Peminat Setia

Sabtu, 28 Januari 2012

Vitamin E Tokotrienol Untuk Jantung


SOALAN :

Saya mempunyai tekanan darah tinggi dan kolesterol. Selain mengambil ubat, saya disyorkan mengambil vitamin setiap hari untuk manfaat tambahan. Sebelum ini saya tahu vitamin E baik untuk kulit. Adakah Vitamin E mempunyai kelas yang berbeza?

JAWAPAN :

Vitamin E merupakan salah satu vitamin yang penting untuk kesihatan. Vitamin E bukanlah nutrien tunggal, tetapi merujuk kepada keseluruhan keluarga yang mengandungi lapan kompaun yang larut lemak. Vitamin E terbahagi kepada 2 sub-kumpulan, iaitu tokoferol dan tokotrienol. Setiap satu daripadanya mengandungi 4 ahli, iaitu Alfa, Beta, Gama dan Delta.

Melalui makanan Vitamin E boleh diperolehi daripada minyak sayuran, bijian, kekacang, sayuran berdaun hijau, dan sesetengah makanan berasaskan bijirin yang diperkuat atau ditambah dalam formulasinya. Berbeza dengan vitamin E tokoferol yang lebih mudah diperolehi daripada pengambilan makanan harian, vitamin E tokotrienol lebih sukar kerana ia hanya hadir dalam kuantiti yang lebih kecil dalam makanan tertentu sahaja.

Cadangan pengambilannya sebagai suplemen tambahan kepada masalah kesihatan terutamanya jantung ada asasnya. Kajian di Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, Kanada, malah di Malaysia sendiri menunjukkan pengambilan vitamin E tokotrienol secara konsisten bermanfaat untuk beberapa masalah kesihatan.

Kajian yang dibuat sama ada ke atas manusia mahupun haiwan memperlihatkan vitamin tokotrienol memberi manfaat kepada penyakit kardiovaskular dengan mencegah pengoksidaan kolesterol berbahaya, iaitu kolesterol LDL yang menjadi punca utama penyumbatan arteri.

Penyelidikan yang dibuat di Kenneth L. Jordan Heart and Research Foundation centre, Amerika Syarikat mengesahkan pengambilan Tokotrienol harian sebanyak 240 miligram menunjukkan ia berkeupayaan membaikpulih penyumbatan arteri. Selain itu, vitamin E tokotrienol juga mempunyai kemampuan untuk merendahkan paras kolesterol dengan merencatkan atau pengawalan aktiviti enzim HMG CoA reduktase yang menyamai kesan tindakan ubat anti hiperlipidemia.

Manfaat hebat yang tentunya sangat dihargai adalah kesan positifnya ke atas kanser payudara. Hasil penyelidikan menunjukkan vitamin tokotrienol berkebolehan merencatkan sel-sel tumor kanser payudara. Sebaliknya, tokoferol tidak memperlihatkan kesan yang signifikan. Berbanding tokoferol, tokotrienol didapati memberi kesan sinergistik dengan ubat anti estrogen yang digunakan dalam pengurusan kanser payu dara.

Pada tahun 2007, kajian telah dibuat di mana paras tokoferol dan tokotrienol diukur dalam sel-sel payu dara di kalangan rakyat Malaysia yang diet mereka mengandungi minyak kelapa sawit. Hasilnya mendapati paras tokoferol adalah sama dalam kedua-dua sel payu dara yang bersifat benigna (tumor yang tidak berbahaya) dan juga malignan (tumor berbahaya). Walau bagaimanapun, konsentrasi tokotrienol adalah lebih tinggi dalam tisu-tisu lemak di kalangan wanita yang menga-lami benigna. Ini menyokong kenyataan bahawa tokotrienol memberi manfaat perlindungan daripada kanser payu dara.

Secara perbandingannya, vitamin E tokotrienol terbukti 40 hingga 60 kali lebih poten sebagai anti oksida berbanding tokoferol. Aktiviti anti oksida vitamin E adalah meluas. Ia memberi kesan perlindungan yang terlibat dalam mencegah pengoksidaan lipid dalam tisu-tisu dan sel. Aktiviti khusus pula termasuklah meneutralkan radikal bebas dan memperbaiki kerosakan sel, terutamanya membran-membran sel. Vitamin E seringkali dicadangkan untuk pelbagai masalah degeneratif seperti penyakit kardiovaskular, kanser dan katarak.Ia juga penting untuk kesihatan kulit dan rambut.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Khamis, 19 Januari 2012

Susahnya Nak Kurus Semula



Maria berjumpa doktor kerana mengalami masalah obesiti. Dia mahu mengurangkan berat badan yang meningkat sehingga 90 kg. Doktor mencadangkan program pengawalan makanan dan juga ubat-ubatan bagi merangsang rasa kenyang dengan cepat. Menurut doktor ini merupakan langkah saintifik yang digunakan di seluruh dunia. Selepas dua minggu makan ubat dan mengawal pemakanan, Maria mula kehilangan berat badan. Dalam tempoh sebulan berat badannya mengurang sebanyak 10 kg dan semestinya dia gembira.

Bagaimanapun pada bulan kedua, tiada sebarang pengurangan menyebabkan Maria mula risau. Sebulan selepas itu Maria berhenti makan ubat kerana jemu dengan keadaannya yang tidak berubah. Tambahan pula dia diberitahu ubat yang dimakan mempunyai kesan tidak baik kepada kesihatan. Beberapa bulan selepas itu, Maria mengalami kenaikan berat badan berganda. Tubuhnya berasa lemah dan mukanya kelihatan sembap. Dia kecewa dan hairan dengan keadaan tubuhnya yang tidak memberi sebarang reaksi terhadap rawatan dan ubat-ubatan. Dia melihat beberapa rakannya yang memakan ubat dan pengawalan makanan menjadi kurus dan cantik.

Mengapakah sukar untuk kurus? Mengapakah seseorang itu tetap gemuk meskipun berdiet dan mengamalkan senaman? Apakah yang terjadi?

Setelah mendengar cerita Maria saya menyatakan kepadanya bahawa dia mengalami masalah refraktori obesiti yang bermaksud seseorang itu tidak berjaya menjadi kurus semula. Diet senaman dan ubat-ubatan tidak dapat membantu menurunkan berat badan. Mangsa refraktori obesiti akan menjadi lebih gemuk setelah menjalani rawatan pelangsingan. Mereka juga mempunyai tenaga yang lemah dan mudah murung. Keadaan kulit mereka kasar dan kurang menarik. Senaman juga membuatkan mereka lemah dan semakin gemuk.

Kanak kanak yang mengalami refraktori obesiti juga menjadi kurang bermain dan mudah menyendiri. Perkara ini perlu diberi perhatian oleh ibu bapa kerana jika tidak ditangani bakal menjadi lebih serius.

Kesan refraktori obesiti terhadap tubuh badan

* Tulang mengecil dan merosot terutamanya tulang pada muka. Ini menyebabkan muka kelihatan bulat dan sembap.

* Kekejangan otot.

* Berisiko mendapat penyakit metabolik.

* Mudah letih.

* Mata mengecil dan tampak sepet

* Cepat lapar

* Tidak mampu bersenam

* Masalah haid tidak menentu bagi wanita

Rawatan

Tidak ada kaedah diet dan senaman yang mampu memberi kesan terhadap masalah ini. Ini kerana masalah refraktori obesiti disebabkan kekurangan enzim dan hormon pembakar lemak. Oleh kerana itu pengidap refraktori obesiti berdiet sepanjang tahun malah bertahun-tahun lamanya tanpa sebarang kesan.

Rawatan yang terbaik adalah meningkatkan paras enzim dan hormon. Di Marissa Esthetic misalnya rawatan yang penting adalah terapi enzim yang merangsang ketosis.

Selain itu senaman menggunakan otot yang menyokong tubuh kita iaitu core muscle excersize bukan sahaja tidak memenatikan malah mampu menjana fungsi metabolik dengan berkesan.

Masalah

* Masalah lemak pada bahagian depan tubuh iaitu pada buah dada, ketiak, perut termasuk lengan.

Lemak yang berkumpul pada bahagian ini disebabkan faktor hormon yang tidak seimbang. Dalam tubuh wanita terdapat hormon yang penting iaitu estrogen dan progestron. Kehadiran kedua-dua hormone ini perlu seimbang. Apabila estrogen terlalu banyak maka akan berlaku ketidakseimbangan. Estrogen cenderung untuk mengumpulkan lemak pada perut dada lengan dan ketiak. Mereka yang mengalami masalah ini berasa cepat letih. Mereka juga sukar memakai korset atau pakaian ketat kerana saiz badannya lebih besar apabila waktu petang atau malam. Korset yang dipakai terasa seolah-olah semakin ketat di sebabkan perkara ini. Sebenarnya tubuh mereka menyimpan air yang banyak. Pendekatan menangani obesiti haruslah dibuat menerusi pelbagai aspek kerana mengawal makan sahaja bukanlah penyelesaiannya. Selepas rawatan barulah doktor mengenalpasti makanan yang sesuai dengan komposisi tubuh seseorang. Ini membuatkan seseorang itu lebih mudah menjaga dirinya bagi mengelakkan stimulasi hormon cortisol dan estrogen. Perubahan gaya hidup juga penting iaitu dengan menjauhi ketegangan dan bijak menghadapi tekanan dalam kehidupan seharian.

* Pengumpulan lemak pada muka.

Masalah pengumpulan lemak pada muka dan belakang leher. Biasanya tangan dan kaki adalah agak kecil. Perut mungkin membesar sedikit dan terdapat banyak kesan rekahan. Rekahan ini dinamakan striae. Sekali pandang ia kelihatan striae pada perut wanita hamil. Mereka mempunyai muka yang bulat, dagu berlapis dan selalunya bertubuh rendah

* Pengumpulan lemak pada punggung.

Lemak hanya berkumpul pada punggung sahaja. Bahagian atas tubuh kecil, muka juga kecil dan comel. Ini berlaku kerana keaktifan hormon gonadal yang tinggi dan merangsang tubuh menyimpan lemak pada punggung. Perkara ini berlaku bagi lelaki dan wanita. Mereka yang mengalami masalah ini disaran mengambil hormon bloker dan juga mengelak daripada mengambil makanan seperti organ dalaman haiwan yang kaya dengan hormon tersebut.

* Pengumpulan lemak pada perut dan pinggang.

Bagi lelaki ini berlaku disebabkan kekurangan hormon seks lelaki iaitu testosterone serta kemerosotan dalam aktiviti hormon GH. Tubuh jenis ini berisiko mendapat kencing manis kerana masalah insulin yang tidak efektif. Sel-sel dalam tubuhnya tidak efektif terhadap insulin menyebabkan insulin di keluarkan dengan banyak. Kesan insulin yang banyak akan membuatkan gula dalam tubuh rendah dan tenaga menjadi lemah. Mereka juga kerap berasa lapar dan kerap makan menyebabkan berat badan bertambah.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Selasa, 3 Januari 2012

Bersalin Tambah Risiko Rahim Jatuh


Uterus atau dalam bahasa harian lebih senang disebut rahim, mungkin boleh dilambangkan sebagai kasih sayang bagi seorang wanita.

Di dalam organ inilah, 'benih' cinta antara dua individu bersatu, membesar selama 40 minggu dan apabila sampai masanya, menyingkap dunia melalui frasa yang cukup istimewa.

Sebagai organ yang mempunyai fungsi ajaib melahirkan cahayamata, pastinya tugas berat tersebut sedikit sebanyak membebankan dan boleh mendatangkan masalah di kemudian hari.

Rahim jatuh atau uterovaginal prolapse adalah satu daripadanya. Ia berlaku apabila rahim turun atau jatuh daripada kedudukan anatomi asalnya di aras tonjolan tulang iskium (ischial spine).

"Punca utamanya ialah kelemahan otot-otot dan ligamen-ligamen sokongan rahim serta lantai pelvis yang disebabkan oleh beberapa perkara," kata Dr. Ixora.

Menurut beliau, otot-otot lantai pelvis atau saraf pudendal iaitu saraf yang menjadi penyambung di bahagian tersebut boleh tercedera ketika proses kelahiran. Tambahan lagi kepada wanita yang melalui proses kelahiran lebih daripada empat kali, mereka sangat terdedah kepada risiko mengalami rahim jatuh.

Faktor lain seperti kekurangan tisu kolagen sama ada sejak lahir atau disebabkan oleh menopaus dan masalah keabnormalan tulang belakang seperti 'spina bifida' juga mengundang masalah ini.

Dianggarkan sekitar 30 peratus wanita berusia mengalami masalah rahim jatuh tetapi peratusan sebenarnya tidak diketahui dengan tepat kerana ramai yang malu untuk berjumpa doktor.

Walaubagaimanapun kata beliau, terdapat juga wanita muda yang mengalami masalah ini tetapi ia jarang berlaku. Jika berlaku sekali pun mungkin berpunca daripada masalah saraf pudendal yang wujud secara semula jadi sejak lahir atau akibat kecederaan saraf tunjang atau penyakit saraf seperti gullain-barre dan poliomyelitis.

"Individu yang mengalami masalah kesihatan seperti obesiti, sembelit dan batuk yang berpanjangan serta selalu mengangkat beban berlebihan atau berpanjangan untuk tempoh yang lama boleh menyebabkan otot lantai pelvis lemah," kata beliau.

Jelas Dr. Ixora, biasanya masalah rahim jatuh akan diiringi masalah organ-organ pelvis lain seperti pundi kencing, faraj, uretra (salur kencing), rektum (usus besar) dan usus kecil yang dipanggil pelvic organ prolapse (POP).

Antaranya masalah cystocoele ( pundi kencing jatuh / bonjolan pundi kencing ke dalam faraj) dan rectocoele (usus besar rektum jatuh / bonjolan rektum ke dalam faraj).

Selain daripada itu ia juga diiringi oleh masalah kencing seperti stres inkontinens (kebocoran akibat batuk, bersin atau ketawa dan masalah pundi kencing terlalu aktif.

Kategori rahim jatuh:

>> Peringkat pertama : serviks turun dari kedudukan normalnya sehingga bukaan faraj tetapi rahim masih di dalam faraj

>> Peringkat kedua : serviks dan sebahagian rahim turun dari kedudukan normalnya sehingga melepasi bukaan faraj tetapi fundus rahim masih di dalam faraj

>> Peringkat ketiga (procidentia) : serviks dan keseluruhan rahim termasuk fundusnya dan dinding faraj turun melepasi bukaan faraj.

Simptom-simptomnya:

>> Terasa sesuatu terkeluar di bahagian faraj

>> Ketulan pada faraj

>> Sakit pelvis / ari-ari (dragging pelvic pain)

>> Sakit belakang

>> Sakit semasa hubungan seks

>> Pendarahan faraj selepas menopaus

>> Inkontinens kencing

>> Sukar buang air kecil / besar


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my