SOALAN:
Saya berusia 29 tahun dan mempunyai dua anak lelaki. Anak bongsu berusia 11 bulan dan sejak 11 bulan lalu, saya tidak didatangi haid.
Saya ada mengamalkan teknik merancang keluarga dengan mengambil suntikan depot selama tiga bulan sekali sejak bayi saya berusia dua bulan. Adakah keadaan saya ini sesuatu yang normal atau sebaliknya?
Liza,
Damansara
JAWAPAN:
Suntikan depot pencegah kehamilan ada dalam dua jenis persediaan iaitu suntikan setiap dua bulan (mengandungi hormon Norethisterone Enanthate atau Net En) dan suntikan setiap tiga bulan (mengandungi hormon Medroxyprogesterone Acetate atau MDPA). Kedua-dua hormon ini adalah daripada jenis kumpulan hormon progestin.
Suntikan yang anda ambil sesuai untuk ibu yang masih menyusu badan. Namun, ia mempunyai kesan sampingan tersendiri, lazimnya ia mengganggu corak kedatangan haid. Tidak semua wanita yang menggunakan kaedah ini mengalami gangguan haid.
Pada tempoh tiga hingga enam bulan pertama pengambilannya, haid boleh berpanjangan, dalam kuantiti yang lebih banyak dan tidak teratur. Selepas enam bulan, haid ini pula bertukar menjadi sedikit saja dan bilangan harinya menjadi lebih pendek.
Malah seperti yang anda alami, ada wanita yang tidak mengalami kedatangan haid langsung. Ketiadaan haid ini Tiada haid sejak 11 bulan dinamakan amenorrhoea.
Di samping itu, anda juga harus faham bahawa menyusu badan dengan sendirinya boleh menyebabkan ketiadaan haid. Sekiranya anda me ngambil suntikan ini mengikut jadual, kemungkinan anda hamil sangatlah sedikit.
Kaedah suntikan adalah antara kaedah yang sangat berkesan dalam mencegah kehamilan. Keberkesanannya mencapai sehingga 99.7 peratus. Ini bermakna bagi setiap 1,000 wanita yang menggunakan kaedah ini selama setahun, hanya tiga orang saja yang berkemungkinan hamil. Seeloknya anda menjalani pemeriksaan doktor sakit puan untuk memastikan tiada penyebab lain.
Selain tidak mengurangkan penghasilan susu badan, kaedah suntikan mempunyai kelebihan lain, antaranya mengurangkan risiko penyakit berikut: -Endometriosis -Kanser rahim -Kanser ovari -Anemia yang disebabkan kekurangan zat besi -Penyakit radang pelvis (pelvic infl ammatory disease)
Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan