SOALAN:
Saya berusia 37 tahun semasa melahirkan anak keenam. Sepanjang kehamilan, saya tidak mengalami masalah dan penyakit, begitu juga dengan kelahiran sebelumnya.
Semasa pintu rahim terbuka tiga sentimeter, saya dimasukkan ubat pentamin untuk dos pertama. Tidak lama selepas itu, dos kedua diberikan. Sebaik menerima dos kedua, saya terus pengsan dan tidak sedarkan diri selama empat hari.
Menurut doktor, saya melahirkan anak secara normal. Saya mengalami pendarahan yang teruk dan uri melekat. Sebanyak 27 pain darah dimasukkan untuk menyelamatkan nyawa dan doktor terpaksa membuang rahim saya.
Persoalannya:
# Mengapa saya pengsan sebelum melahirkan anak itu? Adakah tersalah atau terlebih dos ubat?
# Bagaimana saya boleh melahirkan anak secara normal sedangkan saya pengsan? Bagaimana cara doktor mengeluarkan bayi tanpa vakum dan forsep?
# Apakah kesan jangka panjang jika seseorang wanita itu tidak mempunyai rahim?
Ana,
Kuala Lumpur
JAWAPAN:
Anda boleh menyemak semula ubat yang diberikan kepada anda dan cara kemasukannya. Ini kerana pentamin adalah sejenis ubat melawan jangkitan kuman dan tiada kaitan dengan kelahiran.
Pengsan tiba-tiba sewaktu dalam proses kelahiran boleh disebabkan beberapa perkara, lazimnya adalah kejadian embolisma pulmonari. Ini adalah salah satu antara perkara yang amat digeruni dalam dunia perbidanan kerana ia lazimnya sangat kritikal dan boleh berakhir dengan kematian.
Doktor anda bertindak pantas menangani keadaan ini, setiap saat yang berlalu amat penting untuk segera menghentikan pendarahan serta memastikan bekalan oksigen terus sampai ke organ penting dalam badan. Jika tidak, anda mungkin mengalami kegagalan fungsi organ akibat kekurangan bekalan oksigen serta pendarahan berterusan, malah mungkin tidak dapat diselamatkan.
Semuanya ini boleh berlaku dalam masa yang singkat saja. Seseorang mula merasa kesukaran bernafas, kebiruan dan terus pengsan atau rebah dalam masa hanya beberapa saat. Tekanan darahnya menjadi sangat rendah, degupan jantungnya pula menjadi laju, paras oksigennya juga menurun manakala pendarahan juga boleh berlaku.
Ini akibat sekatan pertukaran oksigen disebabkan penyumbatan oleh embolus ke paru-paru. Ini kemudiannya diikuti dengan pendarahan banyak dan uri lekang (plasenta abruptio). Perkara lain yang boleh menyebabkan seseorang pengsan adalah serangan angin ahmar, serangan jantung, sawan atau edema pulmonari.
Embolisma pulmonari adalah keadaan di mana sesuatu jisim seperti darah beku yang asalnya terdapat pada dinding vena darah kemudiannya terlekang dan memasuki aliran darah ke salur darah paru-paru dan terus menyumbatnya.
Embolisma pulmonari terdiri daripada beberapa jenis bergantung kepada apa yang menyumbatnya, jenis yang lebih mungkin berlaku pada wanita yang sedang bersalin adalah embolisma darah beku (juga disebut trombo-embolisma) dan embolisma air ketuban (juga disebut embolisma cecair amniotik). Di samping itu, terdapat juga embolisma ketulan lemak dan embolisma gelembung udara.
Kehamilan sendirinya meningkatkan risiko trombo-embolisma sebanyak sehingga lima hingga 10 kali ganda. Selain kehamilan, usia wanita, bilangan kehamilan yang meningkat, kegemukan dan penyakit darah tinggi praeklampsia juga meningkatkan risiko trombo-embolisma.
Risiko ini juga meningkat kepada 24 peratus jika wanita ini mengalami pembentukan ketulan darah trombus di dalam salurvena kaki atau DVT yang tidak dirawat. Embolisma cecair amniotik juga meningkat risikonya dengan usia dan bilangan kehamilan yang meningkat.
Selain itu, pengecutan otot atau kontraksi bersalin yang terlalu kerap dan kuat juga meningkatkan kejadian embolisma cecair amniotik. Anda lebih berkemungkinan mengalami embolisma cecair amniotik dan mengalami komplikasi pendarahan.
Malah keadaan uri melekat (yang lebih berlaku apabila usia wanita meningkat dan bilangan kelahiran bertambah), tambah memburukkan lagi pendarahan. Di kalangan wanita lain yang mengalami embolisma pulmonari, uri sebaliknya lekang sebelum kelahiran bayi menyebabkan pendarahan banyak dan bayi lemas malah boleh meninggal dunia.
Kelahiran bayi sebenarnya banyak disebabkan oleh kontraksi rahim itu sendiri dan hanya dibantu apabila seseorang meneran. Itulah sebabnya jika kontraksi rahim tidak kuat atau berkesan, seseorang akan mengalami proses kelahiran yang panjang namun bayi masih juga tidak dapat dilahirkan walaupun setelah penat meneran. Anda juga memerlukan kemasukan darah yang sangat banyak.
Dalam keadaan ini, apabila ubat-ubatan tidak berkesan dan pembedahan mengikat salur darah arteri iliak interna juga tidak berjaya menghentikan pendarahan dari rahim, rahim terpaksa dibuang.
Tidak mempunyai rahim bermakna anda tidak boleh hamil lagi. Anda juga tidak lagi didatangi haid. Ini tidak bermakna anda sudah menopaus memandangkan kedua-dua ovari anda tidak dibuang sewaktu pembedahan terbabit.
Cuma, gangguan pengeluaran telur dan penghasilan hormon keperempuanan estrogen boleh berlaku jika komplikasi pendarahan dulu menyebabkan kegagalan ovari.
Sindrom Sheehan juga sering dikaitkan dengan pendarahan wanita bersalin, apabila hormon dari kelenjar pituitari otak kurang dihasilkan.
Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan