Peminat Setia

Ahad, 6 Mac 2011

Cerai Setiap 15 Minit

Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menunjukkan perceraian berlaku dalam kalangan umat Islam dicatatkan setiap 15 minit pada tahun 2009.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, jumlah itu meningkat daripada tahun ke tahun akibat daripada kurangnya penghayatan agama dalam kalangan suami isteri termasuk mengabaikan solat.

“Jika solat lima waktu sehari semalam tidak dapat dilaksanakan, sudah tentu dapat kita bayangkan mereka juga sukar untuk melaksanakan peranan dan tanggungjawab sebagai suami dan isteri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar sempena Maulidur Rasul Rasulullah Ikon Keluarga Bahagia yang disertai 1,200 penjawat awam.

Anggota panel pada seminar itu terdiri daripada pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dan pendakwah, Datuk Dr Fatma Zahrah Mohd Ramadan.

Mashitah berkata, Jakim akan memperbanyakkan lagi program pemantapan keluarga yang menerapkan kesedaran terhadap peranan suami dan isteri, kemahiran keibubapaan, pendidikan serta pengurusan ekonomi keluarga.

Setakat ini katanya, Jakim menganjurkan sebanyak 900 program kekeluargaan dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri dalam usaha untuk memperkasakan institusi rumah tangga.

Dalam perkembangan lain Mashitah berkata, Jakim masih memantau pergerakan saki baki pengikut ajaran al-Arqam yang didakwa mengadakan perjumpaan dikenali sebagai ‘Sidang Parlimen Roh’ selepas kematian pengasasnya, Ashaari Mohamad atau Abuya pada 13 Mei tahun lalu.

“Kita masih mengikuti apa yang mereka buat. Jadi minta kepada rakyat supaya berhati-hati dan tidak mengkuti kepada ajaran itu,” katanya.


Dipetik dari: http://www.bernama.com.my

Tiada ulasan: