SOALAN :
SAYA berusia 27 tahun, sudah mendirikan rumah tangga selama setahun dan belum hamil. Saya diberitahu doktor mengalami endometriosis dan cyst itu sebesar lapan sentimeter.
Saya menjalani pembedahan laparoskopi untuk membuang cyst itu namun selepas dua bulan csyt terbabit membesar sebanyak dua sentimeter.
Saya dinasihati doktor untuk membuang cyst itu bagi membolehkan saya hamil namun saya runsing.
Adakah pembedahan kedua ini akan berjaya dan saya boleh hamil? Bolehkah saya tidak membuang cyst terbabit dan menjalani kaedah rawatan lain seperti permanian berhadas (IUI) atau persenyawaan tabung uji (IVF) bagi membolehkan saya dikurniakan cahaya mata?
Siti,
Petaling Jaya, Selangor
JAWAPAN :
PENYAKIT endometriosis mempunyai beberapa peringkat.
Peringkat pertama dan kedua tidak semestinya berkait dengan kesuburan manakala peringkat ketiga dan keempat pula berkait dengan kesukaran hamil.
Peringkat ini dapat diketahui selepas pembedahan menerusi sistem pemarkahan yang dibuat sewaktu penilaian terus pembedahan terbabit ke atas taburan tisu endometriosis pada rahim, tiub falopio, ovari, dinding pelvis dan seumpamanya.
Bagi peringkat ketiga atau keempat, pembedahan saja tidak mencukupi, lazimnya doktor akan memberikan rawatan tambahan secara suntikan hormon antagonis GnRH untuk menghentikan haid buat sementara waktu selama sehingga tiga hingga sembilan bulan bergantung kepada penilaian klinikal dan ujian darah Ca125.
Ini bagi memusnahkan baki sel endometriosis yang dijangka masih ada dan perlu ‘dibersihkan’ agar ia tidak berulang dengan cepat. Ada juga doktor yang berpendapat berlainan dalam merawat pesakit iaitu secara terus memulakan rawatan kesuburan sejurus selepas pembedahan untuk tidak melewatkan lebih masa atau usia.
Pembedahan pertama amat penting untuk menghilangkan sebanyak mungkin tisu endometriosis, bukan saja ia memberikan hasil atau peluang terbaik malah keadaan berkaitan rawatan kesuburan lazimnya turut dilakukan atau diperbetulkan walaupun tidak mungkin dapat mencapai keadaan sedia ada yang normal, seelokeloknya ia dilakukan doktor pakar kesuburan.
Memandangkan cyst endomeriosis lazimnya bukan satu tetapi banyak, pembedahan lazimnya dilakukan secara teliti untuk mencari dan membuang setiap satu cyst yang ada termasuk kelongsong cyst terbabit agar ia tidak berulang dengan lebih cepat.
Pembedahan kedua dijangka lebih rumit kerana terpaksa menangani parut kesan pembedahan pertama.
Anda dinasihatkan meneruskan rawatan dengan doktor anda yang lebih mengetahui keadaan dalaman sewaktu pembedahan itu. Pilihan sama ada untuk menjalani pembedahan semula atau meneruskan rawatan IUI atau IVF boleh dibuat setelah meneliti kelebihan dan kekurangan rawatan berkenaan.
Rawatan IUI atau IVF kini lebih lazim dimulakan secara rangsangan ovari melalui pemberian ubat kesuburan. Malangnya ubat kesuburan dijangka mungkin turut membesarkan cyst endometriosis. Anda harus faham kemungkinan risiko ini.
Selain itu, penyakit endometriosis yang masih aktif juga menurunkan peluang kehamilan seseorang, malah turut meninggikan risiko keguguran. Berbincanglah semula dengan doktor anda.
Penyakit endometriosis dikatakan berasal daripada tisu endometrium iaitu lapisan terdalam dinding rahim yang membentuk haid.
Tisu dan darah haid ini bukan saja keluar melalui faraj, malah sebahagiannya keluar melalui tiub falopio ke dalam ruang dalaman pelvis dan merebak ke ovari dan seumpamanya.
Memandangkan anda masih muda, ini bermakna penyakit ini tidak semestinya hilang terus malah berpotensi untuk berulang semula selepas setiap kedatangan haid. Ia hanya dijangka berkurangan dan pulih setelah wanita mencapai menopaus.
Ia juga dijangka berhenti sementara apabila wanita menerima rawatan hormon yang menyebabkan kesan menopaus seperti agonis GnRH.
Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/