Saya baru saja mendirikan rumah tangga tahun ini. Masalahnya sejak tiga bulan lalu hingga ke hari ini, saya mengalami pendarahan yang tidak henti yang mana saya perlu memakai tuala wanita setiap hari sehingga kini.
Saya mula didatangi haid pada 7 Mei lalu dan ia masih tidak berhenti. Saya tidak tahu bagaimana amalan pada bulan puasa ini tetapi saya berpuasa dan solat seperti biasa walaupun pada masa sama, saya mengalami pendarahan.
Saya sudah membuat ujian UPT tetapi hasilnya negatif. Saya ada berjumpa dengan doktor pakar sakit puan yang lain dan mereka hanya memberikan saya pil Diane untuk dimakan selama 21 hari setiap bulan.
Sehingga hari ini setelah makan pil terbabit, tiada tanda perubahan. Untuk pengetahuan doktor, saya agak lemah tetapi kuatkan diri untuk menguruskan hal seharian. Saya tidak dapat mengamalkan suruhan Allah dengan baik kerana perlu kerap menukar seluar dan tuala wanita selain saya tidak dapat menjalankan tugas saya sebagai seorang isteri untuk melayan suami.
InsyaAllah hujung tahun ini saya akan melanjutkan pengajian PhD dan perlu menyelesaikan masalah ini secepat mungkin. Adakah keadaan saya ini menyukarkan saya untuk hamil? Apakah pandangan doktor mengenai rawatan penyakit saya ini?
Nora,
Kuala Lumpur
JAWAPAN:
Kebanyakan pesakit kini lebih prihatin mengenai kesihatan mereka. Bukan saja mereka mendapatkan pemeriksaan doktor, mereka juga lazimnya bertanya lebih lanjut sekiranya tidak berpuas hati dengan penerangan yang diberikan atau pergi mendapatkan pandangan atau pemeriksaan kedua dengan doktor lain. Alam siber juga membolehkan mereka mendapatkan informasi lanjut.
Sebagai pesakit, anda berhak mendapatkan penerangan mengenai diagnosis yang diberikan doktor, punca sebenar masalah haid anda, pilihan rawatan yang ada, pemeriksaan susulan serta penilaian mengenai peluang anda sembuh sepenuhnya juga sama ada ia memberikan kesan sampingan yang lain misalnya masalah kesuburan yang anda utarakan.
Kebanyakan punca masalah haid adalah dari ovari ataupun dalam rahim itu sendiri, kadangkala ia boleh berpunca daripada peradangan atau penyakit serviks (pintu rahim) dan lebih jarang lagi, dari faraj.
Walaupun ujian UPT negatif, doktor boleh mengulangi dengan ujian yang lebih tepat iaitu ujian darah bhCG untuk mengecualikan kemungkinan kehamilan atau keguguran. Anda juga mungkin sudah menjalani ujian darah yang lain serta imbasan ultrabunyi pelvis. Tidak mustahil sekiranya anda mengalami kekurangan darah (paras haemoglobin darah yang rendah) akibat pendarahan setiap hari dalam tempoh yang lama.
Rawatan hormon perancang termasuk yang anda ambil mengandungi kedua-dua hormon estrogen dan progestin yang menyerupai tindakan hormon yang dikeluarkan oleh kedua-dua ovari kita. Hormon ini mempengaruhi pertumbuhan atau penebalan, pematangan dan pengeluaran lapisan endometrium yang membentuk haid jika kita tidak hamil.
Rawatan hormon ini bersifat sementara untuk ‘mencantikkan’ haid anda, bukannya merawat punca asal. Sepatutnya dengan pengambilan pil perancang, haid bukan saja teratur, malah kuantitinya juga sedikit saja, melainkan jika seseorang terlupa mengambilnya mengikut aturan ataupun sebenarnya ia bukanlah masalah hormon.
Jika masalah masih tidak selesai, anda mungkin akan diminta menjalani pemeriksaan lanjut secara pembedahan kecil menggunakan teropong kecil yang dimasukkan ke dalam ruang rahim dan mengambil biopsi jika perlu.
Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan