Peminat Setia

Selasa, 19 Jun 2007

Keluar Lelehan Hijau Sejak Keguguran

SOALAN:
SAYA sering sakit pada bahagian ari-ari. Semua berlaku selepas saya keguguran kira-kira tujuh bulan lalu. Ada juga keluar lelehan berwarna kehijauan.

Adakan masalah ini yang menyebabkan saya tidak hamil lagi sehingga sekarang?

Nur Alia,
Kuala Lumpur

JAWAPAN:
LELEHAN kehijauan lazimnya dikaitkan dengan jangkitan kuman penyebab tricomonas iaitu Tricomonas vaginalis, sejenis parasit yang boleh menjangkiti bukan sahaja faraj tetapi juga sehingga ke bahagian dalam organ pelvis (rahim, saluran falopio, ovari dan ruang pelvis).

Ini dinamakan pelvic inflammatory disease (PID). Seseorang yang mengalami jangkitan ini perlu mendapatkan rawatan berupa antibiotik, malah pasangannya juga dinasihatkan mengambil rawatan pada masa sama. Ini bertujuan mengelakkan jangkitan semula daripada pasangannya.

Wanita kebiasaannya mengalami lelehan faraj berwarna kehijauan, banyak, berbuih serta berbau busuk. Manakala lelaki pula kebiasaannya dijangkiti bahagian saluran kencingnya (uretra) tetapi tidak mengalami sebarang gejala.

Untuk kepastian mengenai jenis kuman yang menjangkiti anda sama ada trichomoniasis atau sebaliknya, jalanilah pemeriksaan doktor. Pemeriksaan menggunakan alat spekulum ke dalam faraj membolehkan doktor melihat corak perubahan pada permukaan faraj dan pintu rahim serta jenis lelehan.

Sedikit sampel lelehan juga kebiasaannya diambil untuk pengesahan makmal. Melalui kultur kuman ini, jenis kuman serta rawatan bersesuaian dengannya boleh diketahui.

Jangkitan trichomoniasis adalah sejenis jangkitan yang merebak melalui hubungan seks. Seeloknya seseorang yang mengalami jangkitan ini juga menjalani ujian jangkitan penyakit lain seperti hepatitis, HIV dan seumpamanya.

Ia juga boleh menyebabkan kerosakan kepada organ peranakan dan mengurangkan kesuburan seseorang. Untuk kepastian, jalanilah pemeriksaan doktor.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan: