SOALAN:
Saya seorang isteri berumur 27 tahun dan belum lagi dikurniakan zuriat. Usia perkahwinan saya masuk tahun ketiga.
Saya pernah menjalani pembedahan membuang cyst enam bulan lalu di ovari kiri.
Selepas pembedahan, doktor mengesahkan tiub falopio kiri saya tersumbat manakala di sebelah kanan adalah normal.
Saya risau kerana sehingga kini saya masih belum hamil. Suami ada membuat pemeriksaan kesuburan dan suami tiada masalah.
Doktor ada memberikan saya ubat kesuburan (Clomid), namun setiap bulan saya tetap didatangi haid.
Saya pernah terdengar mengenai rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) dan permanian berhadas (IUI).
Adakah sebarang had umur untuk menjalani rawatan ini?
Berdasarkan masalah saya hadapi, adakah IVF atau IUI lebih berkesan untuk saya?
Apakah perbezaan ketara antara dua rawatan terbabit?
Ita
Shah Alam, Selangor
JAWAPAN:
Anda boleh mendapatkan maklumat lebih lanjut daripada doktor anda mengenai beberapa perkara berkaitan penyakit anda sebelum mengetahui peluang kehamilan anda tanpa bantuan berbanding dengan bantuan rawatan kesuburan.
Sekiranya pembedahan terbabit dilakukan secara laparoskopi, lazimnya doktor akan memberikan anda cakera padat rakaman pembedahan itu untuk rekod simpanan atau rujukan anda:
1. Jenis cyst terbabit misalnya endometrioma (sejenis endometriosis), cyst korpus luteal, cyst dermoid, cyst epitilial dan seumpamanya.
Lazimnya, dinding cyst ini akan diuji secara histopatologi di makmal dan keputusannya dapat diketahui dalam masa satu hingga beberapa minggu.
2. Punca tiub falopio tersumbat contohnya penyakit radang pelvis (PID).
3. Keadaan tiub falopio lagi satu secara keseluruhannya (misalnya tersumbat, berbonggol-bonggol, jejari fimbriae melekat dan kontot)
4. Keadaan ruang pelvis secara keseluruhannya
Usia anda masih muda, peluang kehamilan anda (lebih-lebih lagi dengan rawatan kesuburan) lazimnya berada pada paras tinggi sebelum seseorang wanita mencapai usia 28 tahun di mana tahap kesuburannya mula menurun.
Secara am, berikut adalah beberapa fakta yang boleh dijadikan panduan:
# Anda dinasihatkan mengambil ubat kesuburan dalam jenis dan dos yang bersesuaian bagi memastikan pada setiap kitaran haid anda, ada saja telur 'cantik' iaitu folikel telur yang besar pada ovari kanan anda.
Ini kerana jika tidak, anda hanya berpeluang hamil (sekitar 15 peratus) jika pada kitaran terbabit telur keluar dari ovari kanan. Tiada ketetapan atau giliran bagi seseorang wanita untuk ovulasi berlaku dari ovari kanan atau ovari kiri. Seseorang boleh mengalami ovulasi dari ovari kiri berturut-turut sebelum diselangi dari sebelah kanan pula.
# Pada masa sama, status tiub falopio kanan juga penting diketahui. Jika tiub falopio kanan tidak tersumbat dan berfungsi elok serta ovulasi berlaku dari ovari kanan, anda boleh memilih untuk melakukan hubungan seks atau menjalani rawatan IUI.
# Rawatan IVF memberi peluang kehamilan yang paling tinggi untuk mana-mana wanita, lebih-lebih lagi pada golongan usia anda. Cuma, kosnya juga jauh lebih tinggi iaitu antara RM8,000 hingga RM15,000. IVF memintas kegunaan tiub falopio, semua telur anda dari sebelah kiri dan kanan boleh disedut keluar dan digunakan melalui satu prosedur pembedahan khas.
Kemudian telur ini akan disatukan bersama-sama sperma suami anda untuk persenyawaan membantu embrio sebelum dimasukkan semula ke dalam rahim anda.
Bagaimanapun, peluangnya juga bukanlah 100 peratus. Sekiranya anda sudah bersedia, IVF memberi peluang yang paling tinggi. Namun, jika belum, anda boleh mengambil ubat kesuburan disusuli pemantauan menggunakan ultrabunyi trans-vaginal bagi memantau perkembangan telur di sebelah ovari kanan.
Kemudian, apabila sudah sampai waktu subur, anda bolehlah mengambil suntikan pencetus ovulasi sebelum menjalani IUI. Jika tidak berkemampuan untuk menjalani IUI, hubungan seks boleh dilakukan, tetapi memberi peluang kehamilan yang paling rendah antara ketiga-tiga ini.
Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan