Peminat Setia

Selasa, 15 Julai 2008

Wanita 44 Tahun Ingin Hamil Lagi

SOALAN:
Saya berusia 44 tahun dan bakal berkahwin kali kedua dengan seorang duda berusia 36 tahun Julai ini.

Kami merancang untuk mendapatkan seorang anak perempuan selepas bernikah. Untuk pengetahuan doktor, saya mempunyai dua anak lelaki yang berusia 21 dan 17 tahun manakala pasangan saya mempunyai tiga anak lelaki berusia tujuh, enam serta empat tahun.

Saya rasa boleh hamil lagi memandangkan saya tidak mempunyai masalah kesihatan yang serius dan menjaga pemakanan serta sentiasa bersukan.

Apakah saya masih mempunyai risiko untuk mendapat anak sindrom Down memandangkan faktor usia walaupun saya mengamalkan cara hidup yang sihat?

Kami juga inginkan pandangan puan mengenai cara berkesan mendapatkan anak perempuan.

Melor,
Kuala Lumpur


JAWAPAN:
Kesuburan wanita sangat berkait dengan usianya. Begitu juga dengan risiko ketidaknormalan kromosom pada janin kandungannya yang turut meningkat dengan pertambahan usia wanita.

Ini kerana wanita dilahirkan sudah sedia dengan bekalan telur sepanjang hayatnya. Telur ini digunakan pada setiap kitaran haid dan putus atau berhenti selepas menopaus.

Telur ini sudah terbentuk sejak usia wanita masih dalam tahap janin di dalam kandungan ibu mereka. Maka, semakin meningkat usia wanita, telur yang dikeluarkan pada bulan terbabit juga semakin berusia.

Pada usia anda, telur yang dikeluarkan sudah pun dihasilkan 44 tahun lalu. Berikut adalah perbandingan risiko sindrom Down dan penyakit ketidaknormalan kromosom yang secara umumnya berkait dengan usia wanita hamil:

25 tahun: Satu dalam setiap 1100 kehamilan

35 tahun: Satu dalam setiap 250 kehamilan

45 tahun: Satu dalam setiap 20 kehamilan

Secara amnya, risiko melebihi satu dalam 250 dikatakan sebagai berisiko tinggi. Pemakanan dan keaktifan bersukan tidak mengubah risiko berkaitan usia di atas.

Anda dinasihatkan berjumpa pakar sakit puan yang khusus dalam bidang kesuburan, bukan saja untuk berbincang mengenai risiko kehamilan pada usia ini (bukan saja kepada bayi tetapi penyakit lain yang boleh anda alami sewaktu hamil kelak) dan peluang kehamilan serta pilihan rawatan yang sesuai, malah dapat menawarkan semua pilihan rawatan terbabit (daripada tahap pemberian ubat kesuburan saja kepada peringkat persenyawaan tabung uji).

Sekiranya anda masih belum hamil selepas enam bulan mencuba, eloklah berjumpa doktor terbabit dan tidak perlu menunggu lebih lama.

Malah, pemeriksaan awal boleh dimulakan seawal sekarang. Pengambilan pil asid folik sebanyak lima miligram setiap hari bukan saja elok untuk kesihatan diri, malah dapat membantu menurunkan risiko kecacatan otak dan saraf tunjang bayi sehingga 80 peratus.

Anda mungkin sudah pun mendengar mengenai banyak teknik dan petua amalan masyarakat (pemakanan, posisi hubungan seks, kitaran haid sewaktu hubungan seks, menggunakan douche faraj dan seumpamanya) untuk mencuba mendapatkan anak mengikut jantina yang diidamkan.

Walaupun semuanya bukanlah 100 peratus tepat keberkesanannya, tidak salah mencuba asalkan ia tidak menyusahkan, membebankan atau mendatangkan kemudaratan kepada anda.

Yang tepat adalah menggunakan kaedah pre-implantation genetic diagnosis (PGD) di mana satu atau beberapa sel daripada embrio diambil sebelum dikultur untuk ujian tertentu termasuklah penentuan jantina.

Kaedah ini menggunakan teknik persenyawaan tabung uji. Bagaimanapun, anda harus faham bahawa ini tidak dibenarkan di dalam Islam atas dasar khuatir ke atas nasib embrio jantina lain yang tidak atau kurang diperlukan.

Ujian diagnostik lain adalah ujian chorionic villous sampling atau CVS dan amniocentesis yang hanya dapat dilakukan apabila anda sudah hamil.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Tiada ulasan: