Peminat Setia

Isnin, 26 Julai 2010

Atasi Masalah Mandul

Kesukaran untuk hamil bukan semestinya disebabkan oleh faktor kaum wanita sahaja tetapi juga kaum lelaki. Hampir 30-40 peratus infertiliti disebabkan oleh faktor lelaki. Walaupun lelaki dapat terus menjadi "produktif" pada usia yang lebih lanjut tidak bermakna mereka lebih subur. Ramai lelaki mengalami masalah disfungsi seksual seperti ejakulasi pra-matang, kegagalan ereksi dan sebagainya.

Terdapat juga kaum lelaki yang mempunyai kualiti atau kuantiti sperma yang rendah akibat faktor genetik, merokok, meminum minuman keras dan mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat. Jangkitan pada kelenjar testis dan saluran yang membawa sperma boleh menyebabkan infertiliti. Seperti juga wanita, kaum lelaki juga boleh mengalami infertiliti jika menerima ubat-ubat kemoterapi ataupun radioterapi.

Hampir 25 peratus kes kegagalan menimang cahaya mata adalah disebabkan oleh faktor-faktor yang tidak dapat dikesan oleh kaedah moden. Ini mungkin disebabkan kita belum mempunyai cukup teknologi untuk mengesan punca-puncanya. Dijangkakan peratusan itu akan menurun dari masa ke semasa apabila teknik pengesanan dan teknologi perubatan kita bertambah baik.

Hampir 80 peratus infertiliti boleh dirawat jika pasangan i berjumpa doktor yang bertauliah dan mendapatkan rawatan lengkap. Peluang untuk sembuh akan menjadi lebih sukar jika tempoh infertiliti dibiarkan bertahun-tahun ataupun jika usia pasangan wanita melebihi 35 tahun.

Bagi wanita yang berusia 35 tahun ke atas, mereka digalakkan mendapatkan rawatan setelah enam bulan berkahwin. Samada setahun atau enam bulan perkahwinan, apa yang penting mereka sudah mencuba dengan melakukan hubungan seks sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Ini disebabkan kaum wanita diketahui hanya subur sekali pada setiap bulan dan jika hubungan seks tidak dilakukan secara kerap , maka kemungkinan untuk hamil juga akan menjadi lebih rendah. Ramai di kalangan pasangan gagal menangani masalah infertiliti hanya kerana jarang melakukan hubungan seks samada akibat dari tinggal berjauhan, kesibukan ataupun kurang kefahaman mengenai proses reproduksi.

Apabila membuat keputusan untuk bertemu dengan doktor , sila pastikan doktor tersebut adalah doktor sakit puan ataupun doktor ginekologi. Pasangan perlu berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan dan ujian-ujian lanjut.

Di antara kaedah-kaedah bantuan reproduktif yang terdapat di Malaysia adalah Pemanian beradas ( Intrauterine insemination), Invitro-Fertilization (IVF) dan ICSI ( Intracytoplasmic Sperm Injection). Tidak semua pasangan sesuai menjalani kaedah rawatan bantuan reproduktif. Mereka perlu menjalani ujian serta pemeriksaan rapi oleh pakar perubatan reproduktif sebelum dibenarkan menjalani rawatan yang sangat kompleks.

Pasangan juga mesti mengamalkan gaya hidup yang sihat termasuk menjaga kebersihan diri. Langkah-langkah pencegahan jangkitan penyakit dan menjauhkan diri daripada terdedah kepada toksin-toksin sama ada di dalam makanan, minuman dan juga alam sekitar akan dapat memperbaiki kesuburan. Mengamalkan senaman secara tetap dan menjauhkan diri daripada merokok dan meminum minuman keras juga merupakan amalan yang sangat dituntut bagi meningkatkan kesuburan diri.

Sehubungan itu, dalam usaha mendedahkan masyarakat kepada masalah infertiliti dan rawatan, Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd (UP&D) mengambil inisiatif menganjurkan Seminar Kesihatan: Reproduksi Manusia & Rawatan Infertiliti pada 5 Ogos 2010 di Hotel Grand Season, Jalan Pahang. Seminar ini turut mendapat kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Bagi yang berminat boleh hubungi Nurul Wahida atau Rozaini di talian 03-9285 6577 untuk keterangan lanjut.


Dipetik dari:http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan: