Tanyalah kepada sesiapa sahaja yang mengalami masalah berat badan pasti mereka berkongsi impian yang sama iaitu untuk menurunkan berat badan kepada ukuran ideal.
Namun, ia bukanlah sesuatu usaha yang mudah. Untuk menurunkan satu kilogram berat sahaja memerlukan komitmen yang tinggi.
Seumpama format rancangan realiti televisyen di Amerika Syarikat yang berpengaruh di dunia, The Biggest Loser, sebuah majalah terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. (Utusan Karya), majalah iSihat mengorak langkah mengadakan satu program kesihatan yang dinamakan Cabaran Sihat 6 Minggu bersama iSihat dan Kevin Zahri yang dilancarkan 4 Oktober lalu.
Pengurus Besar Operasi Utusan Karya Sdn. Bhd., Zurzaliza Bajuri memberitahu, buat julung kalinya, iSihat menganjurkan program cabaran sihat sejak ia diterbitkan semula pada bulan Jun tahun lalu.
“Diharapkan program ini berupaya membantu golongan yang menghadapi masalah obesiti bagi mendapatkan berat badan ideal. Ia juga dapat memberi pendedahan kepada amalan gaya hidup sihat menerusi sesi bengkel dan juga perundingan oleh Kevin Zahri.
“Program ini direalisasikan seiring dengan peningkatan tahap kesedaran masyarakat negara ini mengenai perlunya menurunkan berat badan,” kata Zurzaliza sambil memberitahu bahawa kesihatan bukan semata-mata bebas daripada penyakit malah perlu disertai amalan gaya hidup sihat.
Lebih 300 penyertaan diterima dan hanya 22 peserta sahaja yang terpilih. Pemilihan peserta berdasarkan kepada berat badan peserta dan komitmen yang sanggup mereka curahkan terhadap aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
“Seramai tujuh peserta lelaki dan 15 wanita menyahut seruan ini. Penyertaan lebih ramai wanita mungkin kerana wanita lebih berani berbanding kaum lelaki.
“Kesemua peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang, daripada suri rumah hinggalah ke golongan profesional,” ujarnya.
Program cabaran iSihat mengambil masa selama enam minggu dan dijalankan pada setiap hari Sabtu bermula 8 Oktober.
Antara acara mingguan yang disenaraikan termasuklah senamrobik di gimnasium, aktiviti sukan air, merentas hutan, Amazing Race dan futsal.
Prestasi para peserta akan dipantau sendiri oleh Kevin Zahri dan pihak Kementerian Kesihatan yang akan memberikan bimbingan serta nasihat.
Dalam pada itu, Kevin Zahri memberitahu, pengadilan bukan dilakukan berdasarkan berapa banyak berat badan yang diturunkan tetapi berdasarkan komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta.
“Program menurunkan berat badan ini untuk mereka yang bekerja seperti biasa. Ia bukan bersifat jangka pendek tetapi untuk jangka masa panjang.
“Sepanjang program ini, mereka tetap menjadi guru, ayah, ibu dan pelajar tetapi pada setiap hujung minggu, mereka perlu beriadah mengikut aktiviti yang telah disusun buat mereka,” jelasnya.
Asas pemakanan
Tambahnya, untuk kurus tidak semestinya perlu ke gimnasium bersenam dan makan pelbagai jenis makanan tambahan untuk kuruskan badan tetapi seseorang itu perlu mengetahui asas pelan pemakanan dan kecergasan yang betul.
“Apa yang saya sarankan ialah, gunakan peluang selama enam minggu ini sebaik mungkin dengan mendapatkan ilmu sebanyak yang boleh. Jangan bergantung sepenuhnya kepada pihak ketiga.
“Tiada jalan pintas untuk turunkan berat badan. Ia adalah pilihan diri sendiri untuk berubah. Untuk turunkan satu kilogram, tidak susah dan tidak senang,” ujarnya sambil mengalu-alukan pembaca melayari laman webnya iaitu kevinzahri.com.
Pesannya kepada peserta, hargai dan gunakanlah ilmu yang diberikan sepanjang program itu, bukan sahaja untuk diri sendiri malah ia boleh dikongsi dengan rakan-rakan serta ahli keluarga yang lain.
Dalam pada itu, seorang peserta, Ahmad Ridzuan Shah Abdul Rahman, 29, dari Setapak, Kuala Lumpur bertekad menyertai program cabaran sihat tersebut kerana mahu menjadi lebih sihat dan cergas.
Eksekutif Teknologi Maklumat itu mahu menurunkan 15 kilogram (kg) daripada beratnya kini iaitu 136kg.
“Berat badan saya semakin meningkat kerana gemar menikmati makanan segera dan suka makan apabila berada dalam keadaan sedih serta stres.
“Salah satu sebab saya nak kurus kerana mahu berkahwin tahun hadapan,” kata anak sulung daripada enam beradik itu.
Seorang suri rumah, Erni Zainal Abidin, 28, secara berseloroh berkata, hasratnya untuk menyertai program menurunkan berat badan kerana galakan suaminya yang meminati aktres terkenal Rozita Che Wan.
“Sebelum ini saya memang aktif bersukan, namun sejak berhenti bersukan, berat badan saya naik mendadak sehingga 15kg.
“Saya sasarkan penurunan sebanyak 5kg untuk cabaran ini dan akan meneruskan usaha walaupun selepas cabaran ini tamat,” katanya.
Program tersebut mendapat penajaan daripada pelbagai pihak seperti Kementerian Kesihatan sebagai penaja utama dan rakan-rakan penaja lain iaitu FRIM, Adidas, Figos, Celebrity Fitness, BizzyBody, Gocell dan JariSpa.
Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan