SOALAN:
Saya mempunyai dua anak di mana anak kedua dilahirkan normal seberat 3.9 kilogram lalu saya menerima banyak jahitan kerana anak saya besar. Semasa dua minggu berpantang, jahitan itu terbuka. Saya terpaksa ke hospital untuk mencantum kembali jahitan yang terbuka itu.
Dalam masa tiga hari berikutnya, ia terbuka sedikit dan saya membiarkan saja tanpa jahitan. Adakah saya akan menghadapi masalah jika saya hamil anak ketiga nanti? Ini kerana, pintu rahim saya terbuka dan tidak sama seperti dulu.
Siti,
Sungai Yan, Kedah
JAWAPAN:
Saya berpendapat jahitan yang terbuka terbabit adalah di kawasan bukaan faraj dan bukannya pintu rahim. Pintu rahim (serviks) terletak jauh di penghujung faraj dan tidak boleh dilihat sendiri.
Pintu rahim hanya boleh dilihat menggunakan alat bantuan spekulum yang dimasukkan ke dalam faraj untuk membuka faraj sehingga nampak pintu rahim di penghujungnya.
Sewaktu kelahiran, doktor mungkin sudah melakukan potongan pada penghujung faraj secara bersudut ke tepi bagi mengelakkan terkena dubur. Potongan ini mungkin kemudiannya dilebarkan secara guntingan apabila menyedari bayi besar atau ia terkoyak sendiri.
Luka koyak yang anda alami mungkin panjang dan bercabang sehingga ke kawasan bukaan dubur. Tidak mustahil berlaku kemasukan kuman dari kawasan dubur ini menjangkiti luka jahitan terbabit dan mengganggu proses penyembuhan sehingga menyebabkan jahitan terbuka.
Keadaan lembap akibat pendarahan nifas pada tuala wanita pula tambah menggalakkan perpindahan kuman yang berasal dari kawasan dubur ini. Ini bukannya kesalahan anda kerana sukar untuk memastikan keadaan tuala wanita kering sepanjang masa memandangkan pendarahan nifas berlaku berterusan.
Namun, wanita masih dinasihati lebih kerap menukar tuala wanita terutama dalam seminggu pertama selepas bersalin agar keadaan kemaluan tidak terlalu basah sehingga menggalakkan jangkitan.
Maka, kandungan berikutnya lazimnya tidak dipengaruhi oleh koyakan kelahiran kedua terbabit. Namun, memandangkan berat bayi anda besar, doktor mungkin mencadangkan anda menjalani ujian darah untuk mengesan penyakit kencing manis.
Selain itu, secara amnya, bayi ketiga lazimnya dijangka mempunyai berat lahir yang melebihi berat bayi pertama dan kedua, terutama jika ia dilahirkan pada tarikh lebih lewat daripada usia kandungan bayi sebelumnya dilahirkan.
Begitu juga dengan kelahiran seterusnya dijangka mempunyai berat lahir bayi yang lebih. Jadi, tidak mustahil jika bayi ketiga ini lebih berat, anda juga boleh mendapat luka faraj yang lebih lebar, malah luka pada pintu rahim.
Kebanyakan doktor akan mencadangkan kelahiran secara pembedahan Caesarean jika bayi ketiga ini lebih besar. Ini penting bagi mengelakkan trauma kelahiran bukan saja kepada anda, malah kepada bayi seperti badan tersekat (dystocia bahu), kerosakan saraf brakial tangan dan seumpamanya.
Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan