Peminat Setia

Jumaat, 22 Februari 2008

Beza Nafsu Berahi, Syahwat

SOALAN:
Saya keliru mengenai nafsu berahi dan nafsu syahwat, apakah bezanya? Patutkah seseorang itu mandi wajib jika keluar air mani atau air mazi?

Bagi orang yang berpuasa, sah atau tidak jika fikirannya melayang-layang memikirkan perkara yang tidak senonoh, tetapi tidak sampai keluar air mani atau mazi? Saya harap Dr dapat memberikan huraian terperinci dalam perkara ini.

Ema,
Selangor


JAWAPAN:
Kedua-duanya merujuk kepada tarikan seksual terutama antara lelaki dan perempuan. Perkataan `berahi' bermaksud “kasih (cinta) yang amat sangat, rasa suka akan seseorang (dengan bernafsu), ghairah, sangat suka (Kamus Dewan 166).

Syahwat bermaksud “keinginan (untuk melakukan persetubuhan, nafsu bersetubuh, keberahian.” (Kamus Dewan, 1557). Manakala perkataan nafsu itu sendiri dalam bahasa Melayu merujuk kepada “keinginan yang keras, kehendak hati yang kuat, kemahuan yang keras, dorongan hati.” (Kamus Dewan, 1064).

Ketika seseorang dalam keadaan bernafsu, air mazi biasanya akan keluar daripada kemaluan tanpa disedari. Lazimnya mazi atau air mazi berwarna jernih. Hukumnya najis dan wajib dibasuh tanpa perlu mandi wajib.

Berbeza dengan air mani yang pekat dan berwarna putih keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan ketika nafsu memuncak. Ia tidak najis tetapi wajib mandi hadas besar apabila keluar mani.

Dengan kata lain, keluar mazi tidak menjadikan seseorang dalam hadas besar tetapi keluar mani menyebabkan seseorang itu berada dalam hadas besar. Bagi menghilangkan hadas besar, dia perlu mandi wajib.

Dalam Islam, nafsu termasuk dalam unsur ghaib atau rohani yang ada dalam diri manusia. Manusia itu ada unsur rohani dan jasmani. Termasuk dalam rohani ialah jiwa (ruh), akal (aql), hati (qalb) dan nafsu (nafs).

Jiwa berfungsi menghidup, menumbuh dan membiak. Akal yang menduduki tempat tertinggi di dalam diri manusia mengandungi kekuatan untuk berfikir, menimbang dan mengingat.

Hati mengandungi unsur keinginan dan kehendak. Tumbuh darinya sifat terpuji seperti penyayang, pemaaf dan lemah lembut di samping sifat tercela seperti takbur, sombong, dengki dan khianat.

Manakala nafsu menduduki tempat terendah dalam diri manusia. Ia mengandungi unsur kemahuan, kesukaan dan hasrat. Antara sifat nafsu ialah tak tahu malu, tamak, perampas, malas, marah dan sebagainya (Dusuki Ahmad, 1988: 286).

Al-Quran membahagikan nafsu kepada tiga jenis, iaitu nafsu mutma'innah (al-Fajr (89): 27), nafsu lawwamah (al-Qiyamah (75): 2) dan nafsu ammarah bi al-su' (Yusuf (12): 53).

Nafsu mutma'innah merujuk kepada jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan yang baik dalam agama manakala nafsu lawwamah ialah jiwa yang sentiasa menegur dan menempelak diri sendiri semasa berbuat baik atau jahat.

Ketika berbuat baik, ia menempelak kerana tidak membuatnya lebih banyak dan ketika berbuat jahat menempelak diri kerana sesal.

Manakala nafsu ammarah bi al-su' ialah nafsu yang menyuruh manusia melakukan kejahatan dan maksiat.

Mengenai puasa pula, menurut bahasa ia bermaksud menahan diri dari sesuatu aktiviti. Dalam Islam puasa bererti menahan diri dari sesuatu yang membatalkannya daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari.

Antara perkara membatalkan puasa ialah makan dan minum dengan sengaja, bersetubuh, keluar mani dengan sengaja, gila, keluar darah haid atau nifas dan murtad (keluar agama).

Walaupun mengingat perkara lain yang tidak senonoh tidak sampai membatalkan puasa, ia mengurangkan pahala puasa itu sendiri kerana membiarkan diri dipengaruhi nafsu.

Tujuan puasa adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan membanyakkan bacaan al-Quran, berzikir, bersolat sunat dan sebagainya. Mengawal dan mendisiplinkan nafsu adalah sebahagian daripada ajaran Islam terutama ketika menjalani ibadat puasa.

Islam tidak mengajar supaya nafsu ditiadakan langsung. Islam cuba mendisiplinkan nafsu supaya manusia tidak hanya mengikut nafsu semata-mata.

Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

1 ulasan:

Sharifah Natasha berkata...

salam alayk ustaz,
syukran for this post. At least, ana tahu serba sedikit nafsu tu mcm mana. ana ingat ada 2 identiti dalam diri ana. rupa2nya..itu merupakan salah satu nafsu lawwamah kot. anyway, syukran jazilan.