Peminat Setia

Khamis, 2 Februari 2012

Payu Dara Perlu Penjagaan Rapi


Memiliki payu dara pejal dan anjal menjadi idaman setiap wanita. Justeru tidak hairan ramai yang sanggup mengeluarkan belanja sehingga mencecah ribuan ringgit. Ini termasuklah menjalani rawatan suntikan dan pemakaian coli yang didakwa mampu mengembalikan ketegangan payu dara.

Hakikat yang perlu diakui, tidak mungkin diri anda yang kini berusia 30 tahun masih memiliki payu dara seperti diri anda pada usia remaja.

Selain faktor peningkatan usia, gaya hidup serta proses kehamilan dan kelahiran banyak mempengaruhi bentuk serta keanjalan payu dara.

Seperti yang dinyatakan oleh Pengarah Urusan Strapro Sdn. Bhd. Jessica Lim, yang juga perunding kecantikan, ``Payu dara adalah aset berharga bagi wanita. Penjagaannya amat penting bukan sahaja lebih menyempurnakan penampilan, bahkan baik untuk kesihatan.''

Berkongsi ilmu, katanya wanita yang memakai coli ketat melebihi 12 jam sehari bukan sahaja akan menyebabkan tisu dada mengalami tekanan dan edaran sistem limfa dada terjejas, bahkan saluran limfa ke bahagian ketiak turut terhimpit.

``Ini menyebabkan limfa tidak boleh menyahtoksik secara normal.

``Keadaan tidak normal ini boleh menyebabkan sistem imun bahagian dada merosot. Lebih membimbangkan lama kelamaan ia boleh menyebabkan kanser payu dara,'' ujarnya.

Salah satu alternatif terbaik mengekalkan keanjalan payu dara ialah dengan menjalani Rawatan Kesihatan Payu Dara.

Menggunakan produk Dermapro, Bust Firming Serum kaedah urutan yang digunakan ini juga dapat melancarkan perjalanan darah pada payu dara.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Sabtu, 28 Januari 2012

Vitamin E Tokotrienol Untuk Jantung


SOALAN :

Saya mempunyai tekanan darah tinggi dan kolesterol. Selain mengambil ubat, saya disyorkan mengambil vitamin setiap hari untuk manfaat tambahan. Sebelum ini saya tahu vitamin E baik untuk kulit. Adakah Vitamin E mempunyai kelas yang berbeza?

JAWAPAN :

Vitamin E merupakan salah satu vitamin yang penting untuk kesihatan. Vitamin E bukanlah nutrien tunggal, tetapi merujuk kepada keseluruhan keluarga yang mengandungi lapan kompaun yang larut lemak. Vitamin E terbahagi kepada 2 sub-kumpulan, iaitu tokoferol dan tokotrienol. Setiap satu daripadanya mengandungi 4 ahli, iaitu Alfa, Beta, Gama dan Delta.

Melalui makanan Vitamin E boleh diperolehi daripada minyak sayuran, bijian, kekacang, sayuran berdaun hijau, dan sesetengah makanan berasaskan bijirin yang diperkuat atau ditambah dalam formulasinya. Berbeza dengan vitamin E tokoferol yang lebih mudah diperolehi daripada pengambilan makanan harian, vitamin E tokotrienol lebih sukar kerana ia hanya hadir dalam kuantiti yang lebih kecil dalam makanan tertentu sahaja.

Cadangan pengambilannya sebagai suplemen tambahan kepada masalah kesihatan terutamanya jantung ada asasnya. Kajian di Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, Kanada, malah di Malaysia sendiri menunjukkan pengambilan vitamin E tokotrienol secara konsisten bermanfaat untuk beberapa masalah kesihatan.

Kajian yang dibuat sama ada ke atas manusia mahupun haiwan memperlihatkan vitamin tokotrienol memberi manfaat kepada penyakit kardiovaskular dengan mencegah pengoksidaan kolesterol berbahaya, iaitu kolesterol LDL yang menjadi punca utama penyumbatan arteri.

Penyelidikan yang dibuat di Kenneth L. Jordan Heart and Research Foundation centre, Amerika Syarikat mengesahkan pengambilan Tokotrienol harian sebanyak 240 miligram menunjukkan ia berkeupayaan membaikpulih penyumbatan arteri. Selain itu, vitamin E tokotrienol juga mempunyai kemampuan untuk merendahkan paras kolesterol dengan merencatkan atau pengawalan aktiviti enzim HMG CoA reduktase yang menyamai kesan tindakan ubat anti hiperlipidemia.

Manfaat hebat yang tentunya sangat dihargai adalah kesan positifnya ke atas kanser payudara. Hasil penyelidikan menunjukkan vitamin tokotrienol berkebolehan merencatkan sel-sel tumor kanser payudara. Sebaliknya, tokoferol tidak memperlihatkan kesan yang signifikan. Berbanding tokoferol, tokotrienol didapati memberi kesan sinergistik dengan ubat anti estrogen yang digunakan dalam pengurusan kanser payu dara.

Pada tahun 2007, kajian telah dibuat di mana paras tokoferol dan tokotrienol diukur dalam sel-sel payu dara di kalangan rakyat Malaysia yang diet mereka mengandungi minyak kelapa sawit. Hasilnya mendapati paras tokoferol adalah sama dalam kedua-dua sel payu dara yang bersifat benigna (tumor yang tidak berbahaya) dan juga malignan (tumor berbahaya). Walau bagaimanapun, konsentrasi tokotrienol adalah lebih tinggi dalam tisu-tisu lemak di kalangan wanita yang menga-lami benigna. Ini menyokong kenyataan bahawa tokotrienol memberi manfaat perlindungan daripada kanser payu dara.

Secara perbandingannya, vitamin E tokotrienol terbukti 40 hingga 60 kali lebih poten sebagai anti oksida berbanding tokoferol. Aktiviti anti oksida vitamin E adalah meluas. Ia memberi kesan perlindungan yang terlibat dalam mencegah pengoksidaan lipid dalam tisu-tisu dan sel. Aktiviti khusus pula termasuklah meneutralkan radikal bebas dan memperbaiki kerosakan sel, terutamanya membran-membran sel. Vitamin E seringkali dicadangkan untuk pelbagai masalah degeneratif seperti penyakit kardiovaskular, kanser dan katarak.Ia juga penting untuk kesihatan kulit dan rambut.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Khamis, 19 Januari 2012

Susahnya Nak Kurus Semula



Maria berjumpa doktor kerana mengalami masalah obesiti. Dia mahu mengurangkan berat badan yang meningkat sehingga 90 kg. Doktor mencadangkan program pengawalan makanan dan juga ubat-ubatan bagi merangsang rasa kenyang dengan cepat. Menurut doktor ini merupakan langkah saintifik yang digunakan di seluruh dunia. Selepas dua minggu makan ubat dan mengawal pemakanan, Maria mula kehilangan berat badan. Dalam tempoh sebulan berat badannya mengurang sebanyak 10 kg dan semestinya dia gembira.

Bagaimanapun pada bulan kedua, tiada sebarang pengurangan menyebabkan Maria mula risau. Sebulan selepas itu Maria berhenti makan ubat kerana jemu dengan keadaannya yang tidak berubah. Tambahan pula dia diberitahu ubat yang dimakan mempunyai kesan tidak baik kepada kesihatan. Beberapa bulan selepas itu, Maria mengalami kenaikan berat badan berganda. Tubuhnya berasa lemah dan mukanya kelihatan sembap. Dia kecewa dan hairan dengan keadaan tubuhnya yang tidak memberi sebarang reaksi terhadap rawatan dan ubat-ubatan. Dia melihat beberapa rakannya yang memakan ubat dan pengawalan makanan menjadi kurus dan cantik.

Mengapakah sukar untuk kurus? Mengapakah seseorang itu tetap gemuk meskipun berdiet dan mengamalkan senaman? Apakah yang terjadi?

Setelah mendengar cerita Maria saya menyatakan kepadanya bahawa dia mengalami masalah refraktori obesiti yang bermaksud seseorang itu tidak berjaya menjadi kurus semula. Diet senaman dan ubat-ubatan tidak dapat membantu menurunkan berat badan. Mangsa refraktori obesiti akan menjadi lebih gemuk setelah menjalani rawatan pelangsingan. Mereka juga mempunyai tenaga yang lemah dan mudah murung. Keadaan kulit mereka kasar dan kurang menarik. Senaman juga membuatkan mereka lemah dan semakin gemuk.

Kanak kanak yang mengalami refraktori obesiti juga menjadi kurang bermain dan mudah menyendiri. Perkara ini perlu diberi perhatian oleh ibu bapa kerana jika tidak ditangani bakal menjadi lebih serius.

Kesan refraktori obesiti terhadap tubuh badan

* Tulang mengecil dan merosot terutamanya tulang pada muka. Ini menyebabkan muka kelihatan bulat dan sembap.

* Kekejangan otot.

* Berisiko mendapat penyakit metabolik.

* Mudah letih.

* Mata mengecil dan tampak sepet

* Cepat lapar

* Tidak mampu bersenam

* Masalah haid tidak menentu bagi wanita

Rawatan

Tidak ada kaedah diet dan senaman yang mampu memberi kesan terhadap masalah ini. Ini kerana masalah refraktori obesiti disebabkan kekurangan enzim dan hormon pembakar lemak. Oleh kerana itu pengidap refraktori obesiti berdiet sepanjang tahun malah bertahun-tahun lamanya tanpa sebarang kesan.

Rawatan yang terbaik adalah meningkatkan paras enzim dan hormon. Di Marissa Esthetic misalnya rawatan yang penting adalah terapi enzim yang merangsang ketosis.

Selain itu senaman menggunakan otot yang menyokong tubuh kita iaitu core muscle excersize bukan sahaja tidak memenatikan malah mampu menjana fungsi metabolik dengan berkesan.

Masalah

* Masalah lemak pada bahagian depan tubuh iaitu pada buah dada, ketiak, perut termasuk lengan.

Lemak yang berkumpul pada bahagian ini disebabkan faktor hormon yang tidak seimbang. Dalam tubuh wanita terdapat hormon yang penting iaitu estrogen dan progestron. Kehadiran kedua-dua hormone ini perlu seimbang. Apabila estrogen terlalu banyak maka akan berlaku ketidakseimbangan. Estrogen cenderung untuk mengumpulkan lemak pada perut dada lengan dan ketiak. Mereka yang mengalami masalah ini berasa cepat letih. Mereka juga sukar memakai korset atau pakaian ketat kerana saiz badannya lebih besar apabila waktu petang atau malam. Korset yang dipakai terasa seolah-olah semakin ketat di sebabkan perkara ini. Sebenarnya tubuh mereka menyimpan air yang banyak. Pendekatan menangani obesiti haruslah dibuat menerusi pelbagai aspek kerana mengawal makan sahaja bukanlah penyelesaiannya. Selepas rawatan barulah doktor mengenalpasti makanan yang sesuai dengan komposisi tubuh seseorang. Ini membuatkan seseorang itu lebih mudah menjaga dirinya bagi mengelakkan stimulasi hormon cortisol dan estrogen. Perubahan gaya hidup juga penting iaitu dengan menjauhi ketegangan dan bijak menghadapi tekanan dalam kehidupan seharian.

* Pengumpulan lemak pada muka.

Masalah pengumpulan lemak pada muka dan belakang leher. Biasanya tangan dan kaki adalah agak kecil. Perut mungkin membesar sedikit dan terdapat banyak kesan rekahan. Rekahan ini dinamakan striae. Sekali pandang ia kelihatan striae pada perut wanita hamil. Mereka mempunyai muka yang bulat, dagu berlapis dan selalunya bertubuh rendah

* Pengumpulan lemak pada punggung.

Lemak hanya berkumpul pada punggung sahaja. Bahagian atas tubuh kecil, muka juga kecil dan comel. Ini berlaku kerana keaktifan hormon gonadal yang tinggi dan merangsang tubuh menyimpan lemak pada punggung. Perkara ini berlaku bagi lelaki dan wanita. Mereka yang mengalami masalah ini disaran mengambil hormon bloker dan juga mengelak daripada mengambil makanan seperti organ dalaman haiwan yang kaya dengan hormon tersebut.

* Pengumpulan lemak pada perut dan pinggang.

Bagi lelaki ini berlaku disebabkan kekurangan hormon seks lelaki iaitu testosterone serta kemerosotan dalam aktiviti hormon GH. Tubuh jenis ini berisiko mendapat kencing manis kerana masalah insulin yang tidak efektif. Sel-sel dalam tubuhnya tidak efektif terhadap insulin menyebabkan insulin di keluarkan dengan banyak. Kesan insulin yang banyak akan membuatkan gula dalam tubuh rendah dan tenaga menjadi lemah. Mereka juga kerap berasa lapar dan kerap makan menyebabkan berat badan bertambah.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Selasa, 3 Januari 2012

Bersalin Tambah Risiko Rahim Jatuh


Uterus atau dalam bahasa harian lebih senang disebut rahim, mungkin boleh dilambangkan sebagai kasih sayang bagi seorang wanita.

Di dalam organ inilah, 'benih' cinta antara dua individu bersatu, membesar selama 40 minggu dan apabila sampai masanya, menyingkap dunia melalui frasa yang cukup istimewa.

Sebagai organ yang mempunyai fungsi ajaib melahirkan cahayamata, pastinya tugas berat tersebut sedikit sebanyak membebankan dan boleh mendatangkan masalah di kemudian hari.

Rahim jatuh atau uterovaginal prolapse adalah satu daripadanya. Ia berlaku apabila rahim turun atau jatuh daripada kedudukan anatomi asalnya di aras tonjolan tulang iskium (ischial spine).

"Punca utamanya ialah kelemahan otot-otot dan ligamen-ligamen sokongan rahim serta lantai pelvis yang disebabkan oleh beberapa perkara," kata Dr. Ixora.

Menurut beliau, otot-otot lantai pelvis atau saraf pudendal iaitu saraf yang menjadi penyambung di bahagian tersebut boleh tercedera ketika proses kelahiran. Tambahan lagi kepada wanita yang melalui proses kelahiran lebih daripada empat kali, mereka sangat terdedah kepada risiko mengalami rahim jatuh.

Faktor lain seperti kekurangan tisu kolagen sama ada sejak lahir atau disebabkan oleh menopaus dan masalah keabnormalan tulang belakang seperti 'spina bifida' juga mengundang masalah ini.

Dianggarkan sekitar 30 peratus wanita berusia mengalami masalah rahim jatuh tetapi peratusan sebenarnya tidak diketahui dengan tepat kerana ramai yang malu untuk berjumpa doktor.

Walaubagaimanapun kata beliau, terdapat juga wanita muda yang mengalami masalah ini tetapi ia jarang berlaku. Jika berlaku sekali pun mungkin berpunca daripada masalah saraf pudendal yang wujud secara semula jadi sejak lahir atau akibat kecederaan saraf tunjang atau penyakit saraf seperti gullain-barre dan poliomyelitis.

"Individu yang mengalami masalah kesihatan seperti obesiti, sembelit dan batuk yang berpanjangan serta selalu mengangkat beban berlebihan atau berpanjangan untuk tempoh yang lama boleh menyebabkan otot lantai pelvis lemah," kata beliau.

Jelas Dr. Ixora, biasanya masalah rahim jatuh akan diiringi masalah organ-organ pelvis lain seperti pundi kencing, faraj, uretra (salur kencing), rektum (usus besar) dan usus kecil yang dipanggil pelvic organ prolapse (POP).

Antaranya masalah cystocoele ( pundi kencing jatuh / bonjolan pundi kencing ke dalam faraj) dan rectocoele (usus besar rektum jatuh / bonjolan rektum ke dalam faraj).

Selain daripada itu ia juga diiringi oleh masalah kencing seperti stres inkontinens (kebocoran akibat batuk, bersin atau ketawa dan masalah pundi kencing terlalu aktif.

Kategori rahim jatuh:

>> Peringkat pertama : serviks turun dari kedudukan normalnya sehingga bukaan faraj tetapi rahim masih di dalam faraj

>> Peringkat kedua : serviks dan sebahagian rahim turun dari kedudukan normalnya sehingga melepasi bukaan faraj tetapi fundus rahim masih di dalam faraj

>> Peringkat ketiga (procidentia) : serviks dan keseluruhan rahim termasuk fundusnya dan dinding faraj turun melepasi bukaan faraj.

Simptom-simptomnya:

>> Terasa sesuatu terkeluar di bahagian faraj

>> Ketulan pada faraj

>> Sakit pelvis / ari-ari (dragging pelvic pain)

>> Sakit belakang

>> Sakit semasa hubungan seks

>> Pendarahan faraj selepas menopaus

>> Inkontinens kencing

>> Sukar buang air kecil / besar


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Khamis, 29 Disember 2011

Rawatan Selepas Bersalin


Amalan berpantang selepas bersalin bukan sahaja menitik beratkan soal pemakanan ibu semata-mata tetapi juga merangkumi penjagaan tubuh badannya secara luaran dan dalaman.

Selain menjaga makan dan minum, proses mengembalikan kesegaran tubuh juga amat penting kerana seorang ibu perlu sentiasa sihat semasa menjaga bayi mereka dan bekerja semula selepas berpantang.

Namun kini, ramai yang menganggap amalan berpantang tidak lagi penting dan dianggap remeh.

Malah ada yang menganggap amalan berpantang hanyalah sesuatu yang merugikan.

Bagi wanita yang baru lepas bersalin, antara perkara yang ditekankan ialah urutan bagi menaikkan rahim atau di kalangan orang Melayu sebut sebagai sengkak rahim. Urutan ini dilakukan bagi menaikkan semula rahim yang kendur atau terjatuh semasa proses melahirkan anak.

Rawatan tradisional seperti sengkak rahim membantu mengecutkan otot-otot rahim dan menolak rahim masuk semula.

Ini dibantu dengan pemakanan yang betul seperti mengelakkan pengambilan makanan sejuk yang boleh menyebabkan urat kembang atau masuk angin.

Bertungku

Selain itu, amalan bertungku sering dipraktikkan semasa dalam pantang.

Ini kerana bertungku jika diamalkan selalu boleh membantu mengempiskan perut, menghilangkan garis kesan pembedahan untuk mereka yang baru bersalin dan memulihkan rahim yang jatuh atau 'simpan batu merian'.

Proses bertungku itu dilakukan sambil berbaring dan tungku ditekan perlahan-lahan pada sekitar perut, pangkal paha, berhampiran ari-ari, kaki, telapak kaki dan tumit.

Ia dilakukan selama satu jam dari bahagian hadapan hingga ke belakang. Jika dilakukan semasa berpantang, darah nifas akan mengalir dengan lancar selepas bertungku.

Justeru bertungku adakala diteruskan hingga keluar darah terakhir berwarna seakan-akan putih keperangan atau dipanggil darah meroyan.

Pada zaman moden ini, rawatan selepas bersalin ini bukan sahaja boleh dilakukan sendiri atau bidan di rumah, sebaliknya pusat kecantikan turut menyediakan rawatan tradisional untuk ibu bersalin seperti sauna, urutan dan tunku herba.

Di Tini Spa misalnya, menawarkan pakej rawatan bersalin di kedua-dua buah cawangan yang terletak di Ampang dan Shah Alam, Selangor.

Tidak hanya tertumpu untuk mendapatkan tubuh badan langsing, rawatan selepas bersalin ini sebenarnya penting untuk kesihatan luar dalam dalam seorang ibu.

Selain amalan tersebut, si ibu juga turut diberikan jamu dengan ramuan-ramuan tersendiri bagi menguatkan lagi kesihatan dalaman seseorang wanita.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Rabu, 28 Disember 2011

Cuba Rawatan Kesuburan IUI

SOALAN:
Sudah hampir lima tahun saya berkahwin dan masih tidak mempunyai zuriat. Saya dan suami sudah menjalani ujian kesuburan di salah sebuah hospital kerajaan.


Doktor pakar menyatakan kami subur tetapi hingga ke hari ini, saya masih tidak hamil. Doktor ada memberikan asid folik untuk tiga bulan.


Kadang-kadang saya rasa tidak sempurna menjadi seorang isteri kerana tidak mampu menjadi seorang ibu. Suami banyak membantu daripada sudut emosi dan memberi semangat kepada saya serta banyak bersabar dengan keadaan saya.


Daripada sudut pemakanan, saya tidak pernah berpantang makan termasuk buah-buahan, sayuran, nasi, roti dan susu. Ketinggian saya adalah 157 sentimeter dengan berat badan hanya 39 kilogram. Mungkin BMI saya tidak sesuai dan saya buntu mencari kaedah untuk menaikkan berat badan bagi mendapatkan zuriat.


Arnis,
Kuala Lumpur.

JAWAPAN:
Dengan ketinggian anda, berat badan yang ideal adalah di antara 47 hingga 61 kilogram, anda dinasihatkan berjumpa pakar dietetik untuk mendapatkan nasihat pemakanan bagi meningkatkan berat badan anda.

Ia mungkin berkaitan dengan masalah kesuburan anda walaupun kebanyakannya juga mempunyai gangguan haid. Kurang berat badan boleh memberi masalah apabila anda hamil kelak, sama ada terhadap anda sendiri mahupun terhadap kandungan.

Secara ringkasnya, apabila doktor mengatakan kedua-dua anda dan suami subur, ini bermakna:

- Anda mempunyai struktur faraj, rahim, tiub fallopio dan ovari yang normal.
- Ovari anda juga menghasilkan telur (ovulasi) secara teratur pada setiap kitaran. Ia dapat dipantau menggunakan ultrabunyi yang dilakukan secara berturut ataupun menggunakan ujian darah hormon.
- Kedua-dua tiub fallopio anda normal. Lazimnya, ini diketahui setelah anda menjalani prosedur memasukkan cecair melalui pintu rahim (serviks) bagi menguji sama ada ia masuk melalui kedua-dua belah tiub fallopio. Ini dapat dibuktikan secara sinaran-x (HSG) ataupun pembedahan kecil (laparoskopi diagnostik) ataupun lebih jarang lagi secara ultrabunyi (Hycose).
- Ujian air mani suami juga normal iaitu dengan kepekatan sperma sebanyak sekurang-kurangnya 20 juta bagi setiap mililiter air mani. Peratus bilangan sperma yang bergerak ke hadapan juga sekurang-kurangnya 50 peratus manakala peratus bilangan sperma yang mempunyai bentuk atau ciri normal juga sekurang-kurangnya 30 peratus.

Jika demikian, anda boleh memilih untuk menjalani rawatan kesuburan secara permanian berhadas (IUI) kerana kajian membuktikan bagi pasangan yang diperiksa dan didapati tidak mempunyai masalah berkaitan, IUI dapat meningkatkan peluang kehamilan sebanyak tiga hingga empat kali ganda berbanding peluang asal anda setelah lima tahun berkahwin iaitu sebanyak dua hingga empat peratus sahaja.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Rabu, 21 Disember 2011

Stres isteri panas baran

SOALAN:
Saya berumur 47 tahun dan isteri berusia 40 tahun. Kami telah mendirikan rumah tangga hampir 20 tahun dan mempunyai empat anak. 

Anak yang sulung berumur 20 dan yang kecil 10 tahun. Baru-baru ini, saya perhatikan dia akan cepat marah dan perilakunya agak agresif. Perkara yang remeh-temeh akan menjadi isu pertengkaran. Selalunya saya akan mendiamkan diri daripada melayan kerenahnya. Lama-kelamaan kesabaran saya tercabar juga. Kadang-kala saya dan anak-anak berasa stres dengan keadaan ini. Di sini ingin saya mendapat penjelasan doktor, adakah keadaan isteri saya ini satu penyakit dan bolehkah ia diubati serta pada doktor bahagian manakah perlu saya membuat rujukan?

Suami tertekan, Perak.

JAWAPAN:
Berdasarkan cerita saudara, susah untuk saya kesan sama ada randa-tanda itu ada hubungan dengan penyakit. Sifat cepat naik marah dan agresif ada hubungannya dengan tanda-tanda menopaus.

Kebiasaannya ia menyerang wanita berumur 45 tahun ke atas. Susah nak dikatakan sekiranya panas baran tersebut ada kaitan dengan tanda-tanda awal menopaus, Sebaiknya, bawa dia berjumpa pakar sakit puan.

Sekiranya sifatnya tidak ada kaitan dengan menopaus, mungkin anda boleh membawa isteri berjumpa dengan kaunselor perkahwinan atau pakar psikiatri.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Jumaat, 16 Disember 2011

Ketuat di Kemaluan


SOALAN :

Saya adalah gadis berumur 21 tahun, merupakan anak sulung dan tidak pernah melakukan seks. Baru-baru ini saya dapati ketuat di kemaluan (genital wart) saya berasa sakit. Ketuat itu memang ada sejak saya kecil dan meningkat dewasa.

Soalan saya, adakah mempunyai 'genital wart' itu normal? Bagaimana ia boleh tumbuh? Adakah perubahan pada ketuat tersebut disebabkan perubahan hormon? Adakah ketuat yang berdarah boleh menjadi tanda kanser servik? Bolehkah ketuat bertukar kepada malignant cell dan menyebabkan kanser di bahagian reproduktif wanita?

Terima kasih.
Gadis, Ipoh

JAWAPAN :

Daripada cerita di atas saya kurang pasti sama ada ketuat di kemaluan yang dialami itu genital wart atau tidak. Genital wart adalah tidak normal jika dialami oleh seseorang wanita. Genital wart atau kutil genitalis (Kondiloma Akuminata) merupakan kutil yang tumbuh di dalam atau di sekeliling faraj atau dubur. Ia berjangkit melalui hubungan seksual dan disebabkan oleh 'human papiloma virus'. Kebiasaannya kutil tersebut timbul selepas satu hingga enam bulan diinfeksi dan tumbuh dalam bentuk kluster dan bukannya satu sahaja. Wanita yang mengalami masalah ini disarankan menjalani ujian pap smear.

Saya yakin apa yang dialami sudah bertahun-tahun (sejak kecil lagi) adalah suatu ketumbuhan (kutil) yang jinak dan tidak bermasalah. Ketumbuhan yang ganas akan membesar dalam masa yang singkat. Kutil sebegini dikenali sebagai 'cutaneous skin tag', seperti kulit yang terlebih tumbuh. Kebiasaannya berlaku pada bahagian lipatan iaitu di bahagian leher, ketiak dan celah paha (pangkal paha). Ia tidak memudaratkan dan tidak sakit, tidak membesar dalam masa yang singkat. Selalunya ia bertangkai dan sebesar biji halba atau beras. Ia bertukar rupa dan mungkin menimbulkan kesakitan jika terluka dan diinfeksi oleh bakteria. Anda tidak memerlukan apa-apa rawatan bagi kutil sebegini. Bagi wanita yang ingin mendapat perawatan disarankan berjumpa dengan pakar kulit. Perawatan secara laser, krioterapi (pembekuan) atau pembedahan dengan bius lokal.

Untuk pengetahuan anda, sekarang sudah ada vaksin bagi mencegah diinfeksi oleh human papiloma virus. Human papiloma virus (HPV) jenis 16 dan 18 adalah penyebab utama kanser serviks bagi wanita. Vaksin yang ada di negara kita adalah Cervarix dan Gardasil. Vaksin ini boleh mencegah seseorang wanita daripada diinfeksi oleh HPV utama tersebut. Anda boleh berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat berkenaan pengambilan vaksin ini.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Isnin, 5 Disember 2011

Rehat Atasi Alahan Mengandung


SOALAN :

Saya mengalami alahan yang sangat teruk sepanjang trimester pertama kehamilan. Benarkah terdapat ubat yang mampu mengatasi masalah ini? Jika ada, adakah ubat ini akan memberi kesan terhadap kandungan?

JAWAPAN :

Kebiasaannya, wanita mengandung akan mengalami alahan dalam trimester pertama. Punca sebenar alahan sebenarnya masih kurang jelas. Kebanyakan penyelidik percaya yang alahan wanita mengandung disebabkan oleh perubahan fizikal dan aras hormon kehamilan yang dikenali sebagai 'human chorionic gonadotrophin' yang meningkat. Apabila usia kandungan mencecah trimester kedua, alahan akan beransur-ansur hilang kerana aras hormon tersebut akan berkurangan selepas trimester pertama. Bagaimanapun, ada sesetengah individu akan mengalami alahan yang berlanjutan sehingga bersalin.

Tiada ubat spesifik yang perlu diambil bagi mengatasi masalah alahan ini. Secara amnya doktor akan memberikan nasihat bagi mengurangkan simptom alahan dengan mengamalkan pemakanan yang kerap atau mengambil hidangan dalam kuantiti yang kecil supaya perut tidak kosong (contoh: setiap dua jam) walaupun anda tidak lapar. Makan apa sahaja yang anda mahu tapi elakkan dari mengambil makanan pedas, berlemak dan bergoreng. Jika tidak tahan dengan bau yang kuat ketika memasak, buka tingkap dan kipas dan mengelakkan dari mengambil kafein. Semasa peringkat ini juga seseorang wanita perlu minum air dengan kerap sehingga 10 hingga 12 cawan sehari. Bagi rutin harian pula, anda hendaklah berehat secukupnya. Pada kebiasaannya, pengambilan vitamin mengandung tidak diberikan secara rutin pada peringkat ini kerana ia mungkin menyebabkan alahan bertambah teruk. Selain dari mengamalkan panduan di atas, kebiasaannya doktor akan memberikan ubat tahan muntah (anti-emetik) jika perlu. Anda perlu dimasukkan ke wad jika alahan tersebut teruk dan mengalami simptom dehidrasi (kekurangan air dalam badan). Simptom dehidrasi adalah pening-pening, dahaga dan pengeluaran air kencing yang sedikit daripada biasa. Jika anda mengalami simptom-simptom ini, anda memerlukan rawatan dengan segera.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Khamis, 17 November 2011

Apa Itu Selaput Dara?

SOALAN:
Doktor, saya seorang ibu, ingin bertanya suatu perkara yang sungguh merunsingkan saya. Saya ternampak kemaluan anak perempuan saya yang baru berusia sembilan bulan. Sebelum ini lubang atau pun ‘selaput dara’ anak saya kecil tetapi baru-baru ini, saya nampak sudah semakin besar. 

Macam-macam perkara buruk bermain di fikiran saya. Adakah ia disebabkan anak saya telah dicabul oleh orang lain? 

Atau apakah ia sesuatu yang normal dalam tumbesaran seorang anak perempuan? Saya bimbang suami mencabul anak saya atau mungkinkah selaput dara anak saya terkoyak dengan sendirinya? Apakah kesan buruk yang boleh terjadi terhadap anak kecil saya itu? Saya berharap doktor dapat memberikan maklum balas secepat mungkin sebelum saya berbuat sesuatu.


Ibu Delima. 

JAWAPAN:
Puan Delima, terima kasih di atas soalan yang diutarakan pada minggu ini. Sebagai seorang ibu yang prihatin, saya dapat memahami dan bersimpati dengan kerisauan puan. Untuk pengetahuan Puan, selaput dara atau yang sering dikenal dengan sebutan ‘hymen’ adalah suatu lipatan selaput lendir yang menutupi pintu kemaluan (introitus vagina). Pada kebiasaannya berbentuk bulat sebagaimana bentuk liang faraj, tetapi ada juga yang seperti bulan sabit (bentuk semilunar), bahkan ada yang mempunyai septum (pemisah). Lubang selaput dara yang masih utuh (tidak terkoyak) umumnya hanya dilalui oleh jari kelengkeng. Pada bayi, kondisi selaput dara cenderung besar dan tebal. Tetapi semakin bayi itu membesar, jaringan selaput dara akan menipis, lebar dan terbuka.

Namun begitu, terdapat juga segelintir wanita dilahirkan tanpa selaput dara. Tisu ini pula terdapat dalam berbagai-bagai bentuk. Ada yang nipis, ada juga yang tebal dan menutupi keseluruhan lubang faraj hingga menyukarkan pengeluaran darah haid. Dalam situasi ini ada kalanya bantuan pakar perubatan diperlukan bagi membuat pembukaan (incision) untuk mengalirkan darah haid. Lazimnya ia hanya terkoyak semasa kemasukan zakar yang tegang semasa persetubuhan. Bagaimanapun, strukturnya boleh tercedera akibat senaman ataupun aktiviti lasak. Oleh yang demikian, wujud atau tidak selaput dara bukan ukuran tepat bagi menentukan kegadisan seseorang wanita.

Ia boleh terkoyak sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, apatah lagi jika telah melakukan hubungan jenis sebelum pernikahan. Suatu hal yang patut diketahui ialah bahawa selaput dara boleh juga terkoyak walaupun tanpa melakukan persetubuhan.

Terdapat pelbagai bentuk selaput dara. Ada yang seperti kelopak bunga, ada yang seperti cincin, ada yang berlubang dua, ada yang berlubang banyak dan malah ada wanita yang memang tidak ada selaput dara sejak dilahirkan. Sekiranya selaput dara telah terkoyak, iaitu kerana jimak atau tercedera akibat terjatuh dan sebagainya, selaput dara itu masih ada tetapi tidak lagi utuh atau mungkin ia bertaut kembali. Namun begitu jika seorang wanita telah melahirkan anak maka selaput daranya akan hilang.

Mengambil pemikiran positif dan bersangka baik terutama terhadap pasangan hidup dan ahli keluarga adalah jalan terbaik dalam membesarkan anak-anak. Mungkin ia sebahagian daripada perubahan normal setelah bayi perempuan anda membesar. Bagaimanapun, langkah berhati-hati perlu diambil dan usul periksa sebelum mengambil tindakan. Implikasi tindakan seseorang mungkin akan menghambat kehidupan pada masa depan. Saya sarankan puan membawa anak puan berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut bagi mendapatkan pengesahan.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Ahad, 13 November 2011

Revolusi Kecantikan Nano-V

Wanita dan kecantikan, bagaikan irama dan lagu yang tidak boleh dipisahkan. Apa sahaja yang ada kaitan dengan dunia kecantikan mampu menarik minat kaum wanita.

Justeru, tidak hairanlah mengapa pengasas produk Nano-V dan pengarah Enigma Tech, Nur Furyna Azmeer begitu teliti dalam menentukan kualiti dan keberkesanan sesuatu produknya.

Minatnya dalam dunia kecantikan bermula dengan pembukaan spa di Ipoh, Perak dan mengeluarkan minyak wangi tanpa alkohol Pure Mediterranean Perfumes sejak tiga tahun lalu.

Katanya, keistimewaan Nano-V berbanding produk lain, adalah perubahan ketara pada wajahnya sendiri.
"Jika ditanya kenapa saya memilih emas dan stem sel epal, saya melihat kedua-dua bahan ini menjadi trend pasaran kecantikan," ujarnya lagi.

Awet muda

Mengulas pemilihan bahan emas dalam siri rawatan eksklusif dan awet muda Nano-V, Furyna memberitahu, emas sering dikaitkan dengan kaum wanita kerana dapat meningkatkan keanjalan kulit selain merangsang sel lapisan kulit baru agar wajah kelihatan cerah dan awet muda.

Rangkaian produk Nano-V emas terdiri daripada pembersih, penyegar, krim pelindung matahari, serum, skrub dan topeng wajah.

Set ini mendapat sentuhan kemewahan emas 24 karat rumusan yang menggunakan nano teknologi iaitu 1000 kali tekstur lebih halus serta penyerapan yang lebih sempurna.

Ia sesuai bagi mereka yang berumur 25 tahun ke atas dan disesuaikan mengikut jenis kulit biasa, pigmentasi atau berjerawat.

Bagi wanita atau remaja yang mahu mencuba produk Nano-V, Furyna menggalakkan mereka menggunakan pek percubaan stem sel epal yang terdiri pembersih (Beauty Bar), penyegar, krim asas wajah SPF 35 dan krim rawatan malam.

Serum

Kandungan produk dihasilkan menerusi teknologi nano bertindak melindungi kulit mengaktifkan pengaliran mikro, mencegah pembiakan bakteria jerawat dan anti penuaan.

Nano-V juga mengorak langkah dengan memperkenalkan serum yang diisi dalam botol kaca kedap udara dengan kepekatan aktif bagi menjamin kualiti ramuan di dalamnya dan memberi kesan sepuluh kali ganda lebih cepat.

Cara penggunaan yang mudah dan berkesan memberikan lebih pilihan kepada pengguna.

Pihak pengurusan Enigma Tech mengalu-alukan orang ramai untuk menjadi pengedar produk Nano-V dan wangiannya.

Tawaran istimewa modal permulaan rendah, promosi belian RM200 ke atas percuma hadiah misteri, insentif dan mereka yang berminat boleh menghubungi 017-5055528 (Nana) /016-9169937/ 013-5088888 atau layari www.nanovbeauty.com dan www.pureperfumes2u.net.com.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Rabu, 9 November 2011

Bimbang Cyst Ganggu Bayi

SOALAN:
Isteri saya disahkan hamil 10 minggu dan ketika imbasan, doktor di klinik swasta menyatakan ada cyst berukuran 11 sentimeter x 8 sentimeter. Ini adalah kehamilan pertama isteri saya. 

Dia tidak menghidapi senggugut yang teruk, pedih atau sakit di perut sebelum ini. Keadaannya normal dan hanya mengalami alahan biasa seperti muntah.


Persoalannya, mengapa cyst sebesar ini tidak menunjukkan simptom atau tanda awal seperti sakit atau sebagainya? Adakah cyst ovari ini akan mengganggu dan menjejaskan kandungan serta tumbesaran bayi yang dikandung?

Apakah langkah dan jenis rawatan yang diperlukan untuk menyembuhkan penyakit cyst ini? Pandangan dan nasihat doktor amat diperlukan.



Khairul Azhar,


Shah Alam, Selangor.

JAWAPAN:
Sebenarnya ramai wanita yang tidak menyedari kehadiran ketumbuhan pada ovari (misalnya cyst) ataupun pada rahim (misalnya fibroid), malah kebanyakannya hanya disedari atau dikesan oleh suami mereka.

Jika isteri anda bertubuh kecil, dia mungkin menganggapnya sebagai kembung perut atau dirinya gemuk. Pada usia kehamilan 10 minggu, tiada perubahan saiz perut iaitu sama seperti wanita yang tidak hamil kerana saiz rahim masih kecil dan tersorok di dalam rangka pelvis.

Kesakitan lazimnya dialami jika ovari yang mengandungi cyst terbabit terpintal pada tangkainya sehingga menyekat aliran darah ke seluruh ovari berkenaan. Keadaan ini dinamakan ‘torsion’ atau ovari ‘twisted’ dan ia memerlukan pembedahan segera bagi memulihkan aliran darah.

Dengan saiz sebesar 11 sentimeter, cyst boleh mengganggu kehamilan yang semakin membesar. Ruang abdomen yang terhad de–ngan saiz kandungan boleh mengundang risiko kontraksi pramatang, kelahiran pramatang dan seumpama–nya.

Malah, pembedahan lewat lebih menyukarkan disebabkan ruang yang terhad ini. Bawalah isteri anda berjumpa pakar perbidanan untuk pengesahan. Jika benar ia cyst ovari, doktor lazimnya akan menunggu sehingga kandungan memasuki trimester kedua sebelum melakukan pembedahan untuk membuangnya.

Jika berlaku komplikasi contohnya terpintal atau jangkitan kuman atau pecah mengakibatkan pendarahan, pembedahan akan dilakukan segera.

Buat sementara ini, doktor akan memantau saiz cyst serta melakukan ujian darah petanda tumor serta ujian berkait dengan kehamilan. Berdasarkan ciri-ciri pada imbasan ultrabunyi, jenis cyst dapat diagak sama ada cyst fisioligi, cyst penyakit contohnya endometriosis, teratoma dan seumpamanya. Ada juga kemungkinan sewaktu pemantauan ini, cyst terbabit mengecil dan hilang dengan sendirinya.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Sabtu, 5 November 2011

Kerap Hamil Jejas Tulang

Memiliki zuriat yang ramai selalunya mampu memberikan kebahagiaan dalam kehidupan berkeluarga.

Namun, kehamilan yang kerap dan dalam jarak masa yang singkat turut mengundang risiko kepada ibu mengandung.

Seorang pakar perubatan rehabilitasi dari Fakulti Kedoktoran, Universiti Indonesia, Dr. Siti Annissa Nuhonni berkata, bayi di dalam kandungan memerlukan kalsium yang banyak untuk proses pembesarannya.

Kalsium tersebut disumbangkan oleh ibu dan kuantitinya perlu dikongsi bersama. Ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa ibu hamil memerlukan kuantiti kalsium yang tinggi berbanding biasa.

Selain itu, setelah proses melahirkan anak, kuantiti kalsium yang banyak masih diperlukan untuk disalurkan kepada bayi melalui susu ibu.

“Ini secara tidak langsung menyebabkan seorang ibu memerlukan jumlah kalsium yang lebih berbanding keadaan biasa,” jelasnya.

Tambah Annissa, jarak kehamilan dan kelahiran yang dekat akan turut menyebabkan ketidakseimbangan kandungan hormon estrogen di dalam tubuh.

Ketidakseimbangan hormon penting wanita tersebut secara tidak langsung akan mengganggu penyerapan kalsium ke dalam tulang.

“Estrogen penting untuk penyerapan kalsium. Jadi, apabila ia terganggu, struktur tulang juga akan terganggu akibat kekurangan kalsium,” ujar Annissa.

Lebih memburukkan keadaan apabila darah kehabisan kandungan kalsium dan ia mula menyerapnya daripada tulang dan gigi pula.

Ini kerana sebanyak 80 peratus kandungan kalsium dalam badan terdapat pada bahagian itu.

Setelah banyak kalsium diserap keluar, ia akan mengganggu struktur tulang dan gigi. Ia akan mengurangkan kepadatan struktur itu yang akhirnya mengundang penyakit berkaitan tulang.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Pemulihan Perubatan WQ Park, Dr. Tunku Nor Taayah Tunku Zubir menjelaskan bahawa kekurangan kalsium di dalam badan boleh menyebabkan masalah kerapuhan tulang.

Berpantang

“Kalsium adalah elemen terpenting dalam pembentukan tulang. Justeru ia diperlukan dalam kuantiti yang mencukupi untuk mengekalkan kekuatan tulang.

“Apabila kurang kalsium, ia akan menyebabkan masalah osteoporosis yang sering menyerang wanita terutamanya yang sudah menopaus,” katanya kepada Jurnal.

Ibu hamil digalakkan minum banyak susu dan mengambil sumber kalsium lain seperti keju, yogurt dan sayur berdaun hijau sebagai cara untuk mengoptimumkan jumlah kalsium dalam badan.

Sebagai langkah untuk membantu mengekalkan kesihatan tulang dalam kalangan wanita, Pakar Perunding Seksual dan Kesihatan Reproduktif, Dr. Mohd. Ismail Tambi menasihatkan mereka yang berisiko agar menjarakkan tempoh kehamilan.

Sambil merujuk kepada kepentingan amalan berpantang selepas bersalin, Ismail menjelaskan bahawa wanita perlu menjaga kesihatan reproduktif sepanjang tempoh mengandung sehingga melepasi waktu bersalin.

“Amalan berpantang adalah penting kerana ia merangkumi tempoh seseorang wanita yang baru bersalin untuk pulih dari segi mental dan fizikal.
“Jarak masa yang lama sebelum kembali mengandung dapat digunakan oleh ibu untuk mengembalikan kalsium dalam badan dan menghilangkan trauma kelahiran,” katanya.

Seseorang ibu bukan sahaja memerlukan tempoh pantang sebelum kembali mengandung bahkan masa yang lebih lama sebagai langkah menjaga kesihatannya.
Sambil menyebut saranan Islam supaya wanita menjarakkan kehamilan selama dua tahun, Ismail menasihati pasangan agar merancang kehamilan dengan pelbagai kaedah.

“Terdapat banyak cara untuk mengelakkan kehamilan berlaku. Ini termasuk mengambil hormon dan pil selain menggunakan kondom atau IUCD iaitu alat pencegahan kehamilan dalam rahim,” katanya.

Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 1 November 2011

Kembali Dara

Proses melahirkan anak serta penuaan semula jadi sememangnya akan memberi kesan kepada otot dan ligamen sekitar vagina atau faraj wanita.

Pengalaman yang begitu istimewa itu walaupun sentiasa dinanti-nantikan oleh pasangan suami isteri tetapi ia sedikit sebanyak memberi kesan kurang baik kepada mereka yang sentiasa mementingkan hubungan intim.

Vagina yang semakin lemah dan longgar dengan kekenduran otot serta ligamen di sekeliling lantai pelvik sememangnya boleh memberi kesan kepada kepuasan ketika menjalin hubungan seksual. Keadaan ini dipanggil vagina relaxation dan menyebabkan wanita tidak lagi mendapat kepuasan seks seperti dulu.

Antara simptom lain yang turut dialami akibat masalah ini ialah stress urinary incontinence (SUI) iaitu keadaan di mana seseorang itu tidak dapat mengawal pengeluaran air kencing, hilang fungsi kawalan dan penurunan keinginan seksual.

Lazimnya, wanita pada usia muda memiliki struktur tubuh yang ketat dan kemas.

Namun, perubahan akan berlaku selepas melahirkan anak kerana otot dan ligamen sekitar vagina atau faraj akan mengendur.

Situasi ini yang menghantui segelintir wanita kerana takut tidak mendapatkan kepuasan seks terutamanya ketika usia semakin meningkat dan bakal menempuh alam menopaus.

Mungkin disebabkan itu, ramai wanita yang ingin berusaha mengembalikan ' dara ' dengan pelbagai kaedah rawatan tradisional atau moden.

Rawatan Vulvo & Vafinal Laser Reshaping (V2LR) misalnya dikatakan mampu memulih keadaan otot serta kekuatan faraj wanita.

Pakar Sakit Puan dan Kecantikan Klini Dr. Alice, Dr. Alice Prethima berkata, teknologi V2LR boleh membantu wanita yang mengalami masalah kekenduran otot vagina terutama selepas bersalin atau akibat peningkatan usia.

“Rawatan ini boleh meningkatkan tahap kesihatan seksual di kalangan wanita. Ia dapat mengatasi dilema wanita dalam mendapatkan kepuasan seks,” katanya.

Dr. Alice memberitahu, pembedahan ini menggunakan laser dan tidak mengakibatkan pendarahan. Ia mengambil masa satu hingga dua jam.

Katanya, umumnya, pesakit yang bekerja boleh kembali ke pejabat pada hari sama melakukan rawatan bergantung kepada keadaan pesakit.

Secara tidak langsung ia mampu mengurangkan diameter luar dalam vagina, sekali gus meningkatkan rangsangan vagina.

Bagi mereka yang ingin mengetahui tentang rawatan V2LR boleh melayari www.aliceantiaging.com atau menghubungi 1 300 88 3234.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Jumaat, 28 Oktober 2011

Dua Kali Jalani Prosedur Cucian

SOALAN:
Saya berusia 34 tahun dan belum dikurniakan cahaya mata. Saya berkahwin pada usia 33 tahun dan hamil pada usia yang sama. Setelah kandungan saya berusia lapan minggu saya sering mengalami sakit di perut dan turun darah pada usia kandungan 11 minggu. Doktor mengambil keputusan supaya saya menjalani prosedur cucian D&C. Saya berpantang dan berurut.

Selepas tiga bulan keguguran, saya disahkan hamil lagi dan pada usia kandungan lapan minggu ke atas kesakitan yang sama berulang lagi. Saya mempunyai keputihan tetapi doktor menyatakan ia bukannya serius, cuma keputihan biasa saja dan apabila dilakukan imbasan, doktor menyatakan janin tidak membesar pada usia kehamilan 12 minggu.


Setiap kali sakit perut, saya ke klinik dan sehingga usia kandungan saya berusia 14 minggu, saya mengalami masalah sama iaitu turun darah. Doktor menasihatkan supaya saya menjalani prosedur cucian kerana takut ada jangkitan kuman. Selepas sebulan keguguran, saya ke klinik swasta untuk mendapatkan nasihat doktor dan ubat-ubatan. Doktor menjalankan ujian air kencing dan mendapati ada jangkitan kuman dan menyatakan masalah hormon.

Doktor membekalkan ubat yang berkaitan dan doktor nasihatkan supaya saya mengambil ubat untuk hamil dan mengambil ubat tahan gugur sekiranya hamil kali ini. Saya juga berurut dengan bidan dan dia menyatakan kedudukan rahim ke tepi.




Saya bimbang dan hampir setahun memendam rasa takut untuk hamil. Adakah keguguran saya ini disebabkan masalah rahim tidak kuat, jangkitan kuman berlaku sewaktu kehamilan atau masalah hormon? Apakah yang patut saya lakukan memandangkan usia saya sudah lewat?



Apakah saya perlu menunggu setahun lagi supaya rahim saya betul-betul kuat?


Adakah saya perlu mengambil suplemen lain seperti Biodex atau jus Mona Vie?

Ijan,

Terengganu


JAWAPAN:
Saya musykil dengan keadaan kehamilan anda, apakah benar anda hamil? Pada usia kehamilan lapan minggu, janin dapat dikesan dengan jelas menggunakan imbasan ultrabunyi malah degupan jantungnya juga dapat didengar menggunakan teknik Doppler (jika ada) pada mesin ultrabunyi terbabit.

Anda juga tidak memberikan maklumat lanjut mengenai pemantauan pada kandungan sejak lapan minggu sehingga hari anda turun darah (11 minggu dalam ‘kehamilan’ pertama dan ‘14 minggu dalam ‘kehamilan’ kedua). Apabila doktor mengesyaki kandungan mengalami kematian di dalam (secara imbasan ultrabunyi), kepastian akan dibuat sama ada:



  • Mendapatkan pengesahan daripada doktor yang lain.



  • Memeriksa sekali lagi setelah beberapa hari (perkembangan atau saiz janin serta degupan jantungnya).



  • Melakukan ujian darah hormon fl-hCG yang dilakukan berturutan hari atau selang sehari. Paras yang meningkat memberi petanda kandungan masih ‘hidup’ manakala paras yang menurun memberi petanda kandungan sudah tiada.

    Sekiranya anda disahkan mengalami keguguran (kandungan tidak membesar), doktor memberi pilihan sama ada untuk menunggu ia keluar sendiri atau menjalani prosedur cuci (D&C).

    Pilihan pertama memerlukan pemantauan ujian darah untuk mengesan risiko jangkitan kuman dan masalah pembekuan darah, anda tidak menyatakan sama ada anda menjalani ujian ini. Selepas ‘keguguran’ kedua, doktor anda mungkin ada menghantar isi kandungan yang dicuci itu untuk pengesahan makmal. Hasil keputusan histologi ini (singkatan HPE) mungkin sudah diberikan kepada anda.

    Setelah dua kali ‘keguguran’ berturut-turut, kebanyakan doktor mula menjalankan beberapa ujian saringan penyakit walaupun ada yang menunggu sehingga tiga kali berturut-turut. Keadaan keguguran berturut-turut tiga kali ini dinamakan keguguran berulang.

    Saya memilih untuk tidak menjawab soalan mengenai suplemen yang tidak berasaskan kajian klinikal secara statistik. Suplemen yang dilaporkan meningkatkan kesuburan adalah multivitamin yang boleh didapati di hampir semua farmasi tanpa memerlukan preskripsi doktor.

    Pun begitu, anda hendaklah memastikan kandungannya kerana berlebihan vitamin tertentu juga boleh ‘mencacatkan’ janin dan memberi kesan kepada hati anda.

    Produk yang dikatakan membuahkan kehamilan kembar tidak mustahil mengandungi bahan seperti yang terdapat dalam pil kesuburan. Ini kerana kita hanya mengeluarkan satu telur saja dalam setiap kitaran kecuali segelintir wanita yang lazimnya lebih berusia yang boleh mengalami kehamilan kembar (satu di dalam 80 atau 1.25 peratus saja).

    Memandangkan pil kesuburan dilaporkan ada kaitan dengan kanser ovari, penggunaannya penting dihadkan dos dan bilangan kitarannya seperti yang ada dalam garis panduan beberapa persatuan perubatan antarabangsa.

    Kita perlu tahu dengan terperinci mengenai jenis makanan, ubat atau produk yang kita ambil. Ini bagi memelihara daripada kesan sampingan yang mungkin hanya dikesan atau ditanggung apabila lebih berusia kelak.


  • Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

    Isnin, 24 Oktober 2011

    Darah Tak Berhenti

     SOALAN:
    Saya baru saja mendirikan rumah tangga tahun ini. Masalahnya sejak tiga bulan lalu hingga ke hari ini, saya mengalami pendarahan yang tidak henti yang mana saya perlu memakai tuala wanita setiap hari sehingga kini.

    Saya mula didatangi haid pada 7 Mei lalu dan ia masih tidak berhenti. Saya tidak tahu bagaimana amalan pada bulan puasa ini tetapi saya berpuasa dan solat seperti biasa walaupun pada masa sama, saya mengalami pendarahan.


    Saya sudah membuat ujian UPT tetapi hasilnya negatif. Saya ada berjumpa dengan doktor pakar sakit puan yang lain dan mereka hanya memberikan saya pil Diane untuk dimakan selama 21 hari setiap bulan.

    Sehingga hari ini setelah makan pil terbabit, tiada tanda perubahan. Untuk pengetahuan doktor, saya agak lemah tetapi kuatkan diri untuk menguruskan hal seharian. Saya tidak dapat mengamalkan suruhan Allah dengan baik kerana perlu kerap menukar seluar dan tuala wanita selain saya tidak dapat menjalankan tugas saya sebagai seorang isteri untuk melayan suami.



    InsyaAllah hujung tahun ini saya akan melanjutkan pengajian PhD dan perlu menyelesaikan masalah ini secepat mungkin. Adakah keadaan saya ini menyukarkan saya untuk hamil? Apakah pandangan doktor mengenai rawatan penyakit saya ini?


    Nora,
    Kuala Lumpur


    JAWAPAN:

    Kebanyakan pesakit kini lebih prihatin mengenai kesihatan mereka. Bukan saja mereka mendapatkan pemeriksaan doktor, mereka juga lazimnya bertanya lebih lanjut sekiranya tidak berpuas hati dengan penerangan yang diberikan atau pergi mendapatkan pandangan atau pemeriksaan kedua dengan doktor lain. Alam siber juga membolehkan mereka mendapatkan informasi lanjut.

    Sebagai pesakit, anda berhak mendapatkan penerangan mengenai diagnosis yang diberikan doktor, punca sebenar masalah haid anda, pilihan rawatan yang ada, pemeriksaan susulan serta penilaian mengenai peluang anda sembuh sepenuhnya juga sama ada ia memberikan kesan sampingan yang lain misalnya masalah kesuburan yang anda utarakan.

    Kebanyakan punca masalah haid adalah dari ovari ataupun dalam rahim itu sendiri, kadangkala ia boleh berpunca daripada peradangan atau penyakit serviks (pintu rahim) dan lebih jarang lagi, dari faraj.

    Walaupun ujian UPT negatif, doktor boleh mengulangi dengan ujian yang lebih tepat iaitu ujian darah bhCG untuk mengecualikan kemungkinan kehamilan atau keguguran. Anda juga mungkin sudah menjalani ujian darah yang lain serta imbasan ultrabunyi pelvis. Tidak mustahil sekiranya anda mengalami kekurangan darah (paras haemoglobin darah yang rendah) akibat pendarahan setiap hari dalam tempoh yang lama.

    Rawatan hormon perancang termasuk yang anda ambil mengandungi kedua-dua hormon estrogen dan progestin yang menyerupai tindakan hormon yang dikeluarkan oleh kedua-dua ovari kita. Hormon ini mempengaruhi pertumbuhan atau penebalan, pematangan dan pengeluaran lapisan endometrium yang membentuk haid jika kita tidak hamil.

    Rawatan hormon ini bersifat sementara untuk ‘mencantikkan’ haid anda, bukannya merawat punca asal. Sepatutnya dengan pengambilan pil perancang, haid bukan saja teratur, malah kuantitinya juga sedikit saja, melainkan jika seseorang terlupa mengambilnya mengikut aturan ataupun sebenarnya ia bukanlah masalah hormon.

    Jika masalah masih tidak selesai, anda mungkin akan diminta menjalani pemeriksaan lanjut secara pembedahan kecil menggunakan teropong kecil yang dimasukkan ke dalam ruang rahim dan mengambil biopsi jika perlu.

    Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my