Peminat Setia

Sabtu, 12 April 2008

Musykil Suami Tiada Sperma

SOALAN:
Saya berusia 30 tahun, sudah berkahwin enam tahun dan masih belum mempunyai anak. Baru-baru ini kami menjalani pemeriksaan doktor dan diberitahu suami saya mempunyai masalah sperma.

Suami saya tidak mempunyai sperma dan menasihatkan kami mengambil anak angkat saja. Saya musykil kerana suami saya tidak mempunyai penyakit dan kelihatan seperti lelaki lain.

Suami saya berusia 32 tahun dan tidak merokok. Air maninya juga banyak, malah setiap kali selepas bersama, saya dapati air mani suami saya banyak keluar semula. Adakah ini juga menyebabkan saya tidak hamil? Apakah pandangan doktor?

Milah,
Kuala Lumpur



JAWAPAN:
Ketiadaan sperma di dalam air mani dinamakan azoospermia. Azoospermia boleh memberikan tanggapan atau impak yang negatif terhadap peluang kehamilan.

Tidak semua keadaan azoospermia bermakna seseorang lelaki itu tidak menghasilkan sperma sama sekali. Ada kemungkinan laluan perjalanan spermanya terhalang akibat penyumbatan kongenital atau jangkitan, ada juga kemungkinan disebabkan gangguan hormon pada kelenjar pituitari ataupun testes.

Lazimnya, jika analisa air mani memberikan keputusan azoospermia, seseorang diminta menjalani ujian air mani sekali lagi setelah tiga hingga lima hari menyimpan air mani di dalam badan.

Pemeriksaan fizikal dan beberapa ujian darah turut dilakukan. Pemeriksaan fizikal ke atas testes (buah zakar) dapat mengesahkan lokasinya dan saiz serta kekenyalannya.

Ujian darah menilai hormon FSH, LH, testosteron dan kromosom juga boleh dilakukan. Ketiadaan testes di dalam kerandut zakar boleh menandakan keadaan ‘undescended testes’ di mana testes masih berada di dalam badan dan lazimnya rosak akibat suhu badan yang lebih tinggi.

Saiz testes yang normal dan ujian yang normal pula menandakan kemungkinan sperma ada dihasilkan tetapi terhalang laluannya akibat saluran tersumbat.

Dalam kebanyakan kes, masalah ini membabitkan saluran epididimis atau vasa deferens akibat kecacatan kongenital ataupun akibat jangkitan kuman. Ini boleh disahkan melalui prosedur kecil mengambil epididimis untuk dilihat kehadiran spermanya.

Rawatan secara persenyawaan tabung uji (ICSI) menggunakan teknik tambahan mengambil sperma dari epididimis dan kemudian menyuntik sperma ke dalam telur isteri (ICSI-MESA, ICSI-PESA) boleh dilakukan namun ia memakan kos yang cukup mahal.

Dalam keadaan tiada sperma didapati dari epididimis disebabkan oleh ketiadaan epididimis kongenital atau trauma kesan parut pada epididimis, pilihan rawatan ICSI menggunakan teknik tambahan mengambil sperma daripada biopsi testes (ICSI-TESE) boleh dilakukan, namun peluang kejayaannya lebih rendah.

Sebaliknya jika ujian darah tidak normal seperti FSH, LH dan testosteronnya rendah serta saiz testesnya kecil, puncanya lebih berkait dengan kurang rangsangan oleh hormon FSH kelenjar pituitari bahagian otaknya. Keadaan ini dinamakan hipogonadotrofi hipogonadism.

Rawatan suntikan hormon gonadotrofin boleh membantu. Masalah ini mungkin tiada pada suami anda memandangkan fizikal lelaki sebegini lazimnya kurang sifat kelelakian atau kurang maskulin.

Rawatan suntikan hormon gonadotrofin ini mungkin mengambil masa berbulan-bulan sebelum testes mula menghasilkan sperma, namun berpotensi untuk membuahkan kehamilan kemudiannya tanpa bantuan persenyawaan tabung uji.

Jika hormon FSH meningkat dan testosteron rendah, ini boleh menandakan masalah ketiadaan penghasilan sperma oleh testes yang lebih rumit. Lazimnya, saiz testes juga lebih kecil. Biopsi testes mungkin menunjukkan gangguan proses spermatogenesis dengan kehadiran hanya sel sertoli saja.

Jika sperma didapati ada, rawatan ICSI-TESE secara mendapatkan sperma melalui biopsi testes dan kemudiannya bantuan persenyawaan tabung uji boleh dilakukan. Jika biopsi testes menunjukkan ketiadaan sperma, peluang kehamilan amat tipis memandangkan tiada benih daripada pihak lelaki untuk mensenyawakan telur.

Ini mungkin ada kaitan dengan ketidaknormalan kromosom Y. Rawatan kesuburan menggunakan sperma penderma ada ditawarkan oleh beberapa pusat kesuburan, namun ia tidak dibenarkan oleh Islam. Pilihan lain adalah mengambil anak angkat atau menerima hakikat meneruskan hubungan suami isteri tanpa zuriat.

Varikosel juga boleh menyebabkan azoospermia. Ini boleh dirawat secara pembedahan membaikinya. Suami dinasihatkan meneruskan rawatan dengan pakar kesuburan yang berpengalaman dalam rawatan pensenyawaan tabung uji serta pakar bedah urologi.


Dipetik dari:
http:www.hmetro.com.my/

1 ulasan:

AZIZAN & HAFIZAH berkata...

Jom Dapatkan Panduan Bina Otot Badan Untuk Lelaki Disini Agar Anda Kelihatan Lebih Kacak Dan Segak.....Jangan Segan2..Milikilah Badan Impian Anda Bermula Disini...