Peminat Setia

Isnin, 30 Julai 2012

Cabaran Sihat Enam Minggu


Tanyalah kepada sesiapa sahaja yang mengalami masalah berat badan pasti mereka berkongsi impian yang sama iaitu untuk menurunkan berat badan kepada ukuran ideal.

Namun, ia bukanlah sesuatu usaha yang mudah. Untuk menurunkan satu kilogram berat sahaja memerlukan komitmen yang tinggi.

Seumpama format rancangan realiti televisyen di Amerika Syarikat yang berpengaruh di dunia, The Biggest Loser, sebuah majalah terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. (Utusan Karya), majalah iSihat mengorak langkah mengadakan satu program kesihatan yang dinamakan Cabaran Sihat 6 Minggu bersama iSihat dan Kevin Zahri yang dilancarkan 4 Oktober lalu.

Pengurus Besar Operasi Utusan Karya Sdn. Bhd., Zurzaliza Bajuri memberitahu, buat julung kalinya, iSihat menganjurkan program cabaran sihat sejak ia diterbitkan semula pada bulan Jun tahun lalu.

“Diharapkan program ini berupaya membantu golongan yang menghadapi masalah obesiti bagi mendapatkan berat badan ideal. Ia juga dapat memberi pendedahan kepada amalan gaya hidup sihat menerusi sesi bengkel dan juga perundingan oleh Kevin Zahri.

“Program ini direalisasikan seiring dengan peningkatan tahap kesedaran masyarakat negara ini mengenai perlunya menurunkan berat badan,” kata Zurzaliza sambil memberitahu bahawa kesihatan bukan semata-mata bebas daripada penyakit malah perlu disertai amalan gaya hidup sihat.

Lebih 300 penyertaan diterima dan hanya 22 peserta sahaja yang terpilih. Pemilihan peserta berdasarkan kepada berat badan peserta dan komitmen yang sanggup mereka curahkan terhadap aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

“Seramai tujuh peserta lelaki dan 15 wanita menyahut seruan ini. Penyertaan lebih ramai wanita mungkin kerana wanita lebih berani berbanding kaum lelaki.

“Kesemua peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang, daripada suri rumah hinggalah ke golongan profesional,” ujarnya.

Program cabaran iSihat mengambil masa selama enam minggu dan dijalankan pada setiap hari Sabtu bermula 8 Oktober.

Antara acara mingguan yang disenaraikan termasuklah senamrobik di gimnasium, aktiviti sukan air, merentas hutan, Amazing Race dan futsal.

Prestasi para peserta akan dipantau sendiri oleh Kevin Zahri dan pihak Kementerian Kesihatan yang akan memberikan bimbingan serta nasihat.

Dalam pada itu, Kevin Zahri memberitahu, pengadilan bukan dilakukan berdasarkan berapa banyak berat badan yang diturunkan tetapi berdasarkan komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta.

“Program menurunkan berat badan ini untuk mereka yang bekerja seperti biasa. Ia bukan bersifat jangka pendek tetapi untuk jangka masa panjang.

“Sepanjang program ini, mereka tetap menjadi guru, ayah, ibu dan pelajar tetapi pada setiap hujung minggu, mereka perlu beriadah mengikut aktiviti yang telah disusun buat mereka,” jelasnya.

Asas pemakanan

Tambahnya, untuk kurus tidak semestinya perlu ke gimnasium bersenam dan makan pelbagai jenis makanan tambahan untuk kuruskan badan tetapi seseorang itu perlu mengetahui asas pelan pemakanan dan kecergasan yang betul.

“Apa yang saya sarankan ialah, gunakan peluang selama enam minggu ini sebaik mungkin dengan mendapatkan ilmu sebanyak yang boleh. Jangan bergantung sepenuhnya kepada pihak ketiga.

“Tiada jalan pintas untuk turunkan berat badan. Ia adalah pilihan diri sendiri untuk berubah. Untuk turunkan satu kilogram, tidak susah dan tidak senang,” ujarnya sambil mengalu-alukan pembaca melayari laman webnya iaitu kevinzahri.com.

Pesannya kepada peserta, hargai dan gunakanlah ilmu yang diberikan sepanjang program itu, bukan sahaja untuk diri sendiri malah ia boleh dikongsi dengan rakan-rakan serta ahli keluarga yang lain.

Dalam pada itu, seorang peserta, Ahmad Ridzuan Shah Abdul Rahman, 29, dari Setapak, Kuala Lumpur bertekad menyertai program cabaran sihat tersebut kerana mahu menjadi lebih sihat dan cergas.

Eksekutif Teknologi Maklumat itu mahu menurunkan 15 kilogram (kg) daripada beratnya kini iaitu 136kg.

“Berat badan saya semakin meningkat kerana gemar menikmati makanan segera dan suka makan apabila berada dalam keadaan sedih serta stres.

“Salah satu sebab saya nak kurus kerana mahu berkahwin tahun hadapan,” kata anak sulung daripada enam beradik itu.

Seorang suri rumah, Erni Zainal Abidin, 28, secara berseloroh berkata, hasratnya untuk menyertai program menurunkan berat badan kerana galakan suaminya yang meminati aktres terkenal Rozita Che Wan.

“Sebelum ini saya memang aktif bersukan, namun sejak berhenti bersukan, berat badan saya naik mendadak sehingga 15kg.

“Saya sasarkan penurunan sebanyak 5kg untuk cabaran ini dan akan meneruskan usaha walaupun selepas cabaran ini tamat,” katanya.

Program tersebut mendapat penajaan daripada pelbagai pihak seperti Kementerian Kesihatan sebagai penaja utama dan rakan-rakan penaja lain iaitu FRIM, Adidas, Figos, Celebrity Fitness, BizzyBody, Gocell dan JariSpa.


Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 18 Julai 2012

Tangani Obesiti Kanak-Kanak


Pada bulan April tahun lalu, kerajaan menguatkuasakan larangan penjualan makanan dan minuman tidak berkhasiat di kantin sekolah bagi membendung risiko obesiti dalam kalangan pelajar sekolah. Langkah itu dilakukan berikutan Malaysia dilaporkan sebagai negara yang menghadapi masalah obesiti paling tinggi di Asia Tenggara dan berada di tangga keenam di Asia.
Menyedari hakikat itu, syarikat pengeluar makanan terkemuka, Nestle (Malaysia) Berhad baru-baru ini menganjurkan forum obesiti untuk meningkatkan kesedaran mengenai masalah obesiti selain membincangkan kaedah-kaedah untuk menangani masalah tersebut.
Pengarah Urusan Nestle Malaysia, Peter R.Vogt berkata, forum tersebut adalah inisiatif pihaknya untuk memberi kesedaran mengenai penyakit itu.
“Nestle telah memulakan beberapa inisiatif dengan menyediakan pendidikan mengenai pemakanan dan cara-cara mengamalkan gaya hidup sihat.
“Salah satu program yang dijalankan ialah program Healthy Kids Nestle iaitu usaha untuk mendidik kanak-kanak ke arah pemakanan dan gaya hidup sihat serta menangani cabaran kekurangan khasiat dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak,” katanya pada forum obesiti di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Peter, pada tahun 2007 pihaknya bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menjalankan satu kajian susulan mengenai status pemakanan berkhasiat dan tabiat pemakanan dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah bagi menentukan perubahan.
Kajian yang dijalankan pada tahun 2001 mendapati berlaku peningkatan sebanyak 12 peratus dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai berat badan yang berlebihan,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, peserta forum berpeluang berinteraksi dengan panel Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Persatuan Dietitian Malaysia (MDA) dan Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM).
Naib Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO), Profesor Dr. Norimah A. Karim berkata, kajian yang dijalankan bersama Nestle berhubung status pemakanan dan tabiat makan pelajar sekolah rendah di Malaysia pada tahun 2007 hingga 2008 menunjukkan satu daripada tiga pelajar sekolah rendah ke sekolah mengabaikan sarapan pagi.
Menurutnya, banyak faktor boleh dikaitkan dengan kegemukan. Antaranya termasuklah pengambilan makanan berlebihan dan kurang melakukan aktiviti kecergasan.
Makan seimbang
“Kajian yang dijalankan ke atas lebih 11,000 murid sekolah rendah menunjukkan, kanak-kanak di Malaysia mempunyai tabiat makan yang tidak sihat dan kurang melakukan aktiviti fizikal.
“Bahkan, kajian mendedahkan golongan tersebut lebih kerap makan makanan segera dan ringan. Mereka juga gemar menonton televisyen, bermain permainan kanak-kanak dan video turut menyumbang kepada peningkatan masalah obesiti,” ujarnya.
Sehubungan itu, untuk menggalakkan kanak-kanak mengamalkan cara hidup sihat mereka perlu dididik melalui corak pemakanan yang seimbang.
“Dalam konteks ini, usaha menangani obesiti bukan sahaja terletak di tangan pihak sekolah tetapi juga ibu bapa, masyarakat dan pihak berkuasa.
“Sepatutnya ibu bapa memberi galakan kepada anak-anak untuk mengamalkan gaya hidup sihat sejak kecil. Ibu bapa perlu mengajar anak-anak mereka memilih makanan yang sihat,” nasihat Dr. Norimah.
Sementara itu, Dr. Chin Yit Siew daripada Bahagian Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang membentangkan kajian mengenai risiko obesiti dan kecelaruan pemakanan dalam kalangan remaja di negara ini turut bersependapat dengan Dr. Norimah.
Katanya, golongan itu terdedah dengan risiko obesiti kerana mengabaikan pengambilan makanan dan makan mengikut hawa nafsu.
“Pendek kata, remaja Malaysia sememangnya berisiko obes kerana mengamalkan pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat,” jelasnya.
Pengarah Bahagian Pemakanan, Jabatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Rokiah Don pula berharap pengeluar makanan perlu lebih bertanggungjawab dalam memasarkan produk-produk mereka.
“Mereka perlu peka dan mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985. Sebarang iklan yang keluarkan oleh syarikat makanan di televisyen perlu mematuhi akta berkenaan supaya masyarakat kita tidak disajikan dengan makanan yang tidak berkhasiat,” jelasnya.

Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 5 Julai 2012

Sarang Burung Walit Dijadikan Sajian Harian


Rakyat negara ini digalak menjadikan sarang Burung Walit sebagai sajian harian kerana ia mengandungi zat serta baik untuk kesihatan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata, sehubungan itu, Kementerian Kesihatan akan mengadakan program kempen bagi menggalakkan masyarakat menggemari sajian Burung Walit, yang boleh dibuat sup seperti sup sirip Ikan Yu yang popular di negara ini.
Selain itu, galakan tersebut adalah bagi membantu menyelamatkan industri Burung Walit di negara ini.
"Sekarang ini harga sarang Burung Walit telah merosot daripada RM4,000 sekilogram jatuh sehingga RM1,000 lebih sahaja berikutan pengeluaran yang banyak oleh industri berkenaan," katanya selepas menghadiri majlis
sambutan Perayaan Tahun Baru Cina Bersama Orang Asli Kampung Cinta Manis dekat sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, kabinet mengarahkan Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengambil langkah sewajarnya bagi menangani masalah tersebut.
Beliau juga berkata, sarang Burung Walit belum popular sebagai sajian makanan di negara ini berbanding di beberapa negara luar.

Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my