Peminat Setia

Selasa, 2 November 2010

Bayi Mati Dalam Kandungan

SOALAN:
Saya baru kehilangan bayi dalam kandungan yang berusia tiga bulan.

Keguguran itu disebabkan jantung bayi saya sudah tidak berdenyut atau dalam kata lain, bayi saya meninggal dalam kandungan.

Apakah punca kematian bayi dalam kandungan? Berapa lama masa yang diperlukan untuk saya hamil semula kerana saya sangat menginginkan anak?

Lisa


JAWAPAN:
Anda mengalami keguguran trimester pertama. Walaupun usia keguguran dikesan setelah ia berusia tiga bulan, ia boleh berlaku lebih awal lagi, seawal sejurus setelah pemeriksaan antenatal sebelumnya iaitu pada usia dua bulan.

Terdapat banyak penyebab keguguran yang berlaku dalam tempoh ini, mujurlah kebanyakannya disebabkan faktor pembentukan janin dan ia lazimnya tiada kaitan dengan kehamilan berikutnya iaitu tidak berulang.

Penyebab utama adalah ke�abnormalan kromosom. Dalam segelintir kes, ia disebabkan penyakit dalaman ibu iaitu diabetes mellitus dan penyakit auto-antibodi.

Anda boleh memilih untuk menjalani satu siri ujian palitan vagina, ujian darah, ujian kromosom, HSG atau histeroskopi untuk mengetahui sama ada terdapat penyakit yang boleh menyebabkan keguguran, lebih-lebih lagi keguguran berulang (tiga kali berturut-turut).

Namun ia mungkin kelihatan ‘membazir’ kerana kosnya yang begitu mahal dan mungkin sebenarnya tidak perlu untuk anda.

Begitu juga dengan ujian kromosom terhadap janin yang keguguran itu, namun ia mungkin tidak perlu kerana jarang untuk ia berulang, juga kosnya mahal.

Setelah keguguran (walaupun keguguran trimester pertama), lazimnya suatu tempoh masa diperlukan untuk wanita, bukan sahaja untuk pulih secara fizikal (contohnya jika berlaku kehilangan darah), malah juga kesihatan mental (kesedihan bahkan kemurungan akibat kehilangan kandungan terbabit).

Bagi mereka yang menjalani prosedur cucian D&C, lazimnya doktor menasihatkan tempoh berehat selama dua hingga tiga bulan untuk lapisan dalaman rahim (endometrium) ‘tumbuh’ elok semula bagi mengelakkan risiko uri melekat ke dalam otot dinding rahim (plasenta akreta).

Buat sementara itu, eloklah anda mengambil pil asid folik dan multivitamin (mengandungi beberapa bahan anti�oksidan) untuk persediaan kehamilan.

Dipetik dari:http://www.hmetro.com.my

Tiada ulasan: