Peminat Setia

Jumaat, 27 April 2012

Wanita Perlu Disiplin Bersenam


Golongan wanita digesa mendisiplinkan diri untuk bersenam secara kerap demi meningkatkan tahap tenaga mereka.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, perkara ini penting untuk memastikan mereka mampu menjaga kebajikan suami, anak-anak dan keluarga.

‘‘Jangan asyik merungut kepenatan atau tiada masa untuk bersenam.

‘‘Paksa diri anda bersenam dan jangan memikirkan kesukarannya kerana ia sebenarnya mengurangkan keletihan anda.

‘‘Itulah rahsia kecergasan saya, saya pastikan tidak terlepas sesi bersenam kerana ia memberikan saya tenaga untuk menghadapi dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di perasmian program sukan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Kemesraan Bersukan Menjana Kehidupan Bahagia di sini hari ini.

Ia merupakan sesi penerangan mengenai lima aktiviti sukan iaitu yoga, tai chi, qi qong, gim dan badminton yang dikelolakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Biro Sukan dan Rekreasi Bakti, Puan Sri Diana Dompok.

Rosmah yang merupakan Pemangku Yang Dipertua Bakti berkata, selain amalan senaman, beliau turut memastikan pemakanannya terjaga.

Ia termasuk mengambil suplemen makanan seperti tablet bawang putih, matriks, evening primrose oil dan spirulina setiap hari.

‘‘Ia bagi pelbagai tujuan kesihatan termasuk mengekal dan meningkatkan peredaran darah, sistem ketahanan diri serta penghadaman,” ujar beliau.

Baru-baru ini, katanya, tabiat sihatnya itu ditingkatkan lagi dengan pengambilan jus hijau selang setiap hari bagi mengurangkan tahap kolestrol.

‘‘Resipinya yang terdiri daripada gabungan lima sayur-sayuran dan buah-buahan diberi oleh isteri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datin Seri Wendy Ong,” katanya.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Selasa, 17 April 2012

Tangas Kaedah Tradisional Detoksifikasi

Bertangas merupakan rawatan tradisional dan diamalkan turun-temurun oleh orang-orang tua dahulu bagi merawat bahagian sulit wanita yang baru bersalin. Bagi ibu bersalin, bertangas dapat mengaktifkan pengeluaran peluh sebagai rawatan detoksifikasi, iaitu mengenyahkan racun di dalam badan.

Selain proses tersebut, ia dapat membantu proses penyembuhan serta pengecutan alat sulit dan peranakan.

Menurut pemilik Jelitasari Spa & Beaute, Zanna Omar, selain ibu bersalin, rawatan bertangas juga boleh dilakukan oleh wanita serta gadis selepas kedatangan haid bagi membersihkan saki-baki darah haid.

“Rawatan ini jika diamalkan selalu dapat mengelakkan daripada mendapat pelbagai penyakit puan seperti keputihan, saluran sulit menjadi longgar serta berair, rahim rendah, inkontinansi dan prolaps (rahim longgar).

“Melalui rawatan bertangas juga seseorang itu dapat mengurangkan berat badan, membuang toksik dan mengharumkan bau badan,’’ katanya.

Tambah Zanna, rawatan bertangas herba yang juga dikenali sebagai bertangas kering menggunakan ramuan duri semalu bagi membantu mempercepat keluaran sisa toksik dan merawat luka pada batu merian.

Rawatan tersebut dapat memperkemaskan kedudukan merian dan memantapkan kesihatan batu merian dan pangkal merian.

Beliau berkata, jenis-jenis herba yang digunakan untuk bertangas ialah rempah-ratus, daun sirih, daun pandan, daun serai wangi dan daun mas cotek.

“Herba-herba tersebut akan dibersihkan terlebih dahulu sebelum direbus hingga mendidih di dalam periuk tanah dengan api perlahan. Wanita atau gadis yang ingin bertangas akan duduk di atas bahagian yang berlubang pada bangku kayu di mana periuk rebusan diletakkan di bawah bangku yang berlubang tadi.

“Proses tersebut mengambil masa selama 30 minit atau selama mana yang dikehendaki. Ketika proses bertangas itu, adalah lebih baik jika wanita atau gadis berselimut atau menutupi keseluruhan tubuhnya agar badan dapat mengeluarkan peluh dengan lebih cepat.

“Bagi mendapatkan hasil yang memuaskan, dapatkan rawatan bertangas seminggu sekali. Anda boleh mendapatkan rawatan tersebut yang disediakan di Jelitasari Spa dan Beaute dengan bayaran RM60 sahaja,’’ ujarnya.

Rawatan-rawatan lain yang terdapat di sini ialah urut badan aromaterapi, pelangsingan badan, urutan badan untuk lelaki (dengan temu janji), mandi jakuzi aromaterapi, susu dan bunga, mandi wap, spa, rawatan muka serta resdung dan rawatan rambut.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Rabu, 4 April 2012

10 Minit Singkir Uban

Uban yang memutih di kepala tidak semestinya petanda sudah berusia. Sebaliknya ia juga tanda penyakit yang perlu dirawat.

Kulit kepala yang kurang sihat, cara pemakanan dan stres adalah punca utama rambut beruban.

Uban juga adakalanya boleh menyebabkan kurang keyakinan diri, menjejas hubungan antara pasangan dan mengundang stres yang seterusnya membawa kepada satu lagi masalah iaitu keguguran rambut dan botak.

Merawat dan mencegah ada ketikanya lebih memudaratkan memandangkan terdapat banyak produk rawatan rambut berasaskan bahan kimia yang sebenarnya merosakkan struktur sel dan pertumbuhan rambut.

Tetapi kini penyelesaiannya sudah ada. Nutri M Black Shampoo yang dikeluarkan oleh Nutri Enterprise iaitu sebuah syarikat bumiputera yang pakar dalam pengeluaran siri produk penjagaan rambut dengan rumusan 100 peratus herba mampu menjadi penyelesai bagi masalah rambut beruban dengan cara yang murah, mudah dan berkesan.

Dihasilkan dari 19 jenis herba terpilih antaranya minyak kelapa, daun urang aring dan kayu beluru yang juga dikenali sebagai sintok mampu menyingkir uban dalam masa sepantas 10 minit. Ia semudah rutin cucian biasa dan hasilnya dapat dilihat pada cucian pertama.

Ia juga mampu mengurangkan kelemumur dan hanya perlu digunakan seminggu sekali pada bulan pertama dan dua minggu sekali pada bulan seterusnya.

Untuk mendapatkan kesan yang optimum, pengguna dicadangkan mencuba syampu Nutri M Anti Hairloss Regimen yang boleh digunakan setiap hari bagi melambatkan proses pertumbuhan uban seterusnya mengelak dan mengatasi keguguran dan kebotakan rambut di samping menjadikan rambut lebih lembut, kuat, sihat dan bersinar.

Pati bunga safron, estrak daun pudina dan akar ginseng adalah bahan utama yang terdapat dalam syampu ini selain sembilan herba terpilih yang dirumus khas bagi memberi kesan yang pantas dan menyejukkan kulit kepala

Gel esen yang didatangkan bersama syampu Nutri M Anti Hair Loss Regimen pula berfungsi mempercepatkan proses pertumbuhan rambut bagi semua peringkat usia lelaki dan wanita serta boleh digunakan setiap kali selepas mencuci rambut tanpa perlu dibilas.

Kesemua produk keluaran Nutri Enterprise disahkan bebas dari bahan kimia dan mendapat kelulusan dari Biro Pengawalan Farmasuetikal Kebangsaan,Kementerian Kesihatan. Kandungan herba yang terdapat dalam syampu Nutri M adalah bersifat telap air dan boleh digunakan tanpa was was.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my