Peminat Setia

Isnin, 28 Februari 2011

Sakit di Perut, Kencing Berdarah

SOALAN:
Saya seorang suri rumah dan baru bersalin enam bulan lalu. Selepas bersalin, saya mengambil pil perancang dan menyusukan bayi.

Ketika anak saya berusia dua bulan, saya mengalami kencing berdarah. Apabila kencing, saya tak berasa sakit tapi rasa ingin kencing lagi walaupun sudah kencing. Saya juga rasa sakit di bahagian perut terutama apabila saya mengangkat benda berat atau terlalu penat.


Saya mendapatkan rawatan di hospital dan doktor mengatakan saya mungkin mengalami batu karang. Saya ingin bertanya, adakah memakan pil perancang boleh menyebabkan batu karang?


Sehingga kini, hampir setiap hari saya menahan sakit dan kencing berdarah apabila mengangkat benda berat dan kadangkala sakit bahagian perut dan kencing berdarah selepas bersama dengan suami.


Adakah saya perlu menjalani ujian Pap smear atau rawatan lain?


Lily,
Kota Kinabalu, Sabah

JAWAPAN:
Perkara pertama adalah memastikan sama ada benar pendarahan itu berasal daripada sistem kencing ataupun faraj ataupun sebenarnya air kencing yang bercampur dengan darah haid.

Adakah darah itu sebati bercampur dengan air kencing ataupun adakah ia hanya dikesan apabila anda mengesat kemaluan?

Sekiranya anda disyaki mengalami batu karang dalam air kencing, pemeriksaan susulan lazimnya akan dilakukan bagi memastikan batu karang itu sudah keluar melalui air kencing.

Selain ujian air kencing, ujian sinaran-X dan/atau ultrabunyi dapat membantu mengesan lokasi batu karang ini. Anda juga mungkin dinasihatkan menjalani prosedur kecil menggunakan teropong ke dalam pundi kencing.

Ada juga kemungkinan ia bukannya batu karang tetapi jangkitan kuman di dalam air kencing yang lazimnya disebabkan bakteria. Mungkin juga pendarahan itu akibat luka pada bahagian bukaan saluran kencing (urethra) yang berlaku akibat geselan hubungan seks. Sama ada ia disebabkan batu karang ataupun jangkitan kuman, kedua-duanya memerlukan rawatan khusus.

Selain itu, doktor mungkin akan menjalankan ujian lanjut sekiranya anda disyaki mengalami kelainan pada kedudukan atau fungsi otot pengawal bukaan (sfinkter) saluran kencing. Kadangkala, kelemahan pundi kencing dan sfinkter ini boleh disebabkan trauma yang berlaku sewaktu proses bersalin.

Kita sedia faham setiap ubat atau bahan mempunyai kesan sampingan tersendiri. Namun dalam dunia perubatan moden, sesuatu ubat moden yang tersenarai untuk kegunaan umum perlu melalui tempoh ujian tertentu dan disahkan mempunyai kebaikan melebihi keburukannya. Kesahihan ujian ini bukan dilihat dari segi pengamatan tetapi mesti melepasi ujian kesahihan secara analisis statistik.

Setelah diluluskan untuk kegunaan umum, kesan sampingan ubat-ubatan ini masih dipantau dan laporan kesan sampingannya diberi perhatian, ia mungkin akhirnya mengubah hasil kajian.

Terdapat kesan sampingan kategori 'rendah', 'sangat rendah atau jarang' dan 'belum ditentukan' kekerapannya. Anda juga perlu faham, setiap orang menunjukkan pengalaman kesan sampingan yang berbeza apabila menggunakan sesuatu ubat, ada yang serasi dan sebaliknya ada yang didapati tidak sesuai.

Penggunaan pil perancang jenis tertentu ada dilaporkan menyebabkan masalah buah pinggang. Anda dinasihatkan berbincang dengan doktor mengenai hal ini. Ujian Pap smear memang disarankan bagi wanita yang pernah melakukan hubungan seks.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Sabtu, 26 Februari 2011

kaki Sering Kekejangan

SOALAN:
Saya sering mengalami masalah angin dalam badan yang menyebabkan badan sakit-sakit. Sejak kebelakangan ini, sakit angin itu makin ketara menyebabkan bahagian pinggang sehingga kaki sebelah kanan saya sering sakit seperti kekejangan, terasa urat di bahagian itu juga terlalu tegang.

Saya berasa sangat sakit untuk berdiri tegak atau rukuk. Sukar untuk meluruskan kaki apabila berbaring dan rasa sakit amat ketara apabila bangun tidur.


Saya pernah beberapa kali bertemu doktor dan menyatakan masalah ini mungkin disebabkan otot. Saya sering diberikan uban tahan sakit.


Sakit itu akan hilang seketika selepas mengambil pil untuk tempoh lima hingga enam jam. Tapi saya keberatan untuk bergantung pada pil tahan sakit kerana bimbang kesan sampingannya. Saya juga pernah berurut tetapi masih belum pulih.


Untuk pengetahuan doktor, saya menghidap gastrik dan masalah angin dalam badan. Saya baru berumur 23 tahun dan belum berkahwin.


Apakah nasihat doktor untuk menangani masalah ini?


Odah,
Kuala Lumpur


JAWAPAN:
Sukar untuk menamakan masalah anda dalam istilah perubatan moden kerana tiada penyakit yang dinamakan angin badan kecuali kembung perut atau usus.

Organ lain badan kebanyakannya mengandungi otot, lemak, salur darah, saraf, ligamen, sendi dan tulang, hampir semuanya padu berisi dan bukannya seperti usus atau perut yang boleh mengembang untuk mengisi muatan dan mempunyai mikro-organisma yang mengeluarkan gas atau angin.

Dalam keadaan anda pula, ‘angin’ yang dikatakan ini bukan sahaja terhad kepada pinggang dan bahagian kaki, tetapi juga dalam badan dan gastrik.

Anda bolehlah mendapatkan pemeriksaan doktor pakar tulang (otopedik) pula. Mungkin ia berkait dengan masalah saraf terhimpit pada tulang belakang sehingga menyebabkan bahagian tertentu lenguh-lenguh atau sakit. Ia boleh berlaku lebih-lebih lagi jika seseorang aktif dalam kegiatan aktiviti lasak atau fizikal sehingga mengalami trauma hentakan sama ada disedari ataupun tidak.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Khamis, 24 Februari 2011

Mahu Tambah Berat Badan Cara Sihat

SOALAN:
Saya sudah ada tiga cahaya mata, tetapi terlalu kurus dengan ketinggian 157 sentimeter dan berat 42 kilogram saja.

Selepas anak saya yang ketiga berhenti menyusu badan, payudara saya seperti tiada. Anak bongsu saya kini berusia lapan tahun.


Saya ada terbaca artikel menyatakan pengambilan pil perancang boleh menambahkan berat badan. Adakah ia benar?


Saya juga cuba mengikut diet yang sesuai untuk menambah berat badan tapi tak bertambah. Bagaimana cara yang sesuai untuk menambahkan berat dengan cara yang sihat?


Shima,
Kuala Lumpur.

JAWAPAN:
Dengan ketinggian anda, berat badan yang ideal adalah antara 47 hingga 61 kilogram.

Ramai ibu yang mengalami kekenduran payudara setelah menghentikan penyusuan badan kerana kelenjar alveoli sudah tidak aktif lagi dan payudara kini lebih mengandungi tisu lemak, ini menjadikan payudara tidak pejal seperti sewaktu hamil atau penyusuan badan.

Dengan penyusutan berat badan (dan tisu lemak), payudara lebih kelihatan mengecil.

Pengambilan pil perancang tidak semestinya memberi kesan penambahan berat badan, malah sebaliknya ada wanita yang mengalami penurunan berat badan apabila mengambil pil perancang.

Eloklah anda mendapatkan nasihat pakar pemakanan bagi menambah berat badan anda kepada ideal dengan sihat menggunakan piramid makanan.

Memang terdapat hormon yang ada digunakan untuk menambah saiz payudara, tetapi ia mempunyai kesan sampingan jangka panjang yang boleh membahayakan kesihatan.


Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Selasa, 22 Februari 2011

Keputihan Pekat, Berbau

SOALAN:
Saya berumur 26 tahun. Baru-baru ini saya mengalami masalah keputihan pekat dan berbau yang menyebabkan kegatalan pada faraj saya.


Kegatalan yang saya alami pada faraj seperti lain daripada yang lain kerana di celah bibir faraj timbul ruam. Saya berasa amat tidak selesa apabila mengalami kegatalan itu dan sentiasa ingin menggaru.


Apakah kaedah rawatan yang sesuai dan tidak memudaratkan bagi mengatasi masalah ini?


Nurul,
Shah Alam


JAWAPAN:
terdapat banyak punca jangkitan pada bahagian kemaluan. Ada yang berjenis kulat serta ada yang disebabkan bakteria, virus dan seumpamanya.

Eloklah anda berjumpa doktor dahulu. Pemeriksaan fizikal pada bahagian kemaluan dan rupa lelehan lazimnya membolehkan doktor membuat diagnosis awal mengenai jenis jangkitan yang paling mungkin supaya ubat permulaan dapat diberikan sementara menunggu hasil ujian kultur yang mengambil masa beberapa hari.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Ahad, 20 Februari 2011

Punya Lebih Hormon Lelaki

SOALAN:
Saya berumur 30 tahun dengan berat 63 kilogram dan ketinggian 160 sentimeter, baru memasuki alam perkahwinan. Saiz payudara saya 36B.


Sehingga kini saya tidak pernah didatangi haid. Perut saya tidak buncit dan tidak pernah mengalami sakit di perut. Untuk pengetahuan doktor, pada awal 2008 saya berjumpa doktor pakar sakit puan di sebuah hospital swasta.


Hasil pemeriksaan doktor pakar, dia mendapati saya mempunyai hormon yang lebih kepada hormon lelaki. Tiada sebarang ubat diberikan kepada saya.


Bagaimanakah caranya untuk saya mengembalikan hormon perempuan? Adakah saya boleh hamil dan berkeadaan normal seperti perempuan biasa? 

Iza,
Wangsa Maju, Kuala Lumpur

JAWAPAN:
Tidak pernah didatangi dinamakan amenorea primer. Mereka yang belum didatangi haid setelah menjangkau usia 16 tahun disarankan menjalani pemeriksaan doktor tanpa menunggu lebih lewat lagi kerana beberapa puncanya boleh memberi impak terhadap kehidupan atau potensinya untuk hamil kelak.

Saya andaikan, apabila memberikan jawapan permasalahan puan, doktor puan sudah pun melakukan beberapa ujian di samping pemeriksaan fizikal, antaranya:

- Pemeriksaan ciri-ciri fizikal sindrom tertentu yang menandakan kemungkinan keabnormalan kromosom contohnya sindrom Turner (terdapat kromosom Y iaitu kromosom lelaki). Deria bau anda juga mungkin sudah diperiksa.
- Memastikan tubuh anda menunjukkan perkembangan seksual sekunder contohnya kewujudan dan taburan rerambut kemaluan, bulu ketiak. Kadangkala pengambilan ubat berhormon yang boleh memberi kesan terhadap pertumbuhan ciri seksual sekunder ini dalam jangkamasa lama boleh mengaburi penilaian ini.
- Mengesahkan kewujudan rahim. Memandangkan anda sudah pun berkahwin, ujian ultrabunyi secara trans-vaginal (melalui faraj) dapat memberikan imej yang lebih terperinci contohnya ketebalan lapisan haid (endometrium) pada bahagian terdalam dinding rahim dan seumpamanya.
- Melalui ultrabunyi juga, doktor akan mengimbas kedua-dua ovari. Ultrabunyi trans-abdomen juga boleh dilakukan untuk melihat kelenjar edrenal yang terdapat di bahagian atas buah pinggang.
- Memastikan tiada masalah berkaitan keabnormalan hormon contohnya berlebihan hormon kelelakian walaupun ini lazimnya menyebabkan haid yang tidak teratur atau jarang-jarang dan bukannya tidak pernah didatangi haid langsung.
- Selain ultrabunyi, ujian darah juga dilakukan termasuk ujian hormon tertentu dan analisis kromosom.

Anda mungkin ingin bertanya sekali lagi dengan doktor anda untuk kepastian, sama ada anda mempunyai berlebihan hormon lelaki ataupun sebenarnya mempunyai kromosom lelaki lebih-lebih lagi memandangkan anda tidak ditawarkan sebarang ubat.

Lebih elok jika anda meminta doktor menulis nama penyakit anda. Kadangkala penerangan perubatan mengenai istilah penyakit yang diterangkan doktor boleh disalah faham. Doktor juga boleh menerangkan mengapa anda tidak diberikan rawatan serta peluang untuk hamil.

Lazimnya pada usia begini, bagi mereka yang menunjukkan ciri-ciri fizikal atau sifat keperempuanan, punca yang paling kerap adalah masalah kongenital (gangguan pembentukan sistem peranakan yang sepatutnya berlaku sewaktu peringkat janin) yang menyebabkan rahim dan faraj tidak terbentuk.

Mereka boleh mempunyai ovari malah ujian kromosom menunjukkan mereka perempuan. Memandangkan mereka mempunyai ovari (mempunyai genetik kromosom perempuan), mereka menunjukkan ciri-ciri keperempuanan tetapi oleh kerana ketiadaan rahim (dan faraj), haid tidak terbentuk.

Mereka juga boleh mempunyai keabnormalan sistem buah pinggang. Keadaan ini dinamakan agenesia Mullerian (atau sindrom Mayer-Rokitansky-Kuster-Hauser).

Selain agenesis Mullerian, satu lagi punca lain yang juga mungkin adalah sejenis penyakit kromosom yang dinamakan sindrom testicular feminine yang mereka mempunyai kromosom lelaki, testis yang tersembunyi di bahagian inguinal atau abdomen, faraj yang pendek dan buntu di penghujungnya.

Lebih jarang lagi, ia disebabkan oleh ketumbuhan kelenjar adrenal.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Rabu, 16 Februari 2011

Tolak Seks Kerana Tidak Puas Hati

ADAT HIDUP BERUMAH TANGGA, PASTI AKAN DILANDA BADAI DAN GELORA. MASALAH YANG BERLAKU INI PULA TENTUNYA PELBAGAI PUNCA. TAPI SATU PERKARA YANG SELALU TERJADI MESKIPUN KONFLIK YANG DIHADAPI SUAMI ISTERI ITU TIADA KAITAN DENGAN SEKS NAMUN KEHIDUPAN SEKS AKAN TURUT MENERIMA TEMPIASNYA.

Suami balik lewat, lupa tarikh hari jadi, isteri merajuk dan sebagainya akan menyebabkan rasa tidak puas hati hingga membuatkan ada pasangan enggan mahupun menolak untuk melakukan seks.

Keadaan sebegini jika dibiarkan sudah tentu akan menggugat keharmonian rumah tangga. Selain itu ada beberapa lagi masalah suami isteri yang dikenal pasti boleh menjejaskan kehidupan seks dan menghasilkan situasi yang tidak menyenangkan.

1. Pasangan curang

Kecurangan adalah penyakit paling sukar untuk disembuhkan dalam hubungan suami isteri. Bila suami yang melakukan kecurangan, isteri akan merasakan diri telah dikhianati dan dibohongi. Sukar untuk memaafkan suaminya. Isteri akan menjadi seorang yang selalu curiga akan gerak-geri suaminya dan semua ini akan memberi kesan pada aktiviti seksual. Kecurangan yang dilakukan akan menjadi penghalang bagi hubungan seks suami isteri itu sendiri.

Baik buat suami atau isteri, imaginasi keduanya akan beralih kepada orang ketiga ketika hubungan intim hingga menjejaskan kenikmatan hubungan seks. Ubat paling mujarab untuk menyembuhkan keadaan sebegini adalah memaaf dan melupakan semua kecurangan yang berlaku setelah pasangan

menyedari kesilapan yang dilakukan. Namun ia tidak semudah mengucapkannya. Buat yang berlaku curang sisihkan waktu untuk pasangan bagi memenangi kembali hatinya.

Berterus terang tentang segala-galanya supaya tidak timbul lagi perasaan curiga. Proses pemulihan akan memakan masa jadi bersabarlah.

2. Tertekan

Jika dibiarkan tekanan sama ada akibat pekerjaan atau masalah peribadi akan menjejaskan emosi, sistem kekebalan tubuh dan juga kehidupan seks suami isteri. Jadi bawa bertenang dan larikan diri anda dari situasi yang boleh menyebabkan anda tertekan.

Cara yang paling baik adalah dengan bercuti. Bawa pasangan anda ke tempat percutian yang indah namun jangan sesekali membawa bersama kerja-kerja anda.

Tinggalkan segala-galanya dan nikmati masa bersama dengan pasangan sepenuhnya. Sekiranya anda punya masalah, inilah masanya untuk anda meluahkan segala-galanya. Apabila anda mampu menangani tekanan yang dihadapi, bukan hanya diri anda yang merasa kesan bahagia malah pasangan anda juga. Seks juga akan menjadi satu perkara yang menyenangkan.

3. Tiada Mood

Kalau dulu hasrat untuk hubungan intim menggebu-gebu, kini segala-galanya sudah merudum. Ketika di tempat tidur anda membelakangkan suami dan menolak ajakan untuk seks dengan pelbagai alasan. Banyak penyebab hilangnya ghairah atau mood untuk seks. Antaranya mungkin kerana hal yang paling kecil seperti pasangan tidak mementingkan kebersihan, tiada kemesraan sebelum hubungan dan juga kerana hal yang besar seperti faktor orang ketiga.

Selain itu faktor kesihatan juga boleh menjadi penyebabnya. Pada pasangan jangan cepat berkecil hati bila isteri atau suami hilang mood untuk seks. Cari penyebabnya terlebih dahulu dan usahakan untuk mengembalikan keghairahannya dengan pendekatan sabar dan tidak terlalu memaksa.

4. Memperbesar-besarkan Perkara Remeh

Anda mementingkan kebersihan dan kesempurnaan, semua perkara harus dalam keadaan tersusun daripada almari pakaian hinggalah ke rak kasut. Pasangan anda pula punya sikap bertentangan.
Baju kotor diletakkan merata-rata, pinggan dan cawan dibiarkan atas meja tanpa dibasuh serta surat khabar pula disepah-sepahkan tanpa dilipat. Walau berulang kali diingatkan namun suami tidak pernah berubah. Menyakitkan hati bukan?

Jangan dibiarkan keadaan sebegini kerana ia akan menjadi duri dalam daging. Berterusan membiarkan perasaan sakit hati bersarang di jiwa akan memberi kesan pada hubungan suami isteri.

Turut menerima padahnya adalah hubungan seks dengan pasangan. Tidak mustahil anda akan mengambil tindakan menarik diri dari hubungan seks kerana perasaan sakit hati terhadap suami.

Jadi jangan biarkan masalah kecil berlarutan. Bagi suami ambil peduli bila isteri mula bersungut tentang sikap pengotor atau malas anda. Bagi isteri pula jangan terlalu mengharapkan kesempurnaan terhadap suami anda, setiap manusia dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangannya.

Dipetik dari: http://www.mingguanwanita.com.my

Ahad, 6 Februari 2011

Cantik Dan Sihat, Pelengkap Gaya Hidup

Biar sejuta perkataan diluahkan masih belum cukup untuk menghurai kecantikan seorang wanita.

Malah masih belum memadai untuk mendefinisikan betapa indahnya insan bernama wanita itu, insan mulia yang dikurniakan dengan pelbagai keistimewaan oleh Allah SWT.

Sesungguhnya kita perlu panjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dilahirkan sebagai wanita dengan segala keindahan yang mengangkat martabat wanita.

Bagai irama dan lagu, wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan. Hendak cantik, ada wanita sanggup buat apa sahaja.

Namun ramai yang lupa, kecantikan itu hanya sementara. Betapa pun dijaga, dipelihara, dibelai dan ditatap saban waktu, tiba masanya segalanya itu akan pergi jua.

Wajah yang dulunya ceria akan bertukar menjadi suram, mata yang dulunya terang akan beransur kelam semuanya kerana dimamah usia. Yang kekal hanya iman dan amal ibadat.

Buatlah apa saja, suntik, telan vitamin, kolagen dan pembedahan plastik hukum Allah tidak boleh dinafikan, sampai masa, akan diambil tanpa sebarang amaran.

Itu cerita tentang cantik, apa pula definisi mengenai sihat atau kesihatan?

Sempurna seorang manusia adalah apabila fizikal, mental, dan hidup sosialnya diurus dengan baik. Begitu juga apabila tenaga dan jisim melalui proses masuk dan keluar dengan seimbang di mana proses pertumbuhan akan berlaku, ia juga termasuk dalam kaedah kesihatan.

Kesihatan juga membawa erti kemampuan untuk meneruskan hidup dengan prospek positif sambil mengamalkan gaya hidup sihat.

Dalam hubungan itu, bukan setakat semuanya perlu menepati masa tetapi pemahaman subjektif penting bagi meneruskan keadaan seimbang yang sihat itu.

Untuk merasai kesempurnaan itu, seseorang itu tidak mengalami risiko dalaman atau luaran yang boleh mengganggu kesihatannya.

Dalam banyak perkara yang dikaitkan dengan cantik dan sihat ini, saya perhatikan kaum wanita lebih takutkan tentang penampilan dan bentuk badan mereka.

Dua perkara ini menjadi agenda utama dalam diri kebanyakan wanita . Jadi tidak hairanlah, untuk kelihatan cantik dan bergaya mereka sanggup berhabis duit menyertai tawaran mengurus badan dari pelbagai salun yang menawarkan harga pakej yang murah tanpa memikirkan risikonya.

Cantik pada saya satu perkara subjektif. Bukan maknanya bertubuh besar tidak boleh kelihatan cantik.
Malah jika kena gaya dan cara, orang bertubuh besar lebih nampak cantik daripada mereka bertubuh langsing.

Apakah cantik sahaja yang penting dalam hidup kita?

Memang baik jika ada niat mahu cantik, tetapi pernah anda terfikir untuk sihat? Ingin juga saya bertanya, siapa pula yang mahu hodoh?

Tentu tidak ada kan? Namun ciptaan Allah kita tidak boleh tolak. Ia anugerah yang harus diterima dengan reda biar dalam apa juga keadaannya.

Seperti yang saya sebut di awal catatan, setiap yang buruk ada keindahannya, begitu juga sebaliknya. Jika anda hanya ingin cantik sahaja sedangkan tingkah laku teruk, juga tidak ada maknanya, sebab bagi saya cantik dan sihat mempunyai fungsi dan makna yang berbeza.

Kepada saya, cantik yang dimaksudkan adalah luar dan dalaman. Jika cantik di luar, hendaknya cantik juga di dalam. Maknanya, hati mesti baik, tingkah laku perlu beradab dan tutur kata bersopan. Itulah keindahan yang sebenarnya.

Saya ingin menarik perhatian anda terhadap pentingnya kesihatan kepada manusia selain dari mahu cantik. Kedua-dua perkara ini perlu seiring.

Jangan kerana hendak cantik, kita sanggup seksa diri dan menahan lapar. Jangan kerana nak cantik kita biarkan wajah dan tubuh kita disuntik dan dilapah sesuka hati, sebabnya itu bukan cara terbaik mengekalkan kecantikan dan kesihatan.

Ingin tahu lebih lanjut tentang perkara ini, saya mempelawa pembaca khasnya wanita untuk menyertai Seminar Kesihatan Primanora Cares WANITA bertemakan Better Life Through Healthier Choices.

Seminar sehari yang akan berlangsung pada 24 Januari 2011 akan datang dianjurkan secara eksklusif oleh Pusat Perubatan PRIMANORA, Institut Of Marketing Malaysia (IMM) dan Majalah WANITA sebagai media rasmi.

Objektif seminar mudah sahaja, mengajak dan mendidik wanita menghayati pentingnya kesihatan untuk satu masa depan yang lebih terjamin.

Seminar ini memberi panduan kepada wanita supaya menghargai kesihatan dan kualiti hidup membina keyakinan diri, meningkatkan keinginan dan tenaga ke arah produktiviti lebih cemerlang.

Pengisian ini juga diharap dapat membantu peserta membina personaliti dan kehidupan profesional dalam mencari kecemerlangan hidup.

Ini bukan bermakna menjaga bentuk badan sahaja tetapi turut menjalani ujian dan pemeriksaan kesihatan dari semasa ke semasa. Jika mahu cantik dan sihat, pastikan anda mengamalkan gaya hidup sihat.

Seminar akan berlangsung di Hotel Legend bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang. Antara penceramah yang akan ikut serta ialah Pemilik dan Pengasas Pusat Perubatan Primanora , Datuk Dr. Nor Ashikin Ahmad Mokhtar, Prof. Datuk Dr. Aminuddin Ahmad, Dr. Jeyarajah Sivalingam, Dr. Kasumawati Alli dan Dr. Ho Choon Moy.

Bayaran yang dikenakan RM500 untuk ahli-ahli IMM, bukan ahli RM600 dan peserta awal mendaftar RM500. Manakala bagi kumpulan akan diberi 10 peratus potongan harga. Individu yang berminat menyertai seminar ini boleh menghubungi IMM 03-78743089/78746726 untuk maklumat lanjut.

Kalau ada sanggup berhabis duit untuk mengikuti rawatan mengurus dan mencantikkan wajah dan badan, apa kata kita beramai-ramai sertai seminar ini - mencari ilmu untuk cantik dan sihat sebagai pelengkap gaya hidup hari ini, esok dan seterusnya.

Menamatkan catatan, kita renung bersama Firman Allah yang bermaksud: Ia menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat, dan ia menentukan bentuk rupa kamu serta memperelokkan rupa kamu: dan kepada-Nya tempat kembali. (Surah At-Taghaabun: ayat 3).
Menutup kata, seorang wanita yang berfikir dan bijak, boleh mengubah sebuah padang menjadi kebun yang indah.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Jumaat, 4 Februari 2011

Tidak Selesa Kerana Keputihan

SOALAN:
Saya berumur 29 tahun dan mempunyai anak pertama yang berusia 10 bulan. Masalah yang saya hadapi adalah keputihan menyebabkan kegatalan pada faraj saya.


Saya berasa amat tidak selesa apabila mengalami kegatalan itu dan sentiasa ingin menggaru serta boleh menyebabkan kawasan faraj melecet dan sakit apabila terkena air.


Untuk makluman doktor, saya bersalin normal, tetapi terpaksa menjalani jahitan sebanyak dua kali ( mungkin disebabkan saya sibuk menjaga anak di wad akibat sakit kuning-jaundis ).


Adakah disebabkan faktor jahitan saya boleh menyebabkan kawasan faraj menjadi sensitif apabila berlaku pengeluaran keputihan terutama selepas datang haid ( waktu subur)?


Apakah kaedah rawatan yang sesuai dan tidak memudaratkan bagi mengatasi masalah ini sama ada penggunaan alat pencuci khas atau pengambilan ubat?


Selain itu, saya juga sudah menjalani ujian Pap smear pada Disember lalu di klinik kerajaan, tetapi masih menunggu keputusan.



Risau
Putrajaya

JAWAPAN:
Saya pasti sewaktu ujian Pap smear dilakukan, doktor juga memeriksa kawasan kemaluan luar, faraj dan permukaan pintu rahim anda. Sekiranya terdapat keputihan atau tanda jangkitan serta kesan kelukaan pada faraj, doktor pasti sudah memberitahu anda dan melakukan ujian kultur kuman menggunakan palitan lelehan atau keputihan.

Mungkin doktor akan memberikan krim antikulat atau antibiotik bersama krim mengandungi hormon tertentu buat sementara waktu untuk mempercepatkan pemulihan kulit faraj. Anda dinasihatkan berjumpa semula doktor di kilnik kerajaan terbabit untuk mendapatkan hasil ujian dan rawatan bersesuaian.

Saya tidak fikir ia mempunyai kaitan dengan luka jahitan bersalin memandangkan ia sudah berlalu 10 bulan terdahulu.


Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Rabu, 2 Februari 2011

Wanita Lebih Banyak Alami Stres Mental?

Baru-baru ini kita telah didedahkan dengan maklumat bahawa pesakit mental yang menerima rawatan di Hospital awam telah meningkat ke 15.6%. iaitu seramai lebih 400,000 orang. Malah angka ini dikatakan telah meningkat berbanding dengan tahun sebelumnya. Membaca kenyataan ini rakan sekerja saya tersenyum lebar sambil berkata "hai sebenarnya banyak lagi diluar sana yang dok tunggu giliran nak masuk hospital mental ini, cuma dia orang tak sedar". Dan beliau terus ketawa terbahak-bahak. Walaupun kenyataannya itu nampak seperti bergurau, tetapi mengikut beberapa kajian yang dilakukan di negara kita, komen itu ada kebenarannya. Ini kerana ramai yang mengalami stres tetapi tidak menyedarinya.

Dwi kerjaya

Amnya ramai yang menghadapi masalah mental dikaitkan dengan masalah kekeluargaan dan ketidakpuasan di tempat kerja. Kini, 50% dari tenaga buruh adalah wanita dan 70% dari dari mereka sudah berumah tangga. Oleh yang demikian, salah satu golongan yang berhadapan dengan gejala penyakit mental ini ialah pasangan dwi kerjaya. Dwi kerjaya bermaksud individu itu mempunyai dua peranan iaitu di rumah dan di tempat kerja. Realitinya ialah pasangan dwi kerjaya kini adalah satu keperluan memandangkan kos hidup yang semakin meningkat.

Benarkah wanita lebih stres?

Mengimbas semula data kementerian kesihatan pada tahun 1996, didapati wanita secara umumnya menghadapi stres mental 1.5 kali lebih tinggi berbanding dengan lelaki.. Mungkinkah wanita lebih stres dari lelaki?

Status kesihatan

Antara punca stres di kalangan pasangan ini kerana terpaksa berkejaran untuk mengimbangkan antara kerjaya dan tanggungjawab dirumah. Dapatan kajian dari 1000 orang wanita kerjaya, didapati 55% peratus dari mereka mengalami lebih dari satu bentuk masalah kesihatan.

Penyakit yang dihidapi adalah seperti kencing manis, sakit lutut, migrain, sengal sengal badan, insomnia, pening, sakit pinggang, kemurungan, sering selesema dan demam, rasa kebas pada bahagian badan tertentu dan darah tinggi. Selain dari itu seramai 40% mengatakan berat badan mereka telah meningkat disebabkan kecenderungan untuk makan bila stres dan penglihatan mereka semakin kabur (32%) disebabkan oleh penggunaan komputer.

Secara keseluruhan 10% sahaja wanita yang mengaku mereka sihat, dan 71% merasakan mereka agak sihat, 16% bersetuju mereka tidak berapa sihat dan 3% mengatakan mengatakan mereka langsung tidak sihat. Ini adalah satu tanda amaran yang memerlukan tindakan segera.

Menurut kajian yang dijalankan di Korea, wanita yang menanggung pelbagai jenis penyakit disebabkan oleh dwi kerjaya jika berterusan selama 10 tahun akan mengalami sindrom kemurungan yang digelar sebagai Whabyung. Apa yang membimbangkan ialah hampir 17% dari wanita dalam kajian ini mengatakan mereka telah mengalami kesemua penyakit ini lebih dari 7 tahun. Berkemungkinan ada wanita dari kajian ini mewakili sebahagian dari 400000 ribu yang mempunyai penyakit mental ini?

Konflik dalaman

Secara terperinci, wanita dwi kerjaya ini menghadapi konflik dalaman disebabkan oleh pelbagai permintaan dari ahli keluarga, iaitu suami, anak, ibu bapa dan tidak ketinggalan majikan di tempat kerja. Kajian menunjukkan hampir 70% mengatakan ia berlaku kerana berkejaran untuk menghabiskan kerja pejabat dan kerja rumah.

Masa tidur

Seramai 34% dari wanita tersebut terpaksa mengorbankan waktu tidur mereka untuk memastikan kerja rumah mereka dapat dibereskan. Malah ada yang bangun seawal lima pagi dan tidur lewat satu malam setiap hari. Mereka tidak terdaya menjadi superwomen yang perlu menggalas hampir semua tanggungjawab dirumah di samping mengejar kerjaya.

Kerja Rumah 

Lebih 80% mengaku bahawa mereka terpaksa melakukan kesemua kerja rumah secara sendirian. Hanya 17% sahaja suami yang sedia membantu isteri membuat kerja-kerja rumah. Kerja yang dilakukan oleh suami adalah dikategorikan sebagai kerja sampingan atau "bantuan bila perlu". Maka tidak menghairankan jika seramai 78% merasakan kelesuan mental apabila berada di tempat kerja. Sehubungan dengan itu juga, apabila menghadapi masalah dirumah maka besar kemungkinan stres ini akan dibawa bersama di tempat kerja. Apa yang berlaku ialah rakan rakan di tempat kerja juga akan merasakan bahang dari stres individu tersebut.

Bersama Anak dan Ibu Bapa

Ramai wanita (70%) dalam kajian ini mengalami konflik dalam diri kerana merasakan tidak berlaku adil dalam menjaga kebajikan anak anak mereka. Beban ini lebih terasa kerana hampir 90% wanita dalam kajian ini tidak ada pembantu rumah atau keluarga terdekat untuk membantu menjaga anak anak mereka.

Malah wanita ini juga mengalami dilema bukan sahaja mereka tidak dapat memberikan penjagaan yang secukupnya pada anak anak tetapi juga untuk ibu atau bapa mereka yang uzur. Wanita kerjaya seumpama ini dikenali sebagai "wanita generasi tersepit", kerana mereka terpaksa mengimbangkan antara tanggungjawab sebagai ibu, isteri dan anak. Di negara China disebabkan terlalu banyak sangat kes pengabaian orang tua, maka satu polisi telah digubal dimana ibubapa dibenarkan untuk membawa anak-anak ke muka pengadilan jika mengabaikan kebajikan orang tua mereka. Namun jika dilaksanakan di negara kita, apakah cara ini dapat melahirkan sebuah masyarakat penyayang?

Masa untuk diri dan Bersama Kawan

Kajian turut mendapati 40 % wanita mengatakan mereka tidak ada masa untuk bersantai dengan kawan. Bukankah menonton drama terkini, malah mendengar berita pun sudah tidak kesempatan. Malah lebih 50% wanita mengatakan bahawa tidak ada masa untuk memanjakan diri dengan urutan, ke Spa ataupun pusat rawatan kecantikan. Sehinggakan ada wanita dalam kajian ini yang mengeluh kerana masa cuti minggu adalah paling stres bagi mereka. Cuti dua hari itulah mereka gunakan segala tenaga untuk membereskan kain baju belum bergosok atau dibasuh, mencuci tandas dan membeli barang keperluan dapur. Menurut kajian juga masa santai untuk diri adalah penting untuk kesihatan mental seseorang diri. Apakah pengalaman seumpama ini boleh dikatakan sebagai satu deraan fizikal tetapi juga mental bagi wanita tersebut?

Bersama suami

Dalam hal suami pula, seramai 55% bersetuju mempunyai masa yang terhad untuk bersama pasangan mereka, kerana terlalu banyak kerja rumah maupun urusan pejabat yang perlu di laksanakan. Seramai 15% menjawab mereka tidak ingat bila kali akhir mereka bermesra dengan suami mereka. Seperti kata salah seorang responden "terlalu banyak tugas overtime di tempat kerja sehingga suami dirumah menjadi part time". 

Malah 3% dari responden menjawab mereka mula sangsi dengan perubahan tingkah laku pada suami mereka yang tidak semesra dulu. Antara perubahan yang dimaksudkan ialah suami mereka kurang berkomunikasi, suami lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah bersama kawan, kurang ucapan kata kata mesra mahupun hadiah "kejutan" untuk hari jadi, hari ulang tahun berbanding dengan sebelum ini. Belaian mesra dan gurau senda juga amat kurang dalam hubungan harian mereka dan kecewa dari segi hubungan intim dengan suami mereka.

Sebuah lagi kajian yang dilakukan di kalangan 160 orang professional juga mendapati di hampir 11% mengalami konflik nafkah batin di kalangan pasangan kerja yang sudah berkahwin. Masalah dalam perkahwinan seumpama ini boleh mengganggu emosi dan boleh memberi kesan ke atas kerja mereka.
Benarkah pekerja wanita adalah toksik di tempat kerja. 

Dengan adanya ramai graduan wanita, kini di tempat kerja kebanyakan jawatan pengurus atau pentadbir mula dipenuhi dengan wanita. Sebuah kajian yang dijalankan pegawai kerajaan menunjukkan bahawa jika ada pilihan, 90% dari responden, tidak kira lelaki atau perempuan lebih suka berkerja dengan bos lelaki. Antara sebabnya ialah bos lelaki dipandang sebagai lebih memahami masalah pekerja, tidak atau "angin pasang surut" boleh berkomunikasi secara berhemah. Tidak kurang juga yang memberikan pelbagai gelaran pada bos wanita mereka seperti singa betina, Hitler dan seumpamanya. Apakah ini petanda wanita lebih stres di tempat kerja? Atau permintaan ditempat kerja yang menjadikan mereka stres?

Wanita dan kerja

Seterusnya 50% wanita dalam kajian ini menyatakan hasrat mereka untuk berhenti kerja jika diberi peluang kerana kesukaran untuk mengimbangi tanggungjawab antara kerja dan keluarga. Tetapi pada hakikatnya 80% mengatakan mereka merasa gembira jika mempunyai kerjaya serta dapat membantu dalam ekonomi keluarga. Lebih lebih lagi yang mempunyai anak, kerana perlu mengasingkan sekurang kurangnya 7% dari pendapatan untuk perbelanjaan anak-anak. Jelas sekali menunjukkan bahawa wanita akan mengalami stres kerana tersepit antara dua keadaan

Pendek kata wanita dwi kerjaya berhadapan dengan pelbagai cabaran iaitu penjagaan anak-anak, menjaga ibu bapa, beban kerja rumah, masalah dalam perkahwinan dan prestasi kerja.

Mengatasi pesakit mental tanggung jawab siapa?

Menurut Institut Kesihatan Mental di Amerika Syarikat dianggarkan 17 juta penduduk atau seramai 10% dari penduduk golongan dewasa mengalami kemurungan setiap tahun. Namun jika mereka diberi bantuan seramai 70% menunjukkan perubahan yang positif dalam masa beberapa minggu sahaja.

Malaysia adalah salah sebuah Negara yang memperuntukkan belanjawan untuk tujuan kesihatan yang besar untuk rakyatnya. Namun pesakit mental bukan tanggungjawab kerajaan ataupun majikan sahaja, malah setiap ahli keluarga. Ini kerana kerajaan dan majikan boleh mewujudkan pelbagai bentuk bantuan untuk kesejahteraan pekerja seperti perubatan, bantuan kaunseling, pusat penjagaan anak-anak, potongan cukai untuk ibu bapa dan sepertinya.

Tetapi satu perkara penting yang perlu diingat ialah bahawa setiap keluarga itu berbeza. Oleh itu adalah tanggungjawab setiap individu dalam keluarga untuk mencari resipi tersendiri dalam mencari penyelesaian bagi keluarga. Umpamanya kerajaan hanya boleh memastikan kesemua rakyat mendapat bekalan beras yang cukup, tetapi untuk memastikan nasi tidak menjadi hangit, keras ataupun bubur bergantung pada individu itu sendiri.

Oleh: Dr. Sabitha Marican
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my