Peminat Setia

Rabu, 2 April 2008

Wanita Hidap Endometriosis Ingin Cuba Perubatan Alternatif Tanpa Pembedahan

SOALAN:
Saya sudah berkahwin selama tiga setengah tahun dan masih belum mempunyai anak. Saya sudah menjalani pembedahan membuang endometriosis ini pada Januari 2007.

Namun, pada Februari lalu, imbasan doktor menunjukkan ia muncul kembali dan semakin membesar (17 sentimeter). Saya serik menjalani pembedahan dan akan mencuba perubatan alternatif yang tidak memerlukan pembedahan.

Adakah selamat jika saya tidak membuangnya menerusi pembedahan? Apakah risiko lain jika ia mencapai peringkat serius?

Risau,
Melaka.



JAWAPAN:

Endometriosis adalah penyakit kronik yang mengganggu ramai wanita. Perkataan endometriosis diambil daripada endometrium iaitu tisu lapisan haid yang ada pada bahagian terdalam dinding rahim.

Teori kejadian endometriosis adalah tumpahan tisu endometrium ke kawasan lain (sedangkan ia sepatutnya keluar melalui faraj sebagai darah haid).

Pada ovari, endometriosis membentuk cyst yang dinamakan endometrioma atau 'endometriotic cyst' ataupun 'cyst coklat'. Cyst ini mengandungi darah haid di dalamnya yang lama-kelamaan bertukar menjadi warna coklat.

Di dalam otot rahim pula, endometriosis dikenali sebagai adenomyosis, manakala di bahagian lain ia menggunakan nama am iaitu endometriosis.

Pada pertengahan kitaran haid wanita, tisu endometriosis juga mengalami rangsangan penebalan dan kemudian pada waktu haid wanita, kawasan dalaman pelvis ini juga mengalami peradangan 'haid' yang berkumpul memandangkan ia tidak dapat keluar melalui faraj.

Endometriosis boleh menyebabkan beberapa kesan dan wanita yang mengalami endometriosis tidak semestinya mengalami kesan ini. Seseorang boleh mengalami satu atau beberapa atau semua kesan berikut iaitu senggugut (dismenorea), sakit ketika hubungan seks (dispareunia), sukar hamil, bengkak cyst ovari, pendarahan dari dubur atau saluran kencing atau luka pembedahan Caesarean ketika haid, sakit pelvis dan seumpamanya.

Anda tidak menyatakan peringkat endometriosis yang dialami sewaktu pembedahan pertama dulu. Lazimnya, endometriosis yang mengandungi cyst juga membabitkan organ pelvis lain dan berada pada peringkat lanjut, bukannya peringkat ringan.

Pembedahan membuang sebanyak mungkin tisu endometriosis ini kebiasaannya disusuli dengan suntikan hormon analog GnRH untuk membersihkan sisa sel endometriosis yang masih tertinggal. Suntikan ini diberikan setiap bulan selama sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum keadaan seseorang dinilai semula sama ada perlu diteruskan lagi atau boleh dimulakan rawatan kesuburan (jika dikehendaki).

Rawatan kesuburan pula tidak sama bagi setiap wanita yang pernah mengalami endometriosis. Seeloknya wanita ini mengikut panduan doktor mengenai rawatan kesuburan yang bersesuaian atau perlu untuknya bagi menjadikan peluang kehamilan optimum, jika tidak ia akan berakhir dengan kegagalan dan tidak mustahil tisu haid seterusnya ini memberi sumber baru untuk endometriosis muncul semula.

Anda tidak menyatakan rawatan yang sudah anda lalui selepas pembedahan dalam tempoh setahun lalu. Untuk makluman, endometriosis boleh timbul pada mana-mana wanita dalam umur reproduksi dan hanya akan berhenti apabila ia mencapai menopaus.

Endometriosis peringkat teruk sememangnya ada kaitan dengan masalah kesuburan. Saiz cyst yang anda alami kini juga dikategorikan besar, kebanyakan doktor akan menasihatkan pembedahan, terutama jika ia turut berkait dengan paras ujian darah Ca125 yang meningkat.

Teknik membuang cyst endometriosis dijangka lebih sukar daripada cyst ovari yang lain memandangkan ia melekat kuat kepada daging ovari dan turut mengakibatkan jaringan perlekatan di dalam kawasan pelvis membabitkan organ berhampiran termasuk rahim, tiub falopio, ovari, usus besar dan dinding pelvis.

Seeloknya anda berjumpa dengan pakar sakit puan kesuburan di kawasan anda untuk berbincang lebih lanjut dan mendapatkan rawatan. Setiap kali anda mengalami cyst, ia boleh memberi kesan kepada daging ovari yang masih elok. Ada kalanya cyst menjadi terlalu besar sehingga daging ovari yang elok hanya tinggal sedikit.

Ini menyebabkan rawatan rangsangan tidak dapat menghasilkan bilangan telur yang dikehendaki. Dalam erti kata lain, membiarkan cyst lebih lama mungkin akan lebih membesarkan saiznya ataupun menyebabkan ia pecah dan berlaku tumpahan cecair ini ke dalam pelvis pula.

Penyakit endometriosis hanya boleh diubati sepenuhnya dengan pembuangan kedua-dua belah ovari. Bagaimanapun, ini tidak sesuai untuk semua wanita yang mengalami endometriosis, terutama wanita berusia muda serta wanita yang menginginkan cahaya mata.

Rawatan pembedahan, suntikan dan ubat-ubatan hanyalah bersifat sementara. Lazimnya dengan kehadiran cyst yang besar, rawatan pembedahan lebih elok sebelum dimulakan rawatan kesuburan.

Ada juga pilihan lain yang mungkin kurang sesuai untuk semua wanita iaitu secara menyedut keluar cecair kandungan cyst kemudian menyuntik larutan alkohol berkepekatan tinggi untuk membunuh kelenjar pada selaput cyst itu, namun keberkesanannya masih menjadi bahan perdebatan. Suntikan dan ubat-ubatan lain pula tidak dapat menghilangkan cyst terbabit.

Tiub falopio lazimnya tidak tersumbat sepenuhnya akibat endometriosis. Namun, memandangkan ia adalah jalan laluan endometriosis sebelum sampai ke dalam pelvis, kerosakan pada jejari berfimbria di bahagian dalam tiub falopio menyebabkan gangguan perjalanan sperma dan telur serta kemudiannya embrio. Ini meningkatkan risiko kehamilan ektopik (luar rahim).

Selain itu, memandangkan endometriosis bergantung pembiakannya kepada hormon estrogen wanita, kehadiran endometriosis sering dikaitkan juga dengan kehadiran fibroid. Ini kerana, fibroid juga bergantung kepada hormon estrogen untuk pembesarannya.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan: