Peminat Setia

Sabtu, 12 April 2008

Selaput Dara Gadis Terkoyak

SOALAN:
Saya berumur 26 tahun dan belum berkahwin. Saya mendapati selaput dara saya terkoyak dan bahagian dalam selaput dara pula kemerah-merahan serta gatal.

Apakah punca selaput dara terkoyak dan bagaimana cara untuk mengatasi kegatalan dalam kawasan selaput dara?

Afrina
Cheras, Kuala Lumpur



JAWAPAN:
Seeloknyaanda berjumpa doktor untuk pemeriksaan bahagian luaran kemaluan. Ini kerana sukar untuk seseorang, terutama bagi gadis untuk memeriksa sendiri selaput daranya apatah lagi bahagian dalam selaput dara.

Selaput dara agak tersorok walaupun lokasinya tidak jauh dari bukaan faraj, rupanya juga seperti tisu kemerahan yang kelihatan berkelopak tanpa bukaan yang nyata kecuali jika diregangkan sewaktu pemeriksaan terbabit. Mungkin apa yang anda lihat adalah bahagian kemaluan yang ada berhampiran bukaan faraj yang dikenali sebagai 'fourchette posterior'.

Selaput dara sebenarnya tidak mudah terkoyak. Ia terlindung oleh faraj, bibir kemaluan kecil serta bibir kemaluan utama. Tusukan terus untuk kali pertama ke dalam faraj boleh menyebabkan trauma koyakan pada selaput dara.

Koyakan pula tidak berlaku pada keseluruhan selaput ini yang berbentuk seperti cincin pipih, tetapi pada satu atau beberapa titik tempat koyakan. Di mana berlakunya koyakan pula dapat memberi gambaran sama ada tusukan itu berlaku secara paksaan ataupun sukarela.

Selain daripada tusukan terus ke dalam faraj, trauma kemalangan akibat terjatuh atau terhentak ke atas benda terus ke kawasan kemaluan juga boleh menyebabkan koyakan selaput dara, ia lazimnya disertai dengan trauma ke atas struktur yang berada lebih terkeluar daripadanya seperti bukaan faraj, fourchette posterior serta bibir kemaluan. Aktiviti senaman pula jarang menyebabkan koyakan selaput dara.

Mungkin selaput dara sebenarnya masih utuh. Anda mungkin mengalami kegatalan bahagian bukaan faraj yang mungkin disebabkan oleh jangkitan. Berjumpalah doktor anda untuk kepastian.

Jika ia disebabkan jangkitan, seeloknya anda mengambil rawatan bersesuaian. Panduan berikut boleh digunakan untuk mengurangkan risiko jangkitan faraj:

# Mencuci dan mengesat kemaluan dari arah hadapan ke arah belakang (dubur) dan bukan sebaliknya. Ini dapat mengelakkan kuman dubur daripada menjangkiti faraj.

# Lebih kerap menukar seluar dalam jika mudah berpeluh atau selepas senaman. Keadaan seluar dalam yang lembap atau basah memudahkan jangkitan.

# Mengamalkan teknik 'rendaman Sitz' secara duduk merendamkan punggung anda ke dalam besen berisi air bercampur sedikit garam. Terlebih dulu, kemaluan termasuk dubur harus dibersihkan.

# Mengambil rawatan bersesuaian. Jangkitan faraj juga boleh mengundang jangkitan pundi kencing. Ini kerana bukaan saluran kencing wanita terletak sangat berhampiran dengan bukaan faraj dan pendek ukurannya. Ini menyebabkan wanita lebih mudah mengalami jangkitan pundi kencing berbanding lelaki.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan: