Peminat Setia

Khamis, 1 Mac 2012

PMS : Misteri Wanita


Apakah  perbezaan di antara seorang pengganas dengan wanita yang mengalami sindrom prahaid atau premenstrual syndrome (PMS)? Jawapannya, pengganas boleh diajak berunding! Kelakar sangatlah tu.

Tiada yang lucunya tentang PMS. Malah, humor sedemikian sebenarnya terlepas beberapa fakta bahawa wanita, apabila tiba saat itu, ada ketikanya berasa kecewa dengan suami yang mendesak, ragam anak-anak dan bebanan kerja yang menekan.

Tidak kurang juga lelaki yang tidak percaya akan kewujudannya. Bertentangan dengan apa yang mungkin kebanyakan mereka fikirkan, PMS bukanlah satu alasan yang dibuat-buat oleh wanita.

Hakikatnya, ada sesetengah wanita sendiri yang tidak menyedarinya namun tempiasnya dirasai oleh teman lelaki, suami mahupun rakan-rakan sehingga boleh menjejaskan hubungan mahupun tugasan seharian.

“Apabila saya balik ke rumah, saya dapati dia telah mengecat televisyen 40 inci kami dan memotong wayarnya. Apabila saya tanyakan kepadanya, isteri saya hanya menangis dan terus menangis. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia berbuat begitu. Dia cuma berkata, tidak dapat mengawal perasaannya,” demikian pengakuan seorang suami.

Ia adalah satu realiti menyakitkan bagi sehingga 85 peratus wanita dalam tahun-tahun reproduktif, yang mengalami sekurang-kurangnya satu daripada antara 150 hingga 200 gejala PMS.

Dari payu dara yang membesar dan terasa sakit apabila disentuh sehinggalah simptomsimptom seperti sakit kepala, tidak fokus, perut buncit, mengidam, mengalami pertambahan berat badan, kerengsaan dan sebagainya.

Mood wanita juga tidak semena-mena berputar 3600 – berlawanan dengan dirinya yang sebenar sama ada menjadi seorang yang pendiam, lebih gemar mengasingkan diri, terlalu sensitif, penyedih, murung, mudah naik angin dan lain-lain lagi.

Mereka juga berasa resah gelisah dan serba tidak kena seperti rambutnya hodoh, asyik menyalahkan orang lain dan boleh menangis teresak-esak melihatkan seorang bayi yang comel.

Tiada siapa pun yang tahu punca sebenar PMS mahupun penawarnya, walaupun banyak teori mengaitkannya dengan ketidakstabilan hormon estrogen sebelum haid.

“Wanita sering mengalami perubahan sama ada secara fizikal, emosi ataupun tingkah laku lazimnya di antara tujuh hingga 14 hari sebelum haid. Mereka akan berasa lega sebaik sahaja datang bulan.

“Sindrom ini boleh melibatkan wanita tidak kira umur mahupun latar belakang terutamanya anak-anak gadis di bangku persekolahan menengah mahupun universiti,” kata Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr. Shah Reza Johan Noor.

Apa yang boleh dilakukan?

* Senaman aerobik sekurang-kurangnya 20 hingga 30 minit setiap sesi, tiga kali seminggu. Senaman berjalan, joging, berenang dan berbasikal juga boleh dilakukan. Aktiviti ini membantu mengendurkan otot-otot dan mengurangkan air dalam badan

* Beristirahat atau bersantai dapat mengurangkan penderitaan akibat tekanan. Mungkin cara-cara relaksasi seperti mengawal pernafasan serta yoga dapat membantu. Tarik nafas sedalam-dalamnya. Mandi dengan air suam

* Bagi sesetengah kes, PMS membuatkan anda tidak dapat melelapkan mata pada waktu malam. Jika ini berlaku, dapatkan kesempatan untuk tidur di waktu-waktu lain.

*Gunakan pakaian dalam yang diperbuat daripada kapas terutamanya apabila payu dara terasa sakit

* Banyakkan pengambilan buah-buahan, sayur- sayuran, bijirin dan makanan atau minuman berserat

* Makan lima hingga enam kali sehari dalam kuantiti yang sedikit bagi menggantikan pengambilan tiga kali sehari dalam kuantiti yang banyak

* Kurangkan makanan bergaram (dapat mengurangkan kembung), banyak lemak serta tinggi kandungan gula. Kurangkan juga minuman berkafeina dan juga beralkohol

* Minum air secukupnya

* Pengambilan suplemen seperti zat kalsium sebanyak 1,200mg sehari boleh mengurangkan rungutan fizikal serta kemurungan. Pengambilan magnesium ada kalanya membantu mengurangkan rasa kekembungan, kesakitan payu dara serta mengurangkan ‘tekanan perasaan’. Begitu juga dengan vitamin B6 dan vitamin E.

“Adalah dinasihatkan supaya pengambilan makanan tambahan ini dipreskripsi oleh doktor yang merawat anda kerana jika digunakan secara berlebihan, ia boleh memudaratkan kesihatan.

“Begitu juga dengan pengambilan produkproduk bercirikan herba. Banyak produk ini tidak menjalani keberkesanan klinikal secara terperinci dan berlandaskan pengalaman secara individu,” ujar beliau.

Perubatan yang digunakan

Menurut Dr. Shah Reza, ubat-ubatan digunakan sekiranya perubahan gaya hidup seperti di atas tidak berkesan.

“Ubat antikemurungan seperti ubat berasaskan SSRIs, boleh membantu sekiranya rungutan lebih ke arah perasaan. Ia perlu diambil dua minggu sebelum bermulanya rungutan ataupun dimakan sepanjang kitaran haid.

“Ubat antiradang tanpa steroid (NSAIDs) seperti asid mefenamik dan ibubrufen mampu mengurangkan kesakitan semasa haid. Ubat diuretik juga mengurangkan pertambahan air badan semasa kitaran haid,” katanya.

Ubat-ubatan NSAIDs serta diuretik memerlukan preskripsi doktor kerana penggunaannya secara berterusan membawa kerosakan seperti pendarahan perut dan juga ulser manakala penggunaan secara gabungan boleh memudaratkan buah pinggang.

“Lain-lain pilihan rawatan termasuklah pil perancang keluarga dan ubat-ubatan yang boleh membantutkan pengeluaran telur. Ubat berasaskan hormon ini boleh mengurangkan rungutan fizikal tetapi tidak pula membantu rungutan bercorak kejiwaan.

“Cubalah bercakap dengan ahli keluarga, guru, rakan-rakan atau mana-mana individu yang boleh membantu. Tidak perlu menghadapi permasalahan ini seorang diri,” saran Dr. Shah Reza.

Kitaran haid

Haid merupakan satu proses bulanan yang normal. Purata kitaran haid berlangsung dalam tempoh 28 hari.

Walau bagaimanapun, kitaran yang normal mungkin berlangsung di antara 21 hingga 35 hari. Semasa kitaran ini, ovari mengeluarkan hormon-hormon estrogen dan progesteron.

Hari pertama kitaran adalah hari pertama haid bulanan datang. Pada hari kelima, dinding dalaman rahim di bawah pengaruh hormon estrogen, mula dibentuk sebagai persediaan untuk mengandung.

Pada hari ke-14, telur akan dikeluarkan oleh salah satu dari ovari, ini dipanggil ovulasi. Selepas ovulasi, paras progesteron meningkat. Seandainya telur tidak disenyawakan oleh sperma, paras progesteron akan jatuh.

Ini akan memaklumkan pada dinding dalaman rahim yang kesediaan untuk menerima hasil persenyawaan tidak akan berlaku dan seterusnya penanggalan lapisan yang dinamakan darah haid, berlaku pada hari ke- 28.

Penanggalan lapisan ini (haid) menandakan permulaan kitaran haid bulanan yang baru.

Diagnosis

Rungutan yang dialami mestilah diperakukan oleh doktor dan biasanya perlu memenuhi kriteria-kriteria berikut:

* Hadir sekurang-kurangnya lima hari sebelum haid, bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga kitaran bulan haid berturut- turut.

* Rungutan berakhir empat hari selepas bermulanya haid

* Rungutan tersebut memang mengganggu aktiviti seharian serta kenormalan anda.

“Sebaik-baiknya, tandakan gejala- gejala yang dialami di kalendar mudah alih untuk ditunjukkan pada doktor yang bakal merawati anda.

“Tidak semestinya rungutan tersebut berasal dari gangguan perubahan paras hormon. Mungkin ada penyakit-penyakit lain yang mirip dengannya,” kata Dr. Shah Reza.

Penyakit-penyakit lain yang mirip termasuklah:

* Kekacauan bercorak kegelisahan serta kemurungan: Ia mungkin bertambah teruk semasa kehadiran haid, jadi rungutan disalah anggap sebagai satu sindrom.

Walau bagaimanapun, rungutan ini tidak hilang walaupun kitaran haid bulan yang baru bermula.

* Ke arah menopaus: Mereka yang matang umurnya, dan sedang menuju ke era menopaus mungkin akan mengalami gejala- gejala rungutan yang didorong oleh perubahan paras hormon-hormon badan. Perubahan perasaan serta rasa keletihan yang teramat juga dirasai

* Penyakit-penyakit seperti serangan otak (sawan),

migrain dan asma.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan: