Peminat Setia

Isnin, 17 Disember 2007

Endometriosis Tidak Bahayakan

SOALAN:
SAYA berusia 32 tahun dan mendirikan rumah tangga selama sembilan tahun. Kini saya hamil anak ketiga hampir dua bulan.

Pada Julai 2006, saya disahkan mengalami endometriosis peringkat pertama. Selepas pembedahan laproskopi, doktor memberikan suntikan hormon di perut selama enam bulan disusuli pil hormon selama tiga hingga empat bulan.

Haid saya diberhentikan lebih setahun. Saya tahu rawatan penyakit ini mengambil masa yang lama dan saya sendiri yang berhenti daripada menerima rawatan terbabit.

Selepas itu, saya disahkan hamil dan pada awal kandungan, ada titisan darah yang keluar tetapi tidak banyak. Saya diminta untuk tidak bekerja selama beberapa minggu untuk mengelakkan darah keluar lebih banyak.

Saya kini mengambil ubat manakala darah itu kian berkurangan dan saya pula tidak boleh membuat kerja berat atau melakukan banyak pergerakan.

Adakah pesakit endometriosis seperti saya akan membahayakan kandungan saya itu? Apakah yang harus saya lakukan?

Ibu Runsing,
Kuala Lumpur

JAWAPAN:
PUAN tidak perlu menyalahkan diri. Lazimnya rawatan seperti yang puan lalui sudah pun memadai, malah sebahagian doktor tidak meneruskan rawatan suntikan selepas pembedahan membuang tisu endometriosis peringkat pertama.

Suntikan hormon memberhentikan haid lazimnya diberikan dalam endometriosis peringkat ketiga atau keempat. Puan kini sudah pun hamil. Penyakit endometriosis peringkat pertama tidak berkait dengan masalah kesuburan.

Malah dalam kehamilan, penyakit ini dijangka ‘pulih’ sementara waktu, mungkin akibat tiada pendarahan haid ke dalam ruang dan organ pelvis.

Secara amnya, penyakit endometriosis peringkat ketiga dan keempat mungkin menyebabkan masalah kesuburan serta keguguran kandungan.

Masalah pendarahan awal kandungan dialami oleh 15 hingga 20 peratus wanita hamil. Dalam kebanyakan kes, pendarahan ini berhenti sendiri dengan rehat yang mencukupi dan tidak menjejaskan kandungan.

Pemeriksaan ke atas kandungan perlu untuk memastikan kedudukan kandungan (sama ada di dalam atau di luar rahim), jenis kandungan (kandungan berjanin, kosong atau molar), kehadiran bayangan janin di dalam kantung kandungan beserta degupan jantungnya (keguguran dijangka berlaku dalam keadaan degupan jantung kurang daripada 90 kali seminit), kedudukan uri serta masalah lain.

Ada keadaan di mana pendarahan berpunca daripada pintu rahim yang ‘luka’ akibat ektropion dan seumpamanya, ini tidak membahayakan. Anda perlu meneruskan susulan rawatan dengan doktor. Besar kemungkinan, masalah ini akan pulih sepenuhnya sebelum memasuki bulan keempat.

Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan: