Peminat Setia

Khamis, 29 Disember 2011

Rawatan Selepas Bersalin


Amalan berpantang selepas bersalin bukan sahaja menitik beratkan soal pemakanan ibu semata-mata tetapi juga merangkumi penjagaan tubuh badannya secara luaran dan dalaman.

Selain menjaga makan dan minum, proses mengembalikan kesegaran tubuh juga amat penting kerana seorang ibu perlu sentiasa sihat semasa menjaga bayi mereka dan bekerja semula selepas berpantang.

Namun kini, ramai yang menganggap amalan berpantang tidak lagi penting dan dianggap remeh.

Malah ada yang menganggap amalan berpantang hanyalah sesuatu yang merugikan.

Bagi wanita yang baru lepas bersalin, antara perkara yang ditekankan ialah urutan bagi menaikkan rahim atau di kalangan orang Melayu sebut sebagai sengkak rahim. Urutan ini dilakukan bagi menaikkan semula rahim yang kendur atau terjatuh semasa proses melahirkan anak.

Rawatan tradisional seperti sengkak rahim membantu mengecutkan otot-otot rahim dan menolak rahim masuk semula.

Ini dibantu dengan pemakanan yang betul seperti mengelakkan pengambilan makanan sejuk yang boleh menyebabkan urat kembang atau masuk angin.

Bertungku

Selain itu, amalan bertungku sering dipraktikkan semasa dalam pantang.

Ini kerana bertungku jika diamalkan selalu boleh membantu mengempiskan perut, menghilangkan garis kesan pembedahan untuk mereka yang baru bersalin dan memulihkan rahim yang jatuh atau 'simpan batu merian'.

Proses bertungku itu dilakukan sambil berbaring dan tungku ditekan perlahan-lahan pada sekitar perut, pangkal paha, berhampiran ari-ari, kaki, telapak kaki dan tumit.

Ia dilakukan selama satu jam dari bahagian hadapan hingga ke belakang. Jika dilakukan semasa berpantang, darah nifas akan mengalir dengan lancar selepas bertungku.

Justeru bertungku adakala diteruskan hingga keluar darah terakhir berwarna seakan-akan putih keperangan atau dipanggil darah meroyan.

Pada zaman moden ini, rawatan selepas bersalin ini bukan sahaja boleh dilakukan sendiri atau bidan di rumah, sebaliknya pusat kecantikan turut menyediakan rawatan tradisional untuk ibu bersalin seperti sauna, urutan dan tunku herba.

Di Tini Spa misalnya, menawarkan pakej rawatan bersalin di kedua-dua buah cawangan yang terletak di Ampang dan Shah Alam, Selangor.

Tidak hanya tertumpu untuk mendapatkan tubuh badan langsing, rawatan selepas bersalin ini sebenarnya penting untuk kesihatan luar dalam dalam seorang ibu.

Selain amalan tersebut, si ibu juga turut diberikan jamu dengan ramuan-ramuan tersendiri bagi menguatkan lagi kesihatan dalaman seseorang wanita.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Rabu, 28 Disember 2011

Cuba Rawatan Kesuburan IUI

SOALAN:
Sudah hampir lima tahun saya berkahwin dan masih tidak mempunyai zuriat. Saya dan suami sudah menjalani ujian kesuburan di salah sebuah hospital kerajaan.


Doktor pakar menyatakan kami subur tetapi hingga ke hari ini, saya masih tidak hamil. Doktor ada memberikan asid folik untuk tiga bulan.


Kadang-kadang saya rasa tidak sempurna menjadi seorang isteri kerana tidak mampu menjadi seorang ibu. Suami banyak membantu daripada sudut emosi dan memberi semangat kepada saya serta banyak bersabar dengan keadaan saya.


Daripada sudut pemakanan, saya tidak pernah berpantang makan termasuk buah-buahan, sayuran, nasi, roti dan susu. Ketinggian saya adalah 157 sentimeter dengan berat badan hanya 39 kilogram. Mungkin BMI saya tidak sesuai dan saya buntu mencari kaedah untuk menaikkan berat badan bagi mendapatkan zuriat.


Arnis,
Kuala Lumpur.

JAWAPAN:
Dengan ketinggian anda, berat badan yang ideal adalah di antara 47 hingga 61 kilogram, anda dinasihatkan berjumpa pakar dietetik untuk mendapatkan nasihat pemakanan bagi meningkatkan berat badan anda.

Ia mungkin berkaitan dengan masalah kesuburan anda walaupun kebanyakannya juga mempunyai gangguan haid. Kurang berat badan boleh memberi masalah apabila anda hamil kelak, sama ada terhadap anda sendiri mahupun terhadap kandungan.

Secara ringkasnya, apabila doktor mengatakan kedua-dua anda dan suami subur, ini bermakna:

- Anda mempunyai struktur faraj, rahim, tiub fallopio dan ovari yang normal.
- Ovari anda juga menghasilkan telur (ovulasi) secara teratur pada setiap kitaran. Ia dapat dipantau menggunakan ultrabunyi yang dilakukan secara berturut ataupun menggunakan ujian darah hormon.
- Kedua-dua tiub fallopio anda normal. Lazimnya, ini diketahui setelah anda menjalani prosedur memasukkan cecair melalui pintu rahim (serviks) bagi menguji sama ada ia masuk melalui kedua-dua belah tiub fallopio. Ini dapat dibuktikan secara sinaran-x (HSG) ataupun pembedahan kecil (laparoskopi diagnostik) ataupun lebih jarang lagi secara ultrabunyi (Hycose).
- Ujian air mani suami juga normal iaitu dengan kepekatan sperma sebanyak sekurang-kurangnya 20 juta bagi setiap mililiter air mani. Peratus bilangan sperma yang bergerak ke hadapan juga sekurang-kurangnya 50 peratus manakala peratus bilangan sperma yang mempunyai bentuk atau ciri normal juga sekurang-kurangnya 30 peratus.

Jika demikian, anda boleh memilih untuk menjalani rawatan kesuburan secara permanian berhadas (IUI) kerana kajian membuktikan bagi pasangan yang diperiksa dan didapati tidak mempunyai masalah berkaitan, IUI dapat meningkatkan peluang kehamilan sebanyak tiga hingga empat kali ganda berbanding peluang asal anda setelah lima tahun berkahwin iaitu sebanyak dua hingga empat peratus sahaja.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Rabu, 21 Disember 2011

Stres isteri panas baran

SOALAN:
Saya berumur 47 tahun dan isteri berusia 40 tahun. Kami telah mendirikan rumah tangga hampir 20 tahun dan mempunyai empat anak. 

Anak yang sulung berumur 20 dan yang kecil 10 tahun. Baru-baru ini, saya perhatikan dia akan cepat marah dan perilakunya agak agresif. Perkara yang remeh-temeh akan menjadi isu pertengkaran. Selalunya saya akan mendiamkan diri daripada melayan kerenahnya. Lama-kelamaan kesabaran saya tercabar juga. Kadang-kala saya dan anak-anak berasa stres dengan keadaan ini. Di sini ingin saya mendapat penjelasan doktor, adakah keadaan isteri saya ini satu penyakit dan bolehkah ia diubati serta pada doktor bahagian manakah perlu saya membuat rujukan?

Suami tertekan, Perak.

JAWAPAN:
Berdasarkan cerita saudara, susah untuk saya kesan sama ada randa-tanda itu ada hubungan dengan penyakit. Sifat cepat naik marah dan agresif ada hubungannya dengan tanda-tanda menopaus.

Kebiasaannya ia menyerang wanita berumur 45 tahun ke atas. Susah nak dikatakan sekiranya panas baran tersebut ada kaitan dengan tanda-tanda awal menopaus, Sebaiknya, bawa dia berjumpa pakar sakit puan.

Sekiranya sifatnya tidak ada kaitan dengan menopaus, mungkin anda boleh membawa isteri berjumpa dengan kaunselor perkahwinan atau pakar psikiatri.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Jumaat, 16 Disember 2011

Ketuat di Kemaluan


SOALAN :

Saya adalah gadis berumur 21 tahun, merupakan anak sulung dan tidak pernah melakukan seks. Baru-baru ini saya dapati ketuat di kemaluan (genital wart) saya berasa sakit. Ketuat itu memang ada sejak saya kecil dan meningkat dewasa.

Soalan saya, adakah mempunyai 'genital wart' itu normal? Bagaimana ia boleh tumbuh? Adakah perubahan pada ketuat tersebut disebabkan perubahan hormon? Adakah ketuat yang berdarah boleh menjadi tanda kanser servik? Bolehkah ketuat bertukar kepada malignant cell dan menyebabkan kanser di bahagian reproduktif wanita?

Terima kasih.
Gadis, Ipoh

JAWAPAN :

Daripada cerita di atas saya kurang pasti sama ada ketuat di kemaluan yang dialami itu genital wart atau tidak. Genital wart adalah tidak normal jika dialami oleh seseorang wanita. Genital wart atau kutil genitalis (Kondiloma Akuminata) merupakan kutil yang tumbuh di dalam atau di sekeliling faraj atau dubur. Ia berjangkit melalui hubungan seksual dan disebabkan oleh 'human papiloma virus'. Kebiasaannya kutil tersebut timbul selepas satu hingga enam bulan diinfeksi dan tumbuh dalam bentuk kluster dan bukannya satu sahaja. Wanita yang mengalami masalah ini disarankan menjalani ujian pap smear.

Saya yakin apa yang dialami sudah bertahun-tahun (sejak kecil lagi) adalah suatu ketumbuhan (kutil) yang jinak dan tidak bermasalah. Ketumbuhan yang ganas akan membesar dalam masa yang singkat. Kutil sebegini dikenali sebagai 'cutaneous skin tag', seperti kulit yang terlebih tumbuh. Kebiasaannya berlaku pada bahagian lipatan iaitu di bahagian leher, ketiak dan celah paha (pangkal paha). Ia tidak memudaratkan dan tidak sakit, tidak membesar dalam masa yang singkat. Selalunya ia bertangkai dan sebesar biji halba atau beras. Ia bertukar rupa dan mungkin menimbulkan kesakitan jika terluka dan diinfeksi oleh bakteria. Anda tidak memerlukan apa-apa rawatan bagi kutil sebegini. Bagi wanita yang ingin mendapat perawatan disarankan berjumpa dengan pakar kulit. Perawatan secara laser, krioterapi (pembekuan) atau pembedahan dengan bius lokal.

Untuk pengetahuan anda, sekarang sudah ada vaksin bagi mencegah diinfeksi oleh human papiloma virus. Human papiloma virus (HPV) jenis 16 dan 18 adalah penyebab utama kanser serviks bagi wanita. Vaksin yang ada di negara kita adalah Cervarix dan Gardasil. Vaksin ini boleh mencegah seseorang wanita daripada diinfeksi oleh HPV utama tersebut. Anda boleh berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat berkenaan pengambilan vaksin ini.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Isnin, 5 Disember 2011

Rehat Atasi Alahan Mengandung


SOALAN :

Saya mengalami alahan yang sangat teruk sepanjang trimester pertama kehamilan. Benarkah terdapat ubat yang mampu mengatasi masalah ini? Jika ada, adakah ubat ini akan memberi kesan terhadap kandungan?

JAWAPAN :

Kebiasaannya, wanita mengandung akan mengalami alahan dalam trimester pertama. Punca sebenar alahan sebenarnya masih kurang jelas. Kebanyakan penyelidik percaya yang alahan wanita mengandung disebabkan oleh perubahan fizikal dan aras hormon kehamilan yang dikenali sebagai 'human chorionic gonadotrophin' yang meningkat. Apabila usia kandungan mencecah trimester kedua, alahan akan beransur-ansur hilang kerana aras hormon tersebut akan berkurangan selepas trimester pertama. Bagaimanapun, ada sesetengah individu akan mengalami alahan yang berlanjutan sehingga bersalin.

Tiada ubat spesifik yang perlu diambil bagi mengatasi masalah alahan ini. Secara amnya doktor akan memberikan nasihat bagi mengurangkan simptom alahan dengan mengamalkan pemakanan yang kerap atau mengambil hidangan dalam kuantiti yang kecil supaya perut tidak kosong (contoh: setiap dua jam) walaupun anda tidak lapar. Makan apa sahaja yang anda mahu tapi elakkan dari mengambil makanan pedas, berlemak dan bergoreng. Jika tidak tahan dengan bau yang kuat ketika memasak, buka tingkap dan kipas dan mengelakkan dari mengambil kafein. Semasa peringkat ini juga seseorang wanita perlu minum air dengan kerap sehingga 10 hingga 12 cawan sehari. Bagi rutin harian pula, anda hendaklah berehat secukupnya. Pada kebiasaannya, pengambilan vitamin mengandung tidak diberikan secara rutin pada peringkat ini kerana ia mungkin menyebabkan alahan bertambah teruk. Selain dari mengamalkan panduan di atas, kebiasaannya doktor akan memberikan ubat tahan muntah (anti-emetik) jika perlu. Anda perlu dimasukkan ke wad jika alahan tersebut teruk dan mengalami simptom dehidrasi (kekurangan air dalam badan). Simptom dehidrasi adalah pening-pening, dahaga dan pengeluaran air kencing yang sedikit daripada biasa. Jika anda mengalami simptom-simptom ini, anda memerlukan rawatan dengan segera.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my