SOALAN:
Doktor,
Saya telah berkahwin selama tiga tahun dan sehingga kini belum menunjukkan tanda-tanda kehamilan.
Saya memang teringin untuk menimang cahaya mata seperti pasangan berkahwin lain tetapi rezeki masih belum memihak kepada saya.
Bermacam-macam usaha yang telah dibuat seperti berjumpa bidan dan doktor. Kitaran haid saya pula normal setiap bulan.
Saya juga mengambil Clomid untuk beberapa bulan sebelum ini.
Tetapi sesetengah doktor tidak menggalakkan saya mengambil pil Clomid.
Setelah membuat pemeriksaan, doktor mendapati saya menghidap Sindrom Ovari Plcystic (PCOS).
Doktor mengatakan telur yang terhasil pada setiap bulan tidak dapat keluar dari ovari, oleh itu kehamilan tidak berlaku.
Doktor juga meminta saya mengurangkan berat badan yang kini adalah 58 kilogram dengan ketinggian 158sm, sedangkan saya tidak dalam kategori gemuk dan BMI saya normal.
Doktor memberi ubat metformin bagi menyelesaikan masalah saya ini. Bagaimanapun, selepas tiga bulan mengambil metformin, saya masih belum hamil.
Saya ingin tahu mengapa PCOS berlaku dan apakah risiko yang dihadapi pesakit? Bagaimana cara mengubatinya dan adakah saya masih mempunyai peluang untuk mengandung?
Anis,
Kuala Lumpur
JAWAPAN:
Bagus sekiranya puan dapat mengekalkan BMI puan kerana sebarang masalah kesuburan atau rawatannya ada kaitan rapat dengan BMI. Obesiti menjadikan seseorang itu kurang subur dan rawatan seperti metformin atau clomiphine kurang berkesan.
PCOS adalah ‘penyakit’ pada ovari di mana terdapatnya folikel-folikel (seperti sista-sista kecil) di sekeliling dinding ovari. Ini berpunca dari folikel-folikel yang tersangkut dan tidak hilang semasa kitaran haid setiap bulan. Terdapat juga gangguan hormon-hormon androgen (hormon lelaki) yang mengganggu pembesaran-pembesaran telur dari ovari. Pengambilan metformin dapat membantu gangguan hormon androgen ini dan boleh menyebabkan ovulasi (telur keluar) setiap bulan. PCOS tidak mempunyai rawatan yang khusus untuknya. Rawatan PCOS lebih fokus kepada masalah yang dihadapi oleh pesakit seperti masalah haid dan kemandulan.
Memandangkan puan telah mengambil clomiphine dan metformin lebih dari 6 bulan tanpa ada tanda-tanda, maka saya syorkan puan berjumpa pakar untuk rawatan selanjutnya seperti ‘Intrauterine Insemination’. Ini memerlukan induksi kesuburan dengan menggunakan suntikan hormon sekiranya clomiphine tidak berjaya. Peluang untuk mengandung masih dalam lingkungan 25% hingga 30 %.
Dr. Suhaimi Isa
Doktor Pakar Sakit Puan
Hospital Pantai Indah, Kuala Lumpur
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan