Peminat Setia

Memaparkan catatan dengan label Dr Abdul Salam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dr Abdul Salam. Papar semua catatan

Ahad, 14 Ogos 2011

Niat Mandi Serentak

SOALAN:
Bolehkah berniat secara serentak niat mandi wajib selepas haid dan melakukan hubungan kelamin?

Jieha,
Kuala Lumpur


JAWAPAN:
Sebab yang mewajibkan mandi adalah disebabkan ber setubuh, keluar air mani, mati, keluar darah haid, beranak dan keluar darah nifas. Maka terdapat tiga jenis mandi dalam Islam iaitu mandi wajib, mandi sunat dan mandi harus.

Keluar haid, beranak dan keluar darah nifas hanya mem babitkan kaum wanita saja. Berkenaan niat mandi wajib bagi wanita, lebih baik mereka menentukan niat ketika mandi sama ada ia mandi disebabkan haid atau nifas.

Bagaimanapun, niat umum bagi mandi wajib adalah sama ialah "Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala" atau "Sahaja aku mandi wajib kerana Allah Taala."

Dengan melakukan mandi wajib, seseorang itu menjadi suci daripada hadas besar. Sekiranya seseorang berada dalam hadas besar secara berulang seperti mengulangi persetubuhan dan sebagainya, mandi wajib sekali sudah memadai untuk bersuci daripada hadas besar.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Sabtu, 2 Julai 2011

Bayi Tolak Susu Badan

SOALAN:
Saya ibu kepada seorang bayi lelaki berusia empat setengah bulan. Saya bersalin melalui kaedah Caesarean dan selepas melahirkan anak, hanya mampu menyusukan bayi selama sebulan. 

Keadaan ini agak mengecewakan kerana saya berazam untuk menyusukan anak melalui susu badan.
Masalahnya bayi saya menolak untuk diberikan susu badan kerana lebih selesa menyusu botol. Mungkin ketika itu air susu badan saya agak berkurangan.

Adakah sebarang alternatif untuk mengaktifkan kembali air susu badan? Bagaimana memujuk bayi saya supaya dapat menerima susu badan walaupun dia sudah biasa menyusu susu botol?



Ibu Resah,

Kuching, Sarawak

JAWAPAN:
Membincangkan persoalan anda sama seperti wanita yang ingin menyusukan bayi angkat. Untuk menghasilkan susu badan, ia memerlukan semangat dan kerajinan kerana hasilnya tidak kelihatan dalam sekelip mata.

Faktor utama adalah rangsangan manual terhadap puting payudara kerana ia membantu menghasilkan hormon oksitosin yang akan memancutkan susu dari payudara.

Terdapat ubat yang dikatakan dapat membantu menghasilkan susu di dalam payudara walaupun sebenarnya ia hanyalah satu daripada kesan sampingan ubat terbabit iaitu ubat itu dihasilkan atau dipasarkan bukan untuk kegunaan menghasilkan susu badan.

Anda boleh pergi mendapatkan nasihat daripada kumpulan penyusuan badan yang lazimnya terdiri daripada jururawat dan doktor sesuatu hospital yang ditauliahkan sebagai hospital rakan bayi.

Bayi anda mungkin mengambil masa untuk menyesuaikan semula dengan puting payudara berbanding puting tiruan yang lebih mudah. Kesabaran dan ketekunan sangat penting dalam perkara ini.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Sabtu, 30 April 2011

Jaga Batas Pergaulan Elak Fitnah

SOALAN:
Saya seorang isteri yang baru berumah tangga. Suami dan emak saya bekerja satu pejabat dengan saya. Saya mempunyai kawan seorang lelaki bujang sama unit dengan saya.
Sehingga hari ini saya masih berkawan dengan lelaki itu. Kami berkawan hanya di pejabat saja seperti pergi minum di kantin bersama, tetapi tidak pernah keluar di luar pejabat.


Suami dan emak mengetahui hubungan itu dan membenarkan jika saya minum dengan lelaki berkenaan. Apakah berdosa saya sebagai isteri berkawan dengan lelaki bujang itu?


Nurin, 
Penang

JAWAPAN:
Islam membenarkan pergaulan antara lelaki dan wanita dengan batas tertentu. Ini jelas apabila Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada yang diharamkan) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mentua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara mereka yang perempuan atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang lelaki yang sudah tua dan tidak keinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah al-Nur ayat 31)

Dengan mematuhi tata cara pergaulan sebagaimana yang dianjurkan dalam ayat al-Quran di atas, seseorang wanita dapat menyelamatkan dirinya daripada melakukan maksiat dan tersebar fitnah jahat.

Selain itu, perlu ada perubahan dalam hidup puan selepas berumahtangga, iaitu dengan menumpukan kepada rumah tangga dan suami. Baik kiranya keluar makan bersama suami berbanding dengan teman sejawat selepas berumahtangga.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Ahad, 20 Februari 2011

Punya Lebih Hormon Lelaki

SOALAN:
Saya berumur 30 tahun dengan berat 63 kilogram dan ketinggian 160 sentimeter, baru memasuki alam perkahwinan. Saiz payudara saya 36B.


Sehingga kini saya tidak pernah didatangi haid. Perut saya tidak buncit dan tidak pernah mengalami sakit di perut. Untuk pengetahuan doktor, pada awal 2008 saya berjumpa doktor pakar sakit puan di sebuah hospital swasta.


Hasil pemeriksaan doktor pakar, dia mendapati saya mempunyai hormon yang lebih kepada hormon lelaki. Tiada sebarang ubat diberikan kepada saya.


Bagaimanakah caranya untuk saya mengembalikan hormon perempuan? Adakah saya boleh hamil dan berkeadaan normal seperti perempuan biasa? 

Iza,
Wangsa Maju, Kuala Lumpur

JAWAPAN:
Tidak pernah didatangi dinamakan amenorea primer. Mereka yang belum didatangi haid setelah menjangkau usia 16 tahun disarankan menjalani pemeriksaan doktor tanpa menunggu lebih lewat lagi kerana beberapa puncanya boleh memberi impak terhadap kehidupan atau potensinya untuk hamil kelak.

Saya andaikan, apabila memberikan jawapan permasalahan puan, doktor puan sudah pun melakukan beberapa ujian di samping pemeriksaan fizikal, antaranya:

- Pemeriksaan ciri-ciri fizikal sindrom tertentu yang menandakan kemungkinan keabnormalan kromosom contohnya sindrom Turner (terdapat kromosom Y iaitu kromosom lelaki). Deria bau anda juga mungkin sudah diperiksa.
- Memastikan tubuh anda menunjukkan perkembangan seksual sekunder contohnya kewujudan dan taburan rerambut kemaluan, bulu ketiak. Kadangkala pengambilan ubat berhormon yang boleh memberi kesan terhadap pertumbuhan ciri seksual sekunder ini dalam jangkamasa lama boleh mengaburi penilaian ini.
- Mengesahkan kewujudan rahim. Memandangkan anda sudah pun berkahwin, ujian ultrabunyi secara trans-vaginal (melalui faraj) dapat memberikan imej yang lebih terperinci contohnya ketebalan lapisan haid (endometrium) pada bahagian terdalam dinding rahim dan seumpamanya.
- Melalui ultrabunyi juga, doktor akan mengimbas kedua-dua ovari. Ultrabunyi trans-abdomen juga boleh dilakukan untuk melihat kelenjar edrenal yang terdapat di bahagian atas buah pinggang.
- Memastikan tiada masalah berkaitan keabnormalan hormon contohnya berlebihan hormon kelelakian walaupun ini lazimnya menyebabkan haid yang tidak teratur atau jarang-jarang dan bukannya tidak pernah didatangi haid langsung.
- Selain ultrabunyi, ujian darah juga dilakukan termasuk ujian hormon tertentu dan analisis kromosom.

Anda mungkin ingin bertanya sekali lagi dengan doktor anda untuk kepastian, sama ada anda mempunyai berlebihan hormon lelaki ataupun sebenarnya mempunyai kromosom lelaki lebih-lebih lagi memandangkan anda tidak ditawarkan sebarang ubat.

Lebih elok jika anda meminta doktor menulis nama penyakit anda. Kadangkala penerangan perubatan mengenai istilah penyakit yang diterangkan doktor boleh disalah faham. Doktor juga boleh menerangkan mengapa anda tidak diberikan rawatan serta peluang untuk hamil.

Lazimnya pada usia begini, bagi mereka yang menunjukkan ciri-ciri fizikal atau sifat keperempuanan, punca yang paling kerap adalah masalah kongenital (gangguan pembentukan sistem peranakan yang sepatutnya berlaku sewaktu peringkat janin) yang menyebabkan rahim dan faraj tidak terbentuk.

Mereka boleh mempunyai ovari malah ujian kromosom menunjukkan mereka perempuan. Memandangkan mereka mempunyai ovari (mempunyai genetik kromosom perempuan), mereka menunjukkan ciri-ciri keperempuanan tetapi oleh kerana ketiadaan rahim (dan faraj), haid tidak terbentuk.

Mereka juga boleh mempunyai keabnormalan sistem buah pinggang. Keadaan ini dinamakan agenesia Mullerian (atau sindrom Mayer-Rokitansky-Kuster-Hauser).

Selain agenesis Mullerian, satu lagi punca lain yang juga mungkin adalah sejenis penyakit kromosom yang dinamakan sindrom testicular feminine yang mereka mempunyai kromosom lelaki, testis yang tersembunyi di bahagian inguinal atau abdomen, faraj yang pendek dan buntu di penghujungnya.

Lebih jarang lagi, ia disebabkan oleh ketumbuhan kelenjar adrenal.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Jumaat, 7 Januari 2011

Keliru Samada Alami Keguguran

SOALAN:
Saya berumur 26 tahun, berkahwin dan mempunyai anak berumur setahun sebulan. Semasa anak saya berumur tujuh bulan, saya hamil untuk anak kedua, tetapi gugur kerana ketika itu, saya sering mengangkat benda berat. Kandungan itu gugur pada tiga minggu kehamilan. 

Keguguran itu lengkap iaitu tiada yang tertinggal di dalam rahim yang boleh menyebabkan jangkitan kuman. Kini saya musykil kerana tidak didatangi haid.


Tarikh 3 November lalu adalah tarikh akhir haid saya yang bermula pada 27 Oktober. Pada 6 Disember, penguji kehamilan yang dibeli di farmasi menunjukkan saya positif. Tetapi pada 8, 9 dan 10 Disember, ada cecair keluar dari vagina berwana coklat dan kehitaman, ia juga berbau seperti darah, tetapi hanya sedikit dan tidak berlanjutan.

Adakah darah yang keluar itu menunjukkan saya mengalami keguguran? Pada masa sama, saya tetap berasa mual. Apakah pandangan doktor?



Nursaridah,

Shah Alam

JAWAPAN:
Eloklah anda berjumpa doktor untuk memastikan keadaan sekarang:


  • Sama ada benar anda hamil lagi. Ujian ultrabunyi dapat membantu mengesan kantung kandungan di dalam rahim, mengesahkan anda hamil.

    Jika kurang jelas, ujian ini dilakukan secara transvaginal. Jika kantung kandungan tidak dapat dikesan, ujian pengesahan kehamilan secara ujian darah akan dilakukan, lebih-lebih lagi anda masih berasa mual.

  • Kadangkala, ujian air kencing untuk kehamilan boleh menjadi positif walaupun sebenarnya seseorang tidak hamil. Ini dinamakan ‘positif palsu’.

    Ujian darah lebih tepat dan ia mengukur paras hormon yang sama (hCG) serta keputusannya dapat diketahui selepas beberapa jam sahaja.

  • Setelah anda disahkan hamil, status kehamilan terbabit perlu diketahui sama ada masih hamil atau sedang/sudah keguguran serta lokasi kehamilan sama ada di dalam atau di luar rahim.

  • Apabila diulangi, perbezaan paras hormon bhCG ini (sama ada meningkat ataupun sebaliknya menurun) boleh memberi maklumat sama ada kandungan itu masih ada ataupun sudah keguguran.

    Lazimnya ia diulangi selepas 48 jam untuk memberi maklumat tambahan mengenai kemungkinan kandungan terbabit jenis ektopik (luar rahim).

    Bagaimanapun jika kantung kandungan sudah dikesan, ujian terbabit mungkin diulangi selepas sehari sahaja.

  • Sementara menunggu hasil keputusan, doktor lazimnya menasihatkan anda berehat dan memberi ubat mengandungi hormon progestin untuk membantu menghentikan pendarahan.

    Anda juga mungkin dinasihatkan untuk tidak melakukan hubungan seks buat sementara waktu. Sewaktu pemeriksaan dalaman, doktor juga akan melihat keadaan permukaan pintu rahim (serviks) anda.


  • Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

    Jumaat, 22 Februari 2008

    Beza Nafsu Berahi, Syahwat

    SOALAN:
    Saya keliru mengenai nafsu berahi dan nafsu syahwat, apakah bezanya? Patutkah seseorang itu mandi wajib jika keluar air mani atau air mazi?

    Bagi orang yang berpuasa, sah atau tidak jika fikirannya melayang-layang memikirkan perkara yang tidak senonoh, tetapi tidak sampai keluar air mani atau mazi? Saya harap Dr dapat memberikan huraian terperinci dalam perkara ini.

    Ema,
    Selangor


    JAWAPAN:
    Kedua-duanya merujuk kepada tarikan seksual terutama antara lelaki dan perempuan. Perkataan `berahi' bermaksud “kasih (cinta) yang amat sangat, rasa suka akan seseorang (dengan bernafsu), ghairah, sangat suka (Kamus Dewan 166).

    Syahwat bermaksud “keinginan (untuk melakukan persetubuhan, nafsu bersetubuh, keberahian.” (Kamus Dewan, 1557). Manakala perkataan nafsu itu sendiri dalam bahasa Melayu merujuk kepada “keinginan yang keras, kehendak hati yang kuat, kemahuan yang keras, dorongan hati.” (Kamus Dewan, 1064).

    Ketika seseorang dalam keadaan bernafsu, air mazi biasanya akan keluar daripada kemaluan tanpa disedari. Lazimnya mazi atau air mazi berwarna jernih. Hukumnya najis dan wajib dibasuh tanpa perlu mandi wajib.

    Berbeza dengan air mani yang pekat dan berwarna putih keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan ketika nafsu memuncak. Ia tidak najis tetapi wajib mandi hadas besar apabila keluar mani.

    Dengan kata lain, keluar mazi tidak menjadikan seseorang dalam hadas besar tetapi keluar mani menyebabkan seseorang itu berada dalam hadas besar. Bagi menghilangkan hadas besar, dia perlu mandi wajib.

    Dalam Islam, nafsu termasuk dalam unsur ghaib atau rohani yang ada dalam diri manusia. Manusia itu ada unsur rohani dan jasmani. Termasuk dalam rohani ialah jiwa (ruh), akal (aql), hati (qalb) dan nafsu (nafs).

    Jiwa berfungsi menghidup, menumbuh dan membiak. Akal yang menduduki tempat tertinggi di dalam diri manusia mengandungi kekuatan untuk berfikir, menimbang dan mengingat.

    Hati mengandungi unsur keinginan dan kehendak. Tumbuh darinya sifat terpuji seperti penyayang, pemaaf dan lemah lembut di samping sifat tercela seperti takbur, sombong, dengki dan khianat.

    Manakala nafsu menduduki tempat terendah dalam diri manusia. Ia mengandungi unsur kemahuan, kesukaan dan hasrat. Antara sifat nafsu ialah tak tahu malu, tamak, perampas, malas, marah dan sebagainya (Dusuki Ahmad, 1988: 286).

    Al-Quran membahagikan nafsu kepada tiga jenis, iaitu nafsu mutma'innah (al-Fajr (89): 27), nafsu lawwamah (al-Qiyamah (75): 2) dan nafsu ammarah bi al-su' (Yusuf (12): 53).

    Nafsu mutma'innah merujuk kepada jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan yang baik dalam agama manakala nafsu lawwamah ialah jiwa yang sentiasa menegur dan menempelak diri sendiri semasa berbuat baik atau jahat.

    Ketika berbuat baik, ia menempelak kerana tidak membuatnya lebih banyak dan ketika berbuat jahat menempelak diri kerana sesal.

    Manakala nafsu ammarah bi al-su' ialah nafsu yang menyuruh manusia melakukan kejahatan dan maksiat.

    Mengenai puasa pula, menurut bahasa ia bermaksud menahan diri dari sesuatu aktiviti. Dalam Islam puasa bererti menahan diri dari sesuatu yang membatalkannya daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari.

    Antara perkara membatalkan puasa ialah makan dan minum dengan sengaja, bersetubuh, keluar mani dengan sengaja, gila, keluar darah haid atau nifas dan murtad (keluar agama).

    Walaupun mengingat perkara lain yang tidak senonoh tidak sampai membatalkan puasa, ia mengurangkan pahala puasa itu sendiri kerana membiarkan diri dipengaruhi nafsu.

    Tujuan puasa adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan membanyakkan bacaan al-Quran, berzikir, bersolat sunat dan sebagainya. Mengawal dan mendisiplinkan nafsu adalah sebahagian daripada ajaran Islam terutama ketika menjalani ibadat puasa.

    Islam tidak mengajar supaya nafsu ditiadakan langsung. Islam cuba mendisiplinkan nafsu supaya manusia tidak hanya mengikut nafsu semata-mata.

    Dipetik dari:
    http://www.hmetro.com.my/