Peminat Setia

Isnin, 3 Mei 2010

Gadis Alami Skizofrenia Selama 10 Tahun

SOALAN:
Saya berusia 36 tahun dan masih bujang. Saya mengalami PCOS dan skizofrenia selama 10 tahun, itulah punca saya masih bujang.

Empat bulan sekali saya bertemu doktor dan kali terakhir doktor mendapati saya mempunyai cyst, tetapi ia tidak bahaya. Adakah ia berkemungkinan kesan daripada pengambilan pil perancang Diane 35? Saya juga dalam rawatan sakit skizofrenia dan mengambil pil seperti Seroquel, Sertraline dan Benzychol. Adakah tindak balas antara ubat untuk masalah psikiatri dan ginekologi menyebabkan cyst terbabit? Kini, haid saya kembali tidak teratur, hampir dua bulan saya tidak datang haid. Mungkinkah kerana berhenti mengambil Diane 35 menyebabkan haid kembali tidak normal? Berat badan saya sekarang ialah 73 kilogram (kg) dan tinggi 150 sentimeter. Saya juga mengalami obesiti kerana berat dan tinggi yang tidak seimbang. Apakah yang harus saya lakukan?

Zeti Amirah,
Kuantan, Pahang.


JAWAPAN:
Masalah PCOS anda mungkin saling berkait dengan obesiti dan gangguan haid. Terlebih dulu anda perlu memastikan jenis cyst yang diberitahu doktor kemudian perkara tambahan terhadap PCOS yang anda alami. Untuk makluman, PCOS adalah singkatan untuk sindrom polisistik ovari yang merujuk kepada jika seseorang mempunyai dua daripada tiga perkara berikut:

# Anovulasi iaitu kegagalan pengeluaran telur dalam kitaran haidnya. Haid boleh datang akhirnya, tetapi lewat dan tidak teratur serta sedikit pula jumlahnya.

# Berlebihan hormon kelelakian sehingga menampakkan ciri seperti kulit berminyak, berjerawat serta tumbuh rerambut pada bahagian anggota yang dialami lelaki contohnya misai atau menunjukkan paras hormon kelelakian (androgen) yang tinggi dalam darahnya.

# Ultrabunyi menunjukkan kehadiran cyst dalam bilangan yang banyak iaitu melebihi 12 sehingga menjadikan ovari bersaiz besar. Cyst ini sebenarnya berasal daripada kantung folikel telur yang gagal membesar dan mencapai ovulasi. Cyst ini juga bersaiz kecil di bawah satu sentimeter setiap satunya.

Selain itu, pesakit PCOS juga boleh mengalami masalah obesiti, diabetes mellitus (kencing manis), paras kolesterol darah tinggi, penyakit jantung serta gangguan hormon insulin. Dengan ketinggian anda, berat yang dinyatakan termasuk dalam kategori obes. Sebagai permulaan, anda perlu mengurangkan berat badan kepada bawah 67 kg terlebih dulu dan meneruskannya sehingga mencapai berat ideal pula sekitar 56 kg. Ia memerlukan kesungguhan dalam kawalan pengambilan makanan dan senaman berterusan. Wanita yang mengalami PCOS dan obes mempunyai risiko mengalami diabetes dan penyakit lain di atas.

Pil Diane 35 adalah sejenis pil pencegah kehamilan. Untuk anda, ia mungkin digunakan untuk menurunkan paras hormon androhen kerana Diane 35 turut bersifat antiandrogenik. Pada masa sama, ubat ini juga boleh membantu menjadikan kitaran haid normal kerana ia menggantikan hormon progestin yang kekurangan pada diri anda. Hormon progestin perlu untuk melengkapkan pusingan haid walaupun tanpa pengeluaran telur. Secara tidak langsung, kedatangan haid hasil progestin juga menurunkan risiko hyperplasia dan kanser endometrium rahim wanita PCOS.

Saya andaikan anda mempunyai lawatan susulan dengan doktor bahagian psikiatri, bahagian sakit puan atau perubatan dalaman serta pegawai pemakanan. Bertanyalah lebih lanjut dengan doktor sakit puan anda mengenai jenis cyst yang dialami dan maklumat lanjut mengenainya seperti saiz, kandungan, serta perbezaannya dengan PCOS anda.

Dipetik dari:http://www.hmetro.com.my

Tiada ulasan: