Peminat Setia

Sabtu, 30 April 2011

Jaga Batas Pergaulan Elak Fitnah

SOALAN:
Saya seorang isteri yang baru berumah tangga. Suami dan emak saya bekerja satu pejabat dengan saya. Saya mempunyai kawan seorang lelaki bujang sama unit dengan saya.
Sehingga hari ini saya masih berkawan dengan lelaki itu. Kami berkawan hanya di pejabat saja seperti pergi minum di kantin bersama, tetapi tidak pernah keluar di luar pejabat.


Suami dan emak mengetahui hubungan itu dan membenarkan jika saya minum dengan lelaki berkenaan. Apakah berdosa saya sebagai isteri berkawan dengan lelaki bujang itu?


Nurin, 
Penang

JAWAPAN:
Islam membenarkan pergaulan antara lelaki dan wanita dengan batas tertentu. Ini jelas apabila Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada yang diharamkan) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mentua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara mereka yang perempuan atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang lelaki yang sudah tua dan tidak keinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah al-Nur ayat 31)

Dengan mematuhi tata cara pergaulan sebagaimana yang dianjurkan dalam ayat al-Quran di atas, seseorang wanita dapat menyelamatkan dirinya daripada melakukan maksiat dan tersebar fitnah jahat.

Selain itu, perlu ada perubahan dalam hidup puan selepas berumahtangga, iaitu dengan menumpukan kepada rumah tangga dan suami. Baik kiranya keluar makan bersama suami berbanding dengan teman sejawat selepas berumahtangga.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Selasa, 26 April 2011

Lahir Anak Luar Nikah

SOALAN:
Kawan saya melahirkan anak luar nikah yang kini berusia lapan bulan. Namun dia dan teman lelakinya kekal belum berkahwin, malah merahsiakan hal itu daripada pengetahuan keluarga masing-masing.

Saya cuba menasihati mereka tetapi tidak diendahkan, malah difahamkan mereka tinggal serumah seperti suami isteri. Saya bimbang jika akan lahir lagi anak yang tidak sah taraf jika mereka terus tinggal bersama tanpa ikatan sah. Apa harus saya lakukan?


INSAN INGIN TAHU
Kuala Lumpur


JAWAPAN:
Jika seorang manusia terlanjur melakukan dosa seperti zina, mereka wajib bertaubat dan memohon ampun daripada Allah. Namun jika ada manusia yang terlanjur tetapi langsung tidak berasa berdosa atau bersalah malah berterusan melakukan dosa tersebut, dia seolah-olah mencabar larangan dan perintah Allah.

Lebih menyedihkan, mereka seperti bangga melakukan dosa apabila bersekedudukan. Jika pelbagai nasihat diberi tetapi mereka masih berdegil, saudari wajar melaporkannya kepada pihak berkuasa supaya dapat menyedarkan mereka yang bersikap angkuh seperti itu.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Ahad, 24 April 2011

Jangan Seksa Isteri Ketika Seks

Hubungan intim dengan suami isteri biar pun halal namun ada ketikanya ia diharamkan untuk dilakukan. Situasi tersebut adalah ketika isteri haid dan kedua ketika suami mahu sodomi.

Tapi hairannya biar sudah dilarang agama, masih ada suami yang tetap melakukannya. Salah satu penyebabnya adalah mungkin mereka tidak sedar akan sebab ia diharamkan.
Seks Ketika Haid Dan Risiko Endometriosis
Sekiranya hubungan intim dilakukan sewaktu isteri sedang haid, tekanan pada rahim mungkin akan berlaku dan perkara ini ada kesannya. Darah yang sepatutnya keluar melalui vagina terhalang dan malah mengalir ke rongga perut, dan mendap di sana.
Ini akan mengakibatkan penyakit endometriosis yang mana terdapat sel berupa selaput lendir rahim yang tumbuh di luar rongga rahim. Endometriosis tidak hanya menimbulkan rasa sakit yang sangat menyiksakan tetapi juga mengganggu kesuburan dan mempunyai kesan buruk bagi kesihatan organ reproduksi seseorang wanita.
Sodomi Masukkan Kembali Kuman
Di bahagian dubur bersarang pelbagai bakteria yang bersifat patogan yang kemudian dikeluarkan dari tubuh bersama feses (najis). Tindakan sodomi atau melakukan hubungan intim melalui dubur akan berpotensi memasukkan kembali kuman-kuman itu ke dalam tubuh dan menimbulkan berbagai penyakit ‘pelik’ dan berbahaya seperti Hepatitis C dan HIV-AIDS.
Paksaan
Jangan memaksa melakukan hubungan seks jika isteri tidak menginginkannya. Seks secara paksaan bukan saja menyakiti isteri secara fizikal tapi juga secara emosional. Ia boleh menimbulkan ketakutan pada isteri setiap kali hubungan seks dilakukan. Jika anda tidak yakin, bertanyalah. Seks yang dilakukan secara terpaksa boleh membahayakan perkahwinan. Anda dan pasangan kehilangan makna sebenar hubungan intim.
Mengkritik
Mengucap pujian selepas selesai hubungan intim dengan pasangan memang digalakkan. Ia akan memberi kenyamanan pada pasangan. Tapi yang harus dielakkan adalah ucapan-ucapan yang tidak sedap didengar oleh isteri. Misalnya mengkritik tentang organ sulit pasangan dengan kata-kata yang mengecilkan hatinya. Tidak perlu juga membandingkannya dengan orang lain.
Perubahan Drastik
Melakukan variasi dalam hubungan seks memang perlu. Ia akan mengelakkan hubungan seks itu menjadi sesuatu yang rutin dan membosankan. Tapi jangan pula melakukan perubahan secara mendadak tanpa memberitahu pasangan anda. Sekiranya teringin melakukan sesuatu yang luar biasa, terangkan pada isteri. Jika tidak, isteri mungkin akan bersangka buruk iaitu berfikiran anda pernah melakukannya.
Guna Bantuan Filem Lucah
Ada suami yang mengajak pasangannya menonton filem lucah sebelum melakukan seks. Tujuannya filem tersebut dikatakan mampu merangsang nafsunya selain berharap isteri dapat melakukan aksi yang sama seperti yang ditonton. Tapi hakikatnya tidak semua wanita terangsang, ramai juga yang jijik untuk menontonnya kerana filem porno selalunya merendahkan wanita.

Dipetik dari: http://www.mingguanwanita.com.my

Rabu, 20 April 2011

Menangani Anak Yang Suka Melawan Kata

Sepatah diucap, 10 patah dijawab. Tentunya ramai ibu bapa yang berasa sakit hati bila anak melawan kata-kata. Lebih memeningkan bila sikap tersebut sebati dengan diri mereka.
Pasti memalukan bila perkara ini terjadi di hadapan orang ramai, tentu ibu bapa dianggap tidak mengajar anak adab sopan. Bagi menghindari sikap negatif ini dari berterusan hingga dewasa anda boleh meng ambil pendekatan berikut:
1. Katakan sekali sahaja
Praktikkan dengan menggunakan kes anda sebagai contoh dan kemudian jangan mengungkit lagi. Biarkan sahaja komen kurang enak daripada anak anda. Jika perlu, tinggalkan situasi itu. Biarkan anak menyesuaikan diri dengan perkataan – Sudah!
2. Berikan mereka peluang merungut sedikit
Asalkan segalanya dilakukan tanpa melampaui batas, anda boleh memberinya peluang menyuarakan perasaannya. Pada kebiasa an nya, dia mungkin akan berkata: ‘Mengapa perlu saya buat begitu?” Namun, ingatlah bahawa persoalan itu tidak semestinya dijawab.
Lazimnya, bebelan si anak sebenar nya bermakna: “Saya akan buat walaupun saya sebenarnya tidak suka melakukannya.”
3. Tetapkan peraturan untuk berdebat
Sesetengah kanak-kanak sebenar nya suka berdebat tentang sesuatu isu. Jika anak anda suka idea ini, pastikan peraturan ditetapkan tentang bila dan bagaimana isu ini boleh didebatkan.
Misalnya, larangan meninggikan suara, tidak memanggil dengan nama yang bukan-bukan dan mendengar pandangan orang lain secara senyap. Syarat-syarat itu sebenarnya men jadi latihan terbaik untuk anak belajar bagaimana membuat pilihan dalam hidup pada masa hadapan.
Selain itu, anda juga perlu memahami kebenaran bahawa terdapat sesetengah perkara yang tidak boleh diperdebatkan. Ia menjadi hak mutlak atau sesuatu yang lebih baik untuk membiarkan ibu bapa membuat keputusan. Ibu bapa juga perlu memberikan satu jawapan standard andainya segelintir isu tidak boleh diperdebatkan. Contohnya, memberi jawapan seperti ‘perkara ini tidak harus dibincangkan’.
4. Berikan pilihan
Daripada sekadar memberi anak arahan, cuba tawarkan anak untuk membuat pilihan atau alternatif. Anak yang suka berdebat biasanya tidak akan mempunyai banyak peluang untuk berlatih kemahiran ter sebut jika anda menawarkannya pilihan.
Misalnya, elakkan daripada berkata: “Buat kerja rumah awak sekarang juga.” Sebaliknya, anda boleh memberikan alternatif kepada anak dengan berkata: “Adakah awak mahu buat ulang kaji atau membasuh pinggan mang kuk dahulu?” Jika jawapan yang diberikan adalah “Bukan kedua-duanya”, mungkin anda boleh memberi senyuman manis dengan berkata: “Jadi, tiada satu pun antara dua pilihan itu yang awak mahu?”
5. Fikir balik
Anak yang melawan cakap ibu sekali sekala besar kemungkinan akan terus melakukan perkara yang sama atau keadaannya boleh bertambah teruk. Jadi, jika ibu bapa memberi maklum balas secara tenang dan dengan autoriti, tabiat buruk itu akan berhenti dengan sendirinya.
6. Jelaskan harapan anda
Luangkan masa untuk membincangkan perkara ini dengan anak. Beritahu anak tentang akibat yang bakal dihadapinya jika berlaku cakap-cakap di belakang. Antara akibat itu adalah anak hilang keistimewaan yang dinikmatinya sekarang seperti penggunaan telefon, menonton televisyen atau peluang melawat kawan.
7. Jangan biarkan
Bila-bila sahaja anak melawan kata-kata anda, hentikanlah perbualan itu dengan serta-merta. Jika perlu, keluarlah dari bilik atau tinggalkan anak sebentar. Sekiranya anak meng ekori anda, jadilah seorang yang tenang tetapi tegas dan beritahunya bahawa anda tidak dapat bertoleransi terhadap sikap nya yang tidak menghormati anda. Apa bila berada dalam keadaan tenang, anda boleh memutus kan akibat atau hukuman yang setimpal untuk anak-anak yang melawan cakap anda.
8. Didik
Jika anak anda yang biasanya menunjuk kan rasa hormat tiba-tiba berubah sikap, renung matanya dengan bersungguh-sungguh dan berkata, “Apa yang awak sedang lakukan ialah melawan cakap dan ini tidak sesekali dibenarkan!” Teruskan perbualan itu jika dia tidak melawan kata dan pastikan anak memenuhi per minta an anda. Sebaliknya, elakkan dari pada berdebat mengenainya.

Dipetik dari: http://www.mingguanwanita.com.my

Sabtu, 16 April 2011

Takut mudarat tulang belakang

SOALAN:
Saya berusia 25 tahun dan menghidap skoliosis bentuk S. Kini saya hamil lima bulan. Adakah kehamilan saya akan memberikan kesan kepada tulang belakang saya?
Adakah saya boleh melahirkan anak secara normal atau melalui pembedahan?

Ummi,
Shah Alam, Selangor.


JAWAPAN:
Skoliosis  mempunyai darjah kecondongannya yang berbeza, juga bahagian tulang belakang yang berbeza.

Anda boleh bertanyakan doktor anda mengenai hal ini. Secara amnya, skoliosis tidak memberikan masalah besar sewaktu hamil. Namun jika ia membabitkan bahagian tulang dada (thoraks), ia mungkin mengganggu masalah pernafasan kelak, lebih-lebih lagi jika anda mendapat batuk, jangkitan pernafasan dan seumpamanya.

Doktor anda juga dapat membuat penilaian sama ada anda boleh bersalin normal dalam posisi bersalin atau sebaliknya. Saya jangkakan seperti kebanyakan wanita yang mempunyai skoliosis, anda mungkin dibenarkan mencuba bersalin biasa.

Cuma, kaedah penahan sakit secara epidural, sama ada bersalin biasa atau pembedahan Caesarean sukar dilakukan, mungkin sesuatu prosedur yang mencabar bagi doktor bius, kemungkinan ia tidak berjaya juga dijangka lebih tinggi berbanding jika tulang belakang normal.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Selasa, 12 April 2011

Kencing Kotor Selepas Tukar Pil Perancang

SOALAN :
Saya berusia 24 tahun, berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata. Saya mengambil pil perancang sebaik saja anak saya berusia tiga bulan sehingga kini. Sudah beberapa kali saya menukar jenis pil perancang atas saranan pihak klinik desa tempat saya menjalani rawatan setiap bulan.


Namun selepas bertukar kepada pil perancang jenis Regividon, saya dapati air kencing saya sangat kotor, berbau kurang enak dan kekuningan, tidak seperti sebelumnya.


Ini kali kelima saya mengambil pil terbabit. Adakah ia masalah biasa yang dialami kebanyakan wanita yang mengambil pil perancang? Adakah ia petanda sebarang penyakit? Apakah yang harus saya lakukan untuk menangani masalah ini?


Selain itu, sejak akhir-akhir ini saya sukar untuk membuang air besar. Kadangkala sehingga seminggu saya tidak buang air besar dan apabila dapat melakukannya, saya mengalami sembelit dan tidak lawas.


Saya mengamalkan pemakanan sihat seperti melebihkan pengambilan sayuran dan buah-buahan tetapi ia kurang berkesan. Apakah puncanya? Adakah ia berbahaya dan bolehkah ia dirawat?


LAV,
Kuala Lumpur



JAWAPAN:
Pil perancang (kontraseptif berhormon) berjenama yang anda nyatakan sebenarnya mengandungi komposisi bahan hormon yang sama dengan beberapa jenama pil kontraseptif berhormon yang tersedia
di Malaysia.

Besar kemungkinan, jenis pil perancang yang pernah anda ambil sebelum itu sebenarnya diperbuat daripada bahan dan dos kedua-dua hormon estrogen dan progestogen yang sama, maka sepatutnya ia memberikan kesan sampingan yang sama.

Pada kotak atau kepingan ubat terbabit, lazimnya ada dicetak kandungan (dengan saiz tulisan yang lebih kecil) seperti rigevidon: 30 mcg (mikrogram) ethinyl estradiol dan 150 mcg levonegestrel. Anda boleh membandingkan kandungannya dengan jenama yang anda ambil dahulu.

Masalah kencing yang anda alami mungkin disebabkan oleh jangkitan pundi kencing. Eloklah anda menjalani ujian air kencing secara mikroskopik (lebih dikenali sebagai UFEME) dan ujian kultur (dikenali sebagai C&S) untuk kepastian kerana jangkitan air kencing (sekiranya ada) perlu dirawat.

Sekiranya anda disahkan tidak mengalami jangkitan pundi kencing, maka bolehlah anda sandarkan gangguan yang anda alami sebagai salah satu gangguan pil berhormon dinyatakan. Ini kerana tanda gangguan menyerupai jangkitan air kencing sebegini (cystitis) ada dilaporkan sebagai aduan terpencil pengguna hormon berkombinasi sedemikian (tetapi jenama lain).

Saya tidak dapat menjawab dengan tepat mengenai masalah sembelit. Lazimnya masalah jarang membuang air besar lebih berkait dengan tabiat kurang mengambil pemakanan berserat, kurang minum dan kurang aktiviti fizikal.

Gangguan atau kesibukan waktu terasa ingin membuang air besar juga boleh menyebabkan ia menghilangkan rasa terbabit.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Jumaat, 8 April 2011

Pembedahan Batu Karang Jejas Kandungan?

SOALAN:Doktor, saya berumur 35 tahun dan belum pernah mengandung. Pada Jun tahun lalu, saya menjalani pembedahan buang batu karang di dalam buah pinggang. Baru-baru ini doktor mengesahkan saya mengandung tiga bulan. Soalan saya, adakah kandungan saya akan mengalami masalah kesan daripada pembedahan itu?


Sue, Kuala Lumpur.

JAWAPAN:
Anda tidak perlu risau kerana pembedahan batu karang pada bahagian buah pinggang itu tidak akan menjejaskan kandungan. Lagipun ia tidak menjejaskan fungsi buah pinggang anda. Seperti ibu-ibu mengandung yang lain, saya nasihatkan anda menjaga pemakanan dan kandungan seperti biasa.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Isnin, 4 April 2011

Terapi Ozon Bantu Penyembuhan

Terapi ozon semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat di negara ini yang mahu mencuba rawatan alternatif. Namun begitu masih ada berpandangan terapi ozon menyamai rawatan hemodialisis. Ini kerana kaedah serta mesin yang digunakan untuk terapi ozon kelihatan menyerupai mesin untuk rawatan pesakit buah pinggang. Hakikatnya - terapi ozon dan hemodialisis adalah rawatan yang berbeza.

Dr. Nik Baizura Sabiamad ketika ditanya tentang terapi ozon menjelaskan lebih lanjut perihal rawatan tersebut. Penasihat Perubatan Ozone Medical & Rejuvenation Specialist Centre itu memberitahu kaedah terapi ozon yang ditawarkan di situ adalah Extracorporeal Blood Oxygenation and Ozonation (EBOO). Kaedah tersebut diperkenalkan pada 1999 di mana darah pesakit dikeluarkan kemudian disaring lalu dialirkan udara ozon-oksigen.

Tempoh rawatan yang memakan masa sejam itu secara keseluruhannya akan melibatkan satu per tiga daripada keseluruhan darah dalam tubuh seseorang dikeluar dan disaring sebelum dialirkan ozon-oksigen.
Proses tersebut menurut Dr. Nik Baizura dibuat secara beransur di mana sebanyak 30 mililiter darah dikeluarkan setiap minit menghasilkan 1800 mililiter sepanjang sejam proses rawatan dijalankan.

Melalui kaedah EBOO, darah akan dialir keluar ke satu penapis di mana kuman, sel-sel kanser, kolesterol, toksin dan sebagainya akan ditapis. Selepas itu barulah proses oksigenasi dan ozonasi bermula. Darah yang telah disaring dialir semula ke dalam badan pesakit.

Dr. Nik Baizura yang berkelulusan doktor perubatan memberitahu, setiap pesakit yang mahu menjalani terapi ozon akan menjalani pelbagai pemeriksaan awal untuk menentukan tahap kesihatan.

Pemeriksaan tersebut juga bertujuan melihat apa sebenarnya masalah yang dihadapi pesakit.

Sejak dibuka lebih dua tahun lalu, pusat tersebut telah berjaya 'menunaikan' harapan banyak pesakit yang menderitai pelbagai jenis penyakit.

''Ada pesakit kencing manis, lumpuh, gout dan darah tinggi yang setakat ini semakin menunjukkan perubahan memberangsangkan,'' kata Dr. Nik Baizura. Paling penting menurut beliau, matlamat utama rawatan ozon yang ditawarkan di pusat itu bertujuan mengurangkan penggantungan pesakit terhadap ubat-ubatan.

''Alhamdulillah matlamat kami mencapai sasaran serta dapat meringankan beban pesakit supaya mereka dapat menjalani kehidupan baru,'' katanya.

Bapa Dr. Nik Baizura bekas penembak negara Datuk Sabiamad Abdul Ahad yang bergantung kepada insulin untuk mengawal tahap gula turut beralih kepada rawatan ozon. Perubahan ketara dialami tokoh sukan itu. Beliau kini aktif bersenam seperti biasa termasuk mengelilingi Tasik Cempaka di Bandar Baru Bangi sebanyak enam kali.

Bagi Farah Aina, melihat ibunya Habibah Mohd. Amin, 52, ceria menjalani kehidupan harian selepas sembuh daripada penyakit yang dideritai sejak setahun lalu cukup membahagiakan dirinya.

''Ibu mengalami bengkak pada kaki dan tangan yang sangat serius. Beliau tidak boleh bergerak dan akhirnya terpaksa menggunakan kerusi roda.

''Kini tidak lagi, perubahan ketara selepas menjalani tiga kali rawatan, ibu kini kembali aktif tetapi meneruskan terapi untuk menyelesaikan sisa-sisa penyakit,'' katanya.

Menurut Dr. Nik Baizura, pesakit digalakkan menjalani tiga kali rawatan iaitu sekali seminggu di peringkat awal terapi. Terapi ozon bukan saja untuk golongan berpenyakit tetapi juga sesuai kepada mereka yang sihat.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Sabtu, 2 April 2011

Fahami Apa Itu Sedut Lemak

Liposuction atau bahasa pasarnya sedut lemak adalah proses menghapuskan lemak dari lapisan bawah kulit. Untuk memahami apa itu liposuction, kita mesti memahami kulit, lemak badan dan struktur-struktur lemak.

Kulit bukan sahaja menjadi penutup badan malah ia adalah organ terbesar pada tubuh badan. Fungsi kulit di antaranya menghalang kita menjadi dehidrasi, menghalang organisme memasuki badan dan pelindung kepada cahaya ultraviolet matahari. Kulit terdiri daripada tiga lapisan iaitu epidermis, dermis dan hypodermis. Epidermis dan dermis merupakan lapisan di mana kelenjar sebum, melanocyte, saraf, rambut tumbuh dan deria sentuh berada.

Lapisan yang terlibat dalam liposuction adalah hypodermis iaitu tempat lapisan lemak subkutan berada. Walaupun terdapat bahagian badan yang lain tempat menyimpan lemak seperti dalam rongga perut dan di sekitar organ dalaman, tetapi di hypodermislah di mana 50 peratus daripada jumlah ke semua lemak badan tersimpan. Fungsi lemak di hypodermis adalah sebagai penebat , insulasi dan penyimpan tenaga.

Fungsi sel lemak adalah untuk menyimpan bahan kimia lipid yang menyediakan tenaga untuk tubuh. Tenaga ini disimpan sebagai lemak dalam sel lemak. Sebenarnya lemak secara terus-menerus dimasukkan ke dalam dan dibawa keluar daripada setiap sel lemak. Apabila pengunaan tenaga lebih sedikit daripada penyimpanan tenaga, maka ketidakseimbangan boleh berlaku. Secara umumnya jika anda makan terlalu banyak tetapi terlalu sedikit menggunakan tenaga, lemak terkumpul. Kegemukan juga boleh terjadi apabila proses mengeluarkan lemak dari sel lemak terganggu seperti ketidakseimbangan hormon dalam badan.

Ada tiga lapisan lemak pada tubuh iaitu dua lapisan lemak pada kulit dan satu lapisan lemak di dalam tubuh badan yang dikenali lemak viscera. Lapisan lemak pertama adalah lapisan yang membentuk selulit jika berlebihan. Lapisan lemak kedua dipisahkan oleh sejenis lapisan yang dikenali sebagai fascia dari lapisan lemak pertama.

Dalam proses liposuction, lemak yang disedut keluar adalah lemak lapisan pertama dan lapisan kedua. Oleh itu, masalah selulit juga boleh dirawat dengan kaedah liposuction.
 
Secara dasarnya, lemak disimpan di tubuh dalam dua bentuk utama. Pertama adalah bentuk gynoid. Ia merujuk kepada pengumpulan lemak di bahagian bawah badan, pinggul, paha dan punggung dan memberi bentuk pir. Bentuk kedua adalah android di mana lemak lebih tertumpu berkumpul di bahagian atas badan dan memberi bentuk epal. Namun begitu ia bukanlah satu kemestian sebaliknya hanyalah sebagai panduan sahaja.

Orang yang mempunyai badan berbentuk epal selalunya mempunyai masalah lapisan lemak visceral (lapisan ketiga) yang tebal. Mereka biasanya berperut buncit. Penjagaan diet dan senaman sangat penting untuk mengurangkan lapisan lemak viscera. Namun begitu masalah hormon atau ketidakseimbangan hormon boleh menyebabkan peningkatan lapisan lemak visceral (lemak dalam perut).

Peratusan lemak di dalam tubuh berubah-ubah dan dipengaruhi oleh hormon seperti insulin , estrogen dan testosteron. Apa yang anda perlu tahu apabila mencapai akil baligh, jumlah sel lemak dalam badan akan tetap dan tidak bertambah kecuali jika anda menjadi tersangat gemuk. Selepas akil baligh, sel lemak hanya akan bertambah jika berat badan anda menjadi 200 peratus daripada berat badan ideal. Oleh itu peningkatan dan penurunan berat badan anda sekarang adalah kerana sel lemak itu mengempis atau mengembang. Oleh itu, satu cara untuk membuang sel lemak secara kekal adalah dengan melakukan liposuction.

Sedut lemak adalah prosedur membuang sel lemak. Sel lemak akan hilang buat selama-lamanya selepas disedut. Namun begitu, jika anda tidak menjaga pemakanan atau melakukan senaman, sel-sel lemak yang tertinggal boleh mengembang dan menyebabkan berat badan anda bertambah.

Ingin diperjelaskan bahawa, sedut lemak bukanlah jalan termudah untuk menghilangkan berat badan atau sebagai jalan untuk membuang lemak dengan cepat. Jalan yang terbaik dan paling selamat adalah dengan menjaga diet dan senaman di samping memperbetulkan ketidakseimbangan hormon. Menjaga makan dan senaman boleh memperbetulkan fungsi badan dan menghilangkan berat badan.

Namun begitu, jika anda telah menjaga pemakanan yang sihat dan betul, telah memperbetulkan hormon dan bersenam tetapi masih juga terdapat lapisan lemak di bahagian perut, saddlebags, dada,lengan atau paha maka liposuction boleh membantu.

Kini terdapat pelbagai kaedah liposuction yang selamat seperti laser liposuction, power assisted liposuction, vaser liposuction, body jet liposuction dan sebagainya. Setiap satu prosedur mempunyai kelebihan masing-masing. Namun begitu, yang paling penting adalah kemahiran dan pengalaman doktor yang melakukannya.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my