Sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Gabungan Persatuan Pengubatan Islam Malaysia (Gappima) meminta Kementerian Kesihatan menyemak semula Rang Undang-Undang Perubatan Tradisional dan Komplementari yang dikatakan tidak menyenaraikan kaedah rawatan perubatan Islam di dalamnya.
Penolong Setiausahanya, Azian Ab. Rahman yang kesal dengan perkembangan tersebut mendakwa, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh wakil Kementerian Kesihatan pada satu mesyuarat yang turut disertai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kelmarin dengan alasan tiada bukti saintifik dalam perubatan Islam.
“Kami dimaklumkan rang undang-undang itu yang telah dibacakan buat kali pertama di Parlimen pada Jun lalu hanya menyenaraikan perubatan tradisional Melayu seperti urutan, herba dan rawatan selepas bersalin, perubatan tradisional Cina seperti akupuntur, moxibustion dan Qi Gong serta perubatan tradisional India iaitu ayurveda, siddha dan yoga.
“Gappima yang disertai 20 pertubuhan perubatan Islam kecewa dengan perkembangan itu dan meminta Kementerian Kesihatan menyenaraikan perubatan Islam dalam rang undang-undang itu sebelum ia dibaca buat kali kedua di Parlimen pada minggu depan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Azian berkata, kerajaan wajar mengiktiraf perubatan Islam sebagai salah satu kaedah rawatan alternatif kerana terdapat banyak bukti pesakit gagal sembuh melalui rawatan moden tetapi pulih menggunakan kaedah rawatan Islam.
Malah, katanya, Gappima kini dalam usaha mengumpul bukti-bukti pesakit yang telah pulih melalui rawatan Islam untuk digunakan sebagai testimoni bagi menunjukkan kebenaran rawatan menggunakan ayat-ayat al-Quran.
Katanya lagi, penyenaraian perubatan Islam dalam rang undang-undang tersebut secara tidak langsung dapat mewujudkan garis panduan untuk diamalkan para pengamal perubatan Islam dari segi etika, profesionalisme dan caj perkhidmatan.
Jelas beliau, langkah itu juga dapat mengelak pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan istilah perubatan Islam untuk memperdaya orang ramai bagi meraih keuntungan secara tidak sah seperti beberapa kes yang dikesan oleh pihak berkuasa sebelum ini.
Sementara itu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang turut membuat gesaan serupa berpendapat, langkah menyenaraikan perubatan Islam dalam rang undang-undang tersebut akan mengiktirafnya sebagai salah satu rawatan alternatif di Malaysia.
Pengerusi Majlis Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata, Kementerian Kesihatan tidak boleh mengenepikan perubatan Islam kerana ia diyakini dan diterima pakai oleh majoriti umat Islam di negara ini.
Menurutnya, alasan saintifik tidak boleh dijadikan penyebab untuk tidak mengiktiraf perubatan Islam kerana kebanyakan ilmu perubatan masa kini berasaskan penemuan para ilmuwan Islam pada zaman dahulu.
Bagaimanapun, jelas beliau, satu mekanisme perlu diwujudkan bagi mengenal pasti antara perubatan Islam sebenar dan perubatan palsu yang menggunakan nama Islam.
Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan