SOALAN:
Sudah hampir lima tahun saya berkahwin dan masih tidak mempunyai zuriat. Saya dan suami sudah menjalani ujian kesuburan di salah sebuah hospital kerajaan.
Doktor pakar menyatakan kami subur tetapi hingga ke hari ini, saya masih tidak hamil. Doktor ada memberikan asid folik untuk tiga bulan.
Kadang-kadang saya rasa tidak sempurna menjadi seorang isteri kerana tidak mampu menjadi seorang ibu. Suami banyak membantu daripada sudut emosi dan memberi semangat kepada saya serta banyak bersabar dengan keadaan saya.
Daripada sudut pemakanan, saya tidak pernah berpantang makan termasuk buah-buahan, sayuran, nasi, roti dan susu. Ketinggian saya adalah 157 sentimeter dengan berat badan hanya 39 kilogram. Mungkin BMI saya tidak sesuai dan saya buntu mencari kaedah untuk menaikkan berat badan bagi mendapatkan zuriat.
Arnis,
Kuala Lumpur.
JAWAPAN:
Dengan ketinggian anda, berat badan yang ideal adalah di antara 47 hingga 61 kilogram, anda dinasihatkan berjumpa pakar dietetik untuk mendapatkan nasihat pemakanan bagi meningkatkan berat badan anda.
Ia mungkin berkaitan dengan masalah kesuburan anda walaupun kebanyakannya juga mempunyai gangguan haid. Kurang berat badan boleh memberi masalah apabila anda hamil kelak, sama ada terhadap anda sendiri mahupun terhadap kandungan.
Secara ringkasnya, apabila doktor mengatakan kedua-dua anda dan suami subur, ini bermakna:
- Anda mempunyai struktur faraj, rahim, tiub fallopio dan ovari yang normal.
- Ovari anda juga menghasilkan telur (ovulasi) secara teratur pada setiap kitaran. Ia dapat dipantau menggunakan ultrabunyi yang dilakukan secara berturut ataupun menggunakan ujian darah hormon.
- Kedua-dua tiub fallopio anda normal. Lazimnya, ini diketahui setelah anda menjalani prosedur memasukkan cecair melalui pintu rahim (serviks) bagi menguji sama ada ia masuk melalui kedua-dua belah tiub fallopio. Ini dapat dibuktikan secara sinaran-x (HSG) ataupun pembedahan kecil (laparoskopi diagnostik) ataupun lebih jarang lagi secara ultrabunyi (Hycose).
- Ujian air mani suami juga normal iaitu dengan kepekatan sperma sebanyak sekurang-kurangnya 20 juta bagi setiap mililiter air mani. Peratus bilangan sperma yang bergerak ke hadapan juga sekurang-kurangnya 50 peratus manakala peratus bilangan sperma yang mempunyai bentuk atau ciri normal juga sekurang-kurangnya 30 peratus.
Jika demikian, anda boleh memilih untuk menjalani rawatan kesuburan secara permanian berhadas (IUI) kerana kajian membuktikan bagi pasangan yang diperiksa dan didapati tidak mempunyai masalah berkaitan, IUI dapat meningkatkan peluang kehamilan sebanyak tiga hingga empat kali ganda berbanding peluang asal anda setelah lima tahun berkahwin iaitu sebanyak dua hingga empat peratus sahaja.
Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan