Peminat Setia

Rabu, 27 Februari 2008

KANSER : Ancaman Berbeza, Sama Bahayanya

Bilangan tinggi pesakit kanser pangkal rahim (kiri) dan kanser ovari (kanan) yang berjumpa doktor pada peringkat akhir penyakit berkenaan amat membimbangkan berbanding kanser payudara yang lebih mudah dikesan pada peringkat awal.

Kanser, tumor, ketumbuhan atau sista (cyst). Perkataan-perkataan ini sahaja sudah cukup untuk menakutkan sesiapa sahaja yang berjumpa doktor akibat masalah kesihatan yang pada awalnya disangka hanya perkara kecil.

Ketumbuhan kanser boleh menjadi bahaya (malignan) atau tidak (benign) tetapi kedua- duanya tetap mampu mengganggu dan mengancam fungsi badan. Ketumbuhan yang tidak bahaya kebiasaannya tidak merebak ke bahagian lain badan sementara ketumbuhan malignan pula akan merebak, menakluk dan merosakkan organ atau bahagian lain badan pesakit.

Perbezaannya hanya pada bahaya yang dibawa kanser pada organ tertentu dan kekerapan kanser berkenaan berlaku di dalam kelompok masyarakat.

Pembunuh utama

Pakar Sakit Puan & Perbidanan, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. S. Silvam menyatakan beberapa kanser khusus pada wanita membawa ancaman tersembunyi.

“Semua jenis kanser berbahaya namun beberapa kanser yang banyak menyerang wanita membawa bentuk ancaman berbeza.

“Kanser payudara, pangkal rahim (serviks) dan ovari mempunyai tahap kekerapan berbeza di samping punca, cara pengesanan dan pencegahan tersendiri,” katanya.

Kanser payudara merupakan jenis yang paling banyak menyerang dan membunuh wanita di seluruh dunia, selain mampu menyerang golongan lelaki juga.

Menurut Dr. Silvam, jika seseorang wanita hidup sehingga umur 80 tahun, terdapat kebarangkalian satu dalam dua belas (1:12) untuk wanita berkenaan menghidap hidap barah payudara.

“Barah jenis ini bagaimanapun mudah dikesan mata kasar atau melalui sentuhan, memudahkan ketumbuhan pada payudara dikesan pada peringkat awal.

“Pesakit boleh melakukan pemeriksaan payudara sendiri (BSE) atau ujian mamogram setiap tahun untuk memastikan tidak menghidap kanser ini,” ujarnya.

Jelas beliau, kanser payudara melibatkan kaitan warisan genetik dan sejarah keluarga dapat menentukan kebarangkalian dan risiko seorang wanita menghidapnya.

Faktor selain peningkatan umur dan sejarah keluarga yang dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser payudara adalah pembawa gen abnormal BCRA1 dan BCRA2.

Kedua-dua gen ini tergolong dalam kelas gen dikenali sebagai ‘gen menyekat tumor’ yang terlibat dalam proses membaik pulih kerosakan genetik kromosom. Kerosakan salah satu atau kedua-dua gen ini dikenal pasti berkait dengan permulaan kanser payudara dan juga kembalinya kanser selepas pesakit menerima rawatan.

Pangkal rahim dan HPV

Kanser pangkal rahim (serviks) pula merupakan kanser khusus yang kedua paling banyak menyerang wanita.

Dr. Silvam menjelaskan, kanser jenis ini kadangkala sukar dikenalpasti tetapi dapat dikesan jika ujian saringan berkala dijalankan ke atas pesakit.

“Di United Kingdom, program saringan yang bagus, teratur dan cukup pembiayaan berjaya mengurangkan bilangan kes kanser pangkal rahim dari 15 kes untuk setiap 100,000 wanita kepada hanya lapan kes untuk setiap 100,000 wanita.

“Kebanyakan negara-negara membangun tidak mempunyai program saringan untuk kanser jenis ini,” katanya.

Menurut beliau, hanya pesakit yang telah mendapat pendedahan kepada bahaya kanser ini akan berjumpa doktor dengan sendiri untuk pemeriksaan berkala.

Tambahnya, satu program yang teratur seperti yang diadakan untuk kanser payudara dapat membantu pihak hospital memantau golongan yang berisiko tinggi dengan lebih berkesan.

Dr. Silvam menyatakan program sebegini belum terdapat di Malaysia tetapi diperlukan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap ancaman kanser pangkal rahim.

“Pemeriksaan untuk kanser pangkal rahim dijalankan dengan ujian pap smear yang disediakan hampir kesemua klinik dan hospital di negara ini.

“Ujian ini murah dan berkesan, sesuai untuk golongan wanita yang berisiko tinggi, iaitu mereka yang pernah melakukan hubungan seks,” jelasnya.

Menurut beliau, wanita yang pernah atau aktif secara seksual menghadapi risiko 99.9 peratus menghadapi kanser pangkal rahim.

Tambahnya, mereka yang langsung tidak pernah melakukan hubungan seks pula mempunyai risiko hampir 0 peratus menghidap kanser berkenaan.

Kaitan ini dibuat berikutan lebih 99 peratus kanser pangkal rahim di seluruh dunia didapati mempunyai Virus Papiloma Manusia (HPV).

Persatuan Kanser Amerika telah menyenaraikan beberapa faktor risiko kanser pangkal rahim dan jangkitan HPV diletakkan sebagai risiko utama. Selain itu, merokok, jangkitan virus HIV, jangkitan chlamydia, faktor pemakanan, kaedah mencegah kehamilan tertentu, mengandung banyak kali dan sejarah keluarga turut dikaitkan dengan kanser jenis ini.

Terdapat lebih 250 jenis virus HPV, 15 darinya (16, 18, 31, 33, 35, 39, 45, 51, 52, 56, 58, 59, 68, 73, dan 82) dikelaskan sebagai sangat berisiko menghidap kanser pangkal rahim. HPV jenis 16 dan 18 pula diperakui sebagai punca 70 peratus kes kanser pangkal rahim di seluruh dunia.

Vaksin terhadap empat jenis virus HPV (6,11,16,18) telah diluluskan Pentadbiran Makanan dan Perubatan Amerika Syarikat (FDA) pada 2006 dan kini telah diluluskan untuk kegunaan di lebih 80 negara seluruh dunia.

Dr. Silvam memaklumkan masalah kanser pangkal rahim mungkin dapat dihapuskan jika program vaksinasi HPV dapat dijalankan dengan berkesan di negara ini.

“Ini merupakan antara perkara unik mengenai kanser pangkal rahim kerana ia dapat dicegah menggunakan vaksin.

“Tidak banyak kanser yang berpunca daripada jangkitan dan vaksin lebih mudah dibuat terhadap kuman punca jangkitan berkenaan,” ujarnya.

Beliau mendakwa jangkitan HPV merupakan punca utama kanser jenis ini dan faktor lain hanya menyumbang kepada pembentukan kanser pangkal rahim.

Tambahnya, pemberian vaksin juga dapat melindung wanita yang terlibat dengan aktiviti seksual kerana satu kali pendedahan sudah cukup untuk menyebarkan virus berkenaan, sama ada melalui seks secara rela atau tidak, seperti kes rogol.

Australia merupakan antara negara yang telah melaksanakan program vaksinasi terhadap semua kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun ke atas iaitu umur yang dianggarkan paling awal bermulanya aktiviti seks.

Semakin gemuk atau kanser ovari?


Kanser ovari bukan jenis kanser yang banyak berlaku di kalangan wanita tetapi kekerapan ia hadir pada peringkat akhir ketika pesakit menemui doktor amat membimbangkan.

Menurut Dr. Silvam, berbanding kanser payudara dan kanser pangkal rahim dapat dikesan melalui ujian fizikal, kanser ovari sukar dikesan pada peringkat awal.

“Memandangkan kedudukan ovari yang tidak dapat dicapai dengan mudah, amat sukar untuk doktor mengesan struktur abnormal pada peringkat awal.

“Kebanyakan pesakit kanser jenis ini datang berjumpa doktor setelah keadaan melarat dan mencapai peringkat akhir (peringkat 3 atau 4),” jelasnya.

Kata beliau, pada peringkat 3, kanser berkenaan telah merebak ke bahagian abdomen terutamanya pada buah pinggang, usus dan hati sementara pada peringkat 4 (akhir), sel kanser telah merebak ke seluruh badan.

Tambahnya, walaupun kebanyakan pesakit berumur lebih 40 tahun, terdapat kira-kira 10 peratus pesakit yang berusia sekitar 20-an dan 30-an.

Berbanding kanser payudara dan kanser pangkal rahim, kanser ovari juga tidak mempunyai sebarang alat atau program saringan. Gabungan faktor-faktor ini serta kedudukan ovari di dalam badan menyebabkan terdapat hanya 25 peratus kebarangkalian pesakit hidup lebih lima tahun selepas kanser berkenaan dikesan.

Dr. Silvam mendedahkan penghidap kanser ovari juga sering menganggap diri mereka semakin gemuk dan tidak menjangkakan menghidap kanser jenis ini.

“Kanser jenis ini akan menyebabkan takungan air di dalam abdomen sekitar peringkat 3 dan peringkat 4.

“Memandangkan pesakit tidak merasakan sebarang kesakitan daripada kanser ini atau takungan air, mereka sering menyangka perut membesar kerana kegemukan,” katanya.

Menurut beliau, pengesahan peringkat akhir kanser ini boleh dibuat menggunakan imbasan ultra bunyi atau imbasan CT.

Hasil penyelidikan terkini


Kanser payudara kini dianggarkan membunuh lebih 500,000 pesakit setiap tahun.

* Terbaru, kanser jenis ini dikatakan boleh dikesan pada peringkat awal melalui imej imbasan sinar-X rambut pesakit. Sekumpulan penyelidik dari Sydney, Australia mendakwa dapat membezakan antara penghidap kanser payudara dan individu sihat melalui kehadiran bentuk cincin dalam imej imbasan berkenaan. Selain itu, bentuk cincin dalam imej sinar-X penghidap juga dikatakan menjadi semakin pudar jika pesakit semakin sembuh selepas menerima rawatan. Kumpulan penyelidik berkenaan kini sedang membuat penilaian lanjut kesesuaian kaedah ini untuk diagnosis kanser payudara kelak.

* Sekumpulan penyelidik dari Institut Kanser Kebangsaan Regina Elena di Rom, Itali mendapati ubat kanser payudara dari kelas Aromatase inhibitor menyebabkan sedikit peningkatan risiko masalah kardiovaskular berbanding penggunaan ubat jenis tamoxifen. Ubat kelas Aromatase inhibitor digunakan selepas pembedahan membuang ketumbuhan untuk mengelakkan kanser berulang.

* Kajian di Pusat Penyelidikan Kanser Fred Hutchinson di Seattle, Amerika Syarikat (AS) mendapati perbezaaan jarak masa antara kali pertama seorang wanita datang haid dan kali pertama melahirkan anak mempunyai kaitan dengan peningkatan risiko kanser payudara.

Jarak kedua-dua peristiwa ini yang lebih dari 16 tahun membawa risiko 1.5 kali ganda lebih tinggi berbanding mereka dengan jarak masa keduanya sekitar lima tahun sahaja. Kajian epidemiologi pula menunjukkan penurunan antara lima hingga 20 peratus risiko kanser payudara bagi setiap tahun kedatangan haid yang lebih lambat.

Kanser pangkal rahim (serviks) kini mencatatkan 12,000 kes baru setiap tahun di AS sahaja dan membunuh lebih 300,000 pesakit setiap tahun, kebanyakan di negara-negara membangun.

* Britain, Perancis, Jerman, Austria dan Itali telah memasukkan pemberian vaksin HPV ke dalam program kesihatan kebangsaan masing-masing. Namun negara-negara Kesatuan Eropah tetap menyarankan saringan tahunan memandangkan vaksin tersebut tidak melindungi pesakit dari semua jenis virus HPV.

* Penyelidik Universiti Johns Hopkins, AS mendapati virus HPV telah menular kepada golongan lelaki dan kini menjadi antara punca utama kanser oral (mulut). Virus berkenaan dikatakan menyebabkan sama banyak kanser oral seperti tembakau serta alkohol dan mungkin akan melangkaui jumlah kanser oral akibat tembakau dan alkohol dalam tempoh 10 tahun akan datang. Lebih 5,600 kanser tonsil, bawah lidah dan bahagian atas tekak telah dikaitkan dengan HPV hasil peningkatan aktiviti seks oral.

Pengeluar vaksin HPV belum mendapat kelulusan FDA untuk kegunaan pesakit lelaki. Permohonan berkenaan dikatakan akan dibuat pada penghujung 2008.

Sebanyak 190,000 kes baru kanser ovari kini dikesan setiap tahun di seluruh dunia.

* Kajian di Sekolah Perubatan Harvard, AS mendapati pengambilan kafein dapat mengurangkan risiko kanser ovari namun satu lagi kajian berasingan mendapati kafein juga meningkatkan sehingga dua kali ganda risiko wanita mengandung keguguran.

* Penyelidik di Universiti Oxford mendapati pil perancang kehamilan dapat mengurangkan risiko kanser ovari walaupun jika seorang wanita telah berhenti mengambilnya sejak 30 tahun lalu. Lebih 100 juta wanita kini menggunakan pil ini dan pengambilannya dianggarkan akan mencegah lebih 30,000 kanser ovari setiap tahun untuk beberapa dekad akan datang.

* Sekumpulan penyelidik di Sekolah Perubatan Universiti Yale di New Haven, Connecticut, AS percaya mereka telah berjaya menghasilkan kaedah baru ujian darah yang pertama dapat mengesan kanser ovari dengan tepat pada peringkat awal. Kaedah ini dikatakan menggunakan enam penanda biologi secara serentak dan berjaya mengesan 95 peratus pesakit kanser ovari. Penilaian lanjut kaedah ini sedang dijalankan untuk aplikasi klinikal.

Nukleus

STRUKTUR kerangka tulang manusia adalah ‘serupa’ seperti rangka bangunan-bangunan tertinggi dunia. Kedua-dua struktur rangka ini membolehkan badan manusia dan bangunan tinggi menampung beban berat badan masing-masing. Selain sokongan berat badan, rangka juga membentuk rupa fizikal dan melindungi organ-organ lembut di dalam badan. Tisu otot yang bersambung pada rangka tulang dan sendi antara tulang-tulang utama pula membolehkan manusia menggerakkan anggota badan dan tanpanya anda akan kekal kaku di tempat sama seperti sebuah bangunan pencakar langit.

Oleh :
Nurul Anuar Kari

Dipetik dari:
http://www.utuan.com.my/

Tiada ulasan: