adalah peserta boleh mencuba pengimbas tulang (bone scanner) untuk mengetahui densiti tulang masing-masing.

    Bengkel yang akan diadakan di Hotel Equatorial Bangi, Selangor itu menampilkan Dr. Shaharom Sulaiman dari Thalia Clinic. Beliau akan fokus kepada pembentukan tubuh, kekal langsing dan teknologi liposuction menggunakan laser. Wakil Protherapix Sdn. Bhd penaja utama bengkel pula akan memperkatakan tentang kesihatan dalaman melibatkan jantung, tulang dan usus.

    ''Saya sendiri akan fokus kepada masalah obesiti, rawatan berkesan, hormon serta pelbagai masalah lain terutamanya yang sering dialami oleh kaum Hawa,'' katanya.

    Jangan lepaskan peluang kerana pelbagai laser turut didatangkan khas sempena bengkel untuk dicuba oleh para peserta. Sesi mekap oleh KISS Mineral Makeup juga akan diadakan bagi mereka yang ingin belajar tata rias diri. Turut ditawarkan baucer RM300, cendera hati dan kepada mereka yang mengalami masalah obesiti, boleh mencuba rawatan enzim secara percuma.

    Yuran penyertaan sebanyak RM200, berminat boleh hubungi 03-87234808 atau 013-2448484
    Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

    Selasa, 4 Oktober 2011

    Bibir Faraj Tidak Sama Saiz

    SOALAN:
    Saya berumur 30 tahun dan bakal melangsungkan perkahwinan pada akhir tahun ini. Kini saya amat risau dengan keadaan bibir faraj saya yang memanjang hanya pada sebelah kiri. 

    Adakah ia mungkin memudaratkan atau memberi kesan sekiranya saya hamil kelak?


    Nani,
    Kuala Lumpur.



    JAWAPAN:

    Keadaan kedua-dua belah bibir faraj yang tidak sama saiz ada berlaku di kalangan wanita, sama seperti keadaan tidak simetri pada pasangan anggota badan yang lain.

    Kebanyakannya tidak menampakkan perbezaan yang begitu ketara, namun ada segelintir yang jelas kelihatan sehingga memberi kesan terhadap keyakinan diri.

    Keadaan yang anda alami tidak membahayakan atau memberi kesan pada kehamilan. Jika adapun, mungkin penghujung bawahnya menyentuh dubur dan boleh menyebabkan jangkitan dari dubur ke bahagian kemaluan. Daripada sudut kesihatan yang lain, ia tidak memberikan perbezaan.

    Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my