Peminat Setia

Sabtu, 26 April 2008

Gangguan Haid Lepas Pembedahan

SOALAN:
Saya pernah membuat pembedahan pada 31 Mei 2007 disebabkan darah haid yang tidak keluar sepenuhnya menyebabkan ia melekat pada ovari sebelah kanan.

Doktor memberitahu ia sejenis penyakit endometriosis. Walaupun sudah masuk sembilan bulan selepas pembedahan, saya dapati darah banyak keluar dan selepas 14 hari masih ada darah yang keluar tetapi berwarna coklat dalam kuantiti sedikit. Kadangkala darah keluar, kadangkala tidak.

Saya risau, adakah penyakit ini berulang atau sebaliknya. Saya dapat rasakan perut saya berdenyut dengan tiba-tiba. Apakah pandangan doktor mengenai hal ini?

Ana,
Kuala Lumpur


JAWAPAN:
Nama endometriosis diambil daripada perkataan endometrium (endometrium adalah lapisan terdalam dinding rahim, ia juga disebut lapisan haid). Ini kerana endometriosis mempunyai ciri yang sama dengan tisu endometrium.

Ada teori yang menyatakan endometriosis berpunca daripada tisu haid ini (endometrium) yang tidak keluar turun melalui faraj tetapi sebaliknya melalui tiub falopio dan tumpah ke dalam ruang pelvis. Ia kemudiannya 'hidup' sama seperti yang dialami oleh endometrium iaitu berkembang mengikut pusingan haid dan 'berlaku pendarahan' pada waktu haid.

Tisu endometriosis boleh didapati di mana-mana bahagian badan (ia turut mempunyai teori lain kewujudannya). Namun lazimnya, ia didapati pada kawasan berhampiran tumpahan darah haid ini iaitu pada ovari (membentuk cyst yang dinamakan endometrioma, endometriotic cyst atau chocolate cyst), jauh ke dalam otot dinding rahim (dinamakan adenomyosis), permukaan rahim terutama permukaan belakang, ligamen utero-sakrum, pouch of Douglas dan seumpamanya.

Endometriosis paling kerap berlaku pada ovari memandangkan bukaan tiub falopio paling hampir kepada ovari. Sewaktu ia melalui tiub falopio, ia juga boleh menyebabkan kerosakan kepada sistem silia yang berfungsi menggerakkan sperma, telur atau embrio, lazimnya ia tidaklah sehingga menyebabkan penyumbatan tiub falopio ini.

Walaupun endometriosis boleh berpunca daripada darah haid yang tidak habis keluar melalui faraj, kuantiti darah haid yang keluar melalui faraj tidak melambangkan penyakit endometriosis seseorang.

Tidak semestinya haid yang sedikit bermakna banyak darah haid yang tumpah ke dalam ruang pelvis. Kuantiti haid lebih bergantung kepada ketebalan dan pematangan pembentukan lapisan haid yang dikawal oleh hormon kesuburan seseorang.

Dalam keadaan anda, seeloknya teruskan rawatan doktor. Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada doktor anda mengenai beberapa perkara seperti peringkat endometriosis yang anda alami dulu, pengulangan endometriosis, pilihan rawatan selanjutnya, pemeriksaan kesuburan (jika dikehendaki) serta ujian berkaitan (seperti ujian darah Ca125 boleh membantu memantau penyakit endometriosis dan seumpamanya).

Secara amnya, endometriosis boleh berlaku pada mana-mana wanita yang masih didatangi haid dan hanya tidak akan muncul selepas wanita putus haid (menopaus). Sesiapa saja wanita kumpulan usia reproduktif termasuk anda boleh mengalami endometriosis.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Ahad, 20 April 2008

Bimbang Janin Alami Sindrom Down

SOALAN:Saya berusia 26 tahun dan kini hamil anak pertama. Kandungan saya sudah memasuki usia lima bulan.

Bagaimanakah saya ingin mengetahui sama ada janin saya tidak mempunyai sindrom down? Untuk pengetahuan doktor, saya mempunyai adik bongsu yang mengalami sindrom down. Adakah ia penyakit keturunan?

Rina,
Kuala Lumpur.



JAWAPAN:
Sindrom down salah satu ketidaknormalan kromosom yang membabitkan lebihan kromosom ke-21 (tiga kromosom sedangkan sepatutnya dua kromosom saja).

Sindrom down juga disebut Trisomi 21. Sindrom down lebih didengari berbanding sindrom lain memandangkan kebanyakan ketidaknormalan kromosom lain sudah berakhir dengan keguguran atau kematian dalam kandungan (stillbirth).

Sindrom down pula kebanyakannya selamat dilahirkan serta membesar dengan kelainan fizikal dan kekurangan mental pelbagai tahap.

Dua lagi sindrom yang sering didengari adalah sindrom Patau (Trisomi kromosom 13) dan sindrom Edgard (Trisomi kromosom 18). Sindrom down lazimnya berlaku secara spontan dan tidak membabitkan keturunan.

Sebelum anda mengambil keputusan untuk menjalani ujian berkaitan sindrom down, seeloknya anda faham peratus kesahihan ujian terbabit dalam mengesan sindrom down. Lebih penting lagi tindakan selanjutnya jika disahkan janin mengalami sindrom down.

Fakta Berikut Perlu Diambilkira:

- Pada usia 26 tahun, risiko janin dikandung mengalami sindrom down rendah (hanya satu bagi setiap 1,176 ibu seusia anda ataupun 0.085% saja, iaitu kurang daripada 0.1 peratus). Namun telahan ini hanyalah 32 peratus tepat.

- Pada usia 26 tahun, risiko janin dikandung mengalami sebarang ketidaknormalan kromoson juga masih rendah (hanya satu bagi setiap 476 ibu hamil seusia anda ataupun 0.2 peratus saja).

- Ujian pengesahan hanyalah melalui ujian amniocentesis (dilakukan sekitar 15 minggu kehamilan) atau chorionic villus sampling (dilakukan sekitar 11 hingga 14 minggu kehamilan) saja.

Kedua-dua ujian ini dapat mengesahkan keadaan kromosom sama ada normal, trisomi 21 ataupun ketidaknormalan kromosom lain. Dalam erti kata lain, ia 100 peratus tepat.

Walaupun pada usia kehamilan 22 minggu, ujian amniocentesis masih boleh lagi dilakukan. Namun secara praktikalnya bagi seseorang yang ingin mengesahkan sindrom down, tidak wajar menunggu sehingga agak lebih lewat begini.

- Lebih awal lagi sewaktu trimester pertama kehamilan, ukuran “nuchal translucency” janin menggunakan ultrabunyi serta ujian darah ibu (PAPP-A dan hCG) dapat mengesan hanya 86 peratus saja dengan tepat. Ini bukanlah ujian pengesahan, sebaliknya ujian saringan saja.

- Pada trimester kedua kehamilan, ujian darah ibu yang dikenali sebagai ujian berempat (AFP, hCG, uE3 dan inhibin A) hanya 79 peratus tepat, namun jika digandingkan dengan ukuran nuchal translucency dan ujian PAPP-A yang dilakukan sewaktu trimester pertama, ketepatannya meningkat kepada 95 peratus.

- Dalam keadaan anda, jika mengambilkira tiada ujian dilakukan sebelum ini, faktor umur hanya memberi ketepatan 32 peratus manakala ujian berempat pula hanya 79 peratus. Ujian amniocentesis saja yang 100 peratus tepat.

- Pada usia kandungan lima bulan (memasuki minggu ke-22 kehamilan), adalah lebih sesuai untuk anda serta mana-mana wanita hamil menjalani pemeriksaan ultrabunyi bagi mengesan ketidaknormalan fizikal janin.

Pemeriksaan ini dinamakan ultrabunyi lanjutan, lazimnya dijalankan di antara 18 hingga 22 minggu kehamilan. Pemeriksaan ini seeloknya dilakukan oleh doktor pakar atau juru ultrabunyi yang terlatih.

Ujian amniocentesis membabitkan pengambilan sampel air ketuban melalui tusukan jarum panjang melalui kulit abdomen menembusi rahim sehingga ke dalam kawasan air ketuban. Di dalam sampel ini mengandungi sel permukaan kulit janin yang sudah mengelupas, ia boleh digunakan untuk pemeriksaan kromosom.

Anda dinasihatkan berbincang semula dengan doktor mengenai keperluan ujian pada usia kehamilan anda sekarang. Lebih penting lagi apakah yang anda akan lakukan sekiranya kelak mengetahui janin dikandung mengalami sindrom down.

Ada ibu yang memilih untuk meneruskan kehamilan setelah mengetahui janinnya mengalami sindrom down. Ada pula yang ingin menggugurkannya, maka ujian pengesahan dilakukan seawal mungkin tanpa menunggu sehingga lima bulan.

Perlu difahami tidak semua bayi sindrom down mengalami kecacatan teruk. Walaupun kebanyakannya mengalami kekurangan mental yang nyata namun sebahagian lain pula tidak dapat dibezakan secara zahirnya.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Ibu Muda Obesiti Morbid Alami Gangguan Haid, Ingin Hamil Lagi

SOALAN:
Saya berusia 29 tahun dan mempunyai seorang anak berusia empat tahun. Berat badan saya adalah 165 kilogram (kg) dan ketinggian 170 sentimeter.

Saya tidak datang haid selama 10 bulan dan mengalami masalah haid selepas bersalin. Sebelum berkahwin, haid saya biasanya sekali dalam masa dua bulan. Selepas bersalin, ada kalanya ia datang sehingga lebih dua bulan berterusan atau saya tidak didatangi haid langsung.

Doktor memberitahu saya tidak bermasalah cuma haid terganggu disebabkan berat badan saya. Apakah nasihat dan risiko jika saya ingin mendapatkan cahaya mata lagi?

Sri,
Kelana Jaya, Selangor.


JAWAPAN:
Dengan berat badan berbanding ketinggian sedemikian, anda mempunyai indeks jisim badan sebanyak 56kg/m2. Ini termasuk dalam tahap obesiti morbid (kegemukan berpenyakit).

Pada ketinggian anda, berat badan yang sesuai adalah di antara 56 hingga 74kg saja untuk dikategorikan dalam berat badan ideal. Obesiti boleh menghalang pembesaran serta pengeluaran telur yang sepatutnya berlaku pada setiap kitaran haid.

Untuk hamil lagi juga tidak semudah biasa. Ini kerana obesiti boleh menurunkan kesuburan seseorang, malah jika berjaya hamil kelak, risiko keguguran bagi wanita obes juga meningkat kepada hampir 40 peratus berbanding hanya 15 hingga 20 peratus secara amnya.

Kehamilan juga boleh memberi masalah kesukaran berkaitan pemeriksaan fizikal ke atas kandungan, pergerakan sepanjang tempoh kehamilan, gambaran ultrabunyi yang kurang jelas, posisi bersalin yang terhad serta risiko pembentukan darah beku dalam saluran dan penyumbatan saluran paru-paru (thromboembolism).

Kebanyakan doktor tidak menggalakkan anda hamil dulu sebelum menangani masalah obesiti ini. Pemeriksaan doktor pakar sakit puan perlu untuk mengesan penyakit rahim dan ovari, lazimnya ia sukar dilakukan melalui pemeriksaan fizikal atau ultrabunyi melalui kulit abdomen saja, ia memerlukan bantuan teknik ultrabunyi melalui faraj.

Anda dinasihatkan menjalani pemeriksaan perubatan bagi mengesan penyakit lain yang berkaitan obesiti seperti darah tinggi, kencing manis, penyakit jantung, peningkatan paras kolesterol dan kanser rahim.

Berjumpalah pakar perubatan endokrinologi untuk masalah obesiti ini. Amalan diet seharian juga perlu diubahsuai mengikut nasihat pakar pemakanan.

Senaman perlu dilakukan secara berterusan sekurang-kurangnya tiga kali setiap minggu selama 30 minit setiap sesi.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Khamis, 17 April 2008

Cara Cegah GBS

SOALAN:
SAYA berusia 27 tahun dan mempunyai dua anak. Pada September 2007, saya melahirkan anak pramatang iaitu 33 minggu disebabkan air ketuban sudah keluar selama tiga hari dan melahirkannya secara normal. Doktor mengesahkan saya dijangkiti penyakit GBS.

Saya ingin tahu bagaimana saya boleh dijangkiti penyakit GBS? Adakah penyakit terbabit merbahaya kepada saya dan anak?

Bagaimana pula saya ingin mencegah penyakit terbabit sekiranya saya hamil dan jika saya hamil anak ketiga, adakah janin akan terjejas?

Ida,
Melaka



JAWAPAN:
SAYA harap jangkitan GBS yang anda maksudkan jangkitan bakteria Group B Streptococcus. Ini kerana dalam bidang perubatan, GBS juga merupakan singkatan kepada penyakit lain seperti Guillain Barre Syndrome.

Untuk pengetahuan umum, bakteria Group B streptococcus antara bakteria yang lazimnya mendiami tubuh orang dewasa termasuk di dalam faraj dan dubur tanpa mengakibatkan kesan buruk atau penyakit.

Ini bermakna sesiapa saja orang dewasa berkemungkinan mempunyai GBS pada bahagian tubuh mereka.

Kajian ke atas wanita hamil pula mendapati kira-kira seorang dalam empat wanita hamil (25 peratus) sebenarnya mempunyai koloni kuman ini di dalam faraj mereka. Golongan ini dinamakan pembawa GBS dan masih tidak mengakibatkan masalah kepada wanita berkenaan.

Punca sebahagian wanita hamil cenderung mempunyai koloni kuman GBS di dalam faraj mereka manakala sebahagian lain pula bebas, tidaklah diketahui.

Selain itu, GBS juga ada ditemui di dalam dubur (melalui ujian kultur pengesat dubur), juga tanpa petanda atau masalah kepada wanita ini. Ada kalanya GBS boleh menyebabkan jangkitan air kencing (disahkan melalui ujian kultur air kencing).

Walaupun GBS tidak memberi kesan kepada wanita hamil, ia berupaya memberi kesan serius kepada bayi baru lahir sekiranya dijangkiti melalui ibunya. Mujurlah tidak semua ibu pembawa GBS memberi risiko jangkitan GBS kepada bayinya.

Hanya seorang dalam 300 bayi dijangkiti oleh bakteria GBS ini namun kematian boleh berlaku dalam 10 peratus bayi berkenaan.

Risiko jangkitan ini sebenarnya paling tinggi berlaku sewaktu kelahiran bayi itu sendiri apabila bayi terdedah kepada GBS sewaktu sakit bersalin terutama jika air ketuban pecah untuk tempoh yang lama, bukannya sewaktu kehamilan.

Sewaktu kehamilan, janin terlindung di dalam rahim oleh dua lapisan selaput ketuban (membran amnion).

Memandangkan anda pernah dijangkiti GBS, tidak mustahil sekiranya anda kini masih menjadi pembawa GBS yang mungkin sudah membentuk koloni di dalam faraj anda. Ini boleh disahkan melalui ujian kultur sampel lelehan faraj yang mengambil masa beberapa hari saja.

Sungguhpun begitu, saya tidak pasti sama ada bayi kedua anda disahkan dijangkiti kuman GBS terbabit, ini lazimnya diketahui melalui ujian darah tali pusat, ujian pengesat permukaan uri dan seumpamanya.

Jika bayi kedua disahkan turut mengalami jangkitan GBS, risiko bayi ketiga turut mengalami jangkitan GBS meningkat kepada satu dalam 100.

Sekiranya kultur pengesat faraj, vagina atau air kencing positif terhadap kehadiran GBS, doktor lazimnya akan menasihatkan anda untuk mendapatkan rawatan antibiotik terutama sewaktu sakit bersalin kelak bagi mengelakkan kemungkinan jangkitan kuman GBS kepada bayi sewaktu bayi melalui faraj untuk dilahirkan.

Sekiranya kultur pengesat kini sudah negatif terhadap kehadiran GBS, ada juga kemungkinan doktor tidak memberikan rawatan antibiotik terbabit memandangkan bayi kedua tidak dijangkiti GBS.

Rawatan antibiotik juga tidak diberikan sekiranya anda dikehendaki menjalani pembedahan Caesarean sewaktu kehamilan ketiga kecuali jika pada waktu itu, selaput ketuban sudah pecah.

Berbincanglah kembali dengan doktor anda mengenai pilihan rawatan yang ada. Secara amnya, rawatan antibiotik untuk mengelakkan jangkitan GBS kepada bayi diberikan sewaktu proses bersalin bagi ibu-ibu dalam keadaan berikut:

- Kultur GBS didapati positif hadir dalam air kencing, pengesat vagina atau pengesat dubur.

- Pernah mempunyai bayi yang dijangkiti GBS (risiko meningkat 10 kali ganda).

- Mengalami kelahiran pramatang (sebelum cukup 37 minggu kehamilan).

- Mengalami demam sewaktu sakit bersalin (mungkin tanda jangkitan GBS).

- Mengalami sakit bersalin selepas tempoh 18 jam air ketuban bocor (lebih lama bayi terdedah kepada GBS).


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Rabu, 16 April 2008

Musykil Hamil Atau Tidak

SOALAN:
Saya berusia 28 tahun dan sudah mendirikan rumah tangga selama lima tahun dan mempunyai tiga cahaya mata. Anak saya yang kecil berusia setahun tiga bulan dan masih menyusu badan.

Masalahnya, sejak melahirkan anak bongsu hingga kini, saya tidak didatangi haid. Doktor menasihatkan saya menggunakan alat dalam rahim untuk mengelakkan kehamilan tetapi saya tidak melakukannya.

Cuma kini, saya musykil sama ada saya hamil atau tidak. Adakah saya menghadapi sebarang penyakit?

Hazrina,
Taman Johor Jaya, Johor Bahru


JAWAPAN:
Keadaan anda dinamakan amenorrhoea (ketiadaan haid selama enam bulan berturut-turut atau lebih). Memang diketahui penyusuan badan boleh menyebabkan ketiadaan haid, namun tidak semestinya.

Seeloknya anda menjalani pemeriksaan doktor, mana tahu anda mempunyai penyebab lain. Salah satu penyebab utama yang perlu dipastikan kehamilan.

Ini kerana penyusuan badan hanya mampu mengelakkan kehamilan secara berkesan dalam masa empat hingga enam bulan selepas kelahiran saja, itupun jika seseorang ibu mengamalkan penyusuan badan sepenuhnya (atau hampir sepenuhnya).

Selepas tempoh ini, seseorang ibu terdedah kepada kemungkinan kehamilan, lebih-lebih lagi jika tidak mengamalkan kaedah pencegah kehamilan yang berkesan.

Memandangkan bayi anda kini sudah pun berusia melebihi enam bulan, ketiadaan haid boleh bermakna anda hamil. Selain itu, sukar untuk menjalani ujian air kencing setiap minggu atau bulan jika keadaan ketiadaan haid berterusan.

Sekiranya anda belum bersedia untuk hamil lagi, anda dinasihatkan berbincang dengan doktor anda untuk mengamalkan kaedah pencegahan kehamilan yang berkesan.

Alat dalam rahim seperti disarankan oleh doktor anda juga suatu kaedah yang berkesan dan murah untuk jangka masa panjang. Anda perlu faham mengenai kelebihan dan kekurangan sesuatu kaedah sebelum membuat pilihan. Tidak semua orang sesuai untuk jenis tertentu saja.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Kurang Air Dalam Badan Jejas Kehamilan

SOALAN:
Saya berusia 24 tahun dan kini hamil anak pertama. Saya dijangka melahirkan anak pada 6 Oktober ini, iaitu sekitar musim perayaan.

Kami bercadang untuk balik ke kampung di utara dengan menaiki kereta. Adakah ia boleh membahayakan kandungan dengan perjalanan jauh ini?

Mira,
Kuantan, Pahang



JAWAPAN:
Risiko berkaitan perjalanan darat yang utama adalah kemalangan jalan raya. Pemakaian tali pinggang keledar dapat meminimumkan impak kemalangan, namun ia perlulah dipakai dengan betul iaitu tali bahagian atas dipakai merentangi bahu kiri dan melalui kawasan di antara dua payudara dan kemudiannya ke kawasan atas rahim dan dimasukkan ke bahagian tengah untuk dipasang.

Bahagian bawah tali ini pula hendaklah dipasang melintang merentangi bahagian bawah rahim.

Masalah kedua berkaitan kehamilan adalah kekurangan air di dalam tubuh yang boleh menyebabkan keletihan. Masalah lebih serius adalah penyakit pembentukan darah beku di dalam salur darah yang dinamakan trombosis vena dalaman.

Kehadiran darah beku ini boleh membahayakan nyawa ibu apabila ia menyumbat salur darah bahagian paru-paru. Risiko ini berlaku tidak kira sama ada awal kehamilan mahupun akhir kehamilan.

Penting untuk wanita menjaga kandungan air di dalam badannya dengan meminum air yang mencukupi untuk menampung kehilangan air dari badan yang berlaku dalam pelbagai cara seperti berpeluh dan membuang air.

Tanda awal adalah kesakitan dan bengkak bahagian betis. Anda juga dinasihatkan menggerakkan kedua kaki anda, ini lebih mudah dilakukan secara berjalan iaitu hendaklah keluar dari kereta di kawasan berhenti rehat untuk melakukan senaman kaki secara ringan bagi memudahkan perjalanan atau aliran darah.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Sukar Hamil Kali Kedua

SOALAN:
Saya berusia 23 tahun dan sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga serta mempunyai seorang cahaya mata. Dulu saya mengamalkan perancangan keluarga menerusi suntikan.

Tetapi saya sudah pun berhenti mengambil suntikan terbabit selama dua tahun. Saya ingin menimang cahaya mata cuma masih belum berhasil.

Adakah ia disebabkan pengambilan suntikan yang banyak sebelum ini? Apakah yang harus saya lakukan?

Connie,
Kuala Kurau, Perak



JAWAPAN:
Suntikan pencegah kehamilan mengandungi hormon progestin yang disuntik ke dalam otot yang bertindak sebagai tempat simpanan (depo) dan kemudian hormon ini dikeluarkan sedikit demi sedikit ke dalam aliran darah.

Kesan hormon progestin ini menyerupai hormon progesteron yang ada dihasilkan oleh badan. Ia bertindak secara:

# Menghalang pengeluaran telur (ovulasi).

# Menjadikan lendir pintu rahim pekat dan ini menyukarkan perjalanan sperma dari faraj ke dalam ruang rahim.

# Menyebabkan penipisan lapisan haid (endometrium) rahim sehingga menjadi tidak sesuai untuk perlekatan janin.


Melalui perkiraan, saya andaikan anda hanya mengambil suntikan ini untuk tempoh yang pendek saja memandangkan anda sudah pun dua tahun berhenti mengambilnya dan perkahwinan baru saja berusia tiga tahun dengan dikurniakan seorang anak.

Suntikan lazimnya diambil setiap lapan minggu (jenis mengandungi hormon norethisteron) atau 12 minggu (jenis mengandungi hormon DMPA depo medroxy-progesterone). Berkemungkinan suntikan bukanlah penyebab masalah kesuburan anda.

Bagaimanapun, memandangkan suntikan ini menyebabkan ketiadaan ovulasi, anda boleh memastikan sama ada anda mempunyai masalah ini melalui ujian darah paras hormon progesteron yang diambil pada sekitar seminggu sebelum haid berikut dijangka keluar.

Sekiranya keputusan menunjukkan anda mengalami ovulasi, berkemungkinan besar suntikan bukanlah punca masalah kesuburan anda.

Berjumpalah doktor untuk pemeriksaan kesuburan dan rawatan bersesuaian. Usia anda yang masih muda memberi harapan tinggi untuk peluang rawatan berjaya.

Ini kerana pertambahan usia wanita memberi kesan negatif kepada kualiti telur yang dikeluarkan. Usah menunggu lebih lama.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Sabtu, 12 April 2008

Remaja Alami Masalah Puting Payudara Tersorok

SOALAN:
Saya berusia 17 tahun yang mengalami masalah puting payu dara. Rakan sebaya menyatakan mereka mempunyai puting payu dara sedangkan payu dara saya tidak berputing.

Saya bertubuh kecil namun rakan yang bertubuh kecil seperti saya sudah mempunyai puting payu dara. Adakah ketiadaan puting payu dara itu sesuatu yang normal? Bila puting berkenaan seharusnya timbul?

Nik
Sentul, Kuala Lumpur.



JAWAPAN:
Berjumpalah doktor untuk kepastian mengenai keadaan anda. Mungkin anda mempunyai puting payu dara tetapi tersorok ke dalam.

Keadaan ini dinamakan inverted nipple. Jika benar, ia boleh dibetulkan namun teknik ini memerlukan kesungguhan dan kesabaran.

Anda boleh mencuba meletakkan ibu jari dan jari telunjuk di bahagian areolar pada sempadan luar pangkal kawasan puting sepatutnya terletak, kemudian menggerakkan kedua-dua jari terbabit ke arah bertentangan untuk “membuka” kawasan puting dan membolehkan puting timbul keluar.

Pada awalnya, puting mungkin termasuk semula ke dalam, namun lama-kelamaan ia akan kekal berada terkeluar daripada permukaan kawasan terbabit. Ini mungkin mengambil masa berbulan-bulan, ia memerlukan ketekunan.

Anda boleh mengamalkannya pada waktu lapang seperti sewaktu mandi atau hendak tidur. Inverted nipple lazimnya suatu keadaan yang tidak bahaya, ia juga tidak menghalang penyusuan badan sekiranya menggunakan teknik yang betul.

Ada juga keadaan puting ini sebenarnya termasuk ke dalam akibat tarikan oleh tisu fibrous di dalam payu dara, ini mungkin memerlukan sedikit pembedahan membebaskan tarikan berkenaan.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Musykil Suami Tiada Sperma

SOALAN:
Saya berusia 30 tahun, sudah berkahwin enam tahun dan masih belum mempunyai anak. Baru-baru ini kami menjalani pemeriksaan doktor dan diberitahu suami saya mempunyai masalah sperma.

Suami saya tidak mempunyai sperma dan menasihatkan kami mengambil anak angkat saja. Saya musykil kerana suami saya tidak mempunyai penyakit dan kelihatan seperti lelaki lain.

Suami saya berusia 32 tahun dan tidak merokok. Air maninya juga banyak, malah setiap kali selepas bersama, saya dapati air mani suami saya banyak keluar semula. Adakah ini juga menyebabkan saya tidak hamil? Apakah pandangan doktor?

Milah,
Kuala Lumpur



JAWAPAN:
Ketiadaan sperma di dalam air mani dinamakan azoospermia. Azoospermia boleh memberikan tanggapan atau impak yang negatif terhadap peluang kehamilan.

Tidak semua keadaan azoospermia bermakna seseorang lelaki itu tidak menghasilkan sperma sama sekali. Ada kemungkinan laluan perjalanan spermanya terhalang akibat penyumbatan kongenital atau jangkitan, ada juga kemungkinan disebabkan gangguan hormon pada kelenjar pituitari ataupun testes.

Lazimnya, jika analisa air mani memberikan keputusan azoospermia, seseorang diminta menjalani ujian air mani sekali lagi setelah tiga hingga lima hari menyimpan air mani di dalam badan.

Pemeriksaan fizikal dan beberapa ujian darah turut dilakukan. Pemeriksaan fizikal ke atas testes (buah zakar) dapat mengesahkan lokasinya dan saiz serta kekenyalannya.

Ujian darah menilai hormon FSH, LH, testosteron dan kromosom juga boleh dilakukan. Ketiadaan testes di dalam kerandut zakar boleh menandakan keadaan ‘undescended testes’ di mana testes masih berada di dalam badan dan lazimnya rosak akibat suhu badan yang lebih tinggi.

Saiz testes yang normal dan ujian yang normal pula menandakan kemungkinan sperma ada dihasilkan tetapi terhalang laluannya akibat saluran tersumbat.

Dalam kebanyakan kes, masalah ini membabitkan saluran epididimis atau vasa deferens akibat kecacatan kongenital ataupun akibat jangkitan kuman. Ini boleh disahkan melalui prosedur kecil mengambil epididimis untuk dilihat kehadiran spermanya.

Rawatan secara persenyawaan tabung uji (ICSI) menggunakan teknik tambahan mengambil sperma dari epididimis dan kemudian menyuntik sperma ke dalam telur isteri (ICSI-MESA, ICSI-PESA) boleh dilakukan namun ia memakan kos yang cukup mahal.

Dalam keadaan tiada sperma didapati dari epididimis disebabkan oleh ketiadaan epididimis kongenital atau trauma kesan parut pada epididimis, pilihan rawatan ICSI menggunakan teknik tambahan mengambil sperma daripada biopsi testes (ICSI-TESE) boleh dilakukan, namun peluang kejayaannya lebih rendah.

Sebaliknya jika ujian darah tidak normal seperti FSH, LH dan testosteronnya rendah serta saiz testesnya kecil, puncanya lebih berkait dengan kurang rangsangan oleh hormon FSH kelenjar pituitari bahagian otaknya. Keadaan ini dinamakan hipogonadotrofi hipogonadism.

Rawatan suntikan hormon gonadotrofin boleh membantu. Masalah ini mungkin tiada pada suami anda memandangkan fizikal lelaki sebegini lazimnya kurang sifat kelelakian atau kurang maskulin.

Rawatan suntikan hormon gonadotrofin ini mungkin mengambil masa berbulan-bulan sebelum testes mula menghasilkan sperma, namun berpotensi untuk membuahkan kehamilan kemudiannya tanpa bantuan persenyawaan tabung uji.

Jika hormon FSH meningkat dan testosteron rendah, ini boleh menandakan masalah ketiadaan penghasilan sperma oleh testes yang lebih rumit. Lazimnya, saiz testes juga lebih kecil. Biopsi testes mungkin menunjukkan gangguan proses spermatogenesis dengan kehadiran hanya sel sertoli saja.

Jika sperma didapati ada, rawatan ICSI-TESE secara mendapatkan sperma melalui biopsi testes dan kemudiannya bantuan persenyawaan tabung uji boleh dilakukan. Jika biopsi testes menunjukkan ketiadaan sperma, peluang kehamilan amat tipis memandangkan tiada benih daripada pihak lelaki untuk mensenyawakan telur.

Ini mungkin ada kaitan dengan ketidaknormalan kromosom Y. Rawatan kesuburan menggunakan sperma penderma ada ditawarkan oleh beberapa pusat kesuburan, namun ia tidak dibenarkan oleh Islam. Pilihan lain adalah mengambil anak angkat atau menerima hakikat meneruskan hubungan suami isteri tanpa zuriat.

Varikosel juga boleh menyebabkan azoospermia. Ini boleh dirawat secara pembedahan membaikinya. Suami dinasihatkan meneruskan rawatan dengan pakar kesuburan yang berpengalaman dalam rawatan pensenyawaan tabung uji serta pakar bedah urologi.


Dipetik dari:
http:www.hmetro.com.my/

Selaput Dara Gadis Terkoyak

SOALAN:
Saya berumur 26 tahun dan belum berkahwin. Saya mendapati selaput dara saya terkoyak dan bahagian dalam selaput dara pula kemerah-merahan serta gatal.

Apakah punca selaput dara terkoyak dan bagaimana cara untuk mengatasi kegatalan dalam kawasan selaput dara?

Afrina
Cheras, Kuala Lumpur



JAWAPAN:
Seeloknyaanda berjumpa doktor untuk pemeriksaan bahagian luaran kemaluan. Ini kerana sukar untuk seseorang, terutama bagi gadis untuk memeriksa sendiri selaput daranya apatah lagi bahagian dalam selaput dara.

Selaput dara agak tersorok walaupun lokasinya tidak jauh dari bukaan faraj, rupanya juga seperti tisu kemerahan yang kelihatan berkelopak tanpa bukaan yang nyata kecuali jika diregangkan sewaktu pemeriksaan terbabit. Mungkin apa yang anda lihat adalah bahagian kemaluan yang ada berhampiran bukaan faraj yang dikenali sebagai 'fourchette posterior'.

Selaput dara sebenarnya tidak mudah terkoyak. Ia terlindung oleh faraj, bibir kemaluan kecil serta bibir kemaluan utama. Tusukan terus untuk kali pertama ke dalam faraj boleh menyebabkan trauma koyakan pada selaput dara.

Koyakan pula tidak berlaku pada keseluruhan selaput ini yang berbentuk seperti cincin pipih, tetapi pada satu atau beberapa titik tempat koyakan. Di mana berlakunya koyakan pula dapat memberi gambaran sama ada tusukan itu berlaku secara paksaan ataupun sukarela.

Selain daripada tusukan terus ke dalam faraj, trauma kemalangan akibat terjatuh atau terhentak ke atas benda terus ke kawasan kemaluan juga boleh menyebabkan koyakan selaput dara, ia lazimnya disertai dengan trauma ke atas struktur yang berada lebih terkeluar daripadanya seperti bukaan faraj, fourchette posterior serta bibir kemaluan. Aktiviti senaman pula jarang menyebabkan koyakan selaput dara.

Mungkin selaput dara sebenarnya masih utuh. Anda mungkin mengalami kegatalan bahagian bukaan faraj yang mungkin disebabkan oleh jangkitan. Berjumpalah doktor anda untuk kepastian.

Jika ia disebabkan jangkitan, seeloknya anda mengambil rawatan bersesuaian. Panduan berikut boleh digunakan untuk mengurangkan risiko jangkitan faraj:

# Mencuci dan mengesat kemaluan dari arah hadapan ke arah belakang (dubur) dan bukan sebaliknya. Ini dapat mengelakkan kuman dubur daripada menjangkiti faraj.

# Lebih kerap menukar seluar dalam jika mudah berpeluh atau selepas senaman. Keadaan seluar dalam yang lembap atau basah memudahkan jangkitan.

# Mengamalkan teknik 'rendaman Sitz' secara duduk merendamkan punggung anda ke dalam besen berisi air bercampur sedikit garam. Terlebih dulu, kemaluan termasuk dubur harus dibersihkan.

# Mengambil rawatan bersesuaian. Jangkitan faraj juga boleh mengundang jangkitan pundi kencing. Ini kerana bukaan saluran kencing wanita terletak sangat berhampiran dengan bukaan faraj dan pendek ukurannya. Ini menyebabkan wanita lebih mudah mengalami jangkitan pundi kencing berbanding lelaki.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Ahad, 6 April 2008

Ketahui Penyakit Yang Dihidapi Melalui Tarikh Lahir

Sebenarnya Tarikh Lahir menyimpan 1001 rahsia diri anda seperti Sikap, Keperibadian, Kerjaya, Arah Kekayaan, Arah Kejayaan, Arah Tuah, dan banyak lagi rahsia, Rahsia yang ingin saya kongsikan adalah KESIHATAN anda.

YA! Kesihatan kita. Untuk makluman semua Tarikh Lahir Kita menyimpan Rahsia Kesihatan mengenai penyakit apa yang kita hidapi / akan dihidapi. Jika kita belum berpenyakit kita boleh mencegahnya dengan mengetahui Rahsia Kesihatan ini.

Mencegah Adalah Lebih Baik Dari Merawat.

Jika Anda Rasa Sihat Itu Mahal, Cubalah Rasa Sakit (You Think Wellness Is Expensive, Try Illness)

Dapatkan Rahsia Kesihatan anda hanya RM10.00 sahaja. Layari http://rahsia-tarikh-lahir.blogspot.com

Webmaster Infowanita

Pil Perancang Jejas Hubungan Kelamin

SOALAN:
Saya sudah berkahwin selama empat tahun dan mempunyai anak berusia tiga tahun. Selepas kelahiran anak itu, isteri saya mendapat kebenaran doktor menggunakan pil perancang dan kini sudah hampir tiga tahun dia menggunakannya. Persoalannya, saya ingin tahu mengenai kecenderungan mengambil pil perancang terhadap hubungan kelamin.

Setiap kali melakukan hubungan kelamin dengan isteri, kemaluannya tidak mengeluarkan cecair seperti mana sebelum dia mula mengambil pil perancang dulu.

Semasa hubungan kelamin, adakah isteri boleh hamil walaupun mengambil pil perancang jika pancutan air mani dibuat ke dalam kemaluan isteri?

Bagaimana memulihkan semula hubungan kelamin terutama masalah kekeringan pada wanita yang mengambil pil perancang?


Ingin Tahu,
Kuala Lumpur



JAWAPAN:
Seeloknya anda membawa isteri berjumpa doktor untuk berbincang lanjut bagi mengetahui punca masalah isteri anda. Ini kerana masalah kurang nafsu seks (kekeringan adalah satu petandanya) hanya dialami oleh segelintir saja wanita yang mengamalkan kaedah pil perancang.

Ada faktor lain yang mungkin turut menyumbang kepada masalah ini seperti penyusuan badan (akibat peningkatan hormon prolaktin), kebimbangan wanita terhadap keadaan fizikalnya yang dirasakan kurang menarik berbanding sebelum hamil, kesibukan menjadi ibu, masalah peribadi dan seumpamanya.

Anda mungkin boleh berbincang dari hati ke hati dengan isteri anda terlebih dulu.

Pil perancang yang diambil menurut aturan memberi risiko kehamilan yang sangat rendah (kurang daripada satu peratus) walaupun pancutan air mani berlaku di dalam faraj.

Ini kerana pil perancang menghalang berlakunya ovulasi (pengeluaran telur), maka sperma yang masuk ke dalam rahim dan kemudiannya tiub falopio tidak berpeluang untuk menemui telur.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Kerap Berair, Rahim Kembang

SOALAN:
Saya berusia 47 tahun dan mempunyai tujuh anak. Anak bongsu saya kembar berusia 10 tahun dan selepas kelahiran mereka, saya mengikat saluran rahim.

Masalahnya kini, saya rasa terkeluar air kencing apabila bersama suami dan saya juga kurang terangsang. Selepas habis haid, terlalu banyak keputihan keluar tetapi tidak berbau atau gatal.

Ada kalanya keluar cecair meleleh hingga ke kaki. Akibat kerap berair, saya rasa rahim saya seperti mengembang. Apakah punca masalah berair itu? Apakah pandangan doktor dan apakah yang harus saya lakukan?


Ima,
Kuantan, Pahang.



JAWAPAN:
Anda dinasihatkan berjumpa doktor pakar sakit puan untuk pemeriksaan lanjut bagi membezakan punca lelehan yang keluar. Jarang lelehan faraj akibat jangkitan (lazimnya jangkitan kulat Candida) berlaku sehingga menyebabkan ia meleleh ke kaki.

Kemungkinan ia sebenarnya air kencing yang bocor dari pundi kencing terus ke dalam faraj perlu diperiksa lanjut. Pada usia anda juga, wanita digalakkan menjalani pemeriksaan sakit puan sekurang-kurangnya setahun sekali bagi mengesan kehadiran penyakit berkaitan.

Selain kemungkinan faktor di atas, lelehan juga boleh berpunca daripada penyakit dalam rahim sendiri. Segeralah berjumpa doktor.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Jumaat, 4 April 2008

Risau Kitaran Haid Tak Menentu Sukarkan Potensi Hamil

SOALAN:SAYA berusia 21 tahun dan baru berkahwin. Kitaran haid saya memang tidak menentu. Adakalanya datang haid sebulan sekali dan adakalanya tidak datang haid sehingga enam bulan.

Sejak berkahwin, berat badan saya meningkat. Adakah ia berpunca daripada hubungan kelamin bersama suami? Adakah masalah kitaran haid itu juga boleh menjejaskan peluang untuk hamil?

Priska,
Taman Perling, Johor Bahru.



JAWAPAN:
TERDAPAT beberapa punca kitaran haid tidak teratur, di antaranya adalah ketiadaan proses pengeluaran telur, masalah ini dinamakan anovulasi.

Elok anda menjalani pemeriksaan awal oleh pakar sakit puan. Pemeriksaan fizikal dan ujian mudah dapat membantu mengenalpasti sama ada ia berkait dengan masalah kesuburan.

Hubungan kelamin sepatutnya melibatkan pembakaran/penggunaan kalori, bukannya menambah kegemukan wanita atau lelaki.

Barangkali corak pemakanan dan kurang aktiviti fizikal yang menyumbang kepada penambahan berat badan seseorang dewasa.

Usia anda yang masih muda memberi lebih peluang kejayaan kehamilan berbanding sekiranya anda lebih berusia kelak.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Ibu Muda Runsing Payudara Kecil

SOALAN:
SAYA berumur 30 tahun, berkahwin dan mempunyai seorang anak. Apa yang merungsingkan saya ialah saiz payudara saya kecil, badan saya boleh dikatakan agak besar 57 kilogram dan tinggi 159 sentimeter. Bagaimana cara untuk membesarkannya. Apakah ada ubat?

Saya takut mengambil ubat tanpa nasihat doktor bimbang mendatangkan kesan buruk kemudian hari. Saya berasa rendah diri dengan keadaan ini.

Ani,
Kuala Lumpur



JAWAPAN:
PAYUDARA boleh dibesarkan secara pengambilan ubat hormon, namun seperti mana-mana ubat lain, ubatan ini juga mempunyai kesan sampingan tersendiri yang boleh membahayakan kesihatan anda.

Ubat ini lazimnya mengandungi hormon estrogen yang juga berupaya merangsang penyakit berbahaya pada payudara, rahim dan ovari.

Payudara juga boleh mengalami rangsangan pembesaran melalui kehamilan dan penyusuan badan. Yang lebih penting adalah untuk anda melakukan pemeriksaan payudara sebulan sekali dan menjalani pemeriksaan payudara setahun sekali untuk mengesan kehadiran ketulan atau kelainan.

Tidak kira sama ada payudara wanita itu besar atau kecil, risiko kanser payudara adalah sama dan tidak dipengaruhi oleh saiznya.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Rabu, 2 April 2008

Hilang Nikmat Bersama Suami

SOALAN:
Saya ibu dua anak yang kini berusia tiga tahun dan setahun setengah. Semasa kelahiran anak pertama, saya menerima jahitan pada faraj seperti ibu lain tetapi selepas lebih tiga bulan melahirkan anak, setiap kali bersama suami, kawasan jahitan itu terbuka sedikit demi sedikit. Kini, saya tidak lagi berasa nikmat bersama suami. Adakah kawasan jahitan yang terbuka itu dijahit atau dicantum semula? Adakah kaedah lain untuk melakukannya?

Mimiana,
Shah Alam, Selangor.



JAWAPAN:
Anda boleh memastikan keadaan koyakan jahitan itu dengan menjalani pemeriksaan doktor.

Memandangkan ia telah berlaku selepas kelahiran pertama dahulu, ia mungkin telah diperiksa oleh doktor anda sewaktu kelahiran anak kedua (jika anda melalui kelahiran normal).

Mungkin juga koyakan itu telah dibaiki selepas kelahiran anak kedua secara normal.

Koyakan faraj lazimnya dijangka tidak menyebabkan kehilangan kenikmatan hubungan seksual oleh wanita, anda mungkin merasainya secara tidak langsung akibat perasaan malu atau bimbang dengan kekurangan diri anda.

Koyakan yang sembuh tanpa bercantum kebiasaannya akan kekal tidak bercantum memandangkan tisu kulit telahpun tumbuh menyelaputi permukaannya.

Jika anda berhasrat untuk menyambungnya semula, suatu prosedur kecil boleh dilakukan secara melukakan jurang koyakan itu dan menjahitnya semula, ini dilakukan bersama pemberian ubat pembiusan.

Justeru, berbincanglah dengan doktor anda.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Wanita Hidap Endometriosis Ingin Cuba Perubatan Alternatif Tanpa Pembedahan

SOALAN:
Saya sudah berkahwin selama tiga setengah tahun dan masih belum mempunyai anak. Saya sudah menjalani pembedahan membuang endometriosis ini pada Januari 2007.

Namun, pada Februari lalu, imbasan doktor menunjukkan ia muncul kembali dan semakin membesar (17 sentimeter). Saya serik menjalani pembedahan dan akan mencuba perubatan alternatif yang tidak memerlukan pembedahan.

Adakah selamat jika saya tidak membuangnya menerusi pembedahan? Apakah risiko lain jika ia mencapai peringkat serius?

Risau,
Melaka.



JAWAPAN:

Endometriosis adalah penyakit kronik yang mengganggu ramai wanita. Perkataan endometriosis diambil daripada endometrium iaitu tisu lapisan haid yang ada pada bahagian terdalam dinding rahim.

Teori kejadian endometriosis adalah tumpahan tisu endometrium ke kawasan lain (sedangkan ia sepatutnya keluar melalui faraj sebagai darah haid).

Pada ovari, endometriosis membentuk cyst yang dinamakan endometrioma atau 'endometriotic cyst' ataupun 'cyst coklat'. Cyst ini mengandungi darah haid di dalamnya yang lama-kelamaan bertukar menjadi warna coklat.

Di dalam otot rahim pula, endometriosis dikenali sebagai adenomyosis, manakala di bahagian lain ia menggunakan nama am iaitu endometriosis.

Pada pertengahan kitaran haid wanita, tisu endometriosis juga mengalami rangsangan penebalan dan kemudian pada waktu haid wanita, kawasan dalaman pelvis ini juga mengalami peradangan 'haid' yang berkumpul memandangkan ia tidak dapat keluar melalui faraj.

Endometriosis boleh menyebabkan beberapa kesan dan wanita yang mengalami endometriosis tidak semestinya mengalami kesan ini. Seseorang boleh mengalami satu atau beberapa atau semua kesan berikut iaitu senggugut (dismenorea), sakit ketika hubungan seks (dispareunia), sukar hamil, bengkak cyst ovari, pendarahan dari dubur atau saluran kencing atau luka pembedahan Caesarean ketika haid, sakit pelvis dan seumpamanya.

Anda tidak menyatakan peringkat endometriosis yang dialami sewaktu pembedahan pertama dulu. Lazimnya, endometriosis yang mengandungi cyst juga membabitkan organ pelvis lain dan berada pada peringkat lanjut, bukannya peringkat ringan.

Pembedahan membuang sebanyak mungkin tisu endometriosis ini kebiasaannya disusuli dengan suntikan hormon analog GnRH untuk membersihkan sisa sel endometriosis yang masih tertinggal. Suntikan ini diberikan setiap bulan selama sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum keadaan seseorang dinilai semula sama ada perlu diteruskan lagi atau boleh dimulakan rawatan kesuburan (jika dikehendaki).

Rawatan kesuburan pula tidak sama bagi setiap wanita yang pernah mengalami endometriosis. Seeloknya wanita ini mengikut panduan doktor mengenai rawatan kesuburan yang bersesuaian atau perlu untuknya bagi menjadikan peluang kehamilan optimum, jika tidak ia akan berakhir dengan kegagalan dan tidak mustahil tisu haid seterusnya ini memberi sumber baru untuk endometriosis muncul semula.

Anda tidak menyatakan rawatan yang sudah anda lalui selepas pembedahan dalam tempoh setahun lalu. Untuk makluman, endometriosis boleh timbul pada mana-mana wanita dalam umur reproduksi dan hanya akan berhenti apabila ia mencapai menopaus.

Endometriosis peringkat teruk sememangnya ada kaitan dengan masalah kesuburan. Saiz cyst yang anda alami kini juga dikategorikan besar, kebanyakan doktor akan menasihatkan pembedahan, terutama jika ia turut berkait dengan paras ujian darah Ca125 yang meningkat.

Teknik membuang cyst endometriosis dijangka lebih sukar daripada cyst ovari yang lain memandangkan ia melekat kuat kepada daging ovari dan turut mengakibatkan jaringan perlekatan di dalam kawasan pelvis membabitkan organ berhampiran termasuk rahim, tiub falopio, ovari, usus besar dan dinding pelvis.

Seeloknya anda berjumpa dengan pakar sakit puan kesuburan di kawasan anda untuk berbincang lebih lanjut dan mendapatkan rawatan. Setiap kali anda mengalami cyst, ia boleh memberi kesan kepada daging ovari yang masih elok. Ada kalanya cyst menjadi terlalu besar sehingga daging ovari yang elok hanya tinggal sedikit.

Ini menyebabkan rawatan rangsangan tidak dapat menghasilkan bilangan telur yang dikehendaki. Dalam erti kata lain, membiarkan cyst lebih lama mungkin akan lebih membesarkan saiznya ataupun menyebabkan ia pecah dan berlaku tumpahan cecair ini ke dalam pelvis pula.

Penyakit endometriosis hanya boleh diubati sepenuhnya dengan pembuangan kedua-dua belah ovari. Bagaimanapun, ini tidak sesuai untuk semua wanita yang mengalami endometriosis, terutama wanita berusia muda serta wanita yang menginginkan cahaya mata.

Rawatan pembedahan, suntikan dan ubat-ubatan hanyalah bersifat sementara. Lazimnya dengan kehadiran cyst yang besar, rawatan pembedahan lebih elok sebelum dimulakan rawatan kesuburan.

Ada juga pilihan lain yang mungkin kurang sesuai untuk semua wanita iaitu secara menyedut keluar cecair kandungan cyst kemudian menyuntik larutan alkohol berkepekatan tinggi untuk membunuh kelenjar pada selaput cyst itu, namun keberkesanannya masih menjadi bahan perdebatan. Suntikan dan ubat-ubatan lain pula tidak dapat menghilangkan cyst terbabit.

Tiub falopio lazimnya tidak tersumbat sepenuhnya akibat endometriosis. Namun, memandangkan ia adalah jalan laluan endometriosis sebelum sampai ke dalam pelvis, kerosakan pada jejari berfimbria di bahagian dalam tiub falopio menyebabkan gangguan perjalanan sperma dan telur serta kemudiannya embrio. Ini meningkatkan risiko kehamilan ektopik (luar rahim).

Selain itu, memandangkan endometriosis bergantung pembiakannya kepada hormon estrogen wanita, kehadiran endometriosis sering dikaitkan juga dengan kehadiran fibroid. Ini kerana, fibroid juga bergantung kepada hormon estrogen untuk pembesarannya.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Air Ketuban Kurang

SOALAN:
Saya berusia 30 tahun dan kini hamil 34 minggu. Saya mengalami keadaan kekurangan air ketuban.

Mengikut doktor yang memeriksa saya, tiada punca menyebabkan air ketuban saya kurang dan saya mengalami masalah yang sama dua kali sejak melahirkan anak pertama.

Adakah kekurangan air ketuban akan menyebabkan bayi dalam kandungan saya lemas? Adakah perkara berkenaan akan terus berlaku sekiranya saya ingin hamil kali ketiga? Adakah sebarang kesan pada bayi yang dikandung jika berlaku pengurangan air ketuban?

Linda,
Kuala Lumpur



JAWAPAN:

Kekurangan air ketuban dinamakan oligohidramnios. Isi padu air ketuban sukar diukur sewaktu kehamilan berlangsung. Suatu teknik mengukur indeks air ketuban dapat membantu mengenalpasti masalah berkaitan.

Pada usia kandungan 34 minggu, isi padu air ketuban boleh mencapai 1000 mililiter, namun ia lazimnya diukur menggunakan bantuan ultrabunyi ke atas ruang terdalam air ketuban pada keempat-empat suku kawasan kandungan.

Air ketuban penting dalam kehamilan. Ia mengisi ruang perantara di antara janin, tali pusat dan dinding rahim, untuk membantu menyerap kesan hentakan luar (seperti trauma dalam kemalangan), himpitan (contohnya jika berlaku pengecutan rahim dan seumpamanya) serta menstabilkan suhu persekitarannya.

Bersama selaput ketuban (membrane amnion), ia juga bertindak sebagai lapisan pendinding kepada jangkitan dari luar.

Air ketuban dihasilkan oleh kedua-dua ibu dan kandungannya. Pada trimester ketiga kehamilan, kebanyakan air ketuban dihasilkan oleh selaput ketuban, kulit, buah pinggang dan saluran pernafasan janin.

Jumlah isi padu air ketuban ini diimbangi oleh penghasilan dan pembuangannya (melalui proses janin menelan dan serapan usus janin ke dalam aliran darah kembali ke ibu). Jika kehilangan air ketuban melebihi penghasilannya, berlakulah oligohidramnios.

Penting untuk memastikan indeks terlebih dulu dan jika benar anda mengalami oligohidramnios, penting untuk doktor memeriksa puncanya dengan lebih lanjut. Oligohidramnios mempunyai beberapa punca, antaranya:

- Kebocoran selaput ketuban mengakibatkan lelehan air ketuban secara berterusan sedikit demi sedikit, boleh berlaku tanpa disedari dan disangka lelehan lendir faraj.

- Kurang penghasilan air ketuban akibat masalah buah pinggang serta paru-paru janin. Kelainan kromosom janin juga boleh menyebabkan kurang penghasilan air ketuban ini.

- Masalah pertumbuhan janin (intra uterine growth restriction atau IUGR).

Anda mungkin sudah dinasihatkan menjalani imbasan ultrabunyi secara mendalam untuk memeriksa struktur fizikal janin secara keseluruhannya terutama kedua-dua buah pinggang dan paru-paru. Ia lazimnya dilakukan oleh pakar perbidanan yang khusus dalam bidang feto-maternal atau juru ultrabunyi yang terlatih.

Kemungkinan jangkitan kuman (chorioamnionitis) akibat kebocoran selaput ketuban pula dapat disahkan secara ujian persampelan lendir atau cecair faraj serta ujian darah termasuk ujian protin C-reaktif.

Dalam keadaan oligohidramnios teruk, penyempitan ruang dalam rahim memberi kesan kepada janin, termasuk mengganggu pembentukan paru-paru (hipoplasia paru-paru), menyebabkan kecacatan pada anggota kaki yang terperenyuk (talipes kongenital, ini lazimnya dapat diperbetulkan) serta kedudukan janin tidak normal (songsang atau melintang atau menyerong).

Selain itu, kesannya membabitkan janin lemas akibat tali pusat terhimpit sehingga mengganggu aliran darah beroksigen daripada ibu kepada janin, aspirasi najis janin ke dalam ruang pernafasannya, kelahiran pramatang, kematian dan seumpamanya.

Oligohidramnios jarang berkait dengan kehamilan akan datang. Mungkin anda hanya mengalami oligohidramnios minimum dan akan pulih sendirinya dalam masa beberapa minggu ini serta tidak memberi kesan kepada kandungan.

Teruskan rawatan mengikut jadual. Ini kerana, jika keadaan berterusan atau bertambah teruk, anda mungkin akan dijadualkan bersalin lebih awal bagi mengelakkan komplikasi pada kandungan.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/