Peminat Setia

Rabu, 16 April 2008

Musykil Hamil Atau Tidak

SOALAN:
Saya berusia 28 tahun dan sudah mendirikan rumah tangga selama lima tahun dan mempunyai tiga cahaya mata. Anak saya yang kecil berusia setahun tiga bulan dan masih menyusu badan.

Masalahnya, sejak melahirkan anak bongsu hingga kini, saya tidak didatangi haid. Doktor menasihatkan saya menggunakan alat dalam rahim untuk mengelakkan kehamilan tetapi saya tidak melakukannya.

Cuma kini, saya musykil sama ada saya hamil atau tidak. Adakah saya menghadapi sebarang penyakit?

Hazrina,
Taman Johor Jaya, Johor Bahru


JAWAPAN:
Keadaan anda dinamakan amenorrhoea (ketiadaan haid selama enam bulan berturut-turut atau lebih). Memang diketahui penyusuan badan boleh menyebabkan ketiadaan haid, namun tidak semestinya.

Seeloknya anda menjalani pemeriksaan doktor, mana tahu anda mempunyai penyebab lain. Salah satu penyebab utama yang perlu dipastikan kehamilan.

Ini kerana penyusuan badan hanya mampu mengelakkan kehamilan secara berkesan dalam masa empat hingga enam bulan selepas kelahiran saja, itupun jika seseorang ibu mengamalkan penyusuan badan sepenuhnya (atau hampir sepenuhnya).

Selepas tempoh ini, seseorang ibu terdedah kepada kemungkinan kehamilan, lebih-lebih lagi jika tidak mengamalkan kaedah pencegah kehamilan yang berkesan.

Memandangkan bayi anda kini sudah pun berusia melebihi enam bulan, ketiadaan haid boleh bermakna anda hamil. Selain itu, sukar untuk menjalani ujian air kencing setiap minggu atau bulan jika keadaan ketiadaan haid berterusan.

Sekiranya anda belum bersedia untuk hamil lagi, anda dinasihatkan berbincang dengan doktor anda untuk mengamalkan kaedah pencegahan kehamilan yang berkesan.

Alat dalam rahim seperti disarankan oleh doktor anda juga suatu kaedah yang berkesan dan murah untuk jangka masa panjang. Anda perlu faham mengenai kelebihan dan kekurangan sesuatu kaedah sebelum membuat pilihan. Tidak semua orang sesuai untuk jenis tertentu saja.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan: