Peminat Setia

Khamis, 15 Mac 2012

Tarian Garis, Senaman Baru Untuk Kesihatan


Menari, merupakan riadah menarik untuk direalisasikan oleh seisi keluarga. Jika sebelum ini tarian sering dikaitkan dengan aktiviti kesenian mahupun sosial di kalangan masyarakat, kini ia berfungsi sebaliknya.

Tarian juga boleh memberi ketenangan fikiran serta pemangkin bagi mengekalkan keseimbangan badan dan kesihatan.

Sejenis tarian yang semakin meningkat popular di kalangan masyarakat di negara ini ialah tarian garis atau line dance yang diadaptasikan daripada tarian ‘Cowboy.’

Menurut Pengarah Pembelian JoyClub Dance Academy, Emily Mah, tarian garis atau line dance yang berasal dari Amerika Syarikat telah diperkenalkan di negara ini kira-kira sepuluh tahun lalu.

Ia bukanlah satu seni tari yang biasa, kerana ia menggabungkan unsur-unsur kesihatan, riadah bersama keluarga, ketenangan dan memantapkan pemikiran.

Selain mencari keseronokan dan ketenangan, tarian ini menjadi pendorong kepadanya untuk menghidupkan kembali gaya hidup cergas dan sihat, termasuk minda dan tubuh.

Menurut Emily, tarian ini biasanya ditarikan oleh wanita bersama anak-anak mereka dengan pelbagai langkah tarian tertentu mengikut banyak rentak lagu.

Emily berkata, antara beberapa jenis lagu yang perlu diikuti ialah latin, klasik, caca, funky, western, waltz termasuk beberapa gabungan lagu-lagu Melayu, Cina dan India yang berentak rancak.

“Apabila lagu yang berlainan diputarkan, maka corak langkah tarian juga akan berbeza. Setiap langkah ini yang perlu diingat, yang mana langkah tarian yang paling minimum ialah 32 dan yang paling banyak melebihi 100,'' katanya.

Menurut Emily, wanita yang datang bersama anak masing-masing menari mengikut rentak lagu dalam satu garisan empat segi besar di padang atau studio pada hujung minggu.

Tarian yang dilakukan pada waktu pagi, malam atau petang itu bertujuan mengeluarkan peluh dan mengekalkan keseimbangan kesihatan.

“Rata-rata mereka yang belajar tarian ini bertujuan untuk memantapkan kesihatan badan, menjadikan diri lebih segar setelah penat bekerja.

“Pemikiran kita dipertingkatkan menerusi pergerakan tarian yang cepat dan setiap langkah yang harus diingati setiap kali pertukaran lagu dibuat dengan cara yang berbeza,'' katanya.

Emily berkata, tarian ini ditarikan oleh mereka di pelbagai peringkat umur dan profesion termasuk juga suri rumah berumur melebihi 60 tahun dari pelbagai bangsa.

“Memandangkan tarian ini banyak menggunakan ingatan, terdapat doktor yang mencadangkan kepada pesakit mereka terutamanya warga emas supaya mengamalkan tarian garis kerana ia membantu memulihkan ingatan. Ini disebabkan mereka terpaksa mengingati banyak langkah tarian untuk ditarikan bersama lagu-lagu tertentu,'' katanya.

Emily menambah, tarian garis ini bakal menjadikan anda sentiasa muda, ceria, seronok dan serasi dengan muzik yang mampu memberi ketenangan serta mengembalikan kecergasan tubuh dan minda anda.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan: