Peminat Setia

Jumaat, 27 April 2012

Wanita Perlu Disiplin Bersenam


Golongan wanita digesa mendisiplinkan diri untuk bersenam secara kerap demi meningkatkan tahap tenaga mereka.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, perkara ini penting untuk memastikan mereka mampu menjaga kebajikan suami, anak-anak dan keluarga.

‘‘Jangan asyik merungut kepenatan atau tiada masa untuk bersenam.

‘‘Paksa diri anda bersenam dan jangan memikirkan kesukarannya kerana ia sebenarnya mengurangkan keletihan anda.

‘‘Itulah rahsia kecergasan saya, saya pastikan tidak terlepas sesi bersenam kerana ia memberikan saya tenaga untuk menghadapi dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di perasmian program sukan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Kemesraan Bersukan Menjana Kehidupan Bahagia di sini hari ini.

Ia merupakan sesi penerangan mengenai lima aktiviti sukan iaitu yoga, tai chi, qi qong, gim dan badminton yang dikelolakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Biro Sukan dan Rekreasi Bakti, Puan Sri Diana Dompok.

Rosmah yang merupakan Pemangku Yang Dipertua Bakti berkata, selain amalan senaman, beliau turut memastikan pemakanannya terjaga.

Ia termasuk mengambil suplemen makanan seperti tablet bawang putih, matriks, evening primrose oil dan spirulina setiap hari.

‘‘Ia bagi pelbagai tujuan kesihatan termasuk mengekal dan meningkatkan peredaran darah, sistem ketahanan diri serta penghadaman,” ujar beliau.

Baru-baru ini, katanya, tabiat sihatnya itu ditingkatkan lagi dengan pengambilan jus hijau selang setiap hari bagi mengurangkan tahap kolestrol.

‘‘Resipinya yang terdiri daripada gabungan lima sayur-sayuran dan buah-buahan diberi oleh isteri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datin Seri Wendy Ong,” katanya.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan: