SOALAN:
Saya berumur 24 tahun dan baru mendirikan rumah tangga pada April 2009.
Saya agak risau dengan keadaan payudara kiri saya yang putingnya tidak timbul, sama ada ketika bersama suami atau tidak.
Puting kanan payudara saya tiada masalah. Baru-baru ini, puting payudara kiri saya ada semacam ketulan putih kecil sebesar jerawat nasi tapi bukan nanah. Ada kalanya, ia berbau.
Apakah masalah pada puting payudara itu? Mungkinkah ia petunjuk masalah kesihatan lain?
Ina,
Kuala Lumpur
JAWAPAN:
Keadaan ini dinamakan inverted nipple. Ini tidak bermakna anda tidak mempunyai puting payudara tetapi ia tidak timbul, malah boleh termasuk ke dalam.
Kawasan kulit berhampirannya pula boleh menyebabkan pengumpulan kotoran atau peluh sehingga mengeluarkan bintil putih seperti yang anda alami.
Puting payudara yang termasuk ke dalam mungkin boleh dibetulkan, namun ia memerlukan kesungguhan dan kesabaran kerana ia memakan masa yang lama.
Anda boleh memulakannya dari sekarang secara meletakkan jari telunjuk dan ibu jari pada dasar kawasan perang sekitarnya (areolar), kemudian menekannya ke dalam dan ke luar seolah-olah mengembangkan kawasan terbabit.
Pada masa sama, jari telunjuk dan ibu jari tangan sebelah lagi bolehlah cuba menarik keluar puting terbabit.
Lakukan sekerap mungkin, mana tahu, ia mungkin berjaya keluar kelak.
Anda juga harus faham bahawa setelah keluar kelak, ia mungkin boleh termasuk kembali dan anda boleh memulakan kembali teknik di atas.
Pada masa sama, anda mungkin perlu meluangkan masa untuk meneliti kawasan tengah areolar itu supaya ia dibiarkan kering.
Inverted nipple tidak bermakna seseorang tidak boleh menyusukan bayinya kelak, penyusuan badan cuma memerlukan teknik yang betul.
Inverted nipple juga lazimnya tidak berkaitan masalah serius jika ia sudah dialami sejak kanakkanak lagi seperti anda.
Jika ia baru saja dialami, kemungkinan penyakit bahaya perlu diteliti.
Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan