Peminat Setia

Rabu, 28 April 2010

Rahim Berada di Bawah

SOALAN:
Saya berusia 32 tahun dan sudah berkahwin selama enam tahun.

Ketika bersalin anak kembar sulung lima tahun lalu menerusi pembedahan, saya tidak dapat berurut untuk menaikkan rahim.

Dua tahun selepas itu saya bersalin secara normal tapi ketika berurut, bidan memberitahu rahim saya tidak dapat dinaikkan lagi. Masalah saya kini, apabila saya bersama suami, ovari akan terasa perit.

Apakah kesannya jika rahim berada di bawah? Selain itu, untuk mengelak hamil, suami saya tidak melepaskan air mani ke dalam apabila kami bersama dan kadang-kadang memakai kondom. Adakah cara ini selamat? Adakah berlaku kesan sampingan kepada suami saya?

Wati,
Selangor


JAWAPAN:
Tanggapan rahim jatuh boleh dinaikkan dengan berurut hanyalah satu mitos. Rahim tidak tersorok pada asalnya di mana-mana tapak atau poket atau tergantung kuat.

Ia boleh diibaratkan seperti buah pear terbalik dan di lehernya terdapat sekeping kain rentang (otot lantai pelvis). Tekanan intra abdomen yang meningkat dan berpanjangan akibat bersalin, hamil, kegemukan, meneran atau batuk berpanjangan boleh memberi tekanan kepada kain rentang ini sehingga ia mengendur dan menyebabkan rahim berada pada paras yang bawah daripada paras asal atau jatuh.

Apabila ini berlaku, rahim memang tidak dapat dinaikkan melainkan dengan melakukan prosedur pembedahan.

Seeloknya, wanita menjaga berat badan, pemakanan dan kesihatan untuk mengurangkan tekanan intra abdominal, serta memulakan senaman Kegel dan diteruskan selepas bersalin.

Seseorang juga tidak dapat merujuk dengan pasti sama ada kesakitan dialaminya berpunca daripada ovari. Ovari wanita hanya sebesar buah badam (berserta kulitnya) sepanjang 2.5 sentimeter, ia sukar dikenal pasti melalui pemeriksaan fizikal, malah di sekitarnya juga terdapat organ lain seperti usus, tiub falopio, dinding pelvis dan seumpamanya.

Kaedah pancutan luar mendedahkan seseorang wanita kepada risiko kehamilan sebanyak 25 peratus.

Ini bermakna seorang daripada empat orang yang mengamalkan kaedah ini didapati hamil.

Ini berbeza dengan kumpulan kaedah lain yang dilaporkan sangat berkesan iaitu jika risiko kehamilannya di bawah satu peratus (seorang dalam 100 orang didapati hamil).

Jika anda bersedia untuk menerima kemungkinan hamil tanpa jangkaan, anda boleh memilih untuk meneruskan kaedah yang sama. Namun, jika tidak bersedia, bertukarlah kepada kaedah lain.

Berjumpalah doktor anda untuk perbincangan lanjut mengenai jenis, kesesuaian, risiko kehamilan dan kesan sampingan setiap kaedah.

Selain itu, pemeriksaan dalaman doktor dapat menunjukkan sama ada rahim anda jatuh atau prolaps dan tahap prolaps itu. Memang lazim jika prolaps rahim tahap pertama berlaku dalam kalangan wanita selepas bersalin normal.

Dipetik dari:http://www.hmetro.com.my

Tiada ulasan: