Peminat Setia

Khamis, 29 Mac 2012

Cara Mengawal Kolesterol


Ramai yang masih beranggapan golongan wanita mempunyai risiko yang rendah untuk mendapat sakit jantung berbanding lelaki.

Namun risiko untuk mendapat penyakit itu bagi kaum wanita sebenarnya adalah sama sebagaimana kaum lelaki apabila memasuki era menopaus atau selepas menopaus.

Menurut Pakar Perunding Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Azhari Rosman, untuk menghindari risiko berkenaan, golongan wanita khususnya mesti mengetahui bagaimana untuk mengawal kolesterol sejak dari awal lagi agar mereka tidak terjebak dengan penyakit melibatkan kardiovaskular.

Semua itu menurutnya akan disentuh pada ceramah yang akan beliau berikan pada Program Wanita: Kesihatan dan Gaya Hidup (WHL) 2005 yang akan berlangsung pada 23 hingga 25 September ini bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Ceramah yang akan dibentangkan pada hari kedua iaitu Sabtu, 24 September, sesi kedua bermula pada pukul 11.45 pagi itu akan membicarakan tajuk mengenai `Wanita dan Kolesterol', yang merupakan tajuk yang pasti ditunggu-tunggu oleh setiap wanita yang ingin berada dalam kesihatan yang baik.

Penyakit kardiovaskular merupakan penyakit yang melibatkan strok dan jantung yang diakibatkan oleh kolesterol yang tinggi yang juga pasti mencetuskan kelompok penyakit yang memang sudah dikenali iaitu kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan buah pinggang.

Katanya, tidak ramai wanita yang mahu menjalani pemeriksaan kesihatan sehinggalah sesuatu penyakit itu telah `terkena' kepada mereka.

``Dalam apa cara keadaan, kolesterol melibatkan masalah kegemukan dan ramai di kalangan wanita yang mengalami masalah kegemukan apabila usia semakin bertambah.

``Bukan itu sahaja pada ceramah berkenaan juga sedikit sebanyak akan disentuh mengenai manakah kolesterol yang baik dan kolesterol yang buruk,'' katanya.

Selain itu Dr. Azhari turut menyentuh mengenai pentingnya seorang wanita sama ada yang bekerja atau pun suri rumah tangga sepenuh masa perlu mengetahui maklumat mengenai pemakanan keluarga dan anak-anak mereka kerana mereka merupakan `sumber kesihatan' dalam sesebuah keluarga itu.

``Bukan sedikit peranan wanita dalam bidang pemakanan keluarga yang perlu diberikan maklumat tertentu mengenai bahaya paras kolesterol yang tinggi, aktiviti pemakanan yang sihat, cara pengawalan pemakanan dan sebagainya.

``Apa yang penting di sini sekiranya golongan wanita itu mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan dalam cara menangani kolesterol, kesihatan dan kebajikan keluarga pasti terjaga,'' katanya.

Orang ramai dijemput hadir ke Simposium Wanita Kesihatan dan Gayahidup Sihat 2005 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur KLCC dari 23 September hingga 25 September untuk menjalani pemeriksaan kesihatan percuma. Bawalah keluarga anda bersama untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan ke arah melahirkan keluarga sejahtera dan sihat.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan: