Peminat Setia

Sabtu, 24 Julai 2010

Risiko Penyakit Wanita Berumur

Menjadi tua adalah hakikat yang perlu dilalui oleh setiap wanita di muka bumi ini. Ia merupakan satu proses semula jadi dalam kitaran hidup manusia.

Kedutan pada wajah, hilang keanjalan kulit dan rambut ditumbuhi uban sememangnya tidak mampu dielak, namun apalah sangat proses penuaan tersebut jika dibandingkan dengan rasa sihat dan bebas daripada sebarang penyakit pada usia 'subsidi' tersebut.

Cara yang baik untuk terus sihat dan cergas, walaupun usia telah meningkat, adalah dengan menjaga badan dan fikiran supaya selalu aktif. Apa yang penting bagi seorang wanita ialah menjadi sihat dan kekal cantik pada kelas usianya tanpa sebarang penyakit.

Bagaimanapun, kebanyakan wanita berkerjaya sering mengabaikan kesihatan diri sendiri kerana terlalu menumpukan kepada kerja, pasangan dan anak-anak. Amat menyedihkan apabila penyakit yang dihidapi dikesan terlalu lambat dan rawatan agak sukar untuk memulihkan keadaan seperti dulu.

Pokoknya, pilihan terletak pada tangan kita kerana pengesanan awal mampu merubah kehidupan kepada yang lebih baik, bak kata pepatah, 'tepuk dada tanya selera.'

Memahami Isu Kesihatan Wanita

Pepatah 'mencegah lebih baik daripada merawat' memang bertepatan dengan apa yang ingin diuar-uarkan dalam bengkel kesihatan wanita bertajuk Timeless Women, anjuran Weber Shandwick yang disokong oleh Novartis ini.

Dalam membicarakan penyakit serius wanita, terdapat empat peringkat umur yang harus difahami wanita, suami dan anak-anak.

Keempat-empat peringkat ini ialah 18 hingga 30 tahun; 30 hingga 50 tahun; 50 hingga 70 tahun; dan 70 tahun ke atas. Kategori umur masing-masing mempunyai risiko penyakit yang berbeza.

Pakar Perunding Kanan Obstetrik dan Sakit Puan, Datuk Dr. Nor Ashikin Mokhtar berkata, bagi golongan ibu, terdapat enam penyakit yang sering dihidapi iaitu kanser payu dara, kanser pangkal rahim atau serviks, menopaus, serangan jantung, kehamilan dan osteoporosis.

"Kanser payu dara masih menjadi penyakit utama wanita di seluruh dunia. Ujian mamogram amat disarankan kepada wanita berusia 50 tahun ke atas, bagaimanapun wanita yang mempunyai sejarah ahli keluarga menghidapi kanser payu dara dinasihatkan menjalani ujian ini pada usia antara 40 ke 49 tahun," ujarnya ketika menyampaikan taklimat pada bengkel bertajuk Timeless Woman di Hotel Hilton, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Dr. Nor Ashikin berkata, selain mamogram, kaedah pemeriksaan payu dara sendiri (BSE) membantu wanita mengesan keganjilan pada payu dara mereka.

"Gejala utama yang dialami oleh pesakit adalah kehadiran ketumbuhan, disusuli dengan lelehan yang keluar dari puting, kadang kala mengandungi darah. Jika ada benjolan, segera berjumpa doktor bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut. Usah tunggu benjolan menjadi sakit kerana risiko penyakit bertambah buruk sangat tinggi," ujar Pengasas dan Pengarah Eksekutif Primanora.

Satu lagi penyakit yang digeruni wanita ialah kanser pangkal rahim. Perangkaan yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Kanser Kebangsaan menunjukkan kanser tersebut merupakan kedua tertinggi dengan jumlah 12.9 peratus atau 20 kes daripada 100,000 penduduk.

Dr. Nor Ashikin berkata, kanser kedua pembunuh wanita ini semakin berisiko seiring dengan penambahan usia seseorang wanita.

"Wanita yang melakukan seks pada usia muda atau mempunyai ramai pasangan dan tidak mempunyai perlindungan ketika mengadakan seks, berisiko tinggi untuk menghidapi penyakit ini," katanya.

Dr. Nor Ashikin berkata, barah yang disebabkan oleh kuman human papiloma virus (HPV) ini boleh berada dalam tubuh seorang wanita dari berbulan hingga bertahun-tahun lamanya hinggalah ia bertukar menjadi sel barah.

"Gejala seperti pendarahan selepas melakukan hubungan seks adalah petanda barah ini. Ada masanya, pendarahan tersebut berlarutan hingga menyebabkan anemia atau penyakit kurang darah.

"Simptom lain adalah seperti kesukaran bernafas, mudah penat dan berbau busuk pada vagina. Jika simptom tersebut berterusan ia boleh melarat pada pundi kencing dan seterusnya mengakibatkan kencing berdarah," jelasnya.

Dr. Nor Ashikin menyarankan wanita yang aktif dalam hubungan seks agar menjalani ujian pap smear yang boleh mengesan sel tidak normal yang mungkin boleh menjadi punca kanser.

Dr. Nor Ashikin menambah, kesihatan organ reproduktif harus dipandang serius oleh setiap wanita kerana pengabaiannya mampu merosakkan kemampuan wanita dalam menjalani seksual yang sempurna.

Dengan pendedahan secukupnya, seorang ibu boleh mula membawa anak perempuannya melalui pemeriksaan pakar ginekologi selepas tiga tahun dia mengalami haid yang pertama.

Pemantauan kesihatan organ reproduktif ini boleh mengenalpasti dan mengesan sekiranya berlaku sesuatu keganjilan pada organ tersebut.

Tidak ketinggalan, seorang ibu yang meningkat usia, akan melalui fasa menopaus. Ia satu proses semula jadi dan penting dalam kehidupan setiap wanita.

"Setiap bayi perempuan yang dilahirkan telah mempunyai beberapa jumlah telur dalam ovarinya. Ovari mengeluarkan hormon estrogen dan progesteron yang juga merangsang penghasilan haid dan kesuburan.

"Apabila usia meningkat, ovari tidak lagi mengeluarkan telur dan pengeluaran hormon turut terhenti, ketika inilah dikatakan proses menopaus berlaku," jelasnya.

Dr. Nor Ashikin berkata, menopaus adalah proses yang berlaku secara perlahan-lahan dan diiringi beberapa gejala seperti selaran kepanasan, perubahan emosi, kekeringan dan sukar tidur malam.

"Wanita yang telah menopaus selama beberapa tahun berkecenderungan menghidapi penyakit osteoporosis, masalah jantung, lemah pundi kencing, lemah daya ingatan, hilang keanjalan kulit dan otot serta masalah penglihatan," katanya.

Wanita mesti bersedia menghadapinya dan mengambil langkah proaktif untuk mengelakkan penyakit yang berkaitan dengan proses selepas menopaus.

Selain penyakit yang melibatkan organ wanita, Dr. Nor Ashikin memberitahu, wanita juga berisiko menghidap serangan jantung.

Sakit jantung menjadi faktor utama kematian lelaki dan wanita di seluruh dunia termasuk 22.5 peratus penyebab kematian wanita Malaysia ialah sakit jantung.

"Apabila wanita mencapai umur 50 tahun, dia mudah diserang sakit jantung. Wanita yang mengalami menopaus, peningkatan umur, sejarah keluarga, merokok, kandungan kolestrol yang tinggi dan kurang aktiviti fizikal berisiko menghidap menyakit ini," jelasnya.

Bagi menjaga kesihatan jantung, wanita perlu mengurangkan atau menjauhi asap rokok, menjaga berat badan, bersenam sekurang-kurangnya 30 hingga 40 minit untuk lima kali seminggu, berdiet dan merawat atau kawal aras gula dalam darah (diabetes), kolestrol dan tekanan darah.


Oleh Noor Fazrina Kamal
Dipetik dari:http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan: