SOALAN:
Saya ingin tahu mengenai penyakit herpes. Selain jangkitannya menerusi persetubuhan, apa punca lain seseorang mendapat jangkitan penyakit berkenaan?
Maksudnya, jika pasangan yang sudah berkahwin tidak pernah menghidap penyakit ini sebelumnya, tetapi mengalaminya setelah bersetubuh, walhal sebelum itu kedua-duanya tidak pernah mengadakan persetubuhan dengan orang lain, bagaimana penyakit ini boleh dijangkiti?
Harap doktor dapat memberi penjelasan terperinci.
Afi,
Kuala Lumpur
JAWAPAN:
Sebelum saya menjawab soalan anda dengan lebih lanjut, anda perlu faham bahawa terdapat beberapa jenis penyakit herpes.
Selain itu, seseorang itu perlu dipastikan sama ada dia benar-benar mengalami jangkitan herpes, lebih-lebih lagi sekiranya ia herpes yang berkait dengan jangkitan kelamin. Ini kerana ia boleh membawa implikasi tuduh-menuduh dan kesan negatif terhadap hubungan atau kepercayaan pasangan.
Di samping itu, terdapat kesan atau ciri-ciri penyakit yang menyerupai herpes kelamin, tetapi apabila dijalankan ujian lanjutan atau pengesahan, ia bukannya begitu.
Herpes disebabkan oleh sekelompok virus. Terdapat beberapa jenis virus dalam kelompok herpes, antaranya adalah jenis virus herpes simplex jenis 1 (HSV type 1), virus herpes simplex jenis 2 (HSV type 2), virus herpes zoster (VZV) iaitu virus penyebab penyakit campak dan kayap, virus cytomegalo (CMV) dan virus Epstein-Barr (EBV) .
Herpes yang membabitkan kawasan kemaluan dinamakan herpes genital dan disebabkan oleh virus herpes simplex sama ada HSV jenis 1 atau HSV jenis 2.
Ia lazimnya dijangkiti melalui hubungan seks sama ada jenis oral-vaginal, oral-zakar, penis-vaginal atau di luar tabii (anal). Ini termasuk jika menggunakan alat bantuan seks secara berkongsi.
Walaupun HSV jenis 2 yang lebih kerap menjadi penyebab penyakit herpes genital, virus HSV jenis 1 juga mungkin menyebabkan penyakit di kawasan yang sama.
Sekiranya pasangan sudah dijangkiti virus HSV (melalui sentuhan pada rekahan kulit-ke-kulit atau kulit-ke-membran mukosa genital dan mulut), mana-mana jenis hubungan di atas boleh menjadi punca dia menjangkiti genital pasangannya, bergantung kepada kawasan sentuhan berlaku, lazimnya kawasan genital, muka atau tangan.
Herpes genital boleh menyebabkan simptom seperti biji berair pada kawasan kemaluan yang kemudiannya pecah dan menyebabkan ulser pedih.
Namun sebenarnya ramai yang mendapat jangkitan herpes tanpa mengalami apa-apa simptom dan menjangkiti orang lain tanpa disedari.
Ia jarang menyebabkan kesan serius kepada orang dewasa contohnya kerosakan hati.
Apabila masuk, virus HSV ini akan kekal di dalam tubuh untuk selama hayat secara pasif atau dorman di ganglion saraf berhampiran (bukannya di dalam aliran darah) dan boleh aktif semula dan menyebabkan rasa sakit atau pedih. Ia juga boleh menimbulkan ruam pada kawasan kulit yang dibekalkan deria oleh saraf itu.
Ujian darah serologi boleh menunjukkan kehadiran antibodi (imuno-globulin G) dalam nilai tertentu sama ada terhadap HSV jenis 1 atau HSV jenis 2. Ujian mengesat menggunakan kapas (swab) ke atas cecair atau ulser terbabit pula boleh diuji untuk kehadiran virus itu sendiri secara kultur atau teknik PCR tetapi ia jauh lebih mahal.
Kesimpulannya:
# Herpes genital disebabkan oleh satu daripada kelompok virus herpes iaitu HSV.
# Herpes genital lebih lazim disebabkan oleh HSV jenis 2, tetapi ia juga boleh disebabkan oleh HSV jenis 1.
# Membran mukosa bahagian genital seseorang itu boleh dijangkiti HSV berkenaan melalui sentuhan oleh bahagian pasangannya yang mengandungi virus itu sama ada pada mulut, tangan atau kemaluannya.
Setelah dijangkiti, seseorang itu tidak boleh menjangkiti semula virus HSV jenis itu kepada pasangannya, kecuali jika ia daripada jenis HSV yang lagi satu (terdapat jenis HSV 1 atau 2).
# Sekiranya pasangannya itu mempunyai penyakit herpes pada bahagian genitalnya juga, berkemungkinan herpes genital yang dialami pasangannya itu disebabkan oleh sentuhan pada genitalnya oleh orang lain yang lazimnya melalui hubungan seksual sama ada dari bahagian oral, zakar, vagina, dubur atau rekahan kulit yang sedang aktif dijangkiti.
# Ramai yang mempunyai antibodi herpes simplex tanpa menyedari pernah mengalami apa-apa simptom jangkitan dahulunya kerana jangkitan HSV boleh berlaku tanpa mengakibatkan apa-apa simptom.
Sekiranya benar jangkitan herpes genital terbabit berpunca daripada hubungan seksual pasangan dengan orang lain, eloklah jika kedua-dua pasangan ini menjalani ujian lain yang juga berkait dengan penyakit jangkitan seksual seperti VDRL, Chlamydia, gonorea, HIV dan seumpamanya.
Eloklah kita mengamalkan hubungan seks dengan seorang pasangan saja, sentiasa menjaga kebersihan anggota yang kerap bersentuhan seperti tangan atau muka, menjalani ujian berkaitan yang diperlukan dan mendapatkan rawatan sekiranya ia berlaku.
Satu lagi fakta penting adalah memandangkan herpes genital pada wanita hamil (lebih kepada herpes aktif dalam trimester ketiga kehamilannya) boleh menyebabkan kesan serius kepada bayi yang akan dilahirkannya (jangkitan berlaku sewaktu kelahiran), wanita hamil yang mengalami jangkitan herpes genital pertama kali waktu itu (menghampiri kelahiran) lazimnya dinasihatkan bersalin secara pembedahan Caesarean.
Dipetik dari:http://www.hmetro.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan