Peminat Setia

Jumaat, 23 Julai 2010

Pentingnya Kesihatan Pada Wanita

Wanita lebih-lebih lagi yang bergelar ibu atau isteri cenderung memberi lebih keutamaan kepada anak dan suami dalam pelbagai perkara termasuk soal kesihatan berbanding dirinya sendiri.

Kepentingan dan kesihatan diri sendiri biasanya pada kedudukan terakhir dalam senarai hidup mereka semata-mata demi mendahulukan suami dan anak-anak.

Sedangkan, disedari atau tidak kesejahteraan keluarga secara keseluruhan sebenarnya banyak bergantung kepada tahap kesihatan si ibu kerana dengan tubuh badan yang sihat, baru mereka dapat menjaga orang lain begitu juga sebaliknya.

Menurut pengasas dan Pengerusi Eksekutif Pusat Perubatan PrimaNora (PMC), Datuk Dr. Nor Ashikin Mokhtar, tiada gunanya harta dan kekayaan yang melimpah ruah sekiranya semua nikmat itu tidak dapat dinikmati apabila diri kita berada dalam keadaan tidak sihat dan diserang pelbagai penyakit.

Justeru itu, jelasnya, biar bagaimana sibuk sekalipun, kaum wanita perlu mengutamakan kesihatan mereka.

Katanya lagi, kebahagiaan sesebuah keluarga juga boleh terancam sekiranya ibu dan isteri tidak dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka kerana sentiasa tidak sihat.

"Jika golongan wanita sentiasa kurang sihat, bagaimanakah golongan ini akan dapat melahirkan sebuah institusi keluarga yang sihat serta memainkan peranan sebagai pengurus dalam rumahtangga,'' ujarnya ketika menyampaikan ceramah bertajuk Kesihatan Wanita di Seminar PrimaNora Cares untuk Wanita anjuran bersama Pusat Perubatan PrimaNora dan Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) baru-baru ini.

Menurut Dr. Nor Ashikin, kita sendiri perlu sedar betapa kesihatan diri itu penting dan mengetahui bahawa menjaga kesihatan tidak sahaja bermakna kita berusaha mengelak dari penyakit berbahaya seperti barah. Ia sebenar lebih daripada itu.

Malah jelasnya , untuk memastikan bahawa golongan wanita benar-benar sihat, pemeriksaan kesihatan juga perlu dilakukan secara berkala dan tidak menunggu sehingga benar-benar perlu sahaja.

Mengakui wanita adalah insan yang paling penting dalam kesejahteraan keluarga seharusnya mereka perlu mengelak daripada pelbagai penyakit biasa yang lain seperti penyakit darah tinggi, kencing manis, ostereoporosis dan sebagainya bagi memperoleh kehidupan yang sihat.

"Golongan wanita perlu menjaga pemakanan dan memastikan makanan yang seimbang, melakukan senaman harian untuk menyihatkan tubuh badan dan melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat menyihatkan diri dan juga minda," jelasnya.

Seminar yang bermula dari pukul 8 pagi itu disertai lebih 400 wanita di sekitar ibu kota dan para peserta seminar turut mengambil kesempatan menjalani pemeriksaan kesihatan seperti ujian darah.

Seminar tersebut turut mengajar para peserta cara mengatasi tekanan, rahsia kecantikan dan kesihatan wanita, pemakanan seimbang semasa kehamilan serta rahsia mengekalkan hubungan rumahtangga.

Seorang lagi penceramah yang turut serta dalam seminar tersebut ialah Perunding PMC, Prof. Datuk Dr. Aminuddin Ahmad yang turut berkongsi mengenai Mengimbangi Tekanan.

Menurut Dr. Aminuddin, setiap penyakit ada penawarnya, begitu juga dalam menghadapi tekanan, pasti ada jalan penyelesaiannya.

Tegasnya, memandangkan dunia pekerjaan memang memberi pengaruh yang cukup hebat dalam kehidupan. Apa tidaknya, satu pertiga daripada kehidupan seharian diluangkan di tempat kerja.

Tekanan disebabkan pekerjaan merupakan interaksi kompleks di antara persekitaran di tempat kerja, personaliti dan reaksi tubuh badan serta mental seseorang.

Malah, persekitaran pekerjaan juga memberikan desakan dan tekanan tertentu yang merangsang tindak balas individu secara mental dan fizikal.

Tekanan ini, akuinya, akan memberi impak terhadap kesihatan psikologi dan fisiologi seseorang individu sekiranya ia tidak dikawal dengan metodologi yang tepat.

Banyak implikasi negatif akan berlaku apabila seseorang tidak dapat mengawal tekanan kerjanya. Panas baran, murung, gelisah, kelesuan, sentiasa rasa bersalah, ketakutan, dan hilang tumpuan adalah antara kesannya.

Kadang kala, ada di kalangan kita yang mencari jalan singkat dan salah dalam mengatasi tekanan.

Malah tegasnya, ada juga berlaku kes-kes di mana individu yang tertekan di tempat kerja melepaskan tekanan di rumah yang mewujudkan pula masalah rumahtangga seperti pertengkaran dengan pasangan hidup, mendera anak, dan sebagainya.

Sebagai seorang Muslim, beliau menegaskan, kita perlu sedar bahawa kaedah terbaik menangani tekanan kerja sebegini adalah dengan berpegang erat kepada ajaran dan syariat Islam.

"Islam telah menetapkan bahawa seseorang yang menghadapi tekanan dan kesusahan perlulah bersabar, tenang, sentiasa rasional dan yakin dengan ketentuan Allah SWT.

"Bahkan, amalan hidup sihat perlu dijadikan amalan hidup kita, supaya kesihatan sentiasa wujud di dalam diri dan keluarga kita.

"Di dalam era persaingan kini, kesihatan menjadi tunjang utama kepada kejayaan kita. Jika tidak sihat, tiada satu kerja pun dapat dilaksanakan dengan baik," katanya.


Oleh : Zuhayati Yazid
Dipetik dari:http://www.utusan.com.my

3 ulasan:

Komuniti Putrajaya berkata...

Semua kena jaga kesihatan, terutamanya apabila usia dah masuk 40 kena cepat2 buat medical check up

nak tau event terkini di Putrajaya

www.KomunitiPutrajaya.net

Qaisara berkata...

baguih juga tu

memang bandar bestari betui la Putrajaya ni...

siap ada portal canggih tu....

syabas kepada Komuniti Putrajaya

Qaisara berkata...

Jom jalan-jalan ke BlogQaisara.com