Peminat Setia

Rabu, 27 Februari 2008

Mengandung Pada Usia Lewat

SOALAN:
Doktor,
Saya kini berusia 42 tahun, saya berkahwin pada Jun 2006 dan selamat melahirkan se- orang bayi lelaki yang sihat pada Februari lalu.

Kelahiran itu dilakukan melalui pembedahan kerana terdapat masalah dengan uri bayi.

Bolehkah saya mengandung lagi memandangkan usia saya dan pembedahan yang dilakukan sebelum ini?

Benarkan tempoh untuk mengandung semula selepas pembedahan adalah dua tahun ke atas?

Untuk pengetahuan doktor, saya sihat sepanjang mengandung, sebelum dan selepas berkahwin.

Ibu,
Petaling Jaya


JAWAPAN:
Tahniah dan alhamdulillah puan mendapat seorang cahaya mata yang normal pada usia 42 tahun walaupun secara pembedahan caesarean.

Sebelum saya menjawab sama ada puan boleh atau tidak mengandung lagi, ada beberapa risiko yang puan terpaksa hadapi bila mengandung di usia 40-an.

Pertama ialah risiko anak puan mendapat Sindrom Down. Nisbah yang kami selalu gunakan ialah 1 dalam 80 hingga 100 pada usia 40. Ini berpunca dari usia telur yang telah “berumur” maka berkemungkinan mengalami kecacatan genetik. Tiada cara pencegahannya kecuali melakukan keguguran. Kami menasihat isteri berumur 40-an yang hamil melakukan ujian Sindrom Down. Ujian ini melibatkan imbasan ultrasound dan ujian darah seawal usia janin antara 10 hingga 12 minggu. Ujian-ujian ini boleh mencapai ketepatan 80 hingga 85 peratus.

Keduanya ialah risiko masalah kesihatan seperti darah tinggi, kencing manis dan lain-lain lagi. Perkara ini tidaklah sukar kerana terdapat kaedah-kaedah rawatannya. Maka tentukan puan tidak mengalami masalah perubatan yang boleh membahayakan puan semasa mengandung dengan melakukan pemeriksaan doktor. Oleh kerana puan tidak mengalami apa-apa masalah perubatan pada kandungan pertama maka saya rasa tidak menjadi masalah dari segi kesihatan.

Ketiganya, kandungan di peringkat lewat usia, terdapat beberapa masalah dari segi obstetrik seperti risiko keguguran atau kelahiran pramatang. Masalah tumbesaran janin terbantut juga adalah lebih tinggi sedikit. Pembedahan caesarean dahulu juga boleh menyebabkan kenaikan risiko kejadian uri bawah atau placenta praevia.

Jadi kesimpulannya, puan boleh cuba mengandung semula tetapi puan dan suami perlu bersedia menghadapi sedikit risiko Sindrom Down dan sanggup melakukan ujian-ujian tersebut bagi menentukan janin itu tidak mengalami ‘kecacatan genetik’. Di samping itu kemungkinan kejadian uri bawah sekali lagi dengan kandungan kedua juga adalah tinggi. Walaupun pembedahan pernah dilakukan, puan masih boleh melahirkan anak secara normal jika tiada masalah lain. Memandangkan usia semakin meningkat tidak perlu dan tidak sesuai puan menunggu sehingga 2 tahun lagi untuk mengandung anak kedua.

Dr. Suhaimi Isa
Doktor Pakar Sakit Puan
Hospital Pantai Indah, Kuala Lumpur

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan: