Peminat Setia

Khamis, 27 September 2012

Kolagen Tulen


Dunia hari ini menyaksikan ramai wanita semakin ghairah mengekalkan kecantikan dan sentiasa mahu tampil muda.

Kini terdapat pelbagai dan produk untuk membantu wanita melambatkan proses penuaan serta memiliki kulit yang sempurna dan kelihatan cantik.

Antara yang terbaru di pasaran ialah produk Pure Kolagen yang merupakan kolagen asli terdiri daripada tiga aspek iaitu kulit, sendi, sel dan selaput kulit, sebagai penyelesaiannya.

Pengarah Urusan Zmasha Marketing Resources, Muzaffar Mustapha, 39, berkata, produk itu didatangkan dalam bentuk makanan tambahan yang boleh dicampurkan ke dalam minuman seperti milo, teh, kopi atau air suam.

Ia diperbuat daripada ikan kod berkualiti tinggi dan diimport dari Perancis. Terdapat 15 paket dalam setiap satu kotak yang berharga RM88 dan mengandungi 10, 000miligram setiap satu paket penyokong kekuatan kulit.

Ia juga merupakan sebahagian keperluan protein dari hujung rambut hingga hujung kaki selain sebagai penambah tenaga terutamanya pada bulan puasa.

Menurut Muzaffar, terdapat satu lagi produk iaitu Wellin yang memfokuskan kepada masalah lutut bagi memudahkan pergerakan.

Kebanyakan mereka yang mengalami masalah gout, radang sendi, masalah yang berkaitan sendi, masalah keradangan dan bengkak sendi dapat dibantu dengan makanan tambahan Wellin.

Pengambilan secara berterusan selama tiga bulan mampu memberikan kesan yang memberangsangkan.

Bagi penghidap obesiti hingga menjejaskan kesihatan lutut juga tidak perlu khuatir kerana masalah itu dapat diatasi dengan mengamalkan formula Wellin yang dikatakan mempunyai bahan kebaikan seperti boswellia yang tumbuh subur di India.

Boswellia sejenis tumbuhan yang mempunyai bahan yang mampu mencegah kerosakan tulang rawan dan sendi serta mengurangkan sel imun yang menyebabkan keradangan, meningkatkan bekalan darah ke sendi, menenangkan sendi dengan cecair sinovial. Dengan itu struktur lutut akan menjadi licin dan mudah untuk bergerak.

Setakat ini produk itu mendapat sambutan memberangsangkan dengan hampir 90 peratus pengguna telah mendapat menfaat daripadanya dan berjaya membantu masalah yang dialami melalui pengambilan secara berterusan.

Maka tidak hairanlah duta produk tersebut, angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor turut menjadi sebahagian daripada mereka yang telah mendapat manfaat daripada produk itu.

Hasil daripada penyelidikan dan testimoni pengguna, dikatakan masalah lutut tidak ada jalan pintas dan akan mengambil 'sedikit masa' untuk sembuh sepenuhnya.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Selasa, 18 September 2012

Jaga Kesihatan Perut


Kita seringkali menonton iklan di televisyen mengenai minuman yang baik untuk sistem penghadaman.
Salah satunya ialah Vitagen yang setiap botolnya mengandungi berbilion-bilion bakteria baik iaitu Lactobacillus acidophilus dan Lactobacillus casei dari makmal yang terkenal di dunia, Chris Hansen, Denmark.
Vitagen ialah minuman susu kultur yang pertama di Malaysia dan merupakan minuman susu kultur yang utama untuk 33 tahun yang lalu.
Bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran khususnya kanak-kanak mengenai perut sihat memainkan peranan penting dalam pembentukan usus yang baik, Vitagen baru-baru ini mengadakan Program Perut Sihat Vitagen (VHTP) yang berlangsung di Blue Concourse, pusat beli-belah, Sunway Pyramid, Petaling Jaya.
Program yang masuk tahun ketiga itu diadakan bermula pukul 10 pagi hingga 9 malam merupakan satu inisiatif program pendidikan pengguna bagi mempromosikan kesihatan penghadaman.
Sebagai salah satu usaha menyampaikan maklumat tentang kesihatan penghadaman kepada rakyat Malaysia, VHTP telah mengadakan satu siri pameran bergerak di seluruh Malaysia.
Pameran bergerak yang pertama telah diadakan di Mahkota Parade pada bulan Oktober dan diikuti dengan siri kedua di Sunway Pyramid.
Timbalan Pengurus Vitagen, Michael Ong memberitahu, VHTP adalah sebahagian daripada tanggungjawab korporat sosial Vitagen.
"Ia juga merupakan salah satu sumbangan ke arah memperbaiki status kesihatan rakyat Malaysia di samping menyokong usaha Kementerian Kesihatan dalam mengurangkan kelaziman masalah penghadaman di Malaysia," katanya.
Kesedaran ramai
Ketika sambutan Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia pada 29 Mei lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, menyatakan bahawa kesedaran orang ramai terhadap kesihatan penghadaman adalah tidak setara dengan penyakit lain.
Terdapat ramai yang masih kurang faham atau lebih teruk, leka dengan kesihatan penghadaman mereka.
Menyedari bahawa ia adalah perkara yang perlu diberikan perhatian segera, Vitagen berharap untuk memperkasakan orang ramai dengan informasi yang betul.
"Pameran bergerak selama lima hari tersebut menawarkan pelbagai jenis permainan dan aktiviti yang menghiburkan serta berpendidikan.
"Ia termasuk Pengembaran Penghadaman Vitagen, Cabaran Smart Vitagen, Pertarungan Bakteria Vitagen, Peraduan Mewarna Vitagen untuk kanak-kanak dan Wii Sport & Fit," ujarnya.
Di samping permainan dan aktiviti yang menyeronokkan dan interaktif, tarikan utama pameran bergerak adalah Pengembaraan Penghadaman Sihat.

Ia adalah struktur pendidikan yang menunjukkan bahagian-bahagian sistem penghadaman dengan fungsinya tersendiri dengan animasi multimedia yang menarik.
Pengunjung yang melalui struktur itu menyatakan mereka seolah-olah memasuki dunia sistem penghadaman yang menakjubkan.
Aktiviti interaktif dan animasi multimedia dalam Pengembaraan Penghadaman Sihat membantu mereka memperoleh pengetahuan berharga mengenai sistem penghadaman.
Pengunjung juga berpeluang mengukur ketinggian, berat, indeks jisim badan (BMI) dan peratusan lemak badan dalam pemeriksaan kesihatan percuma yang dijalankan oleh profesional kesihatan termasuk jururawat, pakar pemakanan dan pakar diet.
Dalam pada itu, buku panduan kesihatan penghadaman bertajuk Perut Sihat, Hidup Sihat oleh Badan Penasihat Perut Sihat (HTAB) juga diedarkan secara percuma kepada orang ramai.

Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 6 September 2012

Kandungan Ibu Tanpa Rahim


Hujung minggu lalu menjadi hari paling bermakna kepada dua wanita berusia 30-an di Stockholm, Sweden apabila berjaya memiliki rahim selepas menjalani pembedahan pemindahan uterus yang dilakukan oleh sekumpulan doktor pakar di Hospital Sahlgrenska yang terletak di barat negara itu.
Lebih menarik, mereka menerima rahim tersebut daripada ibu kandung masing-masing sekali gus mencipta sejarah sebagai pemindahan rahim daripada ibu kepada anak yang pertama di dunia.
Menurut ketua pasukan bedah berkenaan, Prof. Dr. Mats Brannstorm, lebih 10 orang doktor bedah yang berlatih bersama untuk prosedur tersebut selama beberapa tahun mengambil bahagian dalam pembedahan sukar tersebut.
Menurutnya yang juga Pakar Obstetrik dan Ginekologi di Universiti Gothenburg, rahim wanita pertama telah dibuang beberapa tahun lalu akibat kanser pangkal rahim manakala wanita kedua dilahirkan tanpa rahim.
“Keadaan dua-dua pesakit yang enggan identiti sebenar mereka didedahkan ini berada dalam keadaan baik walaupun sedikit penat selepas menjalani pembedahan.
“Sementara itu, kedua-dua ibu mereka sudah boleh berjalan dan dibenarkan pulang dalam masa beberapa hari lagi,” ujar Bransstorm.
Kes wanita ketiadaan rahim bukanlah senario baharu di Sweden, malah dianggarkan di negara itu, terdapat 2,000 hingga 3,000 wanita yang tidak dapat mengandung disebabkan ketiadaan rahim, sama ada ia berpunca daripada masalah kesihatan mahupun yang lahir tanpa rahim.
Menurut Bransstorm lagi, kualiti rahim dikawal oleh ovari dan hormon di dalam badan manusia.
Berdasarkan teori tersebut, pakar perubatan berpendapat, rahim wanita yang sudah mengalami fasa menopaus masih boleh menampung kehamilan.
Peluang kedua
Seorang penerima rahim yang dikenali sebagai Anna memberitahu, dia memilih untuk menjalani pembedahan tersebut bagi memulihkan semula fungsi badannya seperti wanita lain.
“Pengalaman mempunyai rahim adalah satu perasaan yang hebat.
“Saya gembira pembedahan pemindahan ini berjaya walaupun belum ada jaminan saya dan teman lelaki boleh menimang cahaya mata selepas ini.
“Bagaimanapun, memiliki rahim buat kali kedua adalah peluang terbaik dalam hidup saya.
“Jika saya berjaya hamil, ia adalah bonus buat kami,” ujarnya.
Walaupun pemindahan rahim antara ibu dan anak ini mencipta sejarah yang tersendiri, ia bukanlah pemindahan rahim yang pertama dalam sejarah perubatan dunia.
Ogos tahun lalu, seorang wanita kelahiran Turki, Derya Sert, 22, turut mendapat rahim selepas lebih dua dekad dia dilahirkan.
Derya dikatakan tergolong dalam kelompok 5,000 wanita yang dilahirkan tanpa rahim di dunia.
“Saya tidak pernah didatangi haid sepanjang hidup sehinggalah selepas beberapa bulan saya mendapat rahim yang didermakan oleh waris mangsa kemalangan maut,” ujarnya yang juga isteri kepada seorang mekanik kereta ini.
Mempunyai impian untuk memiliki cahaya mata, Derya bagaimanapun diuji.
Namun, selepas pertemuan dengan sepasukan doktor dari Hospital Universiti Akdeniz, dia mula memasang impian untuk bergelar ibu suatu hari nanti.
Bayi IVF
“Pada 9 Ogos lalu, nasib saya berubah apabila sepasukan doktor dari Hospital Universiti Akdeniz berjaya melakukan pembedahan pemindahan rahim yang didermakan kepada saya.
“Saya sangat gembira dan bersyukur. Rahim yang saya terima ini merupakan satu anugerah tuhan yang sangat bermakna.
“Sebelum ini doktor mengesahkan saya tidak mempunyai rahim namun saya memiliki sepasang ovari yang sihat dan boleh mengeluarkan telur seperti wanita normal.
“Sekiranya diizinkan tuhan, kami mahu menimang cahaya mata dalam masa terdekat,” ujarnya yang menghabiskan masa selama enam bulan di hospital bagi menjalani pembedahan itu.
Apa yang menarik, Derya menjadi wanita pertama di dunia menerima rahim daripada seorang penderma yang telah meninggal dunia.
Pembedahan ke atas suri rumah ini merupakan kejayaan pembedahan pemindahan rahim kedua di dunia.
Kali pertama ia dilakukan di Arab Saudi pada tahun 2000 melibatkan rahim daripada seorang penderma yang masih hidup.
Bagimanapun, pembedahan itu tidak berjaya kerana pembentukan darah beku yang banyak sekali gus memaksa doktor membuang organ berkenaan selepas 99 hari berada dalam perut penerimanya.
Pasukan doktor di Turki bagaimanapun yakin masalah itu dapat diatasi dengan menggunakan rahim orang mati kerana lebih banyak tisu dan salur darah di sekitar rahim penderma boleh dimasukkan ke dalam tubuh si penerima.
“Kami gembira kerana selepas pemindahan rahim pada tahun lalu, Derya sudah didatangi haid malah ia hadir secara konsisten. Ini bermakna, tisu daripada rahim yang dipindahkan itu hidup dan berfungsi seperti rahim biasa.
“Pembedahan ini dianggap berjaya tetapi kejayaan sebenar adalah apabila Derya melahirkan bayinya nanti,” kata ketua pasukan pakar bedah itu, Dr. Omer Ozkan.
Menurutnya, tempoh enam bulan diperlukan sebelum Derya dihantar kepada pakar-pakar sakit puan.

Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my